Susan Loone
7:51pm Mon Apr 1st, 2002
eksklusif Seorang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) melahirkan rasa
kecewa yang amat sangat dengan laporan-laporan yang disiarkan oleh akhbar
arus perdana yang didakwanya telah memberi gambaran salah mengenai pandangan
dan pendirian rakan seperjuangannya.
Rashid Maidin, 85, bekas komander Regiment ke-10 PKM yang telah diharamkan
berkata, laporan yang dibuat oleh agensi berita Bernama itu telah memberi
gambaran tidak betul seolah-olah beliau adalah penyokong Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, laporan yang disiarkan pada 4 Februari lalu dengan tajuk "Bekas
pemimpin komunis puji PM" adalah berat sebelah dan memberi kesan negatif
kepadanya secara peribadi.
Dalam satu wawancara dengan malaysiakini di bandar Haadyai di selatan Thai
baru-baru ini, Rashid berkata beliau "amat kecewa dan tidak puashati"
membaca kandungan laporan itu.
"Saya bukan sekadar memuji Mahathir, sebaliknya saya juga mengkritiknya.
Saya dukacita dengan laporan berat sebelah itu. Dacing (merujuk kepada logo
BN) berat sebelah...satu kati jadi 12 tahil," kata Rashid yang kini
tinggal
bersama isterinya di Yala, kira-kira 60km dari Haadyai.
Rashid yang juga bekas ahli jawatankuasa pusat PKM, menjelaskan bahawa
beliau hanya sekadar memuji Mahathir atas dayausahanya dalam rundingan damai
1989 di Haadyai di antara KPM, Malaysia and Thailand, yang akhirnya telah
membawa kepada genjatan senjata.
Bagaimanapun, Mahathir membiarkan beberapa pemimpin PKM teraba-raba dalam
kegelapan mengenai status kerakyatan selepas perjanjian damai itu
ditandatangani, tambahnya.
"Siapa kata Mahathir tidak ada kelemahan? Dalam hal ini sahaja pun kita
dapat melihat kelemahannya. Kami juga membaca mengenainya dalam akhbar,
tetapi kami tidak mahu komen banyak sangat mengenainya," katanya.
'Puji' Mahathir
Rashid berkata kenyataannya kepada Bernama itu sebenarnya adalah mengenai
prestasi Mahathir berbanding dengan bekas-bekas perdana menteri sebelum ini.
Menteri Besar Perlis Shaidan Kassim telah mengetuai delegasi yang disertai
oleh wartawan, termasuk wakil Bernama dan polis, untuk menziarahi kediaman
Rashid di Kampung Chulaporn selepas pilihanraya kecil Indera Kayangan pada
19 Januari lalu.
"Saya hanya bercakap mengenai beliau (Mahathir), berbanding dengan bekas
perdana menteri yang lain yang menganggap kita sebagai musuh dan mahu
membunuh kita, itu sahaja," kata Rashid.
"Berbanding dengan perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putera dan
perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, beliau (Mahathir) adalah
lebih baik kerana bersedia untuk berunding dengan kami. Walaupun tidak turut
sama menghadiri mesyuarat itu, beliau menghantar orangnya, seorang daripada
mereka ialah bekas ketua polis negara Rahim Noor," katanya.
Isteri Rashid Salamah Abdullah, 72, yang hadir sama sewaktu wawancara dengan
malaysiakini, turut melahirkan rasa kecewanya dengan laporan Bernama itu.
Katanya, hampir 40 anggota delegasi itu yang menziarahi rumah mereka pada
awal Februari lalu kelihatan dalam "keadaa tergesa-gesa dan seperti
mempunyai tujuan tertentu".
"Mereka bertanya kepadanya (Rashid) apakah pandangannya mengenai Mahathir.
Beliau seperti selalunya, berkata jika dibanding Mahathir dengan perdana
menteri yang lain, beliau (Mahathir) adalah lebih baik, berpandangan jauh
kerana dia sedia berundingan dengan kami," kata Salamah yang turut aktif
sewaktu menganggotai rejimen ke-10 PKM.
"Dia tidak pun berkata jika dibandingkan dengan parti atau pemimpin lain,
hanya Mahathir yang memberi sumbangan kepada pembangunan negara," katanya
lagi.
Satu pembohongan
Menurut laporan Bernama pada 4 Feb, Rashid memuji kepimpinan Mahathir kerana
membawa pembangunan yang "yang tidak pernah diimpikan" kepada
Malaysia.
Beliau dipetik sebagai berkata, daripada apa yang didengar dan dibacanya
melalui media, negara ini menikmati kejayaan demi kejayaan, termasuk
kemampuan mengeluarkan kereta sendiri, sesuatu yang tidak pernah dimimpikan
pada zaman penjajahan dahulu.
Rashid dilaporkan sebagai berkata: "Jika tidak kerana beliau (Mahathir),
habis siapa lagi? Awak beritahu saya. Parti-parti lain, Datuk-datuk yang
lain, apa yang telah mereka buat?"
Bagaimanapun, Rashid menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau bersedia untuk
pulang ke Malaysia jika ditawarkan insentif kewangan yang lebih baik dan
kemudahan lain, sepertimana yang dilaporkan oleh Bernama.
Sambil menyifatkannya sebagai "seratus peratus pembohongan", Rashid
berkata:
"Persoalan ini tidak timbul langsung. Awak fikir saya hendak menjual tubuh
badan saya? Mereka yang menjual tubuh badan mereka adalah kerana pengaruh
wang. Adakah ini bermakna sekiranya saya ditawarkan habuan dan insentif
kewangan setinggi badan saya ini, maka saya akan pulang?"
Katanya, beliau lebih suka menetap di Thailand sebagai "pilihan
peribadinya
kerana pihak berkuasa di sana amat baik hati kepada anggota komunis dengan
menawarkan mereka tanah, bantuan kewangan dan kemudahan sosial untuk
menjalani seharian.
"Malaysia sudah menjadi semakin teruk dengan bertambahnya masalah sosial
seperti kejadian rogol, pembunuhan bayi, pembunuhan kejam dan penderaan
kanak-kanak. Keadaan di Thailand tidak seburuk itu," katanya.
Perselisihan faham
Menurut bekas ahli jawatankuasa PKM Suriani Abdullah, kenyataan yang didakwa
dibuat oleh Rashid itu telah menimbulkan "perselisihan faham" di
kalangan
pergerakan progresif di wilayah berkenaan.
"Rakan seperjuangan kami dalam pergerakan kiri dan progresif merasa ganjil
apabila Rashid dikatakan menuturkan kenyataan seumpama mengenai Mahathir,
dan ianya dibesar-besarkan dalam media arus perdana," kata Suraini yang
merupakan anggota aktif dalam Regimen ke-10, dan dilantik sebagai ketua
propaganda PKM.
Sementara itu, bekas setiausaha agung PKM Chin Peng memeritahu malaysiakini
bahawa Berita Harian pernah "mereka" laporan mengenai bekas ahli
jawatankuasa pusat PKM, Chee Yong Hock, yang lebih popular dengan panggilan
Ah Chern atau Chiew Chern.
Laporan memetik Ah Chern sebagai memuji Mahathir kerana ketegasan dalam
menghadapi masalah militan dalam negara ini.
Sejak tahun lalu, Mahathir telah menggunakan Akta Keselamtan Dalam Negeri
(ISA) terhadap beberapa anggota pembangkang dan mereka yang disyaki estremis
yang didakwa mahu menumbangkan kerajaan secara kekerasan.
Tidak sokong
Chin Peng, 76, menegaskan bahawa Ah Chern tidak pernah menemui sebarang
wartawan atau telah mengeluarkan kenyataan memuji Mahathir kerana usahanya
menghapuskan pengganas.
"Selepas membaca laporan Berita Harian, Ah Chern telah menelefon saya dan
meminta saya mencari cara untuk membetulkannya," kata Chin Peng dalam
wawancara yang sama.
"Katanya, dia tidak pernah menemui wartawan. Bagaimanapun, sebuah keluarga
seramai tiga atau empat orang, dari Baling datang menemuinya dua atau tiga
hari sebelum laporan itu disiarkan.
"Katanya, dia tidak mengenali mereka dan dia juga tidak membuat sebarang
kenyataan mengenai Mahathir atau politik," kata Chin Peng yang nama
asalnya
ialah Ong Boon Hua.
Shafie Abdul Latif
Tuesday,
April 02, 2002 5:29 PM