Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

 

SINGGAHSANA SULTAN TERENGGANU

takhta.jpg (10782 bytes)

Singgahsana merupakan lambang kebesaran takhta kerajaan sesebuah negeri di mana raja yang memerintah akan bersemayam dengan penuh berdaulat lagi mulia.

Singgahsana Sultan Terengganu direka oleh En. Abdullah Bin Ismail manakala ukiran bungaan dan Jata Kebesaran Negeri dihasilkan oleh Dato’ Indera Pahlawan Wan Muda Abdullah Bin Ali. Singgahsana ini diperbuat daripada kayu jati yang didatangkan khas dari Thailand. Tokoh yang bertanggungjawab yang menyelia kerja-kerja pembinaan singgahsana ini ialah En. Muhammad Bin Hitam manakala tukangnya pula ialah En. Muhammad Bin Ali. Pengukir ukiran yang tertera pada singgahsana ini ialah En. Yusof Bin Muhammad Tanjung manakala pengukir tulisan dan mahkota pula ialah En. Nuh Bin Ngah Kedai Tanjung. Bentuk tulisan yang terdapat pada singgahsana ini di dasarkan kepada tulisan Sayyid Abdul Rahman Al-Atas Johor. Singgahsana ini siap di bina pada tahun 1954.

Singgahsana ini terletak di Dewan Singgahsana, Istana Maziah, Kuala Terengganu yang mampu menampung 510 orang tetamu. Segala upacara adat istiadat kebesaran negeri dilaksanakan di dewan ini. Singgahsana ini terletak di atas 5 perbalaian yang dihamparkan dengan permaidani kuning hingga ke bahagian hadapan. Binaan singgahsana ini berukuran 4.42 m tinggi, 3.3m panjang ( luas muka hadapan ) dan 2.42m lebar. Perbalaian yang di atas sekali di mana singgahsana di tempatkan, berukuran kira-kira 4.87m ( luas hadapan ) dan lebarnya hingga ke dinding kira-kira 4.92m. ketinggian perbalaian di antara satu sama lain ialah 10cm. Keluasan tapaknya pula ialah 46m persegi.

Bangunan Singgahsana ini mempunyai bumbung yang dihiasi dengan ukiran leretan bunga seni Melayu zaman silam. Keseluruhan bumbung tersebut ditegakkan dengan dua batang tiang besarsetinggi 2.72cm dan berukuran 35cm x 38cm. Di bahagian tengah hadapan bumbung diukirkan sebuah Jata atau Lambang Kebesaran Di Raja. Di puncak Jata pula diukir Mahkota Di Raja.

Di bahagian bawah leretan bunga, terdapat pula sekeping tampang yang berukuran 23cm lebar dan dibuat khas daripada kayu yang tinggi mutunya. Panjang dari hujung kiri dan kanan ialah 7.8m.

Tampang ini dihiasi dengan ukiran ayat suci Al-Quran dalam bentuk seni khat sulus yang mengandungi doa serta nasihat dari surah An-Nahli ( ayat 90 dan 91 ) dan An-Namli ( ayat 19 ). Ayat-ayat suci ini dipilih dan disyorkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Terengganu, Sayyaid Yusof Bin Ali Az Zawawi.

Pada bahagian depan tampang diukir dengan ayat suci Al-Quran yang merupakan sebahagian daripada ayat 19 dari surah An-Namli. Ayat ini bermaksud : " Wahai tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada Ibubapaku dan supaya tetap mengerjakan amal yang Engkau redai dan masukkan daku dengan rahmatMu- ke dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh ".

Di rusuk kanan tampang pula diukir ayat Al-Quran surah An-Nahli ayat 90. Ayat ini bermaksud : " Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu ( dengan suruhan dan laranganNya ) supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya ".

Seterusnya pada tampang rusuk kiri diukir ayat Al-Quran daripada surah An-Nahli ayat 91. Ayat ini bermaksud : " Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila berjanji dan janganlah kamu merombak ( mencabuli ) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya ( dengan nama Allah ) sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu, sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang akan kamu lakukan ". Semua ukiran ayat-ayat ini di salutkan dengan air perada emas.

Di bahagian bawah tampang di hiaskan dengan ombak-ombak songket kuning berbenang emas yang di tenun khas, berukuran kira-kira 0.61cm. Bentuk bunga kain songket tersebut direka khas untuk menambahkan seri dan keistimewaan singgahsana. Songket tersebut telah direka dan diperbuat oleh pereka songket tempatan, Tengku Ismail manakala benang emas diimport khusus daripada Lyon, Peranchis. Di bahagian belakang, terdapat tabir yang dibuat khas daripada kain songket berwarna kuning dan bunganya seperti kain sutera ombak-ombak. Tabir yang berwarna kuning ini juga terdapat di sebelah kiri dan kanan Singgahsana. Kedua-dua tabir ini diikat dengan tali berwarna hitam putih.

Di singgahsana tersebut terletak dua buah Kerusi Di Raja yang tingginya kira-kira 1.69m dan 0.69m lebar. Kedua-dua kerusi ini direkabentuk khas sebagai tempat persemayaman. Pada keseluruhan bingkai Kerusi Di Raja ini terdapat Jata yang diukir halus dan disalutkan dengan air perada berwarna emas. Di antara dua buah Kerusi Di Raja terletak sebuah meja kecil berukiran halus berukuran 46cm tinggi, 46cm panjang dan 28cm lebar. Meja ini digunakan sebagai tempat meletakkan Keris Panjang ketika Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al- Sultan bersemayam di singgahsana. Di bahagian bawah dan hadapan Kerusi Di Raja pula terdapat tempat letak duli yang dipanggil " Kekuda ". " Kekuda " ini berukuran 46cn panjang, 28cm lebar dan 10cm tinggi.

Di belakang Kerusi Di Raja terdapat sebuah kotak besar yang dipanggil Bantal Besar. Bantal ini berukuran 69cm x 1.1m x 46cm pada bahagian atasnya manakala di bahagian bawahnya pula berukuran 92cm x 125cm x 46cm. Bantal Besar ini berperanan sebagai lambang keagungan peradapan Raja-Raja Melayu zaman silam. Pasa zaman dahulu, bantal tersebut dijadikan tempat raja meletakkan tangan dan bersandar ketika duduk bersila menerima menghadap para pembesar atau rakyat. Oleh kerana itu, Bantal Besar kini masih ditempatkan walaupun singgahsana dilengkapkan dengan Kerusi Di Raja. Segala upacara Di Raja tidak akan lengkap tanpa bantal. Pada keempat-empat penjuru Bnatal Besar berkenaan dihiasi dengan bunga emas yang dikenali sebagai Bunga Tajuk.

BACK