"Dan tiadalah mereka disuruh melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama kepadanya."[Surah Al-Bayyinah;5]
Rahsia Ikhlas |
Perbincangan seterusnya adalah sebagai usaha untuk mengetahui apa itu rahsia ikhlas berdasarkan petikan-petikan di bawah yang telahpun disinggung sepintas lalu dari tulisan-tulisan sebelum ini.
"Bermula ikhlas itu satu rahsia daripada rahsia aku, aku taruhkan ia dihati hamba yang aku kasihi daripada hamba-hamba ku."
Akulah yang melihat isi hatinya, dan tidak akan samar kepadaKu setiap apa pun yang samar, tidak akan tersembunyi bagiKu setiap apa pun yang tersembunyi.
"dan tidak bisa selamat dari tenggelamnya di lautan ini kecuali dengan Penglihatan dan TaufikNya dan Inayat daripadaNya.
Berkata Imam Ghazali dalam yang dipetik dari Kitab Siras Salikin
Ketahui olehmu bahawasanya tiada dapat kemenangan manusia itu di dalam akhirat melainkan dengan ILMU DAN AMAL yakni ibadat.
Tujuan Iman Ghazali menghimpunkan tiga perkara ini adalah kerana himpunan itu melengkapi maksud kesempurnaan ibadat. Dalam erti kata lain, apabila kita bercakap tentang ikhlas, maka kita tidak boleh lari dari memperkatakan tentang niat kerana niat itulah nanti yang perlu berikhlas. Demikian pula sekiranya diabaikan kaitan sidiq dengan ikhlas, kita tidak akan bertemu dengan hakikat kesempurnaan ikhlas. Oleh itu kita perlu mengetahui terlebih dahulu
apa itu hakikat niat?
apa itu hakikat ikhlas? dan
apa itu hakikat sidiq?
1. Niat dan hakikatnya
Kata Sheikh Abdul Shomad Al-Falambi (Pengarang Kitab Sira Salikin)
Bahawa sesunguhnya niat itu tiada masuk ia di bawah ikhtiar(kuasa pilihan kita) dan hanyasanya niat itu adalah kehendak yang tetap di dalam hati yang membangkitkan ia akan perbuatan amal yang zhohir dan menggerakkan ia akan perbuatan yang zhohir. Sekira-kira jikalau tiada niat dalam hati nescaya tiada ada jua amal yang zhohir itu. Kerana inilah amal yang zhohir itu mengikut ia akan niat di dalam hati. Jika baik niatnya baiklah amalnya sebaliknya jika jahat niatnya di dalam hati jahatlah amal yang zhohir itu.
Barangsiapa mengajar ilmu di dalam mesjid maka gholib(kebiasaannya) di dalam hatinya berkehendak kerana dunia (masyhur,pandai, bijak,gaji dsb) maka berkata ia dengan lidahnya "Sahaja aku mengajar ilmu ini kerana Allah Taala" maka tiada niatnya itu kebajikan kerana Allah kerana perkataan itu menyalahi akan kehendak yang tetap di dalam hatinya. Inilah makna kata Imam Ghazali "Bermula niat itu tiada dapat diusahai dengan ikhtiar" kerana makna niat itu Kehendak yang tetap di dalam hati itu.
Ada satu peristiwa di mana seorang guru Sheikh Thowas rahimallahi Taala dipinta oleh seseorang untuk mengajar Ilmu Hadis, maka enggan ia mengajar orang itu. Maka bertanya orang itu kenapa Sheikh tidak mahu mengajarkan ilmu itu. Maka jawabnya; "Apabila hadir di dalam hatiku niat bagi Allah Taala nescaya aku akan mengajar ilmu itu". Maknanya sheikh itu sentiasa menjaga amalnya supaya selari dengan niatnya. Jika niat/kehendaknya tertuju kepada selain daripada Allah, maka beliau tidak akan melakukannya walaupun baik. Ini adalah kerana beliau tidak mahu mendapat laknat dari Allah seperti yang tersebut di dalam hadis Mu'adz sebelum ini.
Persoalanya kini apakah yang mempengaruhi kehendak yang tetap di dalam hati???
Berkata Imam Ghazali semasa memberi takrif tentang hakikat niat itu dengan katanya:
Bahwasanya niat dan iradat(kehendak) dan Qasad yang di dalam hati itu adalah ibarat yang didatangkan atas makna yang satu iaitu Sifat kelakuan bagi hati yang meliputi akan dia oleh dua perkara iaitu "ILMU DAN AMAL"
Adalah ilmu yang diniatkan bagi itu seperti Mukaddimah dan Syarat dan adalah amal itu mengikut ia akan ilmu. Dengan kata lain adalah niat itu ibarat daripada iradat yakni Qasad yang didalam hati menengahi antara ilmu yang dahulu itu dan amal yang lagi akan datang(menyusul). Misalnya seperti seorang yang mengetahui suatu kebajikan(seperti menolong orang) maka bangkit cita-citanya di dalam hatinya berkehendak mengerjakan sesuatu (pertolongan). Inilah niat. Maka mengamalkan seorang itu akan amal itu atas muafakat ilmunya yang dahulu mengerjakan akan dia kudrat.
Dengan itu maka adalah tiap-tiap ibadat yang dhohir itu terupa dengan tiga perkara iaitu
Jika kita memahami perbincangan dari makna dan hakikat niat ini, maka jelaslah pada kita bahawa niat itulah kecenderungan kehendak yang tercetus dari ilmu tentang kebajikan yang ditujukan kerana Allah. Pengetahuan tentang kebajikan kerana Allah adalah pengetahuan yang haq dan diredhoi Allah. Namun kita perlu ingat walaupun niat itu asalnya/bermula dari ilmu dan kehendak yang baik tetapi ia juga termasuk ke dalam hukum sesuatu yang boleh dicampuri oleh sesuatu yang lain sebagaimana kata Imam Ghazali ketika menerangkan hakikat ikhlas.
2. Hakikat Ikhlas
Ketahui olehmu bahawasanya bagi tiap-tiap sesuatu itu tasawur (terbuka/terdedah) mencampuri akan dia oleh sesuatu yang lain. Maka apabila suci ia daripada suatu yang mencampuri; itu dinamakan KHOLIS{bersih} dan dinamakan perbuatan orang yang menyucikan itu IKHLAS seperti firman Allah dalam Surah An-Nahl:66 yang bermaksud:
"Di antara tahi dan darah - didapati - susu yang bersih dan sedap ditelan oleh orang-orang yang meminum".
Sesungguhnya kebersihan susu itu bahwa tiada ada di dalamnya campuran dari darah dan tahi dan dari setiap apa yang mungkin bercampur dengan dia.
Demikian lagi apabila seorang menyucikan amalnya itu dari 'Ajib, Riya, Kasih akan dunia, hasad, takabbur dan barang sebagainya daripada segala maksiat didalam hati maka tiada qosadnya berbuat itu melainkan semata-mata kerana Allah Taala. Oleh itu kebersihan atau ikhlas itu berlawanan dengan isyrak (persekutuan). Maka siapa yang tiada ikhlas maka dia itu menyekutukan Allah. Oleh itu ikhlas pada tauhid itu berlawanan dengan penyekutuan pada Ketuhanan. Adapun penyekutuan itu, sebahagiannya tersembunyi dann sebahagiannya terang. Demikian juga ikhlas. Maka ikhlas dan lawannya itu datang-mendatangi pada hati. Dan tempatnya itu hati. Dan adalah yang demikian itu pada maksud dan niat. Telahpun disebut sebelum ini akan hakikat niat di mana niat itu kembali kepada memperkenankan penggerak-penggerak. Manakala adalah penggerak itu satu semata-mata, nescaya dinamakan perbuatan yang terbit daripadanya itu dengan ikhlas, dengan dikaitkan kepada yang diniatkan. Maka dinamakan perbuatan mereka itu Ikhlas dan dinamakan amalnya itu Kholis dan dinamakan orang yang menyucikan amalnya itu orang yang Mukholis bagi Allah Taala.
Maka niat yang baik itupun tidak akan terlepas dari dicampuri oleh sesuatu yang jahat seperti Ujub, Riya, Kasih akan dunia, takabbur serta lain-lain daripada maksiat yang di dalam hati. Sifat-sifat Mazmumah ini adalah berasal dari nafsu syahwat dan sifat-sifat basyariah(kemanusiaan)dan Kejahilan. Dalam banyak keadaan dan masa kita manusia banyak dipengaruhi oleh sifat-sifat basyariah yang memang cenderung kepada nafsu dan syahwat walaupun dalam beribadat. Ia boleh menjelma dalam berbagai-bagai wajah yang baik berupa ibadat, taat, kebajikan pada lahirnya tetapi mengandungi tujuan yang jahat dan dusta dan kadang-kadang menjijikkan. Adat kata, tanpa rahmat dan pertolongan Allah seseorang itu tidak akan terlepas dari najis riya dan syirik. Ilmu yang ada kadang-kadang malah seringkali akan tunduk pada kemahuannya. Akal pula selalu saja tewas. Inilah kenyataan yang ada pada kita manusia. Sentiasa bergelumang dengan dosa maksiat dan penderhakaan kepada Allah.
