Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Magrib Hari Khamis ( 24. 02. 2000 / 18 Zulka'edah 1420)

PERANG ANTARA NUR DAN ZULUMAH
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Maka apabila cenderung hatinya kepada amal yang dipuji dan nafsunya kepada amal yang dicela,  maka berperanglah keduanya itu.  Maka segeralah Nur iaitu daripada Rahmat kepada menolong hati  dan  zulumah iaitu iaitu daripada waswas syaitan kepada menolong nafsu.  Dan berdirilah shaf berperang antara keduanya itu.

Keterangan Suluk

Mengikut keterangan guru Suluk,  maksud cenderung hatinya kepada amal yang dipuji ialah amalan hati yang terpuji yang sanggup untuk menanggung segala kesusahan,  kepayahan,  kepenatan  dan kesulitan di dunia ini tetapi yang akan mendapat lazat  dan kesenangan di hari kemudian.
Hati yang cenderung kepada amalan yang terpuji ini sentiasa Istiqamah dalam mujahadahnya  melintangi nafsunya yang jahat seperti inginkan kesenangan sehingga sanggup ia zuhud dengan dunianya.

Inilah kedudukan dan pendirian hati yang sentiasa  cenderung hatinya kepada amal yang dipuji .

Sebaliknya nafsu syahwat memupunyai pendirian dan kecenderungan yang berbeza.  Mengikut guru Suluk,   cenderung nafsunya kepada amal yang dicela ialah keadaan sifatnya yang sentiasa ingin bersedap-sedap,  berlazat-lazat dan bermulia-mulia tanpa memikirkan azabnya di hari kemudian.

Demikianlah antara gambaran kasar kecenderungan nafsu yang ada pada seorang hamba.

Perlu diingat,  ianya bukanlah terhenti kepada orang awam yang banyak lalainya tetapi masih tetap subur pada mereka yang khas; yang terdiri daripada mereka yang beramal dan yang berjalan kepada Allah Taala.  Cuma wajahnya dan pendekatannya sahaja yang lebih licik dan tersembunyi.   Antaranya ialah seperti riya dan ujub dengan amalan dan kebolehannya dalam melaksanakan perintah Allah.  Pendek kata bayangan kecederungan ada sahaja di mana-mana dimensi dan sentiasalah ia akan cuba menyempurnakan maksudnya kepada yang tercela.

Maka berperanglah antara hati yang terpuji dan nafsu yang tercela ini.   Di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.

Maka jika ada rahmat dan pertolongan Allah,  maka berdirilah Nur pada hati hamba yang akan membantunya untuk berhadapan dan mematahkan serangan nafsu yang terdiri dari tentera  zulumah yang terdiri daripada bisikan dan waswas syaitan.  Contoh yang agak menarik oleh guru suluk bagi menggambarkan wajah peperangan antara dua tentera ini ialah;
 
  1. Pada tahun ini,  hati berhajat untuk menyempurnakan Qurban yang paling sempurna dengan hasrat untuk mensedekahkan  dan menghadiahkan kesemua daging Qurban itu kepada mereka yang berhak tanpa sedikitnya pun untuk dimakan olehnya.
  2. Nafsu datang menyerang hajat dan hasrat yang mulia itu dengan bisikan dan waswasnya dengan berkata;  "Tidak salah jika ambil sedikit untuk bahagian kita atau  di waktu inilah kita boleh adakan jamuan di rumah kita agar ramai saudara-mara dan sahabat-handai berkunjung ke rumah kita nanti."  Yang lebih teruk lagi ialah smpan sahaja daging itu dalam peti ais untuk bekalan selepas raya nanti.
  3. Di tempat lain pula,  nafsu ini mungkin menjelma dalam wajah yang elok dan terpuji pada permulaannya tetapi punya maksud yang lebih jahat daripada yang disangkakan.  Nafsu mungkin bersiasah dengan menggemarkan seorang hamba membanyakkan ibadat dan menyuntikkan "Ajib"(takjub dengan kehebatan) dengan melihat dirinya banyak beribadat dan beramal kepada Allah.
  4. Hati kata ianya adalah limpahan Allah.
  5. Nafsu pula berkata jarang manusia yang boleh beribadat seperti engkau.
  6. Hati kata masih ramai lagi hamba-hamba pilihan Allah.
  7. Nafsu berkata lagi kamu patut berbangga dengan kelebihanmu daripada kebanyakan manusia.
Pendek kata,  serntiasalah berhujah dan berperang antara dua tentera ini.
 

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Maka apabila terdahalu pada azali berbahagianya,  maka beroleh petunjuk hatinya dengan Nur dan mengerjakanlah ia pada yang dicenderunginya;  atau telah terdahulu pada azali celakanya,  maka lalailah hatinya dan membutakan Zulumah itu akan dia dan terdayalah ia dengan lazat dunia dan mengerjakan ia dengan cenderung nafsunya.

Keterangan Suluk

Seterusnya sebagai memperlanjutkan perihal tentang peperangan ini,  Tok Pulau Manis mendatangkan perkataan azali  dalam keterangannya sebagai maksud apabila telah ditentukan dalam ILMU dan IRADATNYA YANG QADIM lagi bahawa hamba itu mendapat bahagia,  maka dipancarkanlah petunjuk hatinya dengan Nur Taufik dan HidayahNya untuk hati itu berbuat dan mengamalkan kecenderungannya yang asal.    Sebaliknya jika celaka yang diQada'kan,  maka akan lalai dan tewaslah hati dengan asakan Zulumah yang akan membutakan pandangan dan kefahamannya kepada yang terpuji.   Berbungkuslah hati itu dengan kecenderungan untuk mencapi kelazatan dunia yang sementara dengan berbagai-bagai sifat nafsu yang rendah lagi tercela.

