Kali ini dengan Taufiq Allah saya akan cuba memberi pandangan saya kepada persoalan "Ramai yang saya jumpa mereka-mereka yang belajar tasauf itu meringan-ringankan syariaat. Sepatutnya, semakin tinggi ilmu tasauf semakin kuat syariaatnya". Persoalan mengenai "Adakah wahdatul wujud itu tasauf?" terpaksa dibincangkan dalam bicara yang berasingan. Insya Allah.
Untuk itu terlebih dahulu terpaksalah saya kutip dan himpunkan untuk dijadikan sandaran dari kata-kata dari Aulia Allah, Ulama-ulama dan Tokoh-tokoh sufi mengenai persoalan yang berselerak dalam Kitab-kitab Pengajian dan bahan-bahan rujukan yang ada. Dan saya amat mengharapkan limpah kurnia petunjuk dari Allah Taala agar membimbing perbincangan ini kepada sesuatu yang boleh membawa barakah dan manfaat kepada saudara-saudara yang membacanya. "La haula wala Quwwatailla billah".
Apakah sebenarnya tasauf?
Menurut catatan Al-'alim Al-'Alamah A-Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Mustafa Al-Fathoni (Guru kepada Wali Allah Yang Tersohor Tok Kenali);
Kata "Tasauf" timbulnya dari banyak pengertian, akan tetapi dipersingkatkan dari dua istilah sahaja iaitu "Pengertian pada lughah" dan "Pengertian pada istilah ahli hakikat".
1. Makna pada lughoh ialah;
Memakai shauf ertinya bulu(bulu baju). Bahawa adalah sebahagian besar pengikut-pengikutnya pada zaman dahulu memakai baju yang dibuat daripada bulu-bulu. Kelakuan mereka dengan pakaian demikian itu menyalahi adat kebanyakan manusia yang selalu dengan pakaian yang serba indah. Pengikut tasauf tidak gemar dengan pakaian yang indah-indah.
2. Makna pada istilah ahli hakikat ialah;
Berakhlak dengan segala kelakuan "At-Thoifah Al-Sufiyah" bertawasul dengan segala sifat mereka, bertalian dengan rantai yang bersambung kepada mereka. Berkata Imam Sufi Al-Sheikh Junaid Al-Bagdadi;
"Dimatikan(fana) kamu oleh Al-Haq daripada engkau dan dihidupkan kamu dengan Dia"
Tasauf juga diertikan; "Berhenti dengan sekelian adab yang dibangsakan kepada Syarak yang zhohir dan yang batin".
Bererti juga; "Kesempurnaan manusia dengan Islam, Iman dan Ihsan".
Bererti juga; "Menyerahkan diri semata-mata kepada Allah atas sekelian kehendak dan cita-cita".
Sebahagian orang berpendapat; "Berpegang dengan kefakiran dan Iftikor(berhajat kepada Allah). Tahqiq dengan pemberian dan Aisar (pengutamaan akan orang lain), meninggalkan tentangan qada dan qadar dan ikhtiar".
Demikianlah pengertiaan Tasauf yang dibuat oleh Guru Tok Kenali.
Basyir Al-Haris salah seorang Ahli sufi dalam memberi erti Tasauf, ia berkata; "Orang sufi ialah yang telah bersih hatinya semata-mata untuk Allah".
Abu Muhammad Al-Jurairi berkata, Tasauf ialah masuk ke dalam budi menurut contoh yang ditinggalkan oleh Nabi dan keluar daripada budi yang rendah".
Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari berkata; "Tasauf ialah ilmu yang menerangkan hal-hal tentang cara mensuci-bersihkan jiwa, tentang cara memperbaiki akhlak dan tentang cara pembinaan kesejahteraan lahir dan batin untuk mencapai kebahgiaan yang abadi".
