Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Magrib Hari Khamis ( 03. 02. 2000 / 27 Syawal 1420)

Kenderaan Hati Dan Asror
Ke Pengajian Terdahulu

Sambungan keterangan Tok Pulau Manis lanjutan dari Pengajian yang lalu

Maka apabila dikehendaki Nya,  bahawa dibukakan bagimu kepada segala medan ghuyub.  Maka didatangkan atasmu Warid.  Maka dikeluarkan engkau daripada penjara[wujudmu].  Dan barangsiapa lepas ia daripada tempat yang picik(sempit) ini,  maka sanya berbahagialah ia atasnya yang sebenar-benarnya.

Keterangan Suluk

Apabila Allah dengan Sifat Pemurah dan Maha Kasih Sayang terhadap hamba-hamba pilihanNya menghendaki melimpahkan rahmat kurniaNya,  maka akan dibukakan kepada hamba pintu alam ghaib(medan ghuyub)  yang hanya boleh dicapai dengan kebersihan dan kejernihan mata hati.   Cara kehadirannya ialah dengan mencampakkan Warid Makrifat Rabbaniyah yang akan membebaskan hamba daripada kurungan penjara wujud dirinya kepada bebas berterbangan ke alam ghaib;   tempat terhimpun segala perbendaharaan yang tersembunyi serta rahsia-rahsia Ketuhanan.  Sesungguhnya barangsiapa yang terlepas bebas dari takluk tempat yang picik dan sempit ini iaitu bebas dari pengaruh nafsu syahwat dan kecenderungan kepada bersandar kepada dunia atau makhluk,  maka berolehlah ia akan  nikmat dan bahagia yang sebenar-benarnya.

Dengan ini fahamlah kita bahawa ketenangan jiwa,  kebahagiaan diri yang ingin dicapai oleh kebanyakan orang di dalam dunia ini,  bukanlah dengan harta benda yang melimpah,  bukanlah dengan pangkat dan kuasa yang tinggi,  bukanlah dengan bersantai di tempat-tempat pelancongan yang tersohor,  tetapi bahkan adalah dengan pembebasan diri dan jiwanya dari kekangan nafsu syahwatnya dan  kurungan penjara wujud dirinya.  Adalah sesuatu yang mengelirukan seorang yang mendakwa memburu kebahagiaan yang hakiki tetapi dalam masa yang sama sibuk memburu dan mengejar pangkat dan wang ringgit.  Dan adalah sesuatu yang menghairankan seorang yang ingin bebaskan dirinya dari kecenderungan nafsu syahwat,  tetapi dalam masa yang sama mengharap-harapkan karamat,  menjadi Wali atau mendapat balasan Syurga.

Demikianlah berakhirnya keterangan berkaitan dengan Kalam Hikmah yang berkaitan Warid Makrifat Rabbaniyah yang telah dibincangkan daripada beberapa pengajian yang lalu.  Seterusnya Tok Pulau Manis mendatangkan pula Kalam Hikmah yang selanjutnya sebagai menjelaskan pula perihal faedah dan manfaat yang diperolehi dari  kehadiran Warid tersebut.

Sambungan keterangan Tok Pulau Manis seterusnya

Barangsiapa sah baginya  segala ahwal ini (yakni lepas bebas dari penjara dan tempat picik),  maka bersungguhlah baginya berjalan atas kenderaan Anwar kepada Hadirat Asror seperti kata Muaalif;  Sheikh Ibnu  Athoillah As Kanddari RA.
 

"Bermula segala Nur itu kenderaan segala hati dan kenderaan segala rahsia".

Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Bermula segala Nur itu kenderaan segala hati kepada Hadirat Tuhan Yang Mengetahui segala yang ghaib dan kenderaan segala rahsia kepada Hadirat Tuhan Yang Amat Kuasa dengan kenyataan Ilmu Laduni.

