Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Demonstrasi Pejuang Islam Pecah Tradisi Arab Saudi

ZAHRAN, Arab Saudi: Demonstrasi dan tunjuk perasaan yang semakin rancak di
negara-negara Arab kini menembusi sempadan Arab Saudi apabila berpuluh-puluh
ribu rakyat negara berkenaan menyertai perarakan ke pejabat Konsul Amerika
di bandar petrolium, Zahran.

Arab Saudi sebelum ini terkenal sebagai negara yang tenang dan kurang
menghadapi kebangkitan rakyat. Pihak berkuasa negara berkenaan terkenal
dengan cepat bertindak terhadap sebarang percubaan untuk mencabar kekuasaan
sistem beraja Saudi. Mana-mana ulama atau tokoh yang cuba membangkang
kerajaan akan ditangkap dan dipenjarakan. Manakala yang berjaya mnyelamatkan
diri tidak mungkin bergerak bebas dan akhirnya memaksa mereka keluar
meninggalkan negara berkenaan.

Ini berlaku kepada Syeikh Al Masy'ari yang kini menetap di Britain dan
Usamah Bin Laden yang kini dipercayai masih berada di Afghanistan.

Namun 'ketenangan' yang disangka itu ibarat api di dalam sekam. Hari ini,
berpuluh-puluh ribu orang Islam yang marah terhadap Israel memecah tradisi
apabila mengadakan demonstrasi di bandar yang terletak di timur negara itu.
Demonstrasi itu adalah anjuran Pertubuhan Rakyat Saudi Membantu Rakyat
Palestin.

Seorang ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh Abdul Hamid Ali Mubarak berkata,
perarakan mereka terhalang apabila pasukan polis bertindak menyekat semua
jalan yang menuju ke arah konsul Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun
sekumpulan daripada mereka berjaya sampai ke konsul berkenaan dan sebahagian
yang lain ditangkap oleh anggota polis.

Menurut Syeikh Hamid, tidak harus di sisi syara' dan tidak dapat diterima
tindakan polis Saudi yang menghalang orang ramai daripada berjuang untuk
menyelesaikan kemelut yang melanda ummah di dunia pada hari ini.

"Kami hanya ingin menyampaikan memorandum kepada dunia. Sekiranya
kerajaan-kerajaan (negara Arab dan umat Islam) tidak mampu untuk
menyampaikan memorandum ini, maka rakyat mampu," tambah beliau.

"Ingin saya tegaskan, wahai pmimpin-pemimpin Arab dan umat Islam, takutlah
kamu (bertaqwalah) kepada Allah. Andainya kalian tidak membenarkan rakyat
kalian bersuara secara aman, maka saya bimbang mereka akan menggunakan
jalan-jalan lain yang tidak disenangi oleh kamu... dan ini adalah satu
bahaya yang sangat besar ke atas ummah. (Oleh itu) biarkan rakyat kalian
berkata, "Tidak!" kepada musuh-musuh mereka," tegas beliau.

Apa yang menghairankan, siri-siri demonstrasi yang semakin memuncak di
negara-negara Arab sedikitpun tidak membimbangkan rejim Zionis. Sebaliknya
yang sangat bimbang pemimpin-pemimpin Arab. Mereka menjadi lebih pengecut
daripada pengganas Sharon yang meratah darah umat Islam Palestin.

Beberapa insiden yang berlaku di sempadan Palestin dengan negara-negara Arab
yang lain membuktikan bahawa perjuangan rakyat Palestin kini terpaksa
berhadapan dengan dua musuh, tentera Israel dan kerajaan-kerajaan Arab.

Minggu lalu, beberapa rakyat Palestin yang cuba membawa bekalan senjata
daripada Jordan terperangkap di sempadan Jordan-Palestin apabila mereka
diserang dari dua arah. Tentera Israel menyerang dari hadapan dan tentera
Jordan menyerang dari belakang.

 

Shafie Abdul Latif

slatif40@hotmail.com

 

Monday, April 08, 2002 7:27 PM