Kata guru Tok Kenali(Sheikh Ahmad Al-Fathoni), semua defenisi yang berbagai corak itu ragam yang lebih tepat di sisi penghulu kita Al-Sufiah dapat difahamkan daripada dua bait puisi ini;
"Bersalah-salahan manusia pada tempat pecahan sufi dan telah berlain-lainan pendapat mereka itu kepadanya; Mereka menyangka berasal daripada kata Saufa; Tiadalah aku memberi nama ini iaitu sufi itu akan yang lain daripada seorang pemuda yang bersih dan berpakaian Sauf sehingga dia dinamakan seorang sufi.
Asal kata sufi itu diambil dari kata "Sofa" yang dapat diertikan dengan bersih, jernih, dinamakan "SALIK" iaitu yang berjalan kepada Allah dengan cara-cara Sufi itu kerana bersih hatinya, suci batinnya dan bersih juga zhohirnya daripada lain daripada Allah. Perlu juga diperjelaskan nama-nama lain bagi Ilmu Tasauf ini. Berlain-lainan nama yang diberikan kerana berdasarkan perbezaannya pada hantarannya dan pendekatan yang digunakan, namun maksud dan arah tujuannya tetap satu jua. Antaranya ialah
1. Ilmu Batin
2. Ilmu Qalbi - Ilmu Hati
3. Ilmu Laduni - Ilmu di sisi Allah
4. Ilmu Mukasyafah - Ilmu Pembukaan
5. Ilmu Asror - Ilmu Sekelian Rahsia
6. Ilmu Maknun - Ilmu yang disembunyikan
7. Ilmu Hakikat
8. Ilmu Tahqiq
9. Ilmu Makrifat
10. Ilmu Diri
11. dan lain-lain lagi.
Tersebut dalam kitab "Jawahirul Feqah" bahawa Ilmu Qalbi itu adalah
zauqi
ertinya dibangsakan kepada perasaan semata-mata. Juga adalah dari
Wujdan;
ertinya dibangsakan kepada pendapat yang tidak dapat digigit, tak
dapat dikomentrikan segala lidah kelam tak dapat ditulis oleh mata qalam,
tak dapat meliputi oleh daftar dan waham. Status pada pengetahuan
yang zhohir itu seumpama buah dengan pohon. Kemulian tetap bagi pohon
kerana dia mendapat nama - tetapi pohon tidak bermanfaat jika
tidak berbuah. Saya (Sheikh Ahmad Al-Fathoni) berpendapat;
"Buah tidak diperdapat jika
pohon hidup tidak subur".
Kenyataan ini tidak berlawanan dengan penemuan kritis Imam Ghazali dalam memperkatakan tentang kedudukan Ilmu Tasauf ini jika dibandingkan dengan ilmu-ilmu yang lain iaitu;
"Ketahuilah bahawa Ilmu Aqli adalah tunggal dengan zatnya [bersendirian iaitu diasaskan atas akal semata-mata], daripadanya lahir ilmu yang tersusun yang dalamnya terdapat seluruh Hal Ehwal dua ilmu yang tunggal. Ilmu yang tersusun itu ialah ilmu ahli-ahli Tasauf dan jalan ehwal mereka. Mereka mempunyai ilmu yang khas dengan jalan yang terang yang terhimpun dari dua ilmu". Ilmu mereka terdiri dari
Kita lihat pula satu catatan yang amat bermakna dari Imam Ghazali pada kitabnya Al-Munqidz-Minadhdholal(pembebasan dari kesesatan) yang boleh menjernihkan makna dan pengertian Tasauf ini sebagaimana berikut;
"Perhatianku berpusat kepada jalan Sufiah. Nyata sekali jalan ini takkan dapat ditempuh melainkan dengan Ilmu dan 'Amal. Pokoknya harus menempuh tanjakan-tanjakan batin dan membersihkan diri. Hal ini perlu untuk mengosongkan bathin dan kemudian mengisinya dengan zikir kepada Allah Taala. Bagiku ilmu lebih mudah daripada 'amal. Maka segeralah aku memulai dengan mempelajari ilmu mereka, membaca kitab-kitab mereka, di antaranya Kitab Qutul Qulub karangan abu Thalib Al-Makki dan kitab-kitab karangan Al Harsi Al Muhasibi serta ucapan-ucapan Al-Junaid, Asy-Syibli, Abu Yazid al-Bustomin dan lain-lain. Dengan itu dapatlah aku memahami tujuan mereka. Penjelasan lebih jauh aku dengar sendiri dari mulut mereka. Yang lebih dalam lagi hanya dicapai dengan Dzauk(rasa pengalaman bathin), pengalaman dan perkembangan bathin. Jauh nian perbezaan antara mengetahui erti sehat atau kenyang dengan mengalami sendiri rasa sehat dan kenyang itu. Mengalami mabuk lebih jelas daripada hanya mendengar keterangan tentang ertinya, padahal yang mengalami mungkin belum mendengar sesuatu keterangan tentang demikian itu. Tabib yang sedang sakit, tahu banyak tentang sehat, tetapi ia sendiri sedang tidak sehat. Tahu erti dan syarat-syarat zuhud tidaklah sama dengan bersifat zuhud. Yang penting bagi mereka adalah pengalaman bukan perkataan. Apa yang dapat dicapai dengan ilmu telah kucapai. Selanjutnya harus dengan Dzauk dan "suluk"(menempuh perjalanan batin).
Rumusan dan kefahaman yang boleh dibuat daripada definisi dan maksud-maksud di atas, Ilmu Tasauf ialah sesuatu Ilmu yang didasarkan kepada mengamalkan dengan Ilmu yang diketahui. Bukan semata-mata tahu teori dan bercakap dan menggunakan istilah-istilahnya, tetapi dengan beramal dan ianya mencakupi dalam mana-mana hal-ahwal mengikut kesucian jiwa dan ketinggian peribadi dan berperangai dengan sifat-sifat yang mulia sebagaimana isyarat berikut;
Seorang Arifbillah berkata; At-Tasauf, iaitu berhenti serta adab syariat yang zhohir dan batin. Maka ia melihat akan hukumnya daripada zhohirnya di dalam batinnya. Yang batinnya pada zhohirnya. Maka shahih daripada dua hukum itu, sempurna dengan tiada sempurna kemudian daripadanya. Atau dikata "Jernih zhohir" daripada dosa dan "jernih batin" daripada agyar".
Sekali-kali tidak berpisah dari hukum takhlif yang lima malah ia adalah
pokok utama kepada Ilmu Tasauf. Bagaimana pula hukum takhlif(syariat)
ini boleh diremeh-remehkan oleh seorang Sufi sebenar?.
Tujuan pokok Ilmu Tasauf ialah untuk sampai kepada Allah, untuk mencapai makrifat dengan ertikata yang sebenarnya, terbuka hijab antara hamba dengan Dia(Allah).
Telah berkata ahli-ahli sufi: "Permulaan tasauf adalah ilmu pengetahuan, pertengahan ialah Istiqamah dengan amal ibadat, akhirnya ialah Mahabbah adalah anugerah atau pemberian Allah".
1. Dengan mengamalkan Tasauf bererti mengadakan latihan jiwa (Riadhah)
dan berjuang
melawan hawa nafsu (Mujahadah), membersihkan diri dari sifat-sifat
tercela dan diisi dengan
sifat-sifat terpuji dengan melalui perbaikan budi pekerti dalam berbagai
seginya.sepertimana pakaian budi-pekerti Ambiya, Mursalin,
Aulia Allah dan Sholihin.
2. Selalu dapat mewujudkan rasa ingat kepada Allah Zat Yang Maha Besar
dan Maha Kuasa atas
segalanya dengan melalui jalan mengamalkan wirid dan zikir disertai
tafakkur yang secara terus
menerus dikerjakan.
3. Dari sini timbul perasaan takut kepada Allah sehingga timbul pula
dalam diri seseorang itu suatu
usaha untuk menghindarkan diri dari segala macam pengaruh duniawi yang
dapat menyebabkan lupa
kepada Allah.
4. Jika hal itu semua dapat dilakukan dengan penuh ikhlas dan ketaatan
kepada Allah, maka tidak
mustahil akan dapat dicapai suatu tingkat alam Ma'rifat, sehingga dapat
pula diketahui segala rahsia di
balik tabir cahaya Allah dan Rasul-Nya secara terang-benderang.
5. Akhirnya dapat diperoleh apa yang sebenarnya menjadi tujuan hidup ini.
Demikian antara lain beberapa tujuan yang akan diperoleh bagi setiap
orang yang mengamalkan
Tasauf. Untuk Ilmu dan Menyempurnakan Amal Ibadat. Jelasnya
ia akan dapat mengerjakan syariat Allah dan Rasul-Nya dengan melalui jalan
atau sistem yang menghantarkan tercapainya tujuan hakikat yang sebenarnya
sesuai dengan yang dikehendaki oleh syariat itu sendiri.
Tegasnya jika saudara dapat menanggapinya akan sebenar-benar maksud dan tujuan Tasauf ini saudara akan menyedari bahawa seorang yang merasa dirinya belajar Ilmu Tasauf perlu memiliki petunjuk-petunjuk seperti di atas sebagai pengesahan bahawa mereka belajar dan mengamalkan tasauf. Suka saya senaraikan ringkasan perkara-perkara yang boleh dijadikan petunjuk agar saudara-saudara tidak terkeliru.
Jika demikian bagaimanakah boleh terjadi "Ramai
yang saya jumpa mereka-mereka yang belajar tasauf itu meringan-ringankan
syariaat".
Macamana mereka belajar ni ? Kaedah mana yang dipakai? sehingga boleh meringan-ringan syariat sedangkan Tasauf ialah gabungan amalan ilmu tentang cara-cara beramal(ilmu syariat) dengan Ilmu yang hasil dari amalan(Warid). Tanpa amal maka tiada syariat. Bila tiada syariat maka tidak ada tasauf, demikian juga semakin lemah atau kurangnya wirid, maka semakin berkuranglah darjah kekuatan Ilmu Tasauf.
Dinisbahkan kaitannya dengan syariat, belajar ilmu tasauf ini
adalah semata-mata untuk
menghidupkan ruh syariat di samping memperhiasinya dengan perhiasan
dan pakaian jiwa aulia allah dan para Rasul dan Nabi. Tapi jika diringan-ringankan
syariat, tidak ada syariat, atau dibuang syariat atau ditinggalkan
syariat;
"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika Syariat dan Thoriqat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya."
Ini amat perlu diingat-ingatkan selalu!!! Jika sekiranya ini berlaku di kalangan mereka yang mengaku belajar tasauf tetapi dalam pada itu meringan-ringan syariat atau meninggalkan terus syariat, yakinilah bahawa sebenarnya mereka hanya mendakwa semata-mata, malah mereka adalah golongan bidaah yang amat bahaya dan boleh mencemarkan kesucian Ilmu Tasauf ini.
Berkata Abu Qasim Al-Qusyari r.a;
"Tiap-tiap syariat yang tiada dikuatkan dengan hakikat adalah dia tidak diterima. Tiap-tiap hakikat yang tak diikatkan dengan syariat tiadalah berhasil. Maka syariat itu mendirikan dengan barang yang disuruh, sedangkan hakikat memandangkan kepada barang yang diqada dan qadar sama ada yang tersembunyi dan yang nyata".
Berkata Imam Ghazali;
"Barangsiapa menyangka bahawa dia berserta Allah, sehingga menggugurkan daripadaanya kewajipan sembahyang, atau halal meminum arak, maka wajiblah dibunuhnya. Membunuh orang seumpama itu lebih baik daripada membunuh seratus kafir kerana adalah dhorurah dariapadanya itu lebih banyak".