Sungguhpun demikian,  tidaklah sama rupa ,  keadaan,  wajah dan medan peperangan ini antara seorang hamba dengan seorang hamba yang lain.  Ianya berbeza-beza mengikut hal-ahwal atau kedudukan seseorang itu.   Untuk menjelaskan perkara ini,  kita ikuti;

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Dan kata Imam Ghazali r.a;

Adalah bagi manusia dalam mujahadah hawa nafsunya itu dengan beberapa ahwal.

Keterangan Suluk

Kita halakan fokus perbincangan kepada ahwal golongan yang ketiga kerana yang pertama dan yang kedua itu memang selalu kita jumpa dan mudah untuk ditemui dalam kehidupan seharian kita.  Golongan yang ketiga yang ingin dimaksudkan oleh Imam Ghazali ialah golongan orang-orang Sholihin,  Aulia-Aulia Allah,  Para Nabi dan Para Rasul.  Mereka ini adalah golongan yang telah berjaya melemahkan dan menundukkan kerakusan hawa nafsu dan syaitan malah menjadikan nafsu syahwat ini sebagai kuda tunggangan atau hamba abdi mereka.  Mereka adalah tuan yang memerintah atas nafsunya untuk mengerjakan dan mengamalkan sesesuatu yang terpuji.

Pendek kata tidak ada lagi ruang untuk nafsu yang nyata atau yang tersembunyi menjengukkan kepalanya atau mengambil ruang dalam tindakannya,  malah semata-mata bebas dan merdeka dari kecenderungan dan perhambaan kepadanya.  Mereka adalah Raja Yang Berkuasa,  Tuan yang memerintah ke atas nafsunya dan merdeka yang sempurna dari  tambatan nafsunya.  Inilah antara tempat tuju golongan tasauf yang mengamalkan ilmu ini;  iaitu untuk menjadi merdeka dn raja yang menguasai.

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Dan ketahui olehmu bahawasanya Daairatul Malakah Al-Insaniayah itu berhimpun bagi segala bahagi lawannya daripada Nur dan Zulumah dan Kufur.  Maka lawan Akal itu Nafsu;  dan daripada tentera Akal itu Malaikat dan daripada tentera Nafsu itu Syaitan dan tiap-tiap satu firqah itu seteru bagi yang satu dengan berserta Wa Thobi'at.

Keterangan Suluk

Yang dimaksudkan dengan Daairatul Malakah Al-Insaniayah  ialah pusingan daerah(hal-ahwal) sifat-sifat kemanusian yang sentiasa membayanginya.  Pusingan kehidupan di dunia ini adalah terdiri dan yang terhimpun dari dua pihak lawan iaitu antara Nur Yang Haq dan Zulumah  beserta kufur.    Masing-masih sifat asa musuhnya yang tersendiri.  Akal yang benar lawannya ialah Nafsu yang jahat.  Jika tentera Akal terdiri daripada Malaikat,  maka tentera nafsu pula ialah Syaitan.   Demikian juga jika hati ingin menilik kepada tempat yang tinggi dan mulia ,  maka nafsu pula suka menilik kepada tempat yang rendah dan hina.   Dengan demikian,  maka tiap-tiap firqah atau puak itu berlawan dan berseteru dengan tabiat dan kecenderungannya yang tersendiri.
 

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya

Maka kerana demikian itu berperang antara kedua itu kalah menang dan adalah medan berperang itu hati dan tak dapat tidak(mesti) bahawa lari di salah satu daripada dua askar itu.  Maka alamat beroleh kemenangan itu sentiasa terang Nur Anwar,  dan alamat beroleh kalah itu bertindih-tindih gelap dengan segala rupa agyar.

Keterangan Suluk

Bila berperang dan berlawan,  maka akan adalah salah satu yang akan menang dan yang tewas.  Kadang-kadang menang Nur dan kadang-kadang menang nafsu.  Adapun gelanggang atau medan peperangan itu ialah hati.  Oleh kerana hati itu cuma satu,  maka tidak dapat tidak dalam satu masa,  hanya yang menang sahaja boleh menetap dan mendudukinya.

Antara dalil atau tanda-tanda yang menunjukkan hati itu menang ialah sentiasa terang hatinya dengan Nur Anwar yang membimbing dan menunjukkinya kepada yang Haq.

Antara alamat beroleh kalah itu(ialah) bertindih-tindih gelap dengan segala rupa agyar dengan maksud tanda-tanda hati yang ditundukkan oleh hawa nafsu ialah mereka yang hanya akan memikirkan keseronokkan dan kelalaian dunia ini semata-mata.  Bertindih-tindih gelap itu ialah bertindih-tindih kerakusannya,  tebal  kejahilannya dan luas lingkungan lalainya kepada kelazatan dan keseronokan dunia yang hina ini.  Orang yang begini hanya akan memikirkan kesenangan dan keseronokan dunia semata-mata tanpa memperdulikan amalan-amalan untuk dibawa bersamanya apabila mati nanti.  Jauh sekali mereka ini untuk mendapat dan mencium bau adan aroma makrifatullah di dunia.

 Keterangan Tok Pulau Manis. selanjutnya
 

Bermula Nur itu baginya membukakan daripada Hakikat segala perkara dan mata hati itu baginya Hukum akan yang telah nyata baginya  daripada yang baik atau yang jahat.

Keterangan Suluk

Bersambung dalam Pengajian yang berikutnya .......Nur Yang Membukakan Hakikat.

Allahu Allah.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar