Hakikat Zahid |
Petikan
dari Kalimah Hikmah Sebelum Ini.
|
Sambungan keterangan berkaitan dengan Kalam Hikmah oleh Tok Pulau Manis
Dan cerita daripada setengah sahabat RA. katanya telah kami ikut akan sekelian amal (yang dibuat oleh Rasul dan para Aulia) maka tiada dilihat dalam dunia dan dalam akhirat yang terlebih baik daripada zahid dalam dunia.
Keterangan Suluk
Pandangan dari setengah ahli sufiah di atas adalah sebagai mentahqiqkan keyakinan mereka bahawa Zahid (iaitu dingin hati dari berkehendak atau cenderung kepada sesuatu yang bersifat dunia, pahala atau akhirat) itu adalah terlebih baik dan terlebih mulia daripada semua amalan atau hal-ahwal yang lain. Ini adalah kerana hati yang bersifat Zahid adalah hati yang menjejaki hakikat ikhlas di mana apa sahaja dari amalan zhohir atau batin yang dikerjakan sudah hilang "kerana itu" "kerana ini" atau "untuk itu atau untuk ini". Bukankah amalan hati yang begini adalah hati yang shodiq dan ikhlas dalam beramal???.
Kata guru suluk, jika lisan seorang sentiasa basah dengan menyebut zikrullah, tapi di hati terselit sesuatu keinginan walaupun yang bangsa Nurulniyyah, maka itu adalah hati yang lalai.
Keterangan Pengarang Kitab Hikam
Dan kata Sayyidi Abu Sulaiman Ad-Daroni RA. telah bertanya aku kepada Sayyidi Syekh Ma'aruf Al-Kharki daripada segala taat bagi Allah Taala dengan apa suatu yang dikira-kirakan mereka itu atas taatnya. Maka katanya dengan mengeluarkan dunia daripada hati mereka itu dan jikalau ada sesuatu daripada dunia dalam hati mereka itu maka tiadalah sah sujud bagi mereka itu.
Keterangan Suluk
Aulia Allah yang juga merupakan seorang guru sufiah pada masa beliau ini mengisyaratkan sesuatu yang amat besar dan bermakna dalam proses pembersihan hati seseorang Salik. Walaupun nampak berat dan tegas tetapi itulah hakikatnya yang berupaya menyuburkan sifat-sifat keruhanian pada jiwa untuk mencapai ketinggian dalam bermakrifat. Dalam menghuraikan maksud kata-kata Aulia Allah ini, guru suluk telah menyatakan satu bandingan yang menarik dari Arwah gurunya.
Mengikut keterangan guru pada guru suluk, bandingannya adalah "seperti seorang yang mengambil wudhu lagi menyentuh kulit perempuan yang ajnabi." Apa jadi pada wudhu itu? Tentu sekali ianya batal!!!! dan yang teruknya ialah natijahnya di mana hal dirinya akan menjadi manik(pencegah) daripada melakukan amal dan ibadat yang memerlukan seseorang itu ada wudhu seperti sholat dan sebagainya..
Maka sesuailah dengan kenyataan oleh Sayyidi Syekh Ma'aruf Al-Kharki di atas; di mana setiap amalan batin dan zhohir yang hatinya masih lagi terselit sesuatu kecenderungan untuk kepentingan dirinya atau kemudahan dalam perjalanannya "Tidak akan Sah" walaupun banyak sekalipun.
Perlu ditegaskan di sini supaya saudara tidak terkeliru. Ini adalah pandangan ahli makrifat yang berada dalam di atas puncak pendakiannya. Bagi kita orang awam pula, janganlah merasakan payah dan susahnya untuk mengesahkan sesuatu amalan kita jika demikian syarat-syaratnya sehingga melemahkan diri dari terus beramal-beribadat. Ketahuilah, itulah adalah pandangan orang Arif yang ingin sesuatu itu mencapai "Kesempurnaan" dan mencapai hakikatnya. Pada kita orang awam, biarlah kita beramal mengikut kadar kemampuan hati kita, biarpun dalam keadaan yang masih kotor kerana banyaknya gangguan-gangguan dunia kerana hukum fekah atau syariat telah memberi jaminan akan memberi balasan di atas amal ibadat yang dikerjakan dengan cukup rukun dan syaratnya.
