Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

 

PENYAKIT MENTAL

Penyakit mental adalah istilah umum yang merujuk kepada sekumpulan penyakit-penyakit mental. Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya. Penyakit mental boleh berbeza dari segi tahap keterukannya, jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian. Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang. Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan.

Akibat dari salah faham mengenai penyakit mental, pesakit dan keluarga mereka kadang-kadang dicemuh dan disisih dalam masyarakat.

Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan ;

Penyakit Psikosis

Pada tahap teruk, seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan dengan alam nyata. Kebolehan seseorang memahami pemikiran dan perasaannya serta rangsangan dari luar terganggu di tahap teruk ini. Mereka merasai persekitarannya berbeza dengan orang yang normal. Apa yang mereka lihat, dengar dan rasai sebagai sesuatu yang benar tetapi tidak dialami oleh orang di sekitarnya. Pesakit mungkin bertindak di atas apa yang dialami dan tingkahlakunya mungkin kelihatan “luar biasa”. Orang-orang yang tidak biasa dengan tingkahlaku dan pengalaman mereka mungkin sukar memahami akan kekeliruan dan ketakutan pesakit psikosis dan melihatnya sebagai sesuatu yang menakutkan.

Pada masa dahulu pesakit mental psikosis diasingkan dan dipisahkan dari masyarakat. Tetapi, pada hari ini, dengan adanya rawatan dan ubatan yang berkesan, kebanyakan mereka dapat menjalani kehidupan yang produktif dan bermakna.

Diantara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis manik depresif.
 

Skizofrenia
 

Kebanyakan dari gejala skizofrenia disebabkan oleh kecelaruan proses mental. Kepada orang yang normal, fikiran, percakapan, pendengaran adalah pengalaman subjektif yang berbeza tetapi pada pesakit perbezaan ini menjadi kabur. Fikiran yang timbul dalam otak pesakit akan dialami sebagai suara asing dari luar dan kebanyakan dari fikiran dan perasaan pesakit akan dirasai seolah- olah diketahui dan disebabkan oleh orang lain. Pengalaman subjektif yang aneh ini ditambah dengan “delusi” bahawa orang perseorang, organisasi atau kuasa- kuasa yang natural atau yang tidak natural dalah bertanggungjawab diatas pengalaman yang dihadapi. “ halusinasi” juga berleluasa terutamanya yang berbentuk “ auditori” dimana suara- suara menyebut pesakit sebagai orang kedua atau membuat komen terhadap pesakit. Fikiran akan terganggu sehingga percakapan pesakit menunjukkan penggunaan perkataan yang tidak logik atau fikiran idiosinkratik anih dan luar biasa dan tak dapat difahami. Ini boleh berlarutan sehingga menjadi gangguan atau membantut aliran percakapan yang akan menjadi “ disconnectad” sehingga tidak dapat difahami langsung. Interpretasi pesakit terhadap persekitarannya akan menjadi terganggu sehingga ia percaya bahawa objek- objek dan perkara- perkara yang berlaku seharian seperti percakapan, siaran televisyen dan sebagainya mempunyai makna yang lain dan ditujukan khas untuknya.
 

Kawalan emosi juga terganggu dan cetusan emosi yang tidak diduga seperti tiba- tiba menjadi ganas atau “mood swings” kerap berlaku. Pada setengah pesakit pula mereka kehilangan daya perasaan atau emosi dan menjadikan pesakit “blunted” atau “ apathetic”. Gangguan seperti ini juga boleh berlaku pada aktiviti motor dimana pesakit menjadi resah ataupun katatonik yakni pesakit tidak akan bergerak langsung dan akan tinggal didalam sesuatu postur sehingga ia diubah ataupun diubati.
 

Gejala- gejala lain yang boleh berlaku adalah seperti delusi “grandeur” , keagamaan, seksual, perubahan somatik, halusinasi- halusinasi, bauan-bauan, sentuhan, perasaan terpisah dengan orang lain (depersonalization), dan perasaan tidak berada dialam nyata  (yang asli) atau terpisah dengan persekitaran (derealization).
 
 

Sebab- sebab skizofrenia
 

Apakah yang menyebabkan skizofrenia masih belum diketahui dengan tepat tetapi banyak kajian telah menunjukkan pentingnya faktor kecenderungan bersifat genetik. Juga faktor- faktor somatik dan sosial dapat mempengaruhi berulangnya penyakit ini. Kajian- kajian (kadar konkordon) dalam kembar monozigotik yang dipelihara bersama dan berjauhan menunjukkan kadar kondordana 50 - 60% berbanding 12% dalam siblings. Kadar- kadar ini tidak menunjukkan satu genetik model Mendellian yang biasa kecuali model multifaktoral poligenetik yang tidak spesifik. Baru- baru ini satu kontroversi telah terjadi apabila satu kajian telah menunjukkan lokus genetik pada kromoson 5 tetapi sehangga kajian replikasi dapat dilakukan, kita tidak dapat membuat kesimpulan awal terhadap penyebab skizofrenia.
 

Selain dari itu personaliti pesakit juga dikatakan penting sebagai faktor penyebab. lebih kurang 35% pesakit skizofrenia adalah pemalu dan suka bersendiri sebelum gejala menjadi ketara. Pengaruh organik juga adalah penting. Sebahagian dari pesakit pernah mengalami kecederaan pada otak., ketumbuhan otak dan juga kesan- kesan toksik pada otak seperti amfetamin dan sebagainya. pertalian dengan pesakit epilepsi juga telah dibuktikan di dalam beberapa kajian “ Computerized Tomography Scanning” dan “ Magnetic Resonance Imaging” telah menunjukkan perubahan berlaku pada otak pesakit skizofrenia seperti pembesaran ventrikel serebral otak yang marginal.
 

Teori- teori biokimia dan virus menggambarkan yang kelainan biokimia yang spesifik adalah mustahak dalam (asal usul) skizofrenia. Ubat- ubat seperti fenotiazin dan penggunaan amfetamin dos tinggi serta antagonis dan agonis dopamin telah menyebabkan adanya hypotesis yang menunjukkan sebagai salah satu penyebab tetapi ini didasarkan kepada penemuan- penemuan yang tak langsung dan tak menyeluruh. Hypotesis virus juga demekian ( kerosakan oleh slow virus dan retrovirus).
 

Kajian- kajian terkini adalah mengenai “cerebral laterality” dan hemisfera yang dominan. Bukti- bukti kini menunjukkan bahawa pesakit skizofrenia mempunyai gangguan pada imbangan fungsi- fungsi cerebral diantara kedua- dua hemisfera otak.
 

Rawatan pesakit skizofrenia biasanya mengambil masa yang lama dan terbahagi kepada tiga tatacara. Ia terdiri dari rawatan fizikal dalam bentuk farmakoterapi dengan ubat- ubat fenotiazin atau butirofenon. Kesan rawatan ini hanya sekadar 50% sahaja dan rawatan psikologikaldalam bentuk kaunseling dan latihan asertif perlu juga dijalankan. Yang penting sekali adalah rawatan sosial terutamanya dalam bentuk pemulihan. Beberapa program seperti rangsang sosial dan latihan pekerjaan dijalankan di jabatan agar pesakit dapat berfungsi sebaik mungkin (lihat gambar). Tidak kurang penting adalah masyarakat harus dapat menerima pesakit apabila mereka selesai menjalani satu program pemulihan supaya penyakit tidak berulang.
 
 

Penyakit Depresi   
 

Sejenis lagi penyakit mental yang mudah diubati tetapi serius dan dapat menurunkan productiviti individu adalah “ depresi endogenus”. Penyakit ini menyebabkan pesakit menjadi murung, tidak berminat pada semua jenis rangsang, mempunyai masalah tidur, kurang daya tenaga, tidak dapat memberi tumpuan dan lebih serius lagi menaruh perasaan tidak berguna, masa depan yang gelap dan lebih berminat untuk mati. Pesakit- pesakit ini selalunya cuba membunuh diri. Mereka ini jika diberi pengubatan awal yang sempurna akan sembuh seperti sediakala selepas beberapa minggu, tetapi jika tidak mungkin berkesudahan membunuh diri.
 

Di antara penyebab utama penyakit ini adalah faktor genetik. Kontribusi genetik adalah ketara pada pesakit - pesakit yang mempunyai gejala- gejala biologikal seperti gangguan tidur, gangguan selera makan, penerunan berat badan, sembelit, pengurangan dorongan seks, dan pada pesakit wanita gangguan haid, didalam semua kajian yang di jalankan didapati risiko morbiditi di dalam ahli keluarga paling rapat (first degree relative) adalah tinggi.
 

Di dalam kajian kembar, kadar konkordans pada kembar monozigotik adalah 65% dan dizigotik adalah 14% . Kanak- kanak yang mempunyai ibu- bapa biologikal yang mengalami depresi  yang dibela oleh keluarga angkat (adopted), kadar penyakit ini pada kanak- kanak tersebut tetap tinggi jika dibandingkan dengan kanak- kanak yang tidak mempunyai ibu- bapa biologikal yang mengidap penyakit tetapi dibela oleh keluarga angkat. Kajian- kajian ini menunjukkan penyakit ini adalah keturunan bukan disebabkan oleh perubahan persekitaran.
 
 

Sebab- sebab depresi
 

Faktor- faktor penyabab lain adalah faktor sosial. Kajian (life events) Penelitian pada peristiwa- peristiwa menunjukkan penyakit ini boleh dikaitkan dengan peristiwa kehilangan- kehilangan pekerjaan, keluarga, sahabat, wang ringgit, kesihatan, atau status. Adalah dianggarkan bahawa peristiwa hidup yang teruk atau luar biasa di dalam masa enam bulan selepas peristiwa tersebut akan menambahkan risiko penyakit ini. Walau bagaimanapun ada beberapa faktor yang dapat mengubahsuai atau mempengaruhi gerakan individu terhadap peristiwa tersebut. Diantara faktor- faktor ini adalah latar belakang kelas pekerjaan, hubungan dengan teman hidup, tidak mempunyai pekerjaa, bilangan anak lebih dari tiga orang, kehilangan ibu- bapa sebelum umur 11 tahun.
 

Kajian- kajian terkini tertumpu terhadap mencari petanda biologikal untuk depresi. Salah satu yang mula di kaji adalah Dexamethasone Suppression Test (DST). Satu dos deksametason diberikan pada sebelah petang dan kadar plasma kortisol dicatat pada hari berikutnya. Ketidakupayaan untuk menekan rembesan kortisol endogenus dibawah satu tahap rujukan menunjukkan depresi endogenus terutamanya sekiranya ada berlaku kekurangan berat badan pada pesakit. kelainan ini menunjukkan adanya hyperaktiviti paksi hipotalamopituitari - adrenal.
 

Satu lagi penemuan adalah  ketidakupayaan klonidin, satu ubat bersifat agonis reseptor alpha -2 untuk meransang rembesan hormon pertumbuhan. Gerakan ini menjadi normal seketika dengan rawatan ubat antidepressi kemudian menjadi abnormal semula menunjukkan bahawa mereka yang mengalami depresi, mempunyai keabnormalan pada reseptor alpha -2, di hipotalamus. Seperti pada DST, ujian ini hanya abnormal dalam pesakit yang mempunyai depresi endogenus.
 

Ritma sircadian yang abnormal juga telah didapati pada pesakit depresi. Secara klinikal ini dilihat dari perbezaan sahaja (diurnal varition) terhadap emosi pesakit iaitu, bangun pada awal pagi umpamanya pukul 2 pagi dan terus tidur lagi.Kadang kala penyakit yang berkala, umpamanya depresi hanya pada satu- satu masa yang sama setiap tahun. Kelainan pada ritma sircadian kortisol dan melatonin telah didapati dan EEG semasa tidur menunjukkan fasa pertama tidur jenis REM, (rapid eye movement) berlaku lebih awal dari normal. Juga pada setengah pesakit didapati keadaan supersensitif terhadap cahaya yang terkena retina yang mengakibatkan tekanan hormon melatonin. Kelainan pada aras monoamin diotak terutamanya noredrenalin dan serotonin sukar dibuktikan. Ini adalah kerana amat sukar sekali untuk menyukat aras amin pada lokasi- lokasi penting seperti sistem limbik. Juga cecair serebrospinal tidak dapat digunakan dengan baik sebab cecair ini boleh dipengaruhi oleh bermacam- macam faktor seperti postur, diet dan latihan. jasmani. Walau bagaimanapun penemuan dan keupayaan ubat- ubat antidepresi yang lebih baru dan selektif menunjukkan adanya peranan monoamin- monoamin ini.
 

Setakat ini semua petanda- petanda ini tidak menunjukkan sebarang kegunaan dignostik, tetapi ia tetap menunjukkan kaitan stastik yang kuat. Kepuutsan false- positive juga terdapat pada penyakit- penyakit perubatan yang lain dan tidak hanya pada penyakit depresi endegonus.
 

Seperti skizofrenia, rawatan depresi terbahagikepada dua faktor utama iaitu rawatan dengan ubat- ubat anti- depresi , atau ECT (Electro Convulsive Theraphy) dan rawatan psikologikal.
 

Gangguan Bipolar ( “ Bipolar Disorders” ) pula merupakan sejenis lagi penyakit keturunan dimana pesakit akan mengalami depresi (seperti diatas) dan “ Mania” secara bergilir- gilir.   “ Mania”  adalah satu keadaan dimana pesakit akan menjadi terlalu aktif hingga ia dapat merosakkan dirinya. Emosi pesakit biasanya euforik atau teraja, tetapi kadangkala “irritable”, “ hostile” dan membinasakan, daya tenaga pesakit akan bertambah dan mereka merasa tidak perlu pada tidur atau rehat.Mereka mempunyai fikiran- fikiran luar biasa yang “ grandiose” dan kadang- kadang sampai ketahap delusi. Mereka kerapkali mempunyai masalah ekonomi kerana berbelanja berlebihan dan tidak dapat memahami dan menerima akibat tindakan yang dilakukan. Pada peringkat permulaan pesakit hanya kelihatan seperti “ bersemangat tinggi” terutamanya apabila ia sebelum ini mengalami episod depresi dan perlu bekerja keras untuk “ menyudahkan” aktiviti- aktiviti yang tidak dilakukansemasa ia bersedih. Penyakit ini juga dapat diubati jika diberi rawatan awal dan khusus.Rawatan utama adalah dengan ubat Litium karbonat.
 

Penyakit-penyakit Bukan Psikosis

Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan kita. Apabila perasaan biasa ini dan tingkahlaku tertentu berlaku secara berlebihan, tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu kehidupan seseorang dalam menjalani aktiviti harian, hubungan dengan orang lain dan keupayaan seseorang untuk menikmati keseronokan hidup, ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis bukan psikosis (neurosis).

Di antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah fobik (ketakutan yang tidak berasas), keresahan (anxiety), kemurungan (depression) dan obsessif kompulsif.   

Penyakit mental lain
 

Penyakit- penyakit mental lain yang kurang serius, tetapi dapat menyebabkan pesakit menderita dan juga dapat merugikan negara kerana mereka tidak berfungsi normal adalah neuroses, gangguan personaliti, gangguan psikomatik, dan gangguan pengubahsuai.(personality disorders, psychomatic disorders dan adjustment disorders). Penyakit- penyakit ini dahulunya kurang didapati, tetapi dengan perkembangan perindustrian dan modernisasi masyarakat yang pesat mereka yang tidak menurut rentak perubahan mengalami tekanan jiwa dan masalah- masalah diatas terutamanya neuroses, gangguan pengubahsuai dan gangguan psikomatik telah bertambah. Masalah seperti ketidakstabilan rumahtangga, kesesakan perumahan dan mendera kanak- kanak telah juga bertambah. Ini semua adalah masalah baru dan memerlukan kajian dan rawatan yang baru juga. Semua masalah ini perlu diubati dengan cara “psychotherapy” yang khusus dab cara psikoterapi analitikal yang dilakukan di negara- negara barat biasanya tidak sesuai dengan penduduk tempatan terurtamanya penduduk Kelantan. Jadi satu kaedah yang baru perlu ditemui segera untuk membantu pesakit- pesakit ini dan usaha sedang dibuat kearah ini di Jabatan Psikiatri. Walau bagaimanapun rawatan yang sedia ada telah dapat membantu sedikit sebanyak pesakit- pesakit ini.
 

Selain dari itu masalah penggunaan dadah juga telah berleluasa dan sehingga kini masih belum dapat di bendung dengan sempurna walaupun undang- undang yang ada adalah tegas.Puncanya adalah keluarga dan masyarakat dan disinilah peranan komuniti psikiatri yang perlu diwujudkan. Tetapi tanpa kesedaran, masyarakat komuniti psikiatri tidak akan berkesan.
 

Satu lagi masalah yang amat ketara yang tidak disedari masyarakat ialah masalah psikiatri kanak- kanak. Masalah mental di kalangan kanak- kanak kian bertambah dan pada 7 bulan pertama tahun 1992 sahaja unit Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia telah merawat 62 orang pesakit kanak- kanak dibawah umur 12 tahun. Masalah utama adalah ( “behaviour problems”) masalah tingkahlaku, hiperaktiviti,( “learning disorders” ) masalah pembelajaran,
(“ school phobia”) fobia sekolah dabbeberapa masalah lain yang disebabkan oleh masalah di dalam rumah tangga dan keluarga kanak- kanak ini.
 

Jadi masalah mental memang ada dan tidak boleh diketepikan. Sebenarnya setiap penyakit fizikal juga memberi kesan tekanan jiwa disebabkan penyakit fizikal itu. Umpamanya pesakit kanser tentu akan mengalami tekanan jiwa, tetapi masalah- masalah ini biasanya diketepikan dan jika pesakit itu diberi rawartan mental bersamaan dengan rawatan fizikal nescaya pesakit akan merasa lebih segar dan gerak balasnya terhadap pengubatan fizikal juga akan menjadi lebih baik.
Kesimpulan
 

Masyarakat mempunyai peranan didalam rawatan pesakit mental. Dengan kesedaran diharapkan satu masyarakat penyayang akandapat dihasilkan. Semoga masyarakat penyayang ini peka pada masalah pesakit mental dan tidak lagi curiga dan takut kepada mereka dan terus membantu mereka untuk mencapai matlamat masyarakat yang sihat mental dan fizikal pada abad akan datang.
 

 


RAWATAN UTAMA PENYAKIT MENTAL 

Seperti penyakit fizikal, penyakit mental juga boleh diubati. Apabila seseorang mengalami penyakit mental, mereka perlu menjalani penilaian oleh kakitangan kesihatan. Maklumat terus terang dan tepat dapat membantu kakitangan kesihatan dalam menentukan diagnosa dan merancang jenis rawatan dengan tepat. Sebahagian besar daripada mereka dapat dirawat sebagai pesakit luar tanpa memerlukan kemasukan ke hospital atau institusi mental. Terdapat berbagai jenis rawatan untuk penyakit mental. Rawatan yang diberikan kepada sesesorang bergantung kepada jenis penyakitnya dan keperluan individu. 

Rawatan-rawatan Utama Yang Selalu Digunakan

Psikoterapi dan kaunseling 

Kaunseling boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam. Rawatan ini diberikan secara pesakit luar. Seseorang itu mungkin memerlukan beberapa sesi kaunseling sebelum mendapat kesan rawatan. Jumlah sesi kaunseling bergantung kepada jenis penyakit dan keperluan individu. 

Rawatan psikotropik 

Terdapat berbagai jenis ubat-ubatan yang dikelaskan sebagai ubat psikotropik yang digunakan untuk rawatan penyakit mental. Ubat-ubatan antipsikotik boleh mengurangkan atau menghapuskan gejala-gejala psikosis. Sementara ubat-ubatan jenis lain boleh mengurangkan tekanan, kemurungan dan keresahan (anxiety) sehingga pesakit dapat mengendali gejala-gejala penyakitnya dengan lebih baik. Sebahagian ubatan jenis ini mengambil masa yang agak lama sebelum memberi kesan. Bagaimanapun, pengambilan ubat-ubatan jenis ini mestilah mendapat nasihat dari pengamal perubatan yang sah. Sebahagian pesakit mental perlu meneruskan pengambilan ubatan psikotropik untuk jangka masa yang panjang sepertimana rawatan fizikal, contohnya penyakit darah tinggi dan kencing manis. 

Rawatan tingkahlaku 

Rawatan jenis ini memberi tumpuan kepada membantu pesakit mengubah cara berfikir atau tingkahlaku yang tertentu yang mengganggu dan menimbulkan gejala penyakit. Terdapat berbagai jenis rawatan tingkahlaku yang boleh digunakan untuk merawat penyakit mental tertentu. Teknik releksasi adalah merupakan satu contoh rawatan jenis ini. 

Rawatan elektrokonvulsif 

Rawatan elektrokonvulsif diberikan melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah merentasi otak seseorang. Rawatan jenis ini adalah selamat, tidak berbahaya dan biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius. Sebelum rawatan diberikan, seseorang itu akan diberi bius.