Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
TEKNIK MENULIS ISI TERSIRAT
Isi tersirat ialah isi yang tidak disampaikan secara langsung dalam isi penting. Pelajar memerlukan latihan yang banyak untuk memahami aspek ini. Namun begitu, kebiasaannya isi tersirat dapat ditulis berpandukan isi tersurat juga misalnya:

Bapa membeli seutas jam tangan. (isi tersurat)
Bapa sangat prihatin tentang masa. (isi tersirat)



CONTOH ISI TERSIRAT YANG DIAMBIL DARIPADA ISI TERSURAT YANG TERDAPAT DALAM PETIKAN.

1.  Pencemaran alam semakin meningkat. Mengikut Laporan Jabatan Alam Sekitar pada tahun 1989 kandungan gas beracun dari asap kenderaan dan pembuangan sisa beracun dari kilang telah meningkat walaupun beberapa usaha telah dijalankan.

J:  Usaha mengatasi masalah pencemaran kurang berkesan kerana tiada kerjasama daripada semua pihak.

2.  Negara-negara dunia telah menuduh Malaysia menebang hutannya tanpa perancangan dan kawalan sehingga memberi kesan terhadap cuaca dunia dan lapisan ozon.

J:  Negara-negara dunia telah sedar tentang kepentingan hutan terhadap alam sekitar.

3.  Kerajaan telah memberi peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan dalam belanjawan negara tahun 1995. Belanjawan dalam bidang pendidikan menduduki tempat kedua terbesar selepas bidang pertahanan.

J:  Bidang pendidikan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

4.  Masalah perumahan semakin meruncing. Kini, di Johor Bahru sahaja terdapat 100, 000 permohonan untuk memiliki rumah sendiri dan ini tidak termasuk di daerah-daerah lain.

J:  Rancangan pembangunan yang terancang diperlukan untuk menangani masah perumahan.

5.  Masalah ponteng sekolah semakin meningkat. Umpamanya dalam tahun 1995, seramai 120, 000 pelajar di daerah Batu Pahat telah ponteng sekolah. Di Johor Bharu sebahagian pelajar yang ponteng  sekolah telah berpeleseran di pusat-pusat membeli belah.

J:  Pengajaran dan pembelajaran di sekoloah tidak berjaya menarik minat para pelajar untuk belajar.

6.  Di bandar-bandar besar, ibu bapa sibuk mencari wang untuk menampung kehidupan yang semakin meningkat. Ibu bapa tidak mempunyai banyak masa untuk diluangkan kepada anak-anak.

J:  Kehidupan anak-anak terbiar kerana ibu bapa lebih mementingkan kebendaan.

7.  Bilangan pelajar yang melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti di luar negara semakin bertambah. Universiti-universiti tempatan tidak mampu menampung permintaan yang semakin bertambah.

J:  Bilangan universiti tempatan perlu ditambah untuk menampung permintaan pelajar yang mementingkan pelajaran tinggi bagi menjamin masa depan mereka.

8.  Kebuluran telah berlaku dibeberapa buah negara terutama dinegara-negara miskin di Afrika dan India.

J:  Bekalan makanan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan manusia kerana bilangan penduduk di dunia  semakin bertambah.

9.  Di bandar-bandar banyak penyakit telah melanda masyarakat. Penyakit tersebut berpunca daripada rakyat sendiri seperti kuat merokok meminum arak, dan menjalani kehidupan yang tidak sihat.

J:  Penduduk bandar kurang mementingkan aspek kesihatan dalam kehidupan mereka.

10. Sebelum merdeka rakyat telah dihidapi pelbagai penyakit.

J:  Penjajah telah mengabaikan aspek kesihatan rakyat.

PERHATIAN

Jangan berikan pendapat anda dalam isi tersirat kecuali bagi skop "cara mengatasi". Oleh itu, elakkan penggunaan kata-kata seperti :
hendaklah, mestilah, haruslah, sepatutnya, ...dan sebagainya.


MENULIS KESIMPULAN
Kesimpulan ialah satu ayat yang menyimpulkan semua isi penting yang terdapat dalam rumusan anda. Misalnya:

Dengan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat, masalah kepupusan haiwan liar akan dapat diatasi dengan kadar yang segera.