Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam pada hari Khamis ( 20. 05. 1999 / 04 Safar 1420)

Yang Alim dan Yang Jahil

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Dan adalah redho daripada nafsu dan ketiadaan redho itu,  jadi ia daripada bersahabat dengan segala orang yang baik dan orang yang jahat kerana bahwasanya seseorang itu (dihimpunkan) di atas agama  kekasihnya (iaitu seseorang akan berkelakuan seperti orang yang rapat dan mesra dengannya).   Maka kerana demikian itulah berkata;

Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA.
 

"Sesungguhnya bersahabat engkau akan orang jahil yang tiada redho ia dengan nafsunya terlebih baik daripada bersahabat dengan orang yang 'Alim yang redho dengan nafsunya".

Keterangan Tok Pulau Manis

Bermula faedah bersahabat itu hanyasanya  untuk menambah dalam jalan (kepada Allah) dan tiada mengurangkan dalamnya.  Maka bersahabat dengan orang yang redho ia dengan nafsunya dan jikalau adalah ia 'Alim sekalipun [adalah] jahat semata-mata.

Dan tiadalah faedah dalamnya(bersahabat) kerana  bahawasanya ilmunya itu tiada memberi manfaat baginya dan jahilnya itu yang mewajibkan ia akan redho dengan nafsunya.  Maka jadilah memberi mudhorat akan dia kerana bahawasnya seolah-olah tiada ilmu kepadanya.

Keterangan Suluk

Melalui kalam ini kita akan mendapati bagaimana pandangan kaum sufi dalam memilih seorang sahabat.  Jika hubungan yang ingin dijalinkan dengan seseorang itu membuahkan hasil dan manfaat untuk meningkatkan hemah atau cita-cita sampai kepada Allah, maka ikatan persahabatan itu akan diteruskan kerana banyak membantu dan memberi faedah kebaikan untuknya.

Sebaliknya jika seseorang kenalannya itu memiliki sifat yang jahil dan sentiasa mengikut telunjuk hawa nafsunya, maka hubungan persahabatan itu akan memudhoratkan malah akan menghasilkan kejahatan dosa dan maksiat kerana bersengkokol dengannya.

Jahil yang dimaksudkan di sini ialah bukan mereka yang tidak tahu akan hukum halal haram, sah batal atau antara yang haq dengan yang batil. Alim atau berpengetahuan semata-mata tetapi tidak mengamalkan apa yang diketahui, malah menjadikan kelebihan ilmu itu untuk kepentingan syahwat dan nafsunya  bukanlah 'Alim yang sebenar. Malah sifatnya yang mengikut nafsu itu melenyapkan ke'alimannya menjadikan ia sebagai seorang yang jahil yang terlebih jahil daripada mereka yang tidak berilmu pengetahuan.  Mereka yang mengikut hawa nafsu hingga mengalahkan ilmu ini adalah golongan yang jahil mengikut pandangan ahli sufiah.  Walaupun memiliki ijazah atau PHD atau berkelulusan yang tinggi dalam bidang pengajian dunia atau pengajian akhirat.mereka masih dianggap tidak memiliki ilmu.
 

Berkata lagi Tok Pulau Manis;

Dan bersahabat dengan orang yang tiada redho ia dengan nafsunya itu dan jikalau ada ia jahil sekalipun (adalah) baik semata-mata dan dalamnya itu faedah kerana bahawasanya jahilnya itu tiada memberi mudhorat dan ilmu itu mewajibkan baginya tiada redho nya dengan nafsunya. Maka jadilah memberi manfaat baginya kerana bahwasanya apabila jahil baginya ilmu ini maka seolah-olah tiadalah jahil kepadanya.

Keterangan Suluk

Seterusnya Wali Allah ini menyarankan kepada salik agar berkawan rapat dengan mereka yang tidak mengikut hawa nafsu (bersifat mazmumah)  walaupun hamba itu seorang manusia biasa yang kampungan lagi jahil yang tidak mempunyai banyak pengetahuan yang tinggi-tinggi tentang agama.  Ini adalah kerana kejahilannya tidak akan merosakkan atau memberi mudhorat kepada perjalanannya malah akan memberi faedah dengan contoh hal-ahwalnya yang sentiasa tidak mengikut petunjuk hawa nafsunya. Tidak ikut hawa nafsunya yang jahat inilah sebenar-benarnya ilmu kerana perbuatan  mengingkari runtutan nafsu syahwat itu terbit dari hati yang sedar akan aib dan celanya mengikut keredhoan nafsu. Dengan sebab itulah Aulia Allah Tok Pulau Manis ini mendatangkan pula Kalam Hikmah yang seterusnya dari;

Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis;

"Maka mana ilmu yang memberi manfaat bagi yang 'Alim yang redho ia dengan nafsunya dan mana jahil yang memberi mudhorat bagi jahil yang tiada redho ia dengan nafsunya serta diketahuinya pada segala aibnya dan barang yang menghampirkan dia kepada TuhanNya. Maka ilmunya itu(hamba yang tidak redho dengan nafsunya) yang mewajibkan bagi ketiadaan redhonya dengan nafsunya. Maka jadilah ia dalam kesudahan manfaat.  Maka adalah dengan hasilnya ilmu nya itu tiada jahil kepadanya (orang yang tidak redho pada nafsunya)".

Keterangan Suluk

Kalam hikmah di atas cuba mendefinisikan konsep ilmu mengikut pandangan kaum sufiah.  Mengikut ahli sufi, tidaklah boleh dikatakan seseorang itu memiliki ilmu yang dapat memberi manfaat kepadanya sekiranya ia masih redho dengan nafsunya.  Walaupun seseorang itu mempunyai ilmu yang tinggi melangit tetapi jika masih bersifat rakus dan tamak dengan dunia serta lain-lain sifat mazmumah, orang 'Alim atau yang banyak ilmu itu sebenarnya masih jahil.

Sebaliknya tidaklah dianggap jahil seseorang yang kurang pengetahuan agamanya, tetapi sentiasa tidak meredhoi tuntutan hawa nafsunya.  Kejahilannya bukan sesuatu yang membahayakan dirinya atau orang lain kerana dia sedar dan tahu akan kejahatan nafsunya.  Sifatnya yang selalu menyanggah kehendak-kehendak nafsu itu menunjukkan bahawa ia memiliki kesedaran yang tinggi tentang aib-aib dirinya jika menurut hawa nafsunya serta mengetahui perbuatan dan amal yang boleh mendekatkan dirinya pada Allah

Inilah ilmu yang tersirat di dalam kejahilannya. Maka dengan ilmu dan pengetahuannya tentang kejahatan nafsu inilah yang mewajibkan dan memastikan dirinya untuk selalu tidak meredhoi kehendak nafsu yang tiada terbatas itu. Dengan itu, jadilah sifatnya yang selalu melentangi kehendak nafsu itu sebagai satu faedah dan manfaat yang berguna untuk dirinya dan orang lain yang hampir dengannya. Maka hasillah atau terbitlah satu ilmu yang amat berguna (di sisi kaum sufiah)  yang akan menafikan kejahilannya mengikut kebanyakan pendapat manusia yang tidak mengerti akan maksud sebenar 'Alim dan Jahil.

Berkata lagi Tok Pulau Manis;

Dan hanyasanya berbalik segala hukum kerana berbalik segala haqaiqnya kerana

hakikat jahil  itu;

dan inilah hal yang redho ia daripada nafsu. Inilah hal yang tiada redho atas nafsu.

Keterangan Suluk

Dari kata-kata di atas, jika difahami maka kita akan dapati;  hukuman atau ketentuan untuk menentukan makna sebenar 'Alim dan Jahil itu menjadi terbalik mengikut pertimbangan kaum sufiah ini.  Sebelum ini, kita sering mengangap bahwa orang yang banyak menghabiskan wang ringgit, usaha, tenaga dan usia dalam menuntut ilmu akan dikatakan sebagai seorang yang 'Alim. Tetapi berbeza dengan pandangan di sisi kaum sufiah. Sekiranya ilmu yang dipelajari itu tidak dapat menewaskan kerakusan nafsunya, maka orang ini masih dianggap jahil.  Sebaliknya yang tidak banyak menghabiskan masa untuk menuntut ilmu tetapi sentiasa menyanggahi kehendak nafsunya; mereka inilah yang sebenarnya ahli ilmu.