Sebaliknya, pandangan ahli makrifat yang sebegini eloklah dijadikan iktibar dan batu pengukur kepada nafsu atau diri kita yang sentiasa ingin bersifat "sombong" atau "ujub" atau "riya" pada amalan yang kita rasa amat banyak dikerjakan sedangkan nilaiannya sedikit cuma. Sekurang-kurangnya dapatlah ditundukkan kejahatan rasa itu dengan memandang bahawa terlalu amat jauh dan sememangnya amat jauh lagi jika dibandingkan amalan kita yang berbukit-bukit jika hendak dibandingkan dengan sebesar biji sawi ahli-ahli makrifat yang telah menjejaki hakikat zahid atau kekosongan hati dari sebarang tujuan atau maksud lain. Di samping itu, dengan memahami hal-ahwal kebersihan dan keyakinan hati mereka ini; akan membangkitkan hemah kita untuk terus membersihkan hati dari pengaruh keduniaan dan keakhiratan yang kuat itu. Semoga Allah membimbing kita semua ke arah "jalan yang lurus".
Keterangan seterusnya Pengarang Kitab Hikam
Adalah demikian itu (buang dunia dalam hati) tiada dikata dengan mengeluarkan dunia daripada tangan mereka(harta yang mereka ada)itu kerana bahawasanya telah ada dunia(harta dan kebesaran)itu dalam tangan setengah orang yang telah suci hatinya seperti Nabi Daud dan Zulkarnain dan setengah sahabat dan yang tabie. Dan tiada berpaling(suka/cenderung) mereka itu(yang suci hati) daripada dunia; maka iaitu(zhohirnya nampak ada)dalam tangannya jua tiada dalam hati mereka itu dan alamatnya demikian itu bahawa tiada suka dengan wujudnya (dunia) dan tiada duka kerana ketiadaannya.
Keterangan Suluk
Di sinilah diterangkan kekeliruan dan kejahilan manusia tentang hakikat zahid ini. Mereka menganggap bahawa untuk zuhud itu mereka perlu membuang semua harta benda dan kedudukan yang mereka ada. Fahaman ini adalah salah dan sesat kerana tempat yang perlu dizahidkan ialah di hati. Kurnia Allah harta atau kedudukan yang tinggi tidak perlu dibuang; cuma membuangnya dari kehendak dan cinta hati kepadanya. Pernah berlaku beberapa hamba Allah yang baru mengenali Ilmu Tasauf ini, apabila mendengar akan keperluan zahid ini untuk mencapai ketinggian makrifat telah membakar pakaian mereka, merosakkan semua perkakas rumah dan membuang segala harta-benda yang ada pada mereka sehinggakan anak isteri mereka menjadi bingung dan menderita akibat kejahilan mereka itu.
Dalam pada itu, ada pula di kalangan mereka yang mengambil harta dunia sekadar yang perlu sahaja dengan tujuan untuk mempamirkan kepada manusia bahawa mereka telah zahid, tetapi sebenarnya hati mereka tamak dan rakus kepada dunia tersebut atau lain-lain hal yang bersangkutan dengan dunia seperti inginkan maqam di sisi Allah, pujian dari manusia, dipandang sebagai ahli zuhud, mengharapkan sedekah dan hadiah pemberian dari manusia lain dan sebagainya lagi.
Dalam hal ini Imam Ghazali melalui kitabnnya Minhajul Abidin telah menegaskan: "Banyak orang yang meninggalkan dunia pada lahirnya, padahal dalam hatinya sangat berkeinginan dan cinta pada dunia, malah hatinya tenggelam dalam pergelutan dan penderitaan yang sangat payah. Sedangkan soal zuhud terletak seluruhnya pada meniadakan keinginan dalam hati(tidak tergila-gila dan mabuk dengan dunia)".
Berkata Pengarang Kitab Hikam
Maka sesungguhnya zahid itu terlebih meliputi(umum) daripada wara' kerana bahawasanya wara' lagi(masih ada) tinggal(kehendak hati) setengahnya (kepada dunia) dan zahid itu putuslah sekeliannnya iaitu;
Keterangan
Suluk
Orang yang Wara itu menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang haram atau syubhat. Oleh itu, keinginan dan kecenderungan mereka kepada mengambil dunia masih tetap ada cuma dibatasi kepada mengambil perkara-perkara yang nyata halalnya sahaja. Orang yang Zahid pula, putus terus keinginan mereka kepada dunia malah cenderung pun tidak. Dengan kerana itulah Tok Pulau Manis mengisyaratkan bahawa zahid itu terlebih meliputi hal-ahwal mereka kerana telah kosong hatinya selain daripada Musyahadah dengan Allah.
Teramat jauh bezanya orang yang mahir berkata-kata tentang zahid dengan orang yang zuhud adalah sifat hatinya. Dan tidaklah bersifat zuhud hati itu melainkan setelah mengenal(Arif) hati itu pada/tentang bahayanya dunia.
Keterangan seterusnya Pengarang Kitab Hikam
Dan hanya sanya adalah Zahid itu terlebih afdhal daripada segala amal
kerana bahawasanya
(Maksud Kalam Hikmah Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari yang diterjemahkan
oleh Tok Pulau Manis);
|
Bersambung dalam pengajian yang seterusnya .....ilmu dan hal dan amal.
|
|