Abu Ya'kub As-Susi berkata: "Ikhlas ialah tidak melihatnya ikhlas. Siapa yang menyaksikan pada keikhlasannya akan ikhlas, maka sesungguhnya keikhlasannya itu memerlukan ikhlas".
Apa yang disebutkan oleh Abu Ya'kub di atas adalah sautu isyarat kepada pembersihan amal dari Ujub dengan perbuatan. Bahawa memperhatikan kepada keikhlasan dan melihat kepadanya itu adalah satu keujuban(mengherankan diri). Dan ini termasuk dalam jumlah bahaya. Dan yang ikhlas itu ialah apa yang bersih dari semua bahaya. Maka ini kedatangan satu bahaya.
Ditanyakan kepada Sahal RA.: "Apakah yang paling berat atas diri?" Sahal RA. menjawab: "Ikhlas, kerana tiada bagi diri padanya itu 'keuntungan".
Abu Usman berkata: "Ikhlas ialah lupa melihat makhluk, dengan berkekalan memandang kepada Al-Khalik sahaja". Ini adalah isyarat kepada bahaya riya'.
Ibrahim Ak-Khowas berkata: "Barangsiapa meminum dari gelas keinginan menjadi kepala, maka ia telah keluar dari keikhlasan penghambaan diri kepada Allah (Ubudiyah).
Begitu rumit, tersangat payah dan betapa halusnya soal pembersihan(ikhlas) ini. Persoalanya adalah berkisar pada hati atau jiwa kita. Benarlah kata Imam Ghazali;
"dan tidak bisa selamat dari tenggelamnya di lautan ini kecuali dengan Penglihatan dan TaufikNya dan Inayat daripadaNya.
Ini adalah kerana Ikhlas itu adalah persoalan hati kita atau jiwa kita atau ruh kita. Bagaimana halus dan samarnya pengetahuan kita tentang ruh kita begitulah juga halus dan samar ikhlas ini. Hanya mereka yang hidup cahaya mata hatinya sahaja yang mampu melihat dan menyaksikannya. Hanya mereka yang hidup ruhnya sahaja yang akan mengenali makna sebenar hakikat ikhlas ini. Hanya mereka yang memiliki Ilmu Yang Haq(Adab Tasauf)sahaja yang dapat mengkholiskan(membersih/ikhlas)amalannya. Ini adalah tujuan mereka adalah untuk membersihkan(ikhlas) hati(diri) supaya bersih Tauhid mereka.
Dan ini adalah sebahagian makna yang tersirat di sebalik firman Allah Taala yang bermaksud:
"Bermula ikhlas itu satu rahsia daripada rahsia aku, aku taruhkan ia di hati hamba yang aku kasihi daripada hamba-hamba ku."
Akulah yang melihat isi hatinya, dan tidak akan samar kepadaKu setiap apa pun yang samar, tidak akan tersembunyi bagiKu setiap apa pun yang tersembunyi.
Siapakah yang dimaksudkan "dengan hamba yang aku kasihi" di dalam firman Allah di atas
Ikutilah perbincangan seterusnya tentang ikhlas ini dimana anda akan mengetahui siapakah hamba-hamba Allah yang istimewa itu dan terhurailah nanti makna ikhlas dan sidiq yang menjadi pakaian dan perhiasaan satu golongan manusia yang dikasihi oleh Allah. Selain daripada golongan ini, ikhlas yang diucapkan atau yang diperagakan adalah riya, syirik, dusta dan dakwaan semata-mata kerana ia tidak menjejaki hakikatnya sebagaimana Malaikat Hafadzah dan Malaikat penjaga langit yang ketujuh yang tertipu dengan kecantikan dan gahnya amal yang zhohir dari seorang hamba yang pendusta yang telah didedahkan oleh Allah Taala seperti hadis yang diriwayatkan oleh Mu'adz bin Jabal sebelum ini.
Perbincangan SeterusnyaKesempurnaan Ikhlas