Dan Qalbun itu isyarat kepada permulaan Akal yang jatuh ia atas Jamal Ilahi pada awal nazhor(tilik) dan Sir itu batin Qalbun yang kesudahan nazhor kepadanya(Sir) segala Haqaiq yang didatangkan atasnya,  maka tahqiqlah dengan JalalNya.

Keterangan Suluk

Kalam Hikmah serta keterangan di atas  mempertemukan kita dengan istilah seperti  "Nur"  atau "Anwar" dan "Sir" atau "Asror" atau rahsia.  Sebenarnya Anwar atau Nur seperti yang terungkap di atas adalah juga yang dimaksudkan dengan Warid seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.   Tidak ada bezanya dari segi maksud dan kehendak kenyataannya.    Sebagai menunjukkan sifatnya yang aktif maka Warid itu dinamakan sebagai Nur yang terdiri dari

Dikatakan sifatnya yang aktif kerana dengan hadirnya Nur ini,  maka ia akan menyuluh,  menerangi dan menunjuki hati hamba itu menuju kepada Hadirat TuhanNya.   Dengan itu fahamlah kita akan maksud Bermula segala Nur itu kenderaan segala hati kepada Hadirat Tuhan Yang Mengetahui segala yang ghaib di mana maksudnya adalah untuk menyatakan bahawa Nur itulah yang akan "membawanya" untuk sampai kepada Allah(Wasil ilaLlah) Yang Membukakan mata hati hamba untuk melihat dan menyaksikan segala sesuatu yang ghaib sekadar yang diKehendakiNya.

Selain itu Nur itu jugalah adalah sebagai   kenderaan segala rahsia kepada Hadirat Tuhan Yang Amat Kuasa dengan kenyataan Ilmu Laduni  yakni yang menjadi anak kunci untuk membukakan segala Rahsia dirinya dan Rahsia TuhanNya dengan kenyataan Ilmu Laduni.  Ilmu Laduni ini adalah ilmu yang diperolehi tanpa belajar.  Datangnya adalah terus dari Allah tanpa pengantara;  dan  dicampakkan  ke dalam Qalbu hamba untuk menerima sesuatu rahsia di alam ghaib.

Seterusnya Tok Pulau melanjutkan keterangannya berkaitan dengan "Qalbun" dan perbezaannya dengan maksud  "Sir"  melalui ungkapan  Qalbun itu isyarat kepada permulaan Akal yang jatuh ia atas Jamal Ilahi pada awal nazhor(tilik) yakni Qalbun atau hati itu adalah isyarat yang merujuk kepada maksud Akal bagi menunjukkan  sebagai tempat jatuhnya permulaan atau pengenalan pertama kepada kesedaran akan Keindahan Pemerintahan Allah Taala.   Dikatakan juga sebagai Akal sewaktu dalam permulaan tilikkan hati seorang hamba kepada kewujudan TuhanNya.  Dengan kata lain,  ianya dinamakan Akal sebagai maksud  untuk menunjukkan kepada tempat pertama tercetusnya pengenalan dan kesedaran terhadap Allah yakni melalui berfikir atau tilik kepada kejadian dirinya serta tilik kepada alam di sekelingnya.  Ini adalah kerena dengan fikirannya seorang hamba dapat mengesahkan bahawa wujudnya dirinya serta  alam ini adalah tanda dan dalil kepada Zat Yang Wajibal Wujud.  Akalnya tidak akan dapat menerima kenyataan bahawa alam ini wujud dengan tiada Yang Menjadikannya.  Akalnya juga akan menghukum bahawa Allah itu Zat Yang Terkaya(Istigna') dari tiap-tiap sesuatu dan berhajatnya sesuatu itu kepadaNya(Iftikor).  Tegasnya Qalbun dalam peringkat pertama penerimaan Nurnya disebut sebagai Akal, manakala pada peringkat terakhirnya atau batinnya disebut sebagai Sir.   Sebenarnya;

adalah bersalah-salahan  makna mafhumnya dan bersamaan makna pada hakikatnya.  (Sila lihat petikan dari Kitab Sira SSalikin karangan Al-Arif biLlah Sheikh Abdul Samad Al-Falambi yang membicarakan tentang perkara ini)

