Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
KERTAS KERJA INI DISEDIAKAN OLEH
SALLEH LONG -SMKTAM


PENDAHULUAN

Dalam zaman ledakan maklumat, pelbagai teknologi digunakan untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan.  Pada masa kini, teknologi yang dianggap sebagai “the in thing”  ialah penggunaan komputer yang bukan sahaja digunakan sebagai alat penyebaran maklumat tetapi juga alat bantuan pengajaran dan pembelajaran.  Hal ini menjadi lebih canggih apabila diperkenalkan teknologi komunikasi yang disepadukan dengan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.  Corak pengajaran dan pembelajaran yang dahulunya lebih berpusatkan guru kini berubah kepada corak berpusatkan pelajar. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran masa kini didapati guru memainkan peranan yang lebih aktif jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar.   Ini terjadi mungkin disebabkan oleh kurang keyakinan diri dalam pelajar-pelajar itu sendiri. Oleh yang demikian, untuk mengatasi masalah yang dihadapi dan setelah menyedari hakikat ini, tenaga pengajar di sekolah-sekolah telah mengorak langkah seiring dengan zaman ledakan maklumat dengan membina laman-laman web untuk membantu, dan mengubah corak pengajaran dan pembelajaran itu. Dalam hal ini, mulai tahun 1999, warga Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik, Alor Setar, Kedah, tidak ketinggalan menggunakan laman web dan  mel elektronik sebagai alternatif lain dalam pengajaran dan pembelajaran bagi semua mata pelajaran. Walau bagaimanapun, sebagai perintis hanya mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5 akan disediakan terlebih dahulu. Modul bagi mata-mata pelajaran yang lain akan disusuli kemudian dan dianggarkan sekurang-kurangnya 3 modul seperti ini akan siap dibina pada akhir tahun 2000.

Sistem Pengajaran dan Pembelajaran Masa Kini

Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5 pada masa kini, kaedah yang paling kerap digunakan ialah kaedah kelas.   Hal ini terjadi kerana guru-guru terpaksa mengejar dan menghabiskan sukatan pelajaran untuk menyediakan  pelajar-pelajar menghadapi peperiksaan.  Corak pengajaran dan pembelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan  pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak aktif.  Ini kerana proses ini hanya berlaku sehala, iaitu guru memberi seberapa banyak tunjuk ajar yang mungkin dan pelajar hanya menerima apa-apa yang diberikan oleh guru.  Selain itu, sesetengah guru menggunakan teknik soal jawab untuk berinteraksi dengan pelajar tetapi teknik ini juga menunjukkan bahawa pengajaran dan pembelajaran masih  bersifat teacher centred kerana guru yang mengemukakan soalan dan pelajar hanya memberi pendapat atau jawapan.  Dalam masa yang terhad pula, tidak semua pelajar berpeluang melibatkan diri dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Sesekali, dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, kaedah perbincangan kumpulan juga digunakan oleh guru-guru dan guru bertindak sebagai pemudah cara.  Sebagai contoh, membincangkan fakta-fakta yang perlu dimasukkan dalam sesebuah karangan. Selepas perbincangan, pelajar-pelajar membentangkan hasil perbincangan mereka.  Para pelajar dan guru akan memberikan komen tentang apa-apa yang telah dibentangkan.

Kelemahan Sistem Pengajaran dan Pembelajaran Masa Kini

Masalah yang ketara yang berlaku dalam sistem pembelajaran Bahasa Melayu pada masa kini ialah, spoon feeding.   Pelajar-pelajar menerima apa-apa yang diberikan oleh guru.  Oleh sebab kekangan waktu, peluang untuk pelajar-pelajar berinteraksi dan berbincang dengan guru terhad.  Sekiranya mereka ada masalah, mereka terpaksa berjumpa guru berkenaan pada waktu lain.  Bagi pihak guru pula, mereka tidak dapat meluangkan masa untuk membantu pelajar-pelajar kerana tugas-tugas lain.  Oleh itu, mereka hanya dapat  memantau kemajuan pelajar pada waktu mata pelajaran itu dijalankan sahaja.

Perbincangan dan pertukaran pendapat antara pelajar pula hanya berlaku di kalangan pelajar-pelajar kelas itu sahaja dan mereka tidak berpeluang untuk berbincang dengan pelajar-pelajar kelas lain.  Selain itu, dalam aktiviti perbincangan yang dijalankan, tidak semua pelajar akan melibatkan diri secara aktif disebabkan oleh perasaan malu dan segan.  Pelajar juga menghabiskan terlalu banyak waktu di dalam kelas. Oleh yang demikian, untuk mengatasi masalah-malasah yang dihadapi ini, alternatif yang paling berkesan ialah mengendalikan pengajaran dan pembelajaran secara modul melalui laman web dan Internet.

Kepentingan dan Kesesuaian Modul

Antara kebaikan sistem ini ialah membuka peluang kepada Pelajar untuk terlibat dalam web discussion terutamanya bagi pelajar yang segan untuk melibatkan diri dalam perbincangan di dalam kelas.  Secara tidak langsung, pelajar memberanikan diri untuk menyuarakan pendapat dan melibatkan diri dengan aktif.  Sistem ini membolehkan pelajar-pelajar meminta bantuan daripada guru dan rakan-rakan pada bila-bila masa.  Dengan menggunakan mel elektronik dalam komunikasi antara guru – pelajar, dan pelajar – pelajar, pelajar yang menerima mel itu akan berasa dirinya penting dan dihargai.  Guru pula dapat membimbing pelajar-pelajar secara perseorangan atau kumpulan. Pengajaran lebih berpusatkan isi kandungan pelajaran dan bukan personaliti pelajar itu sendiri.  Sistem ini juga akan memberi kemudahan kepada semua guru dan pelajar yang terlibat untuk memperoleh maklumat yang telah diarkibkan (archives).

Konsep Modul

Konsep modul ini ialah komunikasi berperantarakan komputer dan pengajaran dan pembelajaran disepadukan komputer ( computer intergrated).  Konsep komunikasi berperantarakan komputer memudahkan perhubungan antara individu atau kumpulan-kumpulan tertentu ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung.  Dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku,  guru dan pelajar berada di lokasi-lokasi yang berlainan, misalnya di rumah masing-masing.   Untuk menghubungkan pelajar-pelajar dan guru ini, perbincangan web dan mel  elektronik boleh digunakan. Oleh yang demikian, proses pengajaran dan pembelajaran secara aktif dapat dilaksanakan.  Selain itu, dengan menggunakan komunikasi berperantarakan komputer, para peserta projek akan dapat mengakses semua maklumat yang terdapat dalam forum walaupun mereka mungkin ketinggalan ketika perbincangan itu dilaksanakan. Penggunaan mel elektronik dalam komunikasi berperantarakan komputer memastikan bahawa setiap mesej yang dihantar oleh pelajar akan mendapat layanan secara ‘personal’ oleh guru-guru. Mesej-mesej yang dihantar oleh pelajar-pelajar pula mempunyai hubungan secara langsung dengan pertanyaan pelajar yang memerlukan jawapan yang segera.

Matlamat Modul

Matlamat modul ini adalah untuk
 1. menggalakkan penglibatan secara aktif pelajar-pelajar dalam sesi perbincangan atau   soal jawab dengan guru mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4 and 5 melalui penggunan mel elektronik dan perbincangan web.
 2. membantu pelajar-pelajar memperoleh maklumat atau tips tentang sesuatu  topik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5 secara online.
 3. memberi pengalaman dalam proses pembinaan pengetahuan.
 4. menggalakkan kesedaran kendiri dalam proses pembinaan pengetahuan.
 5.  menyediakan pengalaman pelbagai perspektif pengetahuan.
 6.  menyediakan bahan pembelajaran dalam konteks yang realistik dan relevan.
 7.  mendorong pelajar mengawal proses pembelajarannya.
 8.  menyediakan suasana pembelajaran yang dapat memberi pengalaman sosial.
 9. mendorong pelajar  menggunakan pelbagai sumber untuk mendapatkan pengetahuan.

Objektif Modul

Objektif  modul ini adalah untuk:
a. membolehkan guru-guru membimbing dan membetulkan hasil kerja pelajar-pelajar pada bila-bila masa dengan menggunakan mel elektronik;
b. membolehkan pelajar-pelajar menggunakan web discussion untuk berbincang dengan lebih aktif tentang sesuatu tajuk atau topik (karangan) yang diberikan;
c. membolehkan pelajar mengulang kaji pelajaran yang telah diajar di dalam kelas;
d. membolehkan pelajar-pelajar mempelajari topik-topik tertentu melalui tutorial yang telah disediakan dalam laman web;
e. memberi peluang kepada pelajar untuk menyertai aktiviti mengarang bulanan; dan
f. membolehkan pelajar bertukar-tukar pendapat dan membantu rakan-rakan yang menghadapi masalah dalam topik tertentu.

Objektif Penggunaan Modul

Penggunaan modul ini adalah untuk:
a. membolehkan pelajar-pelajar memberi pendapat ketika menyertai perbincangan web atau forum.
b. membuka akaun serta menggunakan mel elektronik ketika berkomunikasi dengan peserta-peserta forum atau guru-guru.
c. membolehkan pelajar-pelajar mengirim fail atau lampiran ketika berkomunikasi menggunakan mel elektronik.
d. membolehkan pelajar menghasilkan tugasan hasil daripada perbincangan yang telah dilaksanakan agar dapat dipamerkan dalam laman web Bahasa Melayu yang telah disediakan.
e. membolehkan pelajar-pelajar mengikuti dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran (tutorial) yang disediakan dengan baik.

Batasan Penggunaan Modul

Modul ini hanya akan meliputi perbincangan tentang bahagian-bahagian utama dalam kertas Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan  5 iaitu, Karangan, Merumus, Kefahaman (Moden, Sajak, dan Klasik), dan Tatabahasa. Aktiviti-aktiviti dan sesi perbincangan dalam modul ini, akan menjurus ke arah menjawab soalan-soalan peperiksaan kertas I dan II Bahasa Melayu SPM.  Selain itu disediakan juga tajuk-tajuk dan tips untuk menjawab soalan Ujian Lisan Bahasa Melayu SPM.

 Aktiviti-aktiviti dan perbincangan pula hanya akan melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik, Alor Setar, Kedah secara khusus dan pelajar-pelajar daripada sekolah yang lain secara amnya. Dalam perbincangan ini, pelajar-pelajar akan menggunakan tiga peralatan Internet iaitu, forum, chatroom, dan mel elektronik.  Hasil perbincangan, setelah dinilai semula oleh guru, akan dipamerkan dalam laman web untuk dijadikan bahan rujukan oleh pelajar-pelajar sekolah itu.  Walau bagaimanapun, laman web ini dapat diakses oleh para pelajar dan guru dari sekolah-sekolah di seluruh negara.

Kumpulan Sasaran
Kumpulan sasaran modul ini ialah guru-guru dan pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5 di SMK Tunku Abdul Malik secara khusus dan sekolah-sekolah yang lain secara am.  Guru-guru akan dapat menjadikan modul ini sebagai contoh untuk mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan komputer sebagai alat komunikasi.  Selain itu, guru-guru juga akan dapat menjadikan modul ini sebagai alternatif  pada kaedah tradisional untuk bertukar-tukar maklumat.  Bagi para pelajar pula, mereka akan dapat berkomunikasi, berbincang, dan bertukar-tukar maklumat dengan rakan-rakan bukan sahaja dari kelas-kelas  lain tetapi juga sekolah-sekolah lain.  Sementara itu, guru-guru akan dapat membimbing pelajar-pelajar tanpa sebarang sekatan. Tidak dapat dinafikan bahawa kumpulan yang paling banyak mendapat manfaat daripada modul ini ialah kumpulan pelajar dan guru yang memiliki komputer secara peribadi dan mahir mengendalikannya.

Definisi Istilah

Forum
Forum merupakan kumpulan perbincangan yang boleh diakses melalui papan buletin, mailing list, atau kumpulan newsgroup.  Sesebuah forum berfungsi seakan-akan papan buletin, kerana para pengguna menghantar maklumat untuk dibaca oleh semua peserta forum itu dan perbincangan akan berlaku secara berterusan. Dalam modul ini, perbincangan akan diadakan melalui network54 atau Bravenet.  Perbincangan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Tunku Abdul Malik akan berdasarkan Karangan atau Surat Kiriman, Merumus, Kefahaman (Moden, Sajak, dan Klasik), dan Tatabahasa. Webmaster akan menetapkan tajuk-tajuk perbincangan itu dan tajuk-tajuk itu ditukar dari semasa ke semasa.

Chatroom
Chatroom atau bilik perbualan merupakan ruangan untuk membolehkan pelawat atau pengguna berinteraksi secara sinkronis. Tidak ada tajuk-tajuk tetap yang disediakan namun semua perbualan adalah dalam bahasa Melayu dan bahasa lisan tidak digalakkan. Webmaster juga berkeupayaan untuk menapis perbualan yang didapati tidak sesuai dalam ruangan ini.

Mel elektronik
Mel elektronik atau e-mail merupakan satu cara menghantar dan menerima mesej melalui komputer. Perkhidmatan ini paling banyak digunakan untuk menerima dan menyebarkan maklumat seperti surat atau pesanan secara elektronik termasuk bahan grafik. Untuk tujuan pengajaran, salah satu caranya ialah dengan mengirim penyampaian (instruction) dan bahan pengajaran antara tenaga pengajar dan pelajar.  Mel elektronik juga digunakan oleh pelajar-pelajar untuk berkomunikasi antara satu sama lain.  Keupayaan mel elektronik yang dapat menghantar dan menerima mesej hampir serta-merta kepada penerima menjadikan mel elektronik salah satu media pengajaran yang berbentuk persendirian (one-to-one).

Pembelajaran  Koperatif
Dalam kaedah pembelajaran koperatif, pelajar-pelajar melakukan tugas dalam satu kumpulan yang terdiri daripada empat orang.  Setiap anggota kumpulan merupakan ahli dalam aspek tertentu dalam tugasan yang diberi oleh guru.   Kumpulan-kumpulan yang dibentuk merupakan kumpulan berbentuk heterogenous, iaitu terdiri daripada pelajar-pelajar yang mempunyai  pencapaian akademik yang pelbagai, terdiri daripada lelaki dan perempuan, dan pelbagai bangsa.
 Perkara yang penting dalam pembelajaran koperatif ini ialah, pelajar-pelajar itu bekerjasama dan berusaha untuk mencapai kejayaan sebagai satu kumpulan.  Mereka akan memberi galakan kepada anggota-anggota kumpulan untuk menjadi ahli dalam bidang masing-masing, dan mereka akan saling membantu.  Apabila terdapat sebarang masalah, pada kebiasaannya,  anggota kumpulan yang ahli dalam bidang tertentu akan memberi penjelasan kepada anggota-anggota lain.  Penjelasan yang diberi mudah difahami oleh setiap anggota kumpulan dengan mudah kerana bahasa yang digunakan ialah yang mudah difahami oleh semua anggota kumpulan.

Pembelajaran koperatif terdiri daripada lima strategi pengajaran yang utama:
1. Student Teams – Achievement Divisions (STAD)
 Mengikut strategi ini, pelajar-pelajar ditugaskan untuk bekerja dalam satu kumpulan yang terdiri daripada 4 orang yang mempunyai pelbagai pencapaian, terdiri daripada lelaki dan perempuan, dan pelbagai bangsa.  Setelah guru menyampaikan bahan pelajaran, para pelajar bekerja dalam kumpulan masing-masing dan memastikan semua anggota kumpulan akan ‘master’ pelajaran itu. Setelah menjalani sesuatu aktiviti setiap anggota kumpulan akan menduduki ujian, atau kuiz secara individu. Markah yang diperoleh oleh setiap anggota kumpulan dicampur untuk memperoleh markah untuk kumpulan.  Oleh itu, jika ingin mendapat ganjaran, setiap pelajar dalam setiap kumpulan mesti membantu anggota kumpulan.

2. Team-Games-Tournament  (TGT).
 Pada prinsipnya, TGT sama seperti STAD tetapi ujian, kuiz dan, pembentangan digantikan dengan permainan akademik yang diberikan setiap minggu.  Dalam kumpulan ini, setiap anggota mempelajari bahan yang diajar secara beramai tetapi pada waktu permainan sedang berlangsung, anggota-anggota yang lain tidak dibenarkan membantu ahli yang menyertai  sesuatu permainan.  Pemain-pemain dari setiap kumpulan yang mempunyai tahap pencapaian yang sama akan bermain dalam satu kumpulan permainan.  Ini bermakna setiap anggota kumpulan berpeluang memungut markah untuk kumpulan mereka.

3. Jigsaw II
 Jenis kumpulan yang dibentuk sama dengan kumpulan STAD dan TGT.  Setiap anggota  kumplan diberi tugasan untuk menjadi ahli dalam sesuatu bidang (dalam tajuk pelajaran yang telah diberi).  Sebagai contoh, pelajar diberikan tugasan tentang “Africa” , seorang anggota dalam kumpulan mungkin  ‘expert’ tentang sejarah, dan ekonomi berdasarkan bahan yang dikemukakan oleh guru. Setiap ahli (atau ‘expert’) daripada setiap kumpulan akan bertemu dan berbincang tentang topik yang sama dan kemudian mereka akan kembali kepada kumpulan masing-masing  untuk menyampaikan hasil perbincangan kepada setiap anggota kumpulan.  Konsep ganjaran kumpulan ini sama seperti STAD, dan TGT.

 4. Teams Accelerated Instructuion. (TAI)
 Strategi ini digunakan untuk pengajaran Matematik.  Dalam kumpulan ini, setiap pelajar diberi tugasan yang berlainan tetapi setiap anggota saling membantu.  Ketika aktiviiti pembelajaran sedang berlangsung, guru akan mengajar satu kumpulan kecil yang terdiri daripada ahli-ahli dalam satu bahagian tugasan yang diberi oleh guru, sebagai contoh, pecahan.  Setelah sesi pengajaran ini selesai, ahli itu akan masuk semula ke dalam kumpulannya dan membantu anggota lain pula.

5. Coperative Integrated Reading and Composition
 Strategi ini digunakan untuk mengajar bacaan dan penulisan.  Dalam kumpulan-kumpulan ini mereka belajar untuk memahami sesuatu petikan pemahaman, membuat persediaan untuk menulis laporan, dan sebagainya.  Dalam  strategi ini, pelajar-pelajar tidak akan menduduki sebarang ujian selagi anggota kumpulan mereka mendapati mereka belum betul-betul bersedia.    Dalam modul pengajaran dan pembelajaran ini, setelah perbincangan web atau form tamat, pelajar-pelajar akan berbincangan secara konvensional untuk menyusun semula fakta-fakta yangterhasil daripada perbincangan itu.  Pada masa perbincangan itu, strategi Jigsaw II akan dilaksanakan.

Pembelajaran Kolaboratif
Secara umumnya istilah ini membawa maksud pembelajaran secara kumpulan atau bekerjasama. Dalam modul ini, beberapa buah bilik darjah dapat berinteraksi secara elektronik untuk menyempurnakan satu tujuan secara bersama.  Dalam prosidur ini, setiap kelas atau bilik darjah menyumbangkan sesuatu untuk menghasilkan satu produk.  Kewujudan komunikasi asinkronis membenarkan pelajar-pelajar berinteraksi dengan beberapa kumpulan lain pada masa yang sama tanpa mengakibatkan keadaan menjadi kucar-kacir, iaitu keadaan yang mungkin berlaku sekiranya mereka bersemuka.  Setiap kumpulan dikehendaki menghasilkan sebuah projek atau hasil kerja untuk dikongsi bersama melalui sesuatu penerbitan.

 Dalam strategi pembelajaran kolaboratif,  seorang penyelaras projek perlu dilantik untuk melicinkan interaksi antara kumpulan.  Oleh sebab setiap kumpulan mempunyai seorang ketua yang berkemahiran, iaitu guru kelas tersebut,  keperluan untuk mengawal proses interaksi semakin berkurangan.  Kewujudan rangkaian elektronik membolehkan pembelajaran koperatif berlaku di dalam dan juga di antara bilik darjah.  Rangkaian elektronik ini juga menyediakan alat yang membantu pelajar dan guru bekerja secara kolaboratif dengan rakan-rakan mereka yang berada di lokasi-lokasi yang jauh.

 Mengikut reka bentuk Learning Circle, setiap kelas atau bilik darjah dalam Learning Circle (kumpulan) memberi sumbangan pada hasil kerja atau produk akhir.  Interaksi kumpulan pembelajaran ini meliputi suatu jangka masa yang telah ditetapkan.  Kumpulan pembelajaran mengikut modul ini perlu disusun dengan teliti.

1. Membentuk kumpulan pembelajaran.  Guru-guru dan pelajar-pelajar memilih tajuk dan kemudiannya bertemu secara elektronik untuk bertukar-tukar maklumat tentang latar belakang pelajar, sekolah, dan sebagainya.

2. Kelas merancang projek.   Guru dan pelajar dari setiap kelas merancang satu tugasan pembelajaran.  Rancangan itu dibuka kepada kumpulan pembelajaran untuk perbincangan.  Pasukan-pasukan guru/pelajar ini juga membantu kumpulan-kumpulan lain membentuk rancangan mereka.

3. Menyiapkan tugasan.   Pelajar-pelajar bekerjasama dengan rakan sekelas dan juga rakan-rakan di lokasi lain untuk menjalankan aktiviti pembelajaran.  Pelajar menerima bimbingan dan galakan daripada guru-guru yang berada di lokasi-lokasi lain dan juga daripada penyelaras kumpulan pembelajaran.

4. Menghasilkan penerbitan.  Setiap kumpulan menghasilkan satu laporan (hasil perbincangan dengan kumpulan-kumpulan lain) tentang projek yang telah dikemukakan kumpulan masing-masing pada awal projek.

5. Berkongsi dan menilai penerbitan.  Hasil atau produk projek diedarkan kepada semua yang telah menyertai projek ini.

Dalam kumpulan pembelajaran secara kolaboratif, guru-guru bekerjasama dengan pelajar-pelajar untuk merancang aktiviti-aktiviti mereka.  Guru menyertai kelas sebagai pelajar dan penyelesai masalah.  Dalam projek ini, seseorang guru tidak mempunyai kuasa penuh ke atas projek yang sedang dijalankan malah guru juga boleh menikmati keseronokan perbincangan yang sedang dijalankan kerana guru juga ingin mendapat pengetahuan atau maklumat baru.

Setiap kumpulan atau kelas yang menyertai perbincangan ini merancang sesuatu projek dan mereka juga bertanggungjawab untuk menyediakan laporan akhir, penerbitan atau apa saja, untuk dikongsi bersama dengan kumpulan-kumpulan lain.  Semasa aktiviti perbincangan berlangsung, pelajar-pelajar boleh meminta bantuan daripada mana-mana pelajar ataupun guru untuk meneruskan projek ini.  Mereka juga boleh menawarkan khidmat mereka kepada kumpulan lain.  Oleh itu, sementara setiap kumpulan menyiapkan projek yang  telah dirancang oleh mereka, mereka juga memberi sumbangan kepada kumpulan-kumpulan lain.

Konsep Modul
Modul ini berteraskan konsep pembelajaran berasaskan komputer yang akan digunakan sebagai alat komunikasi utama (computer-mediated communication).  Mengikut konsep komunikasi  berperantarakan komputer, diandaikan bahawa proses pembelajaran tidak semestinya berlaku secara bersemuka.  Kemudahan-kemudahan komunikasi berperantarakan komputer memudahkan perhubungan antara individu atau kumpulan-kumpulan tertentu.

Komunikasi secara begini bergantung pada teknologi komputer  untuk membolehkan individu-individu yang berada di  tempat yang berlainan berkongsi fail dan program komputer, dan bekerja serta belajar bersama-sama. Komunikasi berperantarakan komputer pada kebiasaannya, dikaitkan dengan pembelajaran jarak jauh yang menghubungkan pelajar-pelajar di tempat atau lokasi yang jauh.

Ciri-ciri yang penting dalam komunikasi berperantarakan komputer ialah, komunikasi sinkronis dan komunikasi asinkronis.  Komunikasi sinkronis ialah komunikasi yang berlaku pada waktu sebenar seperti ‘chat’ melalui Internet Relay Chat (IRC). Komunikasi asinkronis pula merupakan komunikasi yang berlaku bukan pada waktu sebenar, seperti mel elektronik, perbincangan web seperti forum, mailing list, dan sebagainya. Kebanyakan komunikasi berperantarakan komputer berbentuk asinkronis.

Komunikasi berperantarakan komputer dapat dijalankan dalam berbagai-bagai cara iaitu, seorang individu dengan seorang bekerja sendirian untuk menyiapkan tugas (mengakses maklumat), seorang dengan seorang, seorang dengan banyak (papan buletin), dan banyak dengan banyak (persidangan komputer).  Sebagai hasil daripada  komunikasi  berperantarakan komputer, fail-fail, mesej, papan buletin dan jurnal online, news network, syarahan-syarahan, dan kumpulan-kumpulan perbincangan akan terhasil.  Dalam modul pengajaran dan pembelajaran ini,  konsep ini dipilih untuk diaplikasikan kerana modul ini menggunakan mel elektronik dan  perbincangan web ketika melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Pengajaran dan Pembelajaran Disepadukan Komputer
Modul ini mengutarakan pengajaran dan pembelajaran disepadukan komputer;  bermaksud  pengajaran dan pembelajaran penggunaan perisian atau alat-alat Internet dalam sesuatu mata pelajaran.  Sebagai contoh, penggunaan mel elektronik dan perbincangan web ketika pelajar-pelajar berbincang tentang topik yang dibincangkan. Pelajar-pelajar diajar cara-cara untuk membuka, serta mengirim dan menerima mel elektronik daripada pengirim.

Secara tidak langsung, pelajar juga belajar untuk mengirim maklumat untuk menyertai perbincangan web yang sedang dijalankan. Kesepaduan komputer dalam modul ini lebih bermakna sekiranya dilaksanakan dalam pengajaran komputer sebagai subjek.

Kandungan Modul

Dalam modul ini, topik-topik yang akan dibincangakan akan dibahagikan kepada 4 topik utama dalam kertas I dan II Bahasa Melayu SPM.  Ruangan Ujian Lisan Bahasa Melayu bagi calon SPM juga disediakan. Oleh itu, kandungan mata pelajaran yang akan dibincangkan ialah:
a. Karangan
- Jenis-jenis karangan dan contoh-contohnya
- Teknik menulis karangan mengikut jenis
- Contoh karangan bulan semasa
- Soalan karangan bulan semasa
- Ramalan soalan karangan bagi calon SPM
b. Merumus
-Teknik menghasilkan pengenalan, isi tersurat, isi tersirat, dan kesimpulan.
- Contoh rumusan
- Latihan bulanan
c. Kefahaman (Moden, Sajak, dan Klasik)
- Teknik menjawab soalan bahagian makna rangkai kata
- Teknik menjawab soalan kefahaman
- Teknik menjawab soalan jenis aras tinggi (KBKK)
d. Tatabahasa
- Teknik membina ayat
- Contoh ayat
- Cakap ajuk – cakap pindah
- Membetulkan kesalahan bahasa
- Menggabungkan ayat-ayat pendek
- Latihan
- Kriteria pemotongan markah
e. Ujian Lisan
  - 70 tajuk dan skop yang telah ditetapkan
  - Kriteria pemarkahan
  - Huraian dan contoh tajuk
  - Contoh soalan dan jawapan
  - Soalan ramalan

PELAKSANAAN PROJEK
Kos Projek

Untuk projek ini, pihak sekolah menggunakan beberapa peralatan sedia ada yang turut digunakan oleh Kelab Multimedia sekolah ini. Antara peralatan tersebut termasuklah komputer, hubb, modem, mesin pencetak, dan perkakasan asas untuk mengendalikan komputer. Bermula dengan sebuah komputer berintenet, kini pihak sekolah memiliki 7 buah komputer seperti itu. 3 daripada 7 buah komputer itu merupakan komputer yang telah dinaikkan taraf (upgrade).

Komputer yang sedia ada itu mempunyai ciri-ciri berikut:

i.      CPU Intel Pentium 233Mhz
ii.     RAM 32.0 Mb
iii.    Perisian Netscape atau Internet Explorer ( sebagai browser )

Untuk menjimatkan kos, 7 buah komputer tersebut dihubungkan secara sistem jaringan (network) dengan menggunakan 2 buah HUBB (sumbangan daripada pihak swasta ). Oleh itu, hanya sebuah MODEM diperlukan untuk mengakses Internet.

Anggaran perbelanjaan bagi pembelian peralatan tersebut adalah seperti berikut:

Bil Peralatan Anggaran Harga Seunit Jumlah Unit
 
ITEM UNIT HARGA
komputer -pelbagai jenis 7 RM 16 000.00
modem -56.0 bps 1 RM       300.00
hubb - 10bps -sumbangan 2 percuma
scanner 1 RM        400.00
pencetak bublejet - Canon SP210 1 RM        300.00
pendawaian RM        200.00 
JUMLAH RM   17 200.00

Bil telefon dibayar oleh Kelab Multimedia melalui kutipan wang yuran dan bayaran penggunaan Internet oleh pelajar dan guru. Kelab Multimedia sekolah mengenakan pembayaran seperti berikut:

Yuran Keahlian ( Selama masih menuntut di SMKTAM) RM 10.00
Bayaran penggunaan Internet  bagi ahli ( setiap jam ) RM   2.00
Bayaran penggunaan Internet bagi bukan ahli ( setiap jam ) RM   3.00
 

Tenaga Kerja

Untuk projek ini tenaga kerja yang terlibat secara langsung ialah :
1. seorang webmaster
2. semua guru mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5
3. seorang juruteknik
4. 2 orang pelajar sebagai pembantu guru.

Strategi Pelaksanaan

1 Menyediakan semua peralatan dan perkakasan yang diperlukan.

 Keperluan ini dibeli oleh pihak sekolah dan terdapat juga sumbangan daripada pihak PIBG dan syarikat swasta. Pihak sekolah juga melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian bilik media untuk diletakkan komputer yang akan digunakan oleh pelajar-pelajar. ( lampiran )

2 Pembinaan laman web.

 Pembinaan laman web dilakukan oleh Webmaster dan disediakan juga ruangan yang sesuai bagi penggunaan guru-guru bagi semua mata pelajaran yang ada di sekolah ini termasuk bahagian kokurikulum. Sebagai permulaan, ruangan mata pelajaran Bahasa Melayu disediakan dengan agak terperinci sebagai contoh untuk guru-guru mata-mata pelajaran yang lain. Laman web ini telah dibuka dan dapat diekses mulai 1 Januari 2000 melalui alamat yang berikut:
http://come.to/salleh  . Kandungan modul ini terdiri daripada lapan  bahagian, iaitu:
a. Penggunaan mel elektronik (membuka akaun, melengkapkan borang, mengirim dan menghantar mesej dan lampiran, dan sebagainya).
b. Perbincangan web atau forum.
c. Perbincangan secara konvensional menggunakan pendekatan pembelajaran koperatif (strategi Jigsaw II).
d. Membina dan mengirimkan tugasan melalui e-mel.
e. Bahan tutorial (bahan pelajaran Bahasa Melayu) di laman web.
f. Capaian-capaian yang berkaitan dengan topik-topik yang disediakan.
g. Chatroom
h. Soalan bulanan dan latihan

3. Promosi

 Setelah laman web siap dibina, webmaster  mempromosikan laman tersebut melalui poster yang dilekatkan di papan notis, dan dihebahkan kepada para pelajar dalam perhimpunan mingguan. Pihak sekolah juga menulis alamat laman web tersebut pada dinding sekolah untuk perhatian pelajar.

4.  Kumpulan rintis

10 orang pelajar yang memiliki komputer peribadi di rumah dipilih sebagai kumpulan pioneer  dan diberi kursus serta pendedahan tentang penggunaan modul dan bahan yang disediakan termasuk membuka akaun mel elektronik dan penggunaannya. Pelajar-pelajar tersebut kemudiannya akan membimbing rakan-rakan mereka yang lain.

5.  Perbincangan Web atau forum

 Setelah diberikan tajuk untuk dibincangkan pelajar-pelajar  dan juga guru-guru akan menyertai perbincangan tajuk melalui forum yang telah disediakan.  Pelajar-pelajar akan diajar cara-cara untuk menggunakan perbincangan ini terlebih dahulu di dalam kelas dan kemudian dipaparkan pada laman web yang disediakan.

6.  Pembelajaran kolaboratif

 Pembelajaran kolaboratif dilaksanakan ketika perbincangan web berlangsung. Para pelajar akan memberi pendapat untuk menghasilkan satu produk dalam bentuk penulisan secara kolaboratif.  Pembelajaran kolaboratif ini juga akan melibatkan guru-guru dari mana-mana kelas  yang menyertai perbincangan yang sedang berlangsung ini.

7.  Perbincangan secara konvensional

 Setelah tamat tempoh perbincangan web (sebulan), pelajar-pelajar dari setiap kelas  akan mengadakan perbincangan di dalam kelas masing-masing untuk menyusun fakta-fakta yang telah dibincangkan (pembelajaran koperatif).

8.  Berkongsi maklumat

 Setelah perbincangan secara konvensional, pelajar-pelajar akan berkongsi maklumat yang telah dibincangkan dengan menghantarkan hasil perbincangan yang telah dijalankan di dalam kelas.  Tugasan tentang topik-topik dibina secara kolaboratif oleh wakil daripada kelas-kelas yang menyertai perbincangan itu.  Pelajar juga diajar cara-cara untuk mengirimkan dokumen kepada guru dengan mengunakan e-mel.

9. Tutorial (bahan pelajaran yang telah disediakan di laman web)

 Bahan tutorial ini disediakan bagi membantu pelajar-pelajar memahami dengan lebih mendalam tentang topik-topik yang sedang dibincangkan.  Selain itu, bahan tutorial yang mengandungi tips  dan teknik menjawab soalan-soalan tertentu dapat dijadikan sebagai bahan ulang kaji sebelum menyertai perbincangan atau menyiapkan tugasan yang diberikan.

Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Modul Ini

Langkah-langkah Pengajaran dan Pembelajaran

Langkah-langkah pengajaran dan pembelajaran menggunakan modul ini akan dibahagikan kepada lima bahagian utama, iaitu bahagian tutorial, latihan, sebelum perbincangan bermula, semasa perbincangan, dan selepas perbincangan (menghasilkan tugasan bertulis). Ini merupakan satu contoh  penggunaan laman Web dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 4 dan 5.

Tutorial
1. Pelajar mengikuti tutorial yang disediakan.  Pelajar boleh memilih mana-mana tutorial yang ingin diikuti.
2. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, pelajar boleh bertanya dan menghubungi guru melalui e-mel.
3. Setelah mengikuti tutorial yang disediakan, pelajar boleh mengikuti latihan-latihan yang disediakan.
4. Pada peringkat ini pelajar boleh memilih untuk membuat latihan atau menyertai forum yang desediakan.  Sebagai contoh, pelajar boleh menyertai perbincangan tentang tajuk karangan yang telah diberi.

Latihan
1. Pelajar-pelajar akan diberi latihan berdasarkan bahagian utama dalam laman web iaitu, Karangan, Merumus, Kefahaman, dan Tatabahasa.
2. Setelah menyiapkan latihan, pelajar boleh mengirimkan latihan yang telah disiapkan kepada guru untuk disemak.

Sebelum Perbincangan Web Bermula
1. Seorang guru dilantik bertindak sebagai penyelaras projek dan meletakkan maklumat tentang projek di laman web yang telah disediakan khas.
2. Guru penyelaras menghubungi guru-guru dari kelas lain yang dijemput untuk menyertai projek ini.
3. Guru dari sekolah-sekolah lain berbincang tentang kehendak projek melalui mel elektronik. Guru-guru juga berbincang tentang latar belakang pelajar masing-masing.
4. Guru mengajar pelajar-pelajar untuk membuka akaun mel elektronik, menghantar mesej dan lampiran, dan cara-cara untuk menggunakan ruangan forum.

Semasa Perbincangan Web
1. Perbincangan bermula dari laman utama projek yang telah disediakan terlebih dahulu.
2. Para peserta boleh memilih sama ada untuk menyertai atau hanya membaca forum.
3. Untuk menyertai forum, pelajar mengisi borang disediakan terus menghantar pendapat ke tapak forum yang disediakan.  Forum yang disediakan dibahagikan kepada bahagian-bahagian utama iaitu, Karangan, Merumus, Kefahaman, dan Tatabahasa. Pelajar boleh memilih mana-mana tajuk untuk memberi pendapat atau pandangan.
4. Semasa perbincangan sedang berlangsung, sebelum menghantar pendapat ke tapak forum, pelajar-pelajar boleh menghubungi guru terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian sama ada fakta yang ingin dihantar itu tepat atau tidak.
5. Guru berkomunikasi dengan pelajar secara ‘personal’ melalui mel elektronik sekiranya terdapat kesalahan-kesalahan tertentu yang telah berlaku dan kemudian memaklumkan kesalahan itu kepada pelajar-pelajar  lain melalui forum itu.
6. Pelajar-pelajar juga berkomunikasi antara satu sama lain melalui mel elektronik.

Selepas Perbincangan Web
1. Setelah tempoh perbincangan tamat, pelajar-pelajar berbincang secara konvensional di dalam kelas masing-masing.  Kelas dibahagaikan kepada kumpulan-kumpulan tertentu. mengikut strategi Jigsaw II dalam pendekatan pembelajaran koperatif. Setiap anggota kumpulan merupakan ahli atau ‘expert’ dalam tajuk tertentu. Perbincangan diteruskan dalam kumpulan ‘expert’ kerana pembinaan laman Web akan diasasakan pada strategi TGT, iaitu setiap expert berusaha untuk mendapatkan markah yang terbaik untuk kumpulan masing-masing.
2. Fakta-fakta yang dibincangkan disusun semula mengikut tajuk-tajuk yang telah diberikan.
3. Ahli tentang setiap tajuk berkumpul dan berbincang tentang tajuk itu.
4. Dua orang wakil dari setiap kelas dikehendaki menghasilkan satu laporan tentang setiap tajuk kecil yang telah dibincangkan.  Pada peringkat ini, konsep strategi TGT diterapkan.
 Pada peringkat ini, peranan guru sebagai ketua kumpulan kolaboratif dan fasilitator sangat penting.
5. Wakil-wakil setiap tajuk kecil ini bertemu secara elektronik untuk berbincang tentang cara untuk mempersembahkan maklumat yang telah diperoleh  pada laman web.
6. Pelajar-pelajar boleh menghubungi guru-guru sebelum membuat keputusan untuk memaparkan hasil tugasan mereka di laman web.
7. Hasil perbincangan atau produk perlu dinilai oleh guru terlebih dahulu sebelum diterbitkan untuk dikongsi bersama.

PERHATIAN:       Guru-guru boleh mempelbagaikan penggunaan laman web ini dalam aktiviti
                             pengajaran dan pembelajaran mengikut kreativiti guru yang berkenaan.

PENILAIAN

Modul pengajaran dan pembelajaran yang dibina ini perlu dinilai untuk memastikan sejauh mana modul yang dibina betul-betul berkesan dan dapat dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran.  Bagi tujuan menilai modul yang dibina ini, satu ruangan khas telah disediakan dengan menggunakan program Java bagi pelajar-pelajar dan guru-guru menggred modul ini berdasarkan 5 kriteria utama iaitu sangat baik, baik, sederhana, lemah dan sangat lemah. Terdapat juga ruangan yang membolehkan peserta memberikan komen dan cadangan. Semua komen yang membina akan diberikan perhatian melalui perbincangan dalam mesyuarat Panitia Bahasa.

Peningkatan Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran

Pengajaran didapati lebih berkesan kerana bahan-bahan pengajaran yang dimasukkan merupakan hasil perbincangan guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Mesyuarat Panatia dan digunakan secara umum oleh semua guru di sekolah ini. Oleh itu, pengajaran dapat diselaraskan dan bagi kelas-kelas yang agak lemah, tajuk-tajuk dan topik-topik tertentu diubahsuaikan menurut kemampuan pelajar. Sementara itu, proses pembelajaran menjadi lebih baik terutamanya pembelajaran di luar bilik darjah. Ini kerana :

1.  para pelajar dapat membuat ulang kaji secara sendiri dengan menggunakan komputer di sekolah. Pelajar mengakses laman web sekolah dan mencari nota yang berkenaan untuk membuat ulang kaji dan mencari bahan tambahan.

2.  para pelajar dapat bersedia lebih awal dengan melihat tajuk-tajuk yang akan diajar oleh guru dan  topik- topik yang akan disentuh dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi tingkatan 4 dan 5. Misalnya  tajuk- tajuk karangan pada tahun ini.

3. pelajar yang memiliki komputer peribadi di rumah dapat mengakses dan menyertai ruangan forum yang disediakan serta menghantar karangan melalui emel sekurang-kurangnya satu karangan pada setiap bulan kerana terdapat ruangan “Tajuk Karangan Bulan Ini”.

4. pelajar dapat menyatakan kelemahan mereka dalam topik-topik tertentu dan menerima nasihat secara peribadi melalui emel. Terdapat juga pelajar yang menyuarakan masalah mereka dalam Ruangan Forum yang disediakan.

5. Guru dapat menggunakan nota yang sedia ada serta contoh latihan untuk dijadikan bahan pengajaran.

6. Guru menanda kerja atau tugasan pelajar, memberikan gred, memberi komen, dan memberikan latihan seterusnya yang bersesuaian dengan tahap kebolehan atau kemahiran pelajar berpandukan pencapaian latihan sebelumnya.
 

Peningkatan Tahap Kepuasan Hati Guru dan Pelajar

Pembinaan laman web ini merupakan sesuatu yang sentiasa "hidup" dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa. Oleh itu, terdapat beberapa item atau topik yang dibuang dan digantikan dengan item atau topik yang baru. Dengan perkembangan yang sedia ada, guru yang mempunyai pengetahuan dalam penggunaan komputer berintenet berpuas hati kerana mempunyai satu altenatif lagi dalam pemilihan sumber maklumat dan bahan bantuan mengajar.Para pelajar yang telah dibimbing untuk menggunakan media ini juga menganggap mereka kini mempunyai suatu sumber maklumat yang baru ketika berada di perpustakaan.

KERTAS KERJA INI DISEDIAKAN OLEH
SALLEH LONG -SMKTAM



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Modul Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Laman Web Sekolah
 
 
 

http://come.to/salleh
http://come.to/smktam
 
 
 
 
 
 

Oleh
En. Salleh Long
B.Ed (hons) -pbmp

Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik
Alor Setar, Kedah Darul Aman