FAHAMAN-FAHAMAN TASAUF PALSU
DAN AJARAN SESAT
Perkataan tasauf, ahli sufi yang sering diperkatakan oleh masyarakat,
setakat mana masyarakat kenal ahli tasauf yang sebenar? Kita tidak tahu.
Oleh sebab itu kita lihat ramai orang terjebak dengan ajaran sesat yang
berselindung disebalik nama tasauf atau ahli sufi.
Ajaran sesat yang berselindung disebalik nama tasauf ini bukan pada
hari ini sahaja timbul, malah ianya timbul sebelum Imam Al-Ghazali lagi.
Apabila agama Islam tersebar luas keseluruh pelosok dunia dan bukan sahaja
disekitar negara arab sahaja malah ianya mencakupi disebelah Rom dan Parsi.
Kesan daripada itu berbagai kesan budaya telah menyerap masuk kedalam Islam.
Hasil daripada itu juga fahaman yang berasal dari budaya lain telah menyerap
masuk kedalam masyarakt Islam. Kesempatan inilah yang telah diambil oleh
musuh Islam untuk merosakkan Islam dengan orang Islam sendiri.
Dalam kitab “Tuhfah Al-Raghibin Fi Bayan Haqiqatu Iman Al-Mu’minin”
oleh ‘Alim Al-Fadhil Muhmammad Arshad telah menyatakan terdapat tiga belas
golongan fahaman salah yang berselindung disebalik nama sufi atau ahli
tasauf. Golongan ini layak digelar sebagai kafir atau fasiq. Kerana ajaran-ajaran
mereka bertentangan dengan ajaran Islam yang berpandukan Al-Quran dan sunnah
Rasulullah s.a.w. Golongan tersebut ialah:
Pertama: Habibiyyah, antara iktiqad golongan ini ialah:
-
Apabila seseorang itu telah sampai kepada martabat kasih kepada Allah,
maka terlepas dari taklif syara’. Segala yang haram menjadi halal bagi
mereka. Fardhu sembahyang, puasa dan sebagainya adalah harus bagi mereka
untuk mengerjakannya atau tidak.
-
Golongan mereka tidak perlu menutup aurat.
-
Apabila samapi ketahap yang paling tinggi sekali kasih kepada Allah segala
dosa besar seperti zina, minum arak dan sebagainya boleh mereka lakukan
dan tidak mendapat azab daripada Allah.
-
Segala ibadat zahir tidak perlu mereka lakukan dan mereka hanya perlu bertafakkur
sahaja untuk beribadat.
-
Harus bagi mereka untuk bersetubuh dengan segala perempuan.
-
Segala harta didunia ini adalah milik anak Adam. Dan kita semua adalah
dari keturunan anak Adam, jadi kita berhak segala harta yang berada di
muka bumi ini.
Kedua: Auliyaiyyah, antara iktiqad golongan ini ialah:
Apabila seseorang itu sampai kepada darjat wilayah, terlepas mereka
daripada segala suruhan dan larangan dan martabat wali lebih mulia dari
martabat nabi.
Ketiga: Thamrakhiyyah.
Golongan ini antara lain, iktiqad mereka ialah tidak lagi terikat dengan
suruhan dan larangan Allah. Golongan ini mengharuskan menyanyi dan segala
alat muzik. Mereka diharuskan untuk berzina dan sebagainya. Golongan ini
diasaskan oleh Abdullah Thamrakhiyyah.
Keempat: Ibahiyyah, iktiqad mereka ialah:
-
Kita tidak perlu melakukan kerja-kerja menyuruh kepada kebaikan dan mencegah
kemungkaran kerana kita sendiri tidak mampu melakukan kerja-kerja tersebut
apalgi untuk menyeru orang lain.
-
Golongan ini mengharuskan zina dan tidak berdosa.
Kelima: Haliyah. Iktiqad golongan ini ialah:
-
Diharuskan menari dan bertepuk tangan sambil menyanyi sehingga pengsan.
-
Kata mereka bahawa “Sheikh kami berada dalam suatu hal”.
Keenam: Huriyyah.
Iktiqad golongan ini hampir sama dengan iktiqad golongan Haliyah, cuma
mereka menambah semasa kami pengsan ketika menyanyi, kami didatangi oleh
bidadari daripada syurga lalu kami jima’ dengan mereka dan setelah sedar
kami mandi junub.
Ketujuh: Waqi’iyyah.
Iktiqad golongan ini ialah bahawa kita tidak perlu kenal Allah Taala.
Ini kerana kita ini lemah lagi seorang hamba. Jadi kita tidak perlu mengenal
Allah lagi.
Kelapan: Mutajahiliyyah/Mutahalliyyah.
Golongan ini memakai pakaian-pakaian yang elok dan melakukan pekerjaan
fasiq. Antara kata mereka bahawa: Kami tidak dapat lari dari melakukan
zina.
Kesembilan: Mutakasilah.
Golongan ini malas bekerja. Kerja mereka hanyalah meminta-minta daripada
orang ramai samada atas nama zakat atau sedekah.
Kesepuluh: Ilhamiyyah.
Iktiqad golongan ini sama seperti al-Dahriyyah. Golongan ini enggan
belajar dan membaca Al-Quran. Pada pandangan mereka, Al-Quran itu hanya
merupakan hijab untuk mengenal Allah. Kerana itu mereka hanya mempelajari
syair-syair dan kata hikmah sahaja sebagai tarikat mereka.
Kesebelas: Hululiyyah. Iktiqad golongan ini ialah:
-
Bahawa setiap makhluk bersatu dengan Allah Taala.
-
Harus kita memandang kepada perempuan yang cantik dan boleh menari dan
memeluknya. Kerana sifat cantik itu adalah sifat Allah yang dianugerahkan
kepada kita semua.
-
Apabila seseorang itu sunyi dari hawa nafsu dan ikhlas kepada Allah, maka
gugurlah segala amal syariat. Segala ibadah seperti sembahyang, puasa,
zakat dan sebagainya.
Keduabelas: Kaum Wujudiyyah.
Iktiqad golongan ini berdasarkan kepada tafsir kalimah “La Ilaha IllaLlah”
iaitu: Tidak ujud melainkan ujud Allah. Dan pandangan mereka lagi bahawa
tidak maujud melainkan dalam kandungan ujud segala makhluk. Iaitu setiap
makhluk terdapat ujud Allah. Allah dan makhluk adalah dari satu jenis dan
sebangsa. Golongan ini juga beriktiqad bahawa tuhan bertempat dan tertakluk
kepada masa.
Ketigabelas: Mujassimah. Iktiqad golongan ini ialah:
-
Allah mempunyai anggota seperti tangan, kaki, berdaging dan sebagainya.
-
Allah Taala itu berupa tetapi tidak tahu bagaimana rupanya.
-
Allah Taala bergerak samada naik atau turun. Dan tempat kediaman
Allah Taala ialah diatas ‘Arash.
Itulah antara fahaman-fahaman yang tersebar dikalangan umat Islam semenjak
dahulu. Fahaman-fahaman ini tersebar dari satu generasi ke satu generasi
sehinggalah sampai kehari ini. Fahaman ini mendapat pengaruh bukan sahaja
masyarakat Islam di Malaysia tetapi juga umat Islam di seluruh dunia. Oleh
itu kita janganlah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang diragukan kesahihannya.
[ Kembali Ke Index Bicara Dari Alam
Siber ]