Kami bertengkar. Kuat bunyinya. Masa itulah Mahathir mengaku katanya, sebelum si Mokhtar Peguam Negara itu membawa Datuk Nallakaruppan dan Khalid Jafri, pengarang buku 50 Dalil itu dihadapkan ke mahkamah, Mokhtar ada meminta persetujuan darinya. (Khalid menghadapi tuduhan menerbitkan cerita palsu yang menuduh saya menjadi bapa kepada seorang anak luar nikah.) Lepas dia dengar saya bercakap sekejap, dia telefon Mokhtar dan berkata