TAJUK : KEMALANGAN JALAN RAYA
SKOP : Langkah mengatasi
FORMAT : Rencana
Kiriman : Kamilia Salleh - SMK Sultanah Bahiyah , Alor Setar,
Kedah.
KARANGAN
Soalan: Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah
kematian akibat kemalangan jalan raya yang tertinggi di dunia. Keadaan
ini banyak berpunca daripada pengguna yang hilang kesusilaan ketika memandu.
Tulis sebuah rencana tentang langkah-langkah yang wajar diambil bagi menyedarkan
pengguna jalan raya mengenai perkara tersebut.
SEDARLAH DEMI KELUARGA ANDA
OLEH: KAMILIA SALLEH
Banyak slogan yang telah disarankan oleh kerajaan untuk menyedarkan
pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu seperti “Jangan
biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dan “Jangan jadikan jalan
raya sebagai tempat berlumba”. Namun, didapati tidak banyak pengguna jalan
raya yang betul-betul memahami seruan kerajaan tersebut. Kini, Malaysia
telah disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang mencatat jumlah kematian
tertinggi akibat kemalangan jalan raya. Ini merupakan satu keaiban bagi
seluruh penduduk di Malaysia. Oleh itu, faktor-faktor kemalangan haruslah
dikenalpasti supaya langkah-langkah yang wajar dapat diambil bagi menyedarkan
pengguna mengenai perkara ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan banyak berpunca daripada pengguna
yang hilang kesusilaan ketika memandu.Komen yang sentiasa dapat kita dengar
daripada pelancong ialah negara kita mempunyai masyarakat yang bersopan
santun kecuali ketika memandu. Antara contoh yang jelas ialah gelagat penunggang
motosikal yang suka memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang
tidak selamat seperti di kawasan yang sempit, di selekoh, di garisan berkembar,
dan memotong dari sebelah kiri kenderaan. Perdana Menteri kita pernah mengeluarkan
kenyataan bahawa penunggang-penunggang motosikal tersebut mungkin menyangka
bahawa mereka tidak akan menemui maut di jalan raya.
Di samping itu, terdapat juga segelintir pemandu yang ingin mendapatkan
keseronokan atau “thrill” ketika memandu laju. Pemandu-pemandu seperti
ini akan tidak melepaskan peluang untuk memandu melebihi had laju yang
telah ditetapkan bagi kawasan-kawasan tertentu. Malah, oleh sebab ingin
memandu laju, mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang dianggap “biadab”
di jalan raya iaitu tidak mematuhi arahan lampu isyarat seperti tidak memberhentikan
kenderaan mereka ketika lampu isyarat berwarna merah. Perkara-perkara yang
dilakukan ini bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah nyawa
pengguna jalan raya yang lain juga akan turut terancam.
Kemalangan jalan raya telah dikenal pasti sebagai pembunuh utama
di negara kita. Menurut satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan
Kesihatan Wilayah Persekutuan, sebanyak 20 hingga 30 orang pengguna jalan
raya telah terkorban setiap hari. Angka ini akan bertambah ketika musim-musim
perayaan ketika jalan raya dan lebuh raya dibanjiri dengan pelbagai jenis
kenderaan. Menurut laporan tersebut juga, kebanyakan kemalangan berlaku
akibat pemandu atau penunggang motosikal yang bersikap angkuh, cuai , dan
terlalu ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing sehingga sanggup
memandu secara kurang sopan. Sesungguhnya risiko yang diambil itu tidak
setimpal dengan bencana yang diterima mereka.
“Kemalangan Sifar” merupakan slogan yang baru dilancarkan oleh kerajaan
kita baru-baru ini. Selogan tersebut merupakan satu lagi langkah kerajaan
untuk menginsafkan pengguna jalan raya yang memandu di jalan raya secara
tidak sopan. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan kemalangan sifar namun
kita berharap kempen yang dijalankan itu akan dapat mengurangkan angka
kematian yang amat membimbangkan itu.
Sementara itu, Jabatan Polis Bukit Aman pula telah mengeluarkan satu
kenyataan bahawa kebanyakan pengguna jalan raya di negara kita lebih takut
menerima surat saman daripada takut akan maut di jalan raya. Oleh itu,
dendaan melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu
merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu
yang hilang kesusilaan di jalan raya.. Operasi seperti “ops pacak” yang
dijalankan oleh pihak polis ketika musim perayaan baru-baru ini sepatutnya
dijalankan secara berterusan kerana operasi tersebut didapati berjaya mengurangkan
kadar kemalangan yang sering berlaku di tempat-tempat yang telah dikenal
pasti.
Dalam perkembangan yang lain, kemalangan juga didapati banyak berlaku
akibat pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Hal ini jelas kerana seseorang
yang dipengaruhi minuman keras tidak akan dapat membuat agakan yang tepat
dan sering hilang pertimbangan serta tidak pasti arah tuju kenderaan yang
dipandunya akibat pemandangan yang kabur. Dalam hal ini, sekatan jalan
raya sepatutnya diadakan secara berterusan terutamanya selepas jam 12 tengah
malam. Hal ini demikian kerana pemandu yang mabuk selalunya berada di jalan
raya ketika itu kerana baru keluar dari kelab malam atau pusat-pusat hiburan
yang lain. Pemeriksaan kandungan alkohol melalui pernafasan sepatutnya
dijalankan dengan lebih berhati-hati agar tidak ada sesiapa yang terlepas
daripada peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
Walaupun negara kita mempunyai undang-undang untuk mengawal pemandu
yang tidak bersopan, namun pada pendapat saya, kesedaran dalam diri pemandu
itu sendiri merupakan langkah yang paling berkesan untuk mengelakkan kemalangan.
Dengan perkataan lain, pengguna jalan raya hendaklah mempunyai kesedaran
sivik. Mereka sepatutnya sedar sikap mereka yang tidak bersopan ketika
di jalan raya itu akan menyebabkan keluarga mereka menanggung sensara.
Bayangkanlah seorang anak yang kehilangan ibu bapa, isteri yang kehilangan
suami, atau penderitaan akibat kecacatan yang kekal sepanjang hayat; semua
itu tidak setimpal dengan keseronokan yang bersifat sementara akibat menurut
hawa nafsu.
Sebagai warga negara pula, kita tidak mahu mencemarkan nama negara kita
sebagai negara yang mempunyai pengguna jalan raya tidak bersopan yang terbanyak.
Kita juga tidak mahu nama Malaysia dicatat sebagai negara yang mempunyai
kematian terbanyak akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu langkah-langkah
yang wajar seperti yang telah dibincangkan hendaklah dilaksanakan segera.
Sementara itu pemandu yang hilang kesusilaan hendaklah segera sedar dan
cuba membaiki kelemahan mereka kerana saya yakin kita tidak mahu keluarga
kita menunggu kepulangan kita dengan tangisan. Sedarlah demi keluarga anda
yang tercinta!!