Terjemahannya.
1. Yaa, Siin.
2. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat
dan kebenaran yang tetap kukuh,
3. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah
seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,
4. Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama
Islam).
5. Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha
Kuasa, Lagi Maha Mengasihani,
6. Supaya engkau memberi peringatan dan amaran
kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan
amaran; sebab itulah mereka lalai.
7. Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa
atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.
8. Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan
keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas
kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai
(menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.
9. Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka
kepada hartabenda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka
daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada)
di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka;
maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).
10. Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada
mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka
tidak akan beriman.
11. Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang
berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang
yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah)
Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab
Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan
dan pahala yang mulia.
12. Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang
yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala
kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap
sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas
nyata.
13. Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah
penduduk sesebuah bandar (yang tertentu), iaitu ketika mereka didatangi
Rasul-rasul (Kami),
14. Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang
Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu)
dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: "Sesungguhnya kami
ini adalah diutuskan kepada kamu".
15. Penduduk bandar itu menjawab: "Kami ini tidak
lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak
menurunkan sesuatu pun (tentang agama yang kamu dakwakan); kamu ini tidak
lain hanyalah berdusta".
16. Rasul-rasul berkata: "Tuhan kami mengetahui
bahawa sesungguhnya kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,
17. "Dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya
dengan cara yang jelas nyata".
18. Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya
kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau
kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah
kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami
azab seksa yang tidak terperi sakitnya"
19. Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang
kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana
kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami
dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu
insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".
20. Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah
seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat
dengan katanya: "Wahai kaumku, Turutlah Rasul-rasul itu
21. "Turutlah orang-orang yang tidak meminta
kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat
hidayah pertunjuk".
22. Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima
agama mereka? Maka jawabnya: "Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan
daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
23. "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang
lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha
Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat
memberikan sebarang syafa'at kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan
daku.
24. "Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik)
tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.
25. "Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan
kamu, maka dengarlah (nasihatku)".
26. (Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya:
"Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata: "Alangkah baiknya kaumku mengetahui
27. "Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan
oleh Tuhanku, serta dijadikanNya dari orang-orang yang dimuliakan,"
28. Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya
sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan
mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.
29. (Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan
satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua senyap
sepi - tidak hidup lagi.
30. Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang
menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran), Tidak datang kepada mereka
seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.
31. Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak
umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah
binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami,
untuk menerima balasan)
32. Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan
dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima
balasan).
33. Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami
kekuasaan dan kemurahan Kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan dia
serta Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian
itu mereka makan.
34. Dan Kami jadikan di bumi itu kebun-kebun
korma dan anggur, dan Kami pancarkan padanya beberapa mataair,
35. Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan
dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak
bersyukur?
36. Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk
semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari
diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
37. Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir)
ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta
mereka berada dalam gelap gelita;
38. Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut
ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya;
itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;
39. Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar
melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya
pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang
kering.
40. (Dengan ketentuan yang demikian), matahari
tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului
siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya
masing-masing.
41. Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf)
ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh
sarat;
42. Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis
kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.
43. Dan jika Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan
mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat
memberi pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan,
44. Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami
memberi rahmat dan kesenangan hidup pada mereka hingga ke suatu masa.
45. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Berjaga-jagalah
kamu akan apa yang ada dihadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia
ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat),
supaya kamu beroleh rahmat" (mereka tidak mengindahkannya).
46. Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu
keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan keterangan Tuhan mereka,
melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya)
47. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Dermakanlah
sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu", berkatalah
orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang kepada orang-orang yang beriman
(secara mengejek-ejek) "Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika
Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada
dalam kesesatan yang nyata".
48. Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara
dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): "Bilakah datangnya
(hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar
(maka kami sedia menunggu),"
49. Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan
yang - (dengan secara mengejut) - akan membinasakan mereka semasa mereka
dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).
50. Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang
membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada
di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.
51. Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala
(menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian)
maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap
Tuhannya.
52. (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak
percayakan hidup semula berkata: "Aduhai celakanya kami, Siapakah yang
membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?" (Lalu dikatakan kepada
mereka): "Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah,
dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul"
53. Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja,
maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami,
semua dibawa hadir (untuk menerima balasan).
54. Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang
akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut
amal yang kamu telah kerjakan.
55. Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu,
berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;
56. Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria
bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berteleku di atas pelamin;
57. Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai
jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;
58. (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtara
dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.
59. Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang
yang kafir): "Berpisahlah kamu pada hari ini, (dari bercampur gaul dengan
orang-orang yang beriman).
60. "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai
anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh
yang nyata terhadap kamu,
61. "Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu;
inilah jalan yang lurus.
62. "Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan
golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka)
maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?
63. "Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka
Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan
perintah Allah).
64. "Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan
perbuatan kufur yang kamu telah lakukan,"
65. Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka
(sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu
Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang
apa yang mereka telah usahakan.
66. (Matahati orang-orang yang menderhaka itu
rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan
biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari
jalan (yang biasa mereka lalui. Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah
mereka dapat melihatnya?
67. (Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak
sihat) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa mengubahkan keadaan jasmani
mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan
itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.
68. Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang
Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan
serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
69. (Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami
tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak
sesuai baginya. Yang Kami wahikan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat
pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;
70. Supaya ia memberi peringatan kepada orang
yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap
orang-orang yang kufur ingkar.
71. Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa
Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara
jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami, lalu
mereka memilikinya?
72. Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka;
maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi
mereka makan.
73. Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan
pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka
tidak mahu bersyukur?
74. Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan
yang lain dari Allah, (dengan harapan) semoga mereka mendapat pertolongan
(dari makhluk-makhluk itu).
75. Benda-benda yang mereka sembah itu tidak
dapat samasekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi
tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa)
kepada mereka.
76. Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita
disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu) Sesungguhnya Kami sedia
mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.
77. Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui,
bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada
itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka
dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas
bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang
mati).
78. Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan
kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya
sambil ia bertanya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang
telah hancur seperti debu?"
79. Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu
akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya;
dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);
80. "Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati)
dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu
menyalakan api dari pohon-pohon itu".
81. Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa
Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) -
berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu?
Ya, Diakui dan dipercayai berkuasa, Dan Dialah Pencipta yang tidak ada
bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.
82. Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila
Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda
itu: "Jadilah engkau, Maka ia terus menjadi.
83. Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap:
Subhaanallah,) - Tuhan yang memiliki dan menguasi tiap-tiap sesuatu, dan
kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.........................
FADHILAT YAASIIN
Hadrat Ata Ibn-e Abi Ribah R.A berkata bahawa Rasul-Ullah Sall Allahu 'alaihe wa sallam diberitakan telah bersabda, "Sesiapa yang membaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan dipenuhi."
Banyaklah kelebihan-kelebihan daripada surah Yasin yang disebutkan di dalam banyak hadith-hadith. Adalah dikatakan di dalam sebuah hadith, "Segala sesuatu mempunyai hati, dari hati bagi Al-Quran ialah surah Yasin. Barangsiapa membaca surah Yasin, Allah S.W.T. akan menuliskan pahala baginya seumpama ia membaca seluruh Al-Quran sebanyak sepuluh kali."
Menurut sebuah hadith yang lain, Allah s.w.t. membacakan surah Yasin dan surah Taha seribu tahun lamanya sebelum terciptanya langit dan bumi dan mendengarkan ini, para malaikat pun berkata, "Ummat dimana Quran diturunkan akan dirahmati hati-hati yang memikulnya, yakni yang menghafalnya akan dirahmati dan lidah-lidah yang membacanya akan juga dirahmati."
Ada satu lagi riwayat yang seumpama ini, "Sesiapa yang membaca surah Yasin semata-mata kerana Allah, segala dosa-dosanya yang dahulu akan diampunkan. Oleh itu jadikanlah sebagai amalan untuk dibaca keatas orang-orang yang mati."
Mengikut sebuah hadith, surah Yasin dinamakan Mun'mah (pemberi berita baik) di dalam Taurat kerana ia mengandungi manafa'at kepada pembacanya, di dalam kehidupan dunia dan juga akhirat, ia menghindarkan penderitaan di dunia dan juga di akhirat dan menjauhkan kedahsyatan di kehidupan akhirat.
Surah ini juga dikenali sebagai Rafi'ah Khafidah, iaitu yang mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan menurunkan darjat orang-orang yang engkar (tidak beriman). Menurut satu riwayat RasulUllah Sall-Allaho 'Alaihe Wa Sallam bersabda, "Hatiku menghendaki supaya surah Yasin berada disetiap hati Ummatku." Mengikut sebuah hadith yang lain, jika seseorang itu membaca surah Yasin pada setiap malam dan kemudiannya meninggal dunia, ia akan mati sebagai mati syahid.
Diriwayatkan daripada hadith yang lain, "Barangsiapa membaca surah Yasin, ia akan diampunkan, sesiapa sahaja yang membacanya semasa kelaparan, akan dihilangkan kelaparannya itu, barangsiapa membacanya dikala sesat jalan, akan menjumpai jalannya semula, barangsiapa membacanya kerana kehilangan binatang akan mendapatkannya semula, dan bila seseorang itu membacanya kerana bimbangkan kekurangan makanannya, makanan itu akan mencukupi. Dan jika ia membaca kepada orang yang menghadapi penderitaan maut, akan dimudahkan baginya. Dan jika seseorang itu membacanya keatas perempuan yang sukar untuk melahirkan anak, akan dimudahkan juga bayinya."
Maqri rahmat-Ullah 'alaih berkata, "Jikalau surah
Yasin dibaca oleh seseorang yang takutkan pemerintah atau musuh, ia akan
dihilangkan daripada ketakutan itu." Menurut sebuah hadith yang lain, jikalau
seseorang itu membaca surah Yasin dan surah Was-Saffat pada hari Jumaat
dan memohon kepada Allah sesuatu, doanya akan diterima.