Tingkatan Zikir |
Petikan dari Pengajian Hikmah Sebelum Ini.
Maka segala amal dan segala Hal itu hanya sanya yang menetapkan(meneguhkan)
dia di dalam hati oleh wujud Zikir pada Hati dan Lisan. Dan kesempurnaannya(zikir)
itu ialah dengan Hudur
(hadir hati) dalamnya (zikir). Dan jangan ditinggalkan
kerana ketiadaan Hudur tetapi sebut oleh mu akan Tuhan mu atas tiap-tiap
hal seperti yang dikata oleh Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari)
dalam kalam hikmahnya;
|
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Jangan engkau tinggalkan Zikir kerana ketiadaan Hudur mu serta Allah di dalamnya(zikir) kerana bahawasanya lalaimu daripada ketiadaan wujud zikir akan Allah itu telebih sangat jahatmu daripada lalaimu dalam wujud zikir akan Dia. (Ini adalah kerana) kerana bahawasanya lalai daripada zikir itu menjauhkan daripada Allah Taala dan berpaling pada KulliahNya(semua halmu kepada Allah) dan lalai dalam zikir itu Hudur pada Juziyyahnya(sesetengah masa atau waktu) dan kerana bahawasanya dalam zikirnya itu menghiasi anggotanya dengan ibadat dan lalai itu menghilangkan akan dia (anggota daripada berbuat ibadat)
Keterangan Suluk (Zikir secara umum)
Menurut guru suluk, Zikir secara umumnya ialah apa sahaja amalan dan perbuatan zhohir dan batin yang membawa seseorang itu kepada mengingati Allah. Amal ibadat dan perbuatan sama ada yang zhohir atau batin yang berlandaskan hukum syarak yang dikerjakan dengan tujuan untuk mendekatkan diri dan mendapat keredhoan Allah dikatakan ianya sebagai zikir. Ini adalah kerana zikir itu terbahagi kepada kepada beberapa bahagian dan martabat seperti Zikir Anggota, Zikir Lisan, Zikir Qalbi dan Zikir Sir serta Zikir yang tenggelam dalam Mazkurnya yang akan dinyatakan oleh Tok Pulau Manis melalui keterangan selanjutnya nanti.
Melalui kalam hikmah dan keterangan Tok Pulau Manis di atas, seseorang hamba itu dianjurkan supaya sentiasa berzikir dan terus berzikir walaupun hatinya lalai daripada mengingati Allah atau tidak hadir pada hati akan makna-makna dan rahsia zikir(Hudur) semasa melaksanakannya. Inilah adalah kerana perbuatan/amalan berzikir ini walaupun dikerjakan dalam keadaan lalai, ianya sudah dianggap sebagai satu ibadat atau amal kebaikan jika dibandingkan dengan hal-ahwal seorang yang langsung tidak berzikir di mana secara terang dan nyata menunjukkan penderhakaan dan kejahatannya terhadap Allah. Orang yang langsung tidak berzikir adalah mereka yang jauh dari Allah dan kejahatan mereka itu menjauhkan lagi dari Allah kerana dengan kesombongan mereka itu menyebabkan mereka berpaling dari hal-ahwal atau tindak-tanduk kewajipan yang perlu dilaksanakan sebagai seorang hamba kepada TuhanNya.
Berbeza dengan orang yang sentiasa mengerjakan ibadat seperti sholat, puasa, di samping berzikir serta lain-lainnya; walaupun mereka lalai sewaktu mengerjakannya, sekurang-kurangnya ada juga pada waktu atau ketika/saat-saat yang tertentu akan hudur hati mereka dengan Allah atau setidak-tidaknya terhias zhohir anggota dan perbuatannya dengan amal-ibadat yang dituntut oleh syarak. Bukankah boleh dikatakan satu kebaikan pada orang bersholat atau berpuasa berbanding dengan mereka yang langsung tidak sembahyang dan berpuasa?. Demikain juga lidah yang sentiasa basah dengan zikir walaupun hatinya lalai itu terlebih baik dan mulia daripada lidah yang kosong hampa dengan kalimah-kalimah yang suci itu.
Dari kerana inilah, Tok Pulau Manis meneruskan lagi keterangannya yang seterusnya seperti berikut;
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan kata Wasthi r.a.;
Bermula lalai daripada menyebutnya(zikir) itu terlebih sangat (jahat) daripada lalai dalam zikirnya.
Dan dikata orang bagi Abi Osman An-Nahdi r.a.;
Kami zikir akan Allah dan tiada kami dapat akan manis dan Hudur.