Sesungguhnya keadaan hukuman (pandangan) yang terbalik ini adalah berdasarkan kepada maksud asalnya iaitu;

Hakikat jahil  itu ialah lari daripada tuntutan yang haq dengan mengikut pada yang batil dan menghukumkan pada yang tiada sah.   Inilah hal yang berkaitan dengan yang redho ia dengan nafsu.  Ilmu banyak melaut sekalipun, tidak akan dikira kerana hakikatnya ia jahil melihat aib nafsunya

Adapun  hakikat ilmu itu ialah mengerjakan yang Haq dan menjauh pada segala yang batil dan mendatangkan pada tiap-tiap sesuatu  amalan atau perbuatan yang layak padanya.  Inilah hal yang menunjukkan hal seseorang yang tiada redho atas nafsunya.  Walaupu kurang ilmunya tentang tauhid ini, tetapi hal-ahwalnya berdasarkan kepada hakikat ilmu yang dapat melihat aib dan cela nafsunya.

Berkata lagi Tok Pulau Manis;

Dan kata seorang lelaki bagi Syu'bi;

"Hai orang 'Alim"

Maka katanya (Syu'bi);

"Diam engkau !!!.  Hanyasanya orang yang 'Alim itu orang yang takut ia akan Allah Taala".

Ini bermaksud jika banyak ilmu tapi tidak takut pada Tuhan.  Itu bukan dikatakan 'Alim namanya.

Dan kata Sufian At-Tsauri r.a.;

"Hanyasanya  diajari ilmu ini(Ilmu Tasauf) supaya (menimbulkan) ketakutan akan Allah dengannya dan

Hanyasanya dilebihkan ilmu itu atas lainnya kerana bahawasanya (menimbulkan) ketakutan akan Allah dengannya".

Dan kata Furqad Al Sanjiyu rahimallah'

Bahawasanya bertanya aku kepada Hasan Al-Bashori daripada suatu masalah (fekah).  Maka menjawab ia (masalah yang ditanya) akan daku.

Maka kataku (Furqad);

Bahawasanya segala fuqaha' (ahli-ahli fekah) itu menyalahi mereka itu akan dikau (iaitu jawapan yang diberikan oleh  Hasan Al-Bashori itu tidak sama dengan ahli-ahli fekah malah ianya lain dari yang lain)

Maka katanya (Hasan  Al- Bashori);

Adalah ketiadaan guru engkau hai Furqad.
Dan adakah melihat matamu fakeh? (iaitu adakah engkau ketahui apa itu sebenarnya fakeh?)

Hanyasanya fakeh itu iaitu (adalah mereka)

Dan sabda Nabi SAW.;

Terlebih sangat manusia itu disiksakan pada Qiyamat adalah orang yang 'Alim yang tiada memberi manfaat ilmunya (Riwayat Baihaqi daripada Abi  Hurairah r.a.)

Dan barangsiapa jahil ia kepada kejadian dirinya(aib , lemah,  fakir, dhoif, haqir, hina)  dan menyangka ia Alim (tahu dan lebih tinggi dari) pada (orang) lainnya,  maka iaitu terlebih sangat jahilnya.  Dan tanda jahilnya itu (ialah) redho daripada (tuntutan nafsu)nya pada hal melebihkan(mengutamakan) bagi dunianya.

Maka lazimkan(wajib) olehmu  bersahabat dengan orang yang menunjuk akan dikau atas kebajikan (daripada) segala katanya dan mendirikan akan dikau kepada  Allah Taala (pada) segala  pekerjaan.

Bersambung dalam pengajian yang seterusnya. Cahaya Mata Hati.

Allahu A'lam.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar