Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

 

DARJAH-DARJAH KEBESARAN NEGERI

Darjah-darjah Kebesaran Negeri bagi Negeri Terengganu Darul Iman mula diwujudkan pada tahun 1962 iaitu semasa pemerintahan Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah di bawah kuasa Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu 1911, Bad Kedua. Kuasa Undang-undang ini memperuntukkan :-

Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia yang dikuatkuasa pada 19 Jun 1962.

Darjah Kebesaran Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati yang dikuatkuasakan pada 19 Jun 1962.

 

Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia ini terdiri daripada dua peringkat iaitu :-

Pertama

(Panglima Besar) – Ahli Darjah kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Pertama.

Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 16 orang dan tanda-tanda kebesarannya mengandungi :-

Kalung (rantai)

Bintang

Selempang

Lencana

Setiap penerima darjah kebesaran ini hendaklah memakai Bintang Darjah Kebesaran Kerabat berkenaan di sebelah kiri pakaian luar dan lencana yang tergantung pada pita (Selempang) dipakai bersandang di atas bahu kiri ke rusuk kanan. Bagaimanapun pada masa tertentu, lencana itu hendaklah digantungkan pada kalung (rantai).

 

Kedua

(Panglima) – Ahli Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Kedua.

Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 24 orang dan tanda-tanda kebesarnnya mengandungi :-

Bintang

Lencana

Selempang

Setiap penerima darjah kebesaran ini hendaklah memakai Bintang Darjah Kebesaran Kerabat berkenaan di sebelah kiri pakaian luar dan lencana yang tergantung pada pita yang dikalungkan ke leher.

Keahlian di dalam Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia ini terdiri daripada golongan kerabat yang berdarah raja yang didapati layak dan munasabah serta berjasa atau yang mempunyai kebolehan-kebolehan tertentu, memiliki sifat-sifat mulia, setia serta khidmat-khidmatnya mematutkan diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan.

Penganugerahan kepada raja-raja atau putera-putera raja asing dan pengurniaan kepada orang-orang asing yang didapati layak dan munasabah untuk diterima sebagai Ahli Kehormat boleh juga diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan walaupun jumlah mereka melebihi had yang telah ditetapkan.

Kedua-dua Darjah Kebesaran ini hendaklah digunakan pada setiap masa yang teradat dan memakai huruf D.K. selepas nama masing-masing.

Cogan kata bagi Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia ini ialah "Muafakat Itu Berkat".

Penganugerahan kepada mana-mana orang yang diterima ke dalam Darjah Kebesaran ini boleh dibatalkan atau dimansuhkan dengan syor-syor yang diberi oleh Jumaah Pangkuan Negeri atas perkenan Duli Yang Maha Mulai Al-Sultan.

Apabila seseorang ahli meninggal dunia maka tanda kebesaran yang telah dikurniakan kepadanya hendaklah dipulangkan oleh waris atau wakil ahli itu kecuali diperkenankan dengan limpah kurnian Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan untuk disimpan oleh waris atau waris-waris ahli yang meninggal dunia itu.

Waris bagi Ahli-ahli Yang Kehormat dari Darjah Kebesaran ini dikehendaki melaporkan secara bertulis tentang kematian penerimanya dengan seberapa segera kepada Pendaftar Darjah Kebesaran Yang Amat Mulia ini.

 

Darjah Kebesaran Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati dikurniakan kepada mereka yang berjasa kepada negeri dan Darjah Kebesaran ini terbahagi kepada empat (4) peringkat seperti berikut :-

 

Pertama

(Penglima Besar) – Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T.)

Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 25 orang. Tanda-tandan kebesarannya mengandungi :-

Kalung (rantai)

Bintang

Selempang

Lencana (dokoh)

Ahli Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai bintang berkenaan di sebelah kiri pakaian luar dan lencana yang tergantung pada pita (Selempang) dipakai bersandang di atas bahu kanan ke rusuk kiri. Walau bagaimana pun pada masa tertentu Lencana ini bolehlah digantung pada Kalung (rantai).

Mereka yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini hendaklah mengguna, menyandang panggilan dan gelaran Dato’ sebelum nama masing-masing manakala isteri-isteri mereka pula hendaklah menggunakan gelaran To’ Puan pada setiap masa.

 

Kedua

(Panglima) – Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.)

Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 50 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :-

Bintang

Lencana (dokoh)

Selempang

Penerima Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai Bintang berkenaan di sebelah kiri pakaian luar dan Lencana yang tergantung pada Pita hendaklah dikalungkan ke leher. Mereka yang dianugerahkan Darjah Kebesaran ini hendaklah mengguna, menyandang panggilan dan gelaran Dato’ sebelum nama masing-masing manakala isteri-isteri mereka hendaklah menggunakan gelaran To’ Puan pada setiap masa.

 

Ketiga

(Taulan) – Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.)

Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah seramai 100 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :-

Lencana

Selempang

Penerima Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai Lencana berkenaan yang digantung pada Pita dan dikalungkan ke leher :-

 

Keempat

(Ahli) – Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T.)

Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah seramai 200 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :-

Lencana

Selempang

Penerima Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai Lencana berkenaan di sebelah dada kiri.

Kaum wanita yang menerima Darjah Kebesaran masing-masing hendaklah memakai seperti mana yang ditetapkan kecuali pada masa tertentu apabila mereka dikehendaki mengantungkan lencana berkenaan pada suatu pita yang sama warna dan bentuk rupanya untuk dipakai pada bahu kiri.

Penerima yang terdiri daripada bukan anak watan Terengganu disifatkan sebagai Yang Kehormat dan jumlah mereka tidak termasuk dalam bilangan yang ditetapkan.

Cogan kata bagi Darjah Kebesaran ini ialah "Bersetia Itu Jasa".

Lantikan keahlian ke dalam mana-mana Darjah-darjahKebesaran ini boleh dibatalkan atau dimansuhkan dengan syor-syor yang diberi oleh Jumaah Pangkuan Negeri atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan.

Apabila seseorang penerima Darjah Kebesaran meninggal dunia, maka tanda kebesaran yang telah dikurniakan kepadanyan itu hendaklah dipulangkan kepada waris atau wakilnya kecuali diperkenankan dengan limpah kurnia Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan untuk disimpan oleh waris-waris ahli yang meninggal dunia itu.

Bagi seseorang penerima yang mendapat kurnian Darjah Kebesaran yang lebih tinggi, tanda kebesaran yang lebih rendah yang mereka terima sebelumnya hendaklah dikembalikan.

Pada tahun 1982, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, di bawah kuasa Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu Bab Kedua, telah mewujudkan Darjah Kebesaran Sultan Mahmud I Terengganu Yang Amat Terpuji.

Darjah Kebesaran ini terbahagi kepada tiga peringkat sepertimana berikut :-

 

Pertama

(Panglima Besar) – Ahli Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (S.S.M.T.)

Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 16 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :-

Kalung (rantai)

Bintang

Selempang

Lencana

Seseorang penerima hendaklah memakai Bintang Darjah Kebesaran Kerabat ini di sebelah kiri pakaian luar dan Lencana yang tergantung pada Pita (Selempang) yang dipakai bersandang di atas bahu kiri ke rusuk kanan atau digantung pada kalung (rantai) apabila dikehendaki.

 

Kedua

(Panglima) – Ahli Dato’ Setia Sultan Mahmud Terengganu (D.S.M.T.)

Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 32 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :-

Bintang

Selempang

Lencana

Seseorang penerima hendaklah memakai Bintang Darjah Kebesaran Kerabat ini di sebelah kiri pakaian luar dan menggantungkan Lencana pada Pita yang dikalongkan ke leher.

 

Ketiga

(Taulan) – Ahli Setia Sultan Mahmud Terengganu (A.S.M.)

Bilangan keahlian bagi Darjah Kebesaran ini ialah 60 orang. Tanda-tanda kebesarannya mengandungi :-

Lencana

Selempang

Penerima Darjah Kebesaran ini hendaklah memakai Lencana berkenaan pada suatu Pita yang dikalungkan ke leher.

Cogan kata bagi penghormatan ini ialah "Ikhlas Asas Keredhaan".

Seseorang penerima hendaklah memakai Bintang Kelas Pertama Penghormatan Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu di sebelah kiri pakaian luar mereka dan Lencana yang tergantung pada Selempang yang dipakai bersandang di atas bahu kanan ke rusuk kiri, ataupun digantungkan pada Kalung (Rantai) apabila dikehendaki.

Seseorang penerima hendaklah memakai Bintang Kelas Kedua Penghormatan Dato’ Setia Sultan Mahmud ini di sebelah kiri pakaian luar dan menggantungkan Lencana itu pada Selempang yang dipakai bersandang di atas bahu kanan dan ke rusuk kiri.

Seseorang penerima Bintang Kelas Ketiga Penghormatan Ahli Setia Sultan Mahmud Terengganu hendaklah melekatkan Lencana ini pada Pita yang dikalungkan ke leher dengan riben kecil.

Setiap penerima Bintang Kehormatan Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Kelas Pertama, hendaklah sentiasa mempunyai, mengguna dan menyandang panggilan dan gelaran "Dato’ Seri" sebelum nama asal masing-masing. Bagi mereka yang diterima ke dalam Kelas Kedua Penghormatan ini iaitu Dato’ Setia Sultan Mahmud Terengganu, mereka hendaklah sentiasa mempunyai, mengguna dan menyandang panggilan dan gelaran "Dato’" sebelum nama asal masing-masing manakala isteri mereka pula menyandang panggilan "To’ Puan Seri" bagi Kelas pertama Penghormatan dan "To’ Puan" bagi penerima Kelas Kedua Penghormatan ini.

Sekiranya seseorang yang menerima penghormatan ini dibatalkan keahliannya, maka beliau hendaklah memulangkan Bintang Kemulian yang diterimanya sebelum ini.

Apabila seseorang penerima menerima Bintang Kebesaran yang lebih tinggi, beliau hendaklah menyerahkan kembali Tanda Kemulian bagi kelas yang lebih rendah yang telah diterimanya sebelum itu.

Apabila seseorang itu dinaikkan pangkatnya daripada salah satu Kelas-kelas Penghormatan yang rendah kepada Kelas Penghormatan yang lebih tinggi, Tanda Kemulian bagi Kelas yang lebih rendah itu hendaklah dipulangkan.

Apabila seseorang penerima Darjah Kebesaran meninggal dunia, maka tanda kebesaran yang telah dikurniakan kepadanya hendaklah dipulangkan oleh waris atau wakilnya kecuali diperkenankan dengan limpah kurnia Duli Yang Maha Al-Sultan untuk disimpan oleh waris-waris ahli yang meninggal dunia itu sebagai satu tanda kasih sayang dan kurniaan Di Raja.

BACK