Maka katanya (Abi Osman);
Puji jua oleh kamu akan Allah atas(kerana) menghiasi anggota daripada segala anggota kamu dengan taatnya.
Dan kata setengah mereka itu (kaum sufiah);
Syukurlah engkau akan Allah atas barang yang dikurniakanNya daripada Zikir Lisan dan jikalau melakukan (lidah) kepada tempat mengumpat-ngumpat nescaya tiada ada engkau berbuat dia (zikir). Dan Allah Taala terlebih memuliakan daripada bahawa diHudurkannya hambanya dengan lisannya (walaupun) tiada mengurniai atasnya dengan Hudur hatinya. Dan sebut olehmu dengan lisanmu dan bersungguh-sungguh dirimu dalam Hudur hatimu.
Keterangan Suluk (Tingkatan Pertama; Zikir Lisan)
Ketiga-tiga petikan yang didatangkan oleh Tok Pulau Manis di atas seakan ingin menunjukkan kepada kita bahawa betapa perlunya seorang hamba itu membasahi lisannya dengan berzikir. Terlebih-lebih lagi bagi orang-orang Salik yang ingin berjalan kepada TuhanNya, tuntutan untuk melakukan Zikir ini adalah sangat-sangat ditekankan sebagai senjata dan alat pencuci jiwa semasa dan sepanjang perjalanannya menuju kehampiran. Walaupun lalai atau merasa pahit dan berat untuk berzikir, mereka digalakkan juga untuk mengistiqamahkan Zikir Lisan ini mengikut awarid dan bilangan-bilangan tertentu.
Pandangan di atas juga menegaskan agar para Salik sentiasa bersyukur dengan anugerah dan Kurnia Allah yang sedikit dimana Allah menghiasi anggota zhohir mereka dengan amal taat dan patuh kepada Allah. Lidah yang digunakan untuk berzikir sekurang-kurangnya dapat mengelakkannya daripada mengumpat-umpat dan mengeji orang lain atau ucapan yang sia-sia atau lagho. Inilah wajah-wajah kemuliaan yang dikurniakan Allah kepada mereka yang berzikir walaupun hatinya lalai. Kemampuan untuk berzikir secara lisan tanpa hudur hati ini hendaklah disyukuri agar nanti mendapat kurnia dan anugerah Allah yang lebih lagi sebagaimana firman Allah yang bermaksud; "Dan sekiranya kamu bersyukur, nescaya kami(Allah) akan tambah lagi".
Dengan kemuliaan kurnia Allah yang sedikit dan kelebihan yang ada pada
orang yang bersyukur inilah, maka Muallif (Sheikh Ibni Athoillah
As-Kanddari) mendatangkan kalam hikmahnya yang seterusnya sebagaimana berikut;
|
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Maka mudah-mudahan bahawa diangkatkan oleh Allah akan dikau daripada Zikir serta diperoleh lalai kepada Zikir serta diperoleh jaga(Yaqozhoh) dengan LathifNya dan InayahNya kerana bahawasanya jaga itu ingat hati daripada mengantuk ghoflah dan tidur juhalah kepada Hadirat Al-Wafah(sempurna sebagai seorang hamba) dan Adab Al-Khidmat. Dia sanalah berpindah ia daripada zikir lisan daripada zikir qalbi yang Hudur daripada melazimkan dia (zikir lisan).
Keterangan Suluk (Tingkatan Kedua; Zikir Qalbi)
Apabila seorang hamba/Salik mengistiqamahkan dan sentiasa bersyukur dengan Zikir Lisan mereka, Insya Allah.... Allah Yang Maha Lemah Lembut dengan pertolongan dan limpah kurniaNya akan mengangkatkan martabat Zikir Lisan mereka kepada Zikir Yaqzhoh.
Dengan Zikir Yaqzhoh ini, hati hamba yang sebelum ini lalai atau ghoflah dengan gangguan-gangguan keduniaan akan terjaga dan tersedar untuk mula melihat kepada hakikat Zikir Lisan serta segala suatu yang lain. Mata hati yang sebelum ini tertutup sewaktu berzikir akan terbuka untuk memandang Keesaan dan Keagungan Allah. Zikir-zikir lisan yang diucapkan akan terlancar dan bergerak selari dengan gerakan hati di samping dapat merasai makna-makna dan rahsia zikir mengikut kadar yang dikurniakan Allah.
Hati yang sebelum ini, buta dan jahil dengan hakikat dan makrifat mula mengenali dan memahami makna-makna di Alam Malakut yang terpancar pada zhohir sesuatu. Mereka dapat melihat akan hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu yang zhohir yang mendatangi mereka. Hiduplah hati atau jiwa mereka menuju ke Hadirat Al-Wafah yang akan menyempurnakan kebersihan hati untuk layak dipanggil sebagai seorang hamba dengan tahu melaksanakan adab-adab kehambaan dan adab-adab Ketuhanan dengan pelbagai hal-ahwal hati yang merujuk kepada kepatuhan dan ketundukkan yang penuh dengan kesedaran batin.
Dengan sebab inilah Zikir serta jaga ini dinamakan juga sebagai Zikir Qalbi kerana hidup hati itu dengan mengingati dan memandang Allah pada setiap kali memandang "ghair" atau sesuatu yang zhohir; sedar dan terjaga hati itu untuk mengenal dan memahami akan hakikat bagi segala sesuatu. Dengan Zikir Qalbi inilah, bermulalah satu perjalanan hati untuk meneroka dan memasuki alam-alam batin atau alam-alam rahsia atau Alam Ketuhanan Yang Maha Tinggi.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula
Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) sebagai menyambung dalam kalam
hikmahnya yang seterusnya sebagaimana beriknya;
|
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan daripada zikir serta diperolehi jaga pada zikir serta oleh Hudur serta Allah. Dan adalah Hudur kepada mereka itu iaitu Hudur dengan Haq Taala tatkala ghaibnya daripada sekelian pancaindera dan daripada memandang agyar. Dan dalam Maqam ini berpindah ia daripada Zikir Qalbi kepada Zikir Sir. Zikir Sir itu ghaib ia daripada barang yang lain daripada Mazkor.
Keterangan Suluk (Tingkatan Ketiga; Zikir Sir)
Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan kasih-sayangNya Yang Maha Tinggi, Allah mengangkatkan Maqam Zikir Qalbi seorang hamba pilihanNya kepada tingkat yang seterusnya iaitu Zikir Sir. Zikir Sir ini sebagaimana keterangan Tok Pulau Manis di atas merupakan Zikir yang telah datang kehadiran hati serta Allah. Dan Zikir ini juga merujuk kepada kehadiran Rahsia diri yang terpendam sebelum ini. Hidup Sirnya dengan TuhanNya di mana seluruh ingatan, seluruh pandangan(syuhud) dan seluruh "rasa" tertumpu kepada Yang Haq. Ingat dengan Yang Haq; Syuhud kepada Yang Haq dan "merasa" dengan Yang Haq. Dengan kata lain, seluruh anggota badan yang zhohir dan batin sentiasa dalam keadaan Zikir
Inilah adalah kerana, jiwa atau hati hamba telah hapus atau hilang atau qhaib daripada pengaruh pancaindera dan memandang kepada Agyar pada pihak tidak diiktibarkan apa yang dilihat, apa yang didengar, apa yang dirasa, apa yang diucapkan; malah setiap hal-ahwal zhohir mereka adalah merupakan Zikir kerana mereka tidak melihat sesuatu itu melainkan dilihatNya Allah dan tidaklah mereka dilakukan sesuatu perbuatan atau amalan melainkan dengan "perintah" yang datang dari Allah.
Sungguhpun demikiannya hal keadaan hati yang sentiasa ingat akan kehadiran Allah dalam tiap-tiap sesuatu itu berzikir dan berzikir dengan Sirnya, namun ianya belum sampai kepada puncak kesempurnaannya yang Hakiki. Hati ini masih melihat dan memandang kepada dirinya sendiri, hati ini masih terpesona dengan keajaiban rahsia dirinya di mana hal ini menunjukkan bahawa masih ada lagi wujud yang lain iaitu dirinya. Ini merupakan satu kecacatan pada Tauhid yang menjadi intipati dan rahsia Zikir itu.
Dan dengan kerana inilah diisyaratkan pula
Muallif (Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari) sebagai menyambung dalam kalam
hikmahnya yang seterusnya sebagaimana beriknya;
|
Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Dan daripada zikir serta diperoleh Hudur kepada zikir serta diperoleh ghaib daripada barang yang lain daripada Mazkor ia hingga masuklah orang yang zikir itu ke dalam MazkorNya dan ghaib Sirnya takala ZuhurNya (nyata Allah). Maka adalah ghaib zikirnya dengan zikirnya.
Keterangan Suluk(Tingkatan Keempat; Maqam Kesempurnaan)
Bersambung dalam pengajian yang seterusnya
|
|