Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Pesanan Dr. Badrul Amin Untuk Anak-Anaknya..Kisah Wira Rakyat

Dr. Badrul Amin yang kini hampir setahun ditahan tanpa bicara di Kem
Kamunting di bawah akta zalim, ISA, mengutus surat setiap minggu kepada
isteri dan keluarganya. Setiap surat diisi dengan pesanan-pesanan dan
perangsang yang amat bermakna buat keluarganya yang tercinta. Walaupun semua
tapol di Kem ini hanya dibenarkan sepucuk surat seminggu dengan menggunakan
aerogram khas kem, namun ruang yang sedikit itu digunakan dengan sebijaknya
oleh mereka.

Kali ini, Siti akan menyedut sedikit pesanan yang diberikan oleh Dr. Badrul
Amin kepada anak-anaknya melalui suratnya yang terbaru.

Anak-anak sayang! Tanpa jemu, abah terus berpesan agar anak-anak teruskan
usaha memperbaiki diri dalam segala hal! Mesti ada peningkatan sesuai dengan
usia yang juga meningkat! Minggu lepas Ama (Ain Najma dipanggil Ama - anak
Dr. Badrul Amin yang ke-6 - Siti) dah 10 tahun! Dah besar semua anak abah!
Ketika abah berumur 10 tahun, abah dah terkenal di sekolah rendah di seluruh
Tawau! Tahun 4/5 di sekolah, abah jadi juara sajak, syarahan & Quran seluruh
Tawau & Naib Johan Tafsir Quran seluruh Sabah. Abah masih ingat pertandingan
dibuat di istana negeri - KK (Kota Kinabalu - Siti). Abah juga sudah pandai
azan di Surau Al-Munawarah Kg. Jawa. Nyaring suara abah. Abah ikut bapak
nenek (panggilan cucu-cucu untuk bapak Dr. Badrul Amin - Siti) pergi baca
berzanji - bukan ikut makan tapi abah pun baca. Masa tu umur abah dalam
10-12 tahun.

Bila abah baca, semua orang diam terpegun kerana tak ada 'budak' yang baca
berzanji dalam kenduri. lepas kenduri, ada orang bagi duit - 20 sen. 50 sen.
Pernah sekali abah ikut drama 'tablo' di Sekolah Islamiyyah cerita tentang
kematian. setelah selesai. ramai makcik-makcik yang bagi duit sampai dekat
10 ringgit. Abah belanja kawan-kawan yang ikut drama makan di kantin. Abah
juga jual kueh, kacang, mee goreng, keropok. dll di sekolah. Abah jumpa
banyak peluru masa berkebun depan rumah. abah buat rantai & jual di sekolah
- 50 sen. Selepas sekolah rendah, abah beli basikal pakai wang sendiri -
RM30/-. Abah cat sendiri basikal tu sampai cantik.

Walaupun Dr. Badrul Amin berada "di dalam", namun tugas memberi pesanan dan
pengajaran tetap berlangsung walaupun dalam keadaan yang serba terhad dan
serba diperhatikan. Penahanannya merupakan pembaziran tenaga manusia yang
amat kita perlukan. Apa guna ilmu yang beliau ada, kalau beliau dizalimi dan
tidak dibenarkan bersuara???

Wassalam.

Siti Muslihat
(Pendamping Keluarga Tapol)

 

Shafie Abdul Latif

slatif40@hotmail.com

Tuesday, April 02, 2002 9:01 PM