Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
  Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 31. 05. 2001 / 07 Rabiul Akhir 1422)
MARTABAT IBADAT AHLI MUSYAHADAH
NAFASNYA SEUMPAMA IBADAT SERIBU TAHUN KEBANYAKAN ORANG????????
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan Keterangan dan Huraian Terdahulu

Berkenaan tujuan hati seorang hamba ini,  terdapat beberapa martabat yang membezakan hal-ahwal dan kedudukan mereka dalam menghayati ruh ibadat mereka.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan setengah daripada mereka itu orang yang qosadkan dengan ilmunya dan amalnya dan barang diperbuatnya daripada kebajikan ditempatkannya dalam hati manusia,  dan menuntut  kebesaran dan ketinggian.

Keterangan Suluk

Apa yang perlu disedari bahawa pengkelasan berkenaan maksud dan tuju hati seorang hamba kepada ibadat memang terbukti nyata ada  jika diperhatikan diperhalusi segala tindak-tanduk feel kelakuan kebanyakan  manusia.

Satu golongan daripada mereka ialah yang terdiri daripada alim ulama atau seseorang yang merasai mempunyai sedikit kelebihan ilmu,  sama ada ilmu dunia atau ilmu akhirat.  Ahli-ahli ilmu ini dengan pelbagai kelebihan diri mereka telah memperbuat pelbagai kebajikan kononnya untuk saudara-saudara sebangsa atau saudara seagama.  Mereka menganjurkan amar dan pelbagai kebaikan,  menyeru manusia kononnya kembali kepada Al-Qur'an dan Al-Hadis,  taat dan patuh kepada perintah agama,  tetapi dalam hati kecil mereka mengendung bersama harapan dan keinginan

Mereka akan rasa seronok dan berbesar hati jika mereka dihormati kerana kebaikan dan ketinggian mereka,  dan akan merasa kecewa dan kadang-kadang melenting apabila kebaikan dan ketinggian mereka diremehkan oleh orang lain.  Antara ciri-ciri mereka yang sebegini ialah; Inilah perihal ahli-ahli ilmu dan ahli-ahli kebajikan yang menggunakan kelebihan yang ada pada mereka untuk mendapat mencari habuan diri dan perhatian manusia.  Hamba kepada dirinya dan hamba kepada manusia.  Tidaklah mereka tergolong dalam golongan mereka yang berikhlas kepada Allah.  Mulut kata ikhlas  tetapi hati penuh dengan najis syirik dan penderhakaan.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan setengah daripada mereka itu orang yang qosadkan tinggi darjat dan beroleh kemuliaan dan tasarruf dalam segala kun (perintah makhluk) dan berjalan di atas air dan terbang pada hawa dan terbuka segala yang ghaib-ghaib.

Keterangan Suluk

Yang ini pula,  terdiri daripada mereka yang banyak melakukan amal ibadat dan zikir-zikir yang tak mampu dilaksanakan oleh kebanyakan orang awam.  Mereka berwirid dengan tetap,  mereka berzikir dengan loba dan banyak,  mereka bersuluk dengan masa yang lama tetapi di sebalik hati kecil mereka menginginkan kelebihan-kelebihan maqam dan kedudukan di sisi Allah.


Golongan yang ini pun termasuk dalam golongan mereka yang menyembah hawa nafsu dan bersyirik dengan Allah Taala.  Agak hairan juga,  bagaimana  sesetengah manusia yang jahil akan mudah terpengaruh dengan keistimewaan-keistimewaan sebegini sehingga sanggup memperagakan kehebatan diri mereka bagi menarik perhatian manusia kepada mereka.  Apakah mereka lupa kisah Barshish yang punya anak murid yang dapat terbang di udara,  tetapi akhirnya mati kufur.  Kadang-kadang amat sukar untuk membezakan antara Istidraj dengan Keramat,  tetapi bagi yang berpetunjuk,  perbezaan itu amat jelas sekali,  seumpama malam dengan siang.
 

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan setengah daripada mereka itu orang yang qosadkan nikmat syurga daripada bidadari dan mahligai

Keterangan Suluk

Qasad yang di atas banyak terdapat pada kebanyakan manusia awam.  Sudah cukup baik jika dibandingkan dengan golongan yang ingin mencapai faedah di dunia ini.  Mereka inginkan habuan mereka di akhirat nanti dan keinginan mereka ini menjadikan mereka seorang yang beramal kerana akhirat.  Bersedekah, bersholat,  berwirid dan berzikir agar Allah mengurniakan pembalasan yang baik di akhirat nanti.  Di samping itu mereka juga berusaha menjadikan kerja-kerja di dunia ini seperti berusaha kasab mendapat faedah di akhirat nanti.

Adalah lebih baik golongan ini yang sanggup menukarkan dunia mereka menjadi akhirat daripada satu golongan lain yang sanggup menukarkan AKHIRAT mereka menjadi habuan dunia mereka.

Walaupun qosad mereka yang inginkan pembalasan Allah diakhirat nanti dikira sesuatu yang lebih baik daripada mereka yang ahli dunia,  namun di sisi ahli-ahli sufi golongan ini masih belum bersih dan suci dalam peribadatan mereka.   Mereka masih lagi dibayangi oleh pelbagai habuan yang menyatakan adanya faedah untuk bahagian diri mereka mereka.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan setengah daripada mereka itu orang yang qosadkan Taqarrub kepada Allah dan Keredhoaan daripadaNya dan Kasih bagiNya.

Keterangan Suluk

Golongan yang keempat ini terlebih baik daripada golongan ahli akhirat yang mengharapkan sesuatu habuan di akhirat nanti.  Dalam ibadat dan kebajikan mereka,  mereka hanya ingin mendekatkan diri mereka dengan Allah Taala.  Mereka ingin mencapai kehampiran dan mencari keredhoaan Allah.  Tak dapat habuan dunia pun tidak mengapa malahan tidak dijanjikan dengan pembalasan di akhirat nanti pun tidak mengapa asalkan Allah meredhoinya.  Inilah perihal orang yang punya hati yang kasih dan sayang kepada PenciptaNya.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan setengah daripada mereka itu orang yang tiada mengqosadkan bagiNya dalam ilmu dan amalnya melainkan

Dan adalah tiap sezarrah daripada ibadatnya itu jadilah ibadat seribu tahun daripada ibadat mereka itu;  dan iaitulah yang berdiri pada setengah haq segala SifatNya Allah Taala.

Keterangan Suluk

Golongan yang terakhir ini pula adalah terdiri daripada beberapa orang hamba sahaja.


Mereka tidak punya pandangan kepada bahagian diri mereka malah tidak sekali-kali memandang kepada diri sendiri.  Segala-gala yang disaksikan,  yang didengari,  yang dilakukan,  yang dipertuturkan adalah sebagaimana yang dikatakan;  "Tidakku lihat sesuatu itu,  melainkan kulihat Allah pada tiap-tiap sesuatu itu".

Merekalah golongan ahli ibadat yang sebenar-benarnya AHLI sehingga hilang kesedaran diri dalam ibadat mereka.  Tiada lagi rasa payah dan diberati dengan itu dan ini.  Adalah setiap zarrah nafas daripada Ahli Musyahadah ini menjadi ibadat seumpama ibadat seribu tahun kebanyakan orang.  Merekalah beberapa orang hamba Allah yang sentiasa tersyuhud kepada Sifat-Sifat Allah Yang Maha Sempurna lagi Maha Mulia.

Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya ..........Insya Allah

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar