Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Jalaluddin Rumi
GUNANYA KESUSAHAN DAN KESUKARAN


Lihatlah kacang yang direbus dalam periuk.  Kacang itu naik ke atas seolah-olah melompat apabila air periuk itu panas mendidih.  Seolah-olah kacang itu berkata;

"Kenapa kau rebus aku?.  Kamu beli aku,  kemudian kamu siksa aku dalam periuk ini.....kenapa?".

Si suri rumah terus memukul dengan senduknya,  lalu berkata;

"Diam engkau dalam kuali itu baik-baik.  Jangan lari keluar.  Aku rebus engkau bukan kerana benci,  tetapi untuk menyelamatkan engkau.  Engkau akan jadi makanan,  dan akan menyerap jadi tenaga.  Kesengsaraan yang engkau deritai itu bukanlah kezaliman.  Tatkala engkau masih hijau dan segar dalam kebun,  engkau minum air di sana.  Minum air itu adalah demi untuk api.

Kasih sayang Allah mengatasi KemurkaanNya.  Kerana CintaNya itu,  kita dizhohirkan.  Tujuan itu tidak dapat direalisasikan(disedari) jika sifat-sifat basyariyah kita tidak dibersih,  dicuci,  diubah dan dicanai terlebih dahulu.

Tanpa keinginan selera,  darah dan daging tidak tumbuh.  Kalau tidak tumbuh apa yang hendak di "makan"  oleh Cinta Ilahi itu?.  Engkau akan dicuci,  dibersih,  dicanai,  barulah boleh mencapai Martabat Keruhanian Yang Tinggi.
 


Engkau adalah sebahagian dari awan,  matahari dan bintang.  Kemudian engkau jadi hidup,  tindakan,  perkataan dan fikiran,  melalui perubahan,  peralihan yang semestinya diiring oleh penderitaan,  kesusahan dan kesengsaraan.

Oleh itu benarlah kata-kata Sufi yang Syahid,  al-Hallaj yang mengatakan;

"Bunuhlah aku wahai sahabat!!!.  Dengan mati itu akan akan hidup yang lebih baik".

Hidup baru mengganti hidup yang sekarang ini;  dan hidup itu adalah lebih baik dan lebih indah dari hidup yang sekarang.



Dan betapa bermaknanya Firman Allah Taala;

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,   (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Asy-Syar-h;  5,6)
 
 
 

12.30 pm 10.06.2000 / 07 Rabiul Awal 1421

 
Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH