Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

(SILA KLIK UNTUK MELIHAT GAMBAR KELUARGA DI RAJA)

Riwayat Hidup Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhun Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Sultan Terengganu Ke-16

Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah diputerakan pada 22 Januari 1962 di bandar Kuala Terengganu.

Duli Yang Maha Mulia telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Duli Yang Maha Mulia kemudian telah berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar di Melbourne, Australia pada tahun 1988, Duli Yang Maha Mulia menamatkan pengajian di Universiti U.S. Interntional University-Europe di London dan mendapat ijazah at Bachelors of Arts Degree dalam jurusan Hubungan Antarabangsa pada 9 Jun 1988.

Duli Yang Maha Mulia telah mengikuti kursus tentera PRE SMC ( E ) 33 di Army School of Languages mulai 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983. Baginda seterusnya mengikuti kursus tentera SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhust, England mulai 3 Mei 1983 dan menamatkan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983. Duli Yang Maha Mulia telah ditauliahkan pangkat Leftenan Kehormat pada 1 Mac 1984 dan berkhidmat dalam Kor Kavalri Diraja.

Duli Yang Maha Mulia telah dilantik sebagai Yang DiPertuan Muda bagi Negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979. Duli Yang Maha Mulia telah dilantik menjadi pemangku Sultan Terengganu bagi kali pertama pada 20 Oktober 1990 sehingga 8 November 1990.

Duli Yang Maha Mulia telah dilantik sebagai penolong pemungut hasil tanah pada 15 September 1981. Duli Yang Maha Mulia sempat berkhidmat selama setahun di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu sebelum berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus tentera di England. Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai 1988 dan ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. selain bertugas di UPEN, Duli Yang Maha Mulia juga bertugas di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah. Duli Yang Maha Mulia telah dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu mulai 1 Jun 1991 hingga Disember 1995.

Duli Yang Maha Mulia telah berkahwin dengan Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Nur Zahirah pada 28 Mac 1996 di Kuala Terengganu. Baginda dikurniakan seorang puteri dan seorang putera. Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zaharah telah diputerakan pada 18 Disember 1996 manakala Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Ismail diputerakan pada 1 Mac 1998.

Dengan kehendak Allah Yang Maha Berkuasa, pada 15 Mei 1998 bersamaan 18 Muharram 1419, Duli Yang Maha Mulia telah di masyhurkan sebagai Sultan yang memerintah bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya.

Duli Yang Maha Mulia telah dianugerahkan dengan bintang kebesaran Darjah Utama Kerabat Terengganu ( D.K.T. ) pada 15 Mei 1998, Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah yang Pertama ( D.K. ) pada 9 Mac 1981. Bintang-bintang darjah kebesaran yang lain yang dianugerahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan ialah Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji ( S.S.M.T ) pada 12 Febuari 1989, Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati ( S.P.M.T.) pada 6 Mac 1982, Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed Putra Jamalulail ( D.K.) pada 28 Mei 1998, Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati ( D.K. ) dan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor ( S.P.M.J. ) pada 8 April 1986. Duli Yang Maha Mulia telah dianugerahkan dengan bintang kebesaran Darjah Seri Mahkota Negara ( DMN ) pada 27 Febuari 1999.

Kegemaran Duli Yang Maha Mulia ialah bermain golf, bola sepak dan scuba diving.

 

Riwayat Hidup Duli Yang Maha Mulia Pemaisuri Nur Zahirah

Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disember 1973. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan St. Nicholas Convent, Alor Setar dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah St. Nicholas Convent, Alor Setar, Kedah.

Duli Yang Maha Mulia telah diijab kabulkan dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin pada 28 Mac 1996. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dan seorang putera. Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah diputerakan pada 18 Disember 1996 manakala Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Ismail pula diputerakan pada 1 Mac 1998.

Duli Yang Maha Mulia telah dimasyurkan sebagai Permaisuri pada 12 Julai 1998. Duli Yang Maha Mulia dikurniakan Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah yang Pertama ( D.K.) pada 16 Januari 1999. Duli Yang Maha Mulia juga telah dikurniakan Bintang Kebesaran Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji ( S.S.MT. ) pada 9 Julai 1998.

Kegemaran Duli Yang Maha Mulia ialah membaca, memasak, melancong, snorkelling dan bermain badminton.

BACK