KENYATAAN MEDIA (25 MAC 2002)
PINDA AKTA PILIHANRAYA : BN SEKAT PROSES
DEMOKRASI
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius usaha terbaru Kerajaan
BN menyekat hak asasi rakyat dan menyempitkan proses demokrasi dengan
meminda Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 2002) dalam sidang Parlimen
yang sedang berlangsung sekarang ini. DPP Pusat melihat tindakan BN
meninggikan wang pertaruhan dan menghalang daftar pemilih daripada di bawa
kemahkamah sebagai satu usaha untuk menyekat kebebasan rakyat dalam sebuah
negara demokrasi. Dalam kata lain, BN menyalahgunakan kesempatan ini untuk
menguatkan lagi cengkaman dan kerakusan mereka ke atas rakyat ketika
popularity mereka mulai merosot.
DPP Pusat membantah keras tindakan menaikkan wang pertaruhan untuk calon
Parlimen daripada RM5,000 kepada RM20,000 atas alas an untuk menyekat mereka
yang tidak bertanggungjawab daripada bertanding. Ini adalah sangat
bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan semua
rakyat negara ini yang cukup syarat untuk bertanding mewakili mana-mana
parti ataupun sebagai calon bebas. Dengan sekatan seperti ini, bermakna
calon daripada parti-parti kecil dan calon bebas akan hilang hak mereka
untuk dipilih dalam pilihan raya. Calon-calon yang bertanding ini adalah
daripada rakyat yang bertanggungjawab dan mengambil berat tentang masa depan
negara. Kalaupun untuk menyekat orang yang tidak bertanggungjawab
bertanding, maka calon BN yang yang paling tidak layak kerana mereka
terbukti tidak bertanggungjawab kerana gagal menghadiri sidang Parlimen,
tidak mempertahankan institusi yang ditubuhkan oleh Parlimen, bahkan
mencabul pelbagai undang-undang negara.
DPP Pusat juga membantah tindakan BN menjadikan daftar pemilih sebagai
mutlak dan tidak boleh dicabar di mahkamah setelah ia diwartakan. Adakah ini
satu strategi BN untuk menghalalkan undi hantu setelah beberapa kali BN
terperangkap dengan undi hantu mereka sendiri seperti yang berlaku di Likas.
Adalah tidak wajar untuk menghalang rakyat mendapat keadilan melalui
mahkamah sedang terbukti sebelum ini beberapa kes yang menunjukkan mahkamah
mengesahkan wujudnya undi hantu. Mungkin selama ini BN sangat bergantung
dengan undi hantu, maka melalui pindaan ini akan memberi peluang mereka
untuk bertindak lebih rakus lagi dalam pilihan raya. Dalam keadaan tidak
terdesakpun BN menggunakan undi hantu, apatah lagi dalam keadaan seperti
hari ini, maka BN akan memperalatkan pindaan ini untuk membolehkan merepa
memanipulasikan sepenuhnya daftar pemilih untuk kepentingan BN.
DPP Pusat mendesak Kerajaan BN supaya membatalkan hasrat untuk meminda akta
tersebut kerana ia bercanggah dengan prinsip Perlembagaan dan menafikan
kebebasan rakyat. DPP Pusat juga menyeru seluruh ahli Parlimen supaya
bertindak wajar dengan menolak akta ini yang secara jelas menyempitkan
proses demokrasi di negara ini. Adalah amat tidak wajar setelah pihak polis
diperalatkan, ceramah politik disekat, kebebasan media dihalang, media
mainstream diperkudakan dan jentera kerajaan disalahgunakan, kini Akta
Kesalahan Pilihanraya pula dipergunakan untuk menutup segala ruang demokrasi
di negara ini. Tetapi BN mesti ingat bahawa dengan menutup ruang-ruang
demokrasi ini, tidak bermakna rakyat akan terus tunduk kepada BN bahkan
rakyat sedang menunggu saat dan ketika untuk menjahanamkan BN.
HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
--------------------------------------------------------------------------------
Copyright © 2000-2002 Dewan Pemuda PAS Pusat
Markaz Tarbiyah PAS Pusat Lorong Haji Hassan, Off Jalan Batu Geliga, Taman
Melewar,
68100 Batu Caves, Selangor, Malaysia Phone: 603-61899296 Fax: 603-61869618
Email : webmaster@pemudapas.net
Shafie Abdul Latif
Tuesday,
April 02, 2002 5:59 PM