Pada peringkat batinnya,  Qalbun ini dinamakan pula sebagai Sir.  Adapun  makna Sirrun itu seperti kata  Sheikh Qasim Khan pada kitabnya yang bernama "Siirul Suluuki Ila Maliki Muluk" yang bermaksud;

"Bermula Sirrun itu suatu yang halus yang  bangsa  Rabbaniyyah dan iaitu di dalam batin Ruh {atau Qalbu atau Akal}"

dan kata  setengah ulama sufiah adalah makna sirrun itu ialah;

"Perkataan yang tersembunyi yakni percintaan atau perjanjian yang khofi(tersembunyi) pada batin ruh(Qalbun) tergerak-gerak yang ghaib dan tempat musyahadahnya itu  Alam Malakut serta Haq Taala sekira-kira adalah ia mendengarkan Kalam Allah pada tempat yang berlaku segala  sifat Allah Taala di dalam ghaib dan tiada dapat melihat akan Dia"

dan tidaklah jauh bezanya keterangan mengenai Sir ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Tok Pulau di atas sebagaimana; dan Sir itu batin Qalbun yang kesudahan nazhor kepadanya(Sir) segala Haqaiq yang didatangkan atasnya,  maka tahqiqlah dengan JalalNya. yakni  kesudahan atau puncak tertinggi  nazhor  yang dapat menyaksikan dan merasai akan segala hakikat yang didatangkan kepadanya adalah tidak lain hanyalah sebagai penzhohiran atau kenyataan Wujudnya Keagungan TuhanNya Yang Maha Mulia.  Maka tahqiqlah atau teguhlah pengakuannya,  penyaksiaannya dengan JalalNya Allah Taala itu.  Fahamlah ia dan mengertilah ia akan makna kehampiran dengan Allah itu dan lain-lain hakikat yang bersangkutan denganNya yang hanya boleh ditanggapi dengan Sir ini..

Sambungan keterangan Tok Pulau Manis seterusnya

Maka barangsiapa terbit Nur dalam hatinya,  maka berjalan ia atas kenderaan fahamnya;  dan barangsiapa terbit dalam Sirnya,  maka berjalan ia dengan kenderaan Ilmunya(Laduni);  dan barangsiapa tiada dijadikan Allah baginya Nur,  maka tiadalah baginya daripada Nur.

Keterangan Suluk

Setelah difahami maksud dan perbezaan antara Qalbun(hati) dan Sir,  maka keterangan selanjutnya menerangkan pula mengenai tahap kesedaran yang dimiliki olehnya.   Jika seseorang itu didatangkan Nur seperti Nur Tauhid, atau Nur Iman,  atau Nur Islam atau Nur Makrifat,  maka Nur ini akan menjadikan jiwa atau hati itu dapat memahami dan membezakan mana yang jahat dan mana yang baik,  mana yang batil dan mana yang hak,  atau mana yang bersifat mazmumah dan mana pula yang bersifat mahmudah.  Kefahaman dan kesedaran ini pula akan memberikan kesan-kesan kepada anggota badannya dengan menerbitkan amal-amal ibadat yang benar dan peribadi yang tingg seperti mana yang terzhohir pada Ambiya',  Mursalin,  Aulia Allah dan orang-orang Sholihin.

Dan jika seseorang itu dibukakan kepadanya Nur Makrifat dalam Sirnya atau batin Qalbunnya,  maka Nur ini akan membimbing dan membawanya kepada menjejaki Alam Hakikat dengan kenyataan-kenyataan dari Ilmu Laduni.  Ilmu Laduni inilah yang akan menyempurnakan jiwa dan peribadi seorang hamba yang menerimanya dengan yang menjadi perhiasan dan pakaian Ambiya',  Mursalin,  Aulia Allah serta para Sholihin.  Antara kesan atau tanda-tanda mereka yang punya Ilmu Laduni ini ialah mereka mampu mentafsir rahsia-rahsia batin Kalam Allah dan Hadis Rasulullah di malah mampu memberi keterangan dari ilmu-ilmu yang tidak pernah diketahuinya;  samping dapat menungkapkan kata-kata berhikmah yang mempunyai maksud yang dalam dan mendidik jiwa orang yang mendengarnya.  (Sila lihat keterangan dan perbincangan yang agak lanjut dalam tajuk  Ilham dalam Karya Ilmu Terus Dari Allah).