Ibnu Taimiyah menyebutkan bahwa ia setuju dengan pandangan Al-Fudhil bin ‘Iyadh tentang satu ayat al-Quran: "Agar Dia menguji siapakah di antara kamu sekalian yang lebih amalnya." (Hud:7)
Kemudian dia melanjutkan; ...dengan ikhlas dan benar: Murid-muridnya
bertanya; "mengapa mesti ikhlas dan benar?" Al-Fudhil menjawab;
"Karena Allah tidak akan menerima perbuatan
benar tanpa didasari ikhlas Lillahi Ta’ala, pun sebaliknya Dia
tidak meridhai amal yang kamu dasari hati ikhlas sedang itu adalah perbuatan
salah, maka amalmu harus didampingi
keduanya, ikhlas dan benar".
Berkaitan dengan ini Asy-Syubli berpendapat tentang cinta kepada Allah:
"Kamu durhaka kepada Allah, padahal kamu berharap cintanya. Hal itu jelas tidak logik, bila cintamu itu tulus, pastilah kamu mentaatinya. Sesungguhnya orang yang bercinta itu patuh kepada yang dicintainya."
Tersebut dalam Kitab Ilmu Tahqiq, Manhalus Shofi; Seorang Wali Allah yang tersohor, Abu Yazid Al-Bustomin, ketika mendengar munculnya seorang Wali di hujung sebuah kampung yang heboh diperkatakan oleh orang ramai. Beliau pun berhasrat untuk menemuinya lantas ke tempat tinggal Wali itu. Tapi setelah beliau melihat(sewaktu hampir sampai) orang yang dikatakan Wali itu meludahkan air liurnya ke arah Kiblat, Abu Yazid terus berpaling dan beredar dari tempat itu sambil berkata, "Lelaki yang tiada percaya atas sunnah syariat maka bagaimana pula percaya atas Rahsia Wilayahnya".
Jika dengan perkara makruh(meludah ke arah kiblat) pun diambil kira dalam menilaikan kesempurnaan atau betul salahnya, maka lebih-lebih lagilah jika ada yang mengerjakan perkara yang haram atau meninggalkan yang sunat. Semata-mata dusta dan jahil dalam agama. Dengan sebab itulah sebahagian dari takrif/maksud tasauf ialah "menghilangkan dakwa". Mendakwa diri seorang sufi atau beramal tasauf tetapi syariat-tunggang langgang. Ini manusia pembohong, pengkianat dan ahli bidaah yang mencemarkan kesucian ilmu orang-orang sholihin. Aulia Allah, para ambiya dan Mursalin. Dengan kerana adanya segelintir mereka inilah, berbagai-bagai fitnah dan tuduhan dilontarkan kepada Tasauf malah termasuklah kepada Aulia-aulia Allah. Kerena nila setitik rosak susu sebelanga.
Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Shufi, mengatakan, "Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang."
Sebagai mentahqiqkan lagi kefahaman kita bahawa di dalam Ilmu Tasauf tidak ada sebarang kompromi dengan mereka yang mendakwa bahawa apabila sudah tinggi atau sampai ke puncaknya, maka tidak perlu bersusah dan berpenat-penat dengan amal yang banyak, sila ikuti sambungan bicara ini pada tajuk Tasauf Rasulullah, Para Sahabat dan Aulia-aulia Allah. Insya Allah akan terbukti bahawa mereka yang meringan-ringankan Syariat adalah golongan bidaah yang sesat, perosak kemurniaan Tasuaf, dan semata-mata " ditindih perasaan" atau mendakwa mereka ahli tasauf sedangkan mereka sebenarnya "Ahli Dakwa"
Jika terserempak dengan mereka, berilah Peringatan kepada golongan ini dengan kata-kata yang dipesan oleh Wali Allah Abu Hassan al-Khorkhoni;
"Menganggap diri sendiri sebagai seorang Sufi itu adalah satu anggapan besar, sekurang-kurangnya dia bukanlah sufi".
Ikutilah sambungan bicara pada tajukTasauf
Rasulullah, Para Sahabat dan Aulia-aulia Allah.
Allahu A'lam
|
|