Dan amat malang sekalilah bagi jiwa atau Qalbun yang tidak mendapat Nur-nur seperti di atas.  Ini adalah kerana tanpa Nur,  tentu sahaja pengganti yang akan mengisi hati atau jiwa hamba itu ialah Zulumah atau kegelapan yang terdiri dari kejahilan,  kesesatan,  syirik,  kelalaian,  serta sifat-sifat yang mazmumah seperti tamak,  rakus,  cintakan dunia,  cintakan kemegahan dan pangkat,  takkabur,  sombong,  riya,  ujub dan sebagainya.  Jauh sekalilah perbezaan antara mereka yang memiliki Nur dan yang tidak memiliki Nur ini kerana ianya akan terjelma kepada sifat dan keperibadiannya yang zhohir ini.  Mungkin firman Allah di bawah boleh membuka minda kita untuk memahami maksud perbincangan di atas.

"Allah cahaya langit dan bumi.  Perumpamaan cahayaNya itu laksana sebuah Misykaat;  di dalamnya ada lampu.  Lampu itu di dalam sebuah kaca.  Kaca itu laksana bintang yang gemerlapan. Dipasang dari sebatang kayu yang beroleh berkat, iaitu (minyak) pohon zaitun, tidak timur, dan tidak barat.  Hampir sahaya minyak itu bernyala-nyala walaupun ia belum disentuh oleh api. Cahaya Atas Cahaya". (Surah An-Nur: 35)

"Tetapi bagi orang-orang kafir, perbuatan mereka itu adalah ibarat kegelapan yang bertimbun-timbun di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan ombak di atas awan gelap, Gelap di atas Gelap, sehingga jika seseorang menjulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu.  Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak beri cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya".
 

Sambungan keterangan Tok Pulau Manis seterusnya

Dan apabila Nur itu kenderaan kepada Haq yang menanggung kepadaNya,  maka tiadalah menanggung atasnya sesuatu daripada yang batil;  dan tatkala ada Nur itu serta dengan hati kepada tempat yang disahajakannya(tuju kepada Allah),  maka diumpamakan sekali(kadang-kadang) dengan  kenderaan dan sekali(kadang-kadang) dengan tentera seperti kata  Sheikh Ibnu Athoillah As Kanddari RA.

Keterangan Suluk

Apabila telah difahami bahawa Nur itu adalah sebagai kenderaan hati yang menyampaikan maksud tuju hati kepada Allah Taala yang menjadikannya,  maka mengertilah kita tentu sekali  bahawa tidak akan membawa bersama hati yang diterangi Nur itu perkara-perkara yang batil (bukan haq) dan yang menyalahi perintah dan amanah Allah.

Dan apabila tempat Nur itu berserta dengan hati untuk ke Hadirat TuhanNya,  maka kadang-kadang diumpamakan hati itu sebagai kenderaan dan kadang-kadang pula sebagai bala tentera yang akan mengawal dan menjagainya dari serangan anasir-anasir yang jahat sebagaimana kata Kalam Hikmah yang seterusnya;
 

Bermula Nur itu tentera Qalbun seperti bahawa Zulumah itu tentera Nafsu

Sambungan keterangan Tok Pulau Manis seterusnya

Dan adalah Nur itu iaitu Nur Makrifat dan Haqaiq yang beroleh faedah daripada segala Ma'ani Asma dan sifat tentera Qalbun.

Keterangan Suluk

Bersambung dalam pengajian yang seterusnya di bawah Tajuk Tentera Qalbun atau Hati.

Allahu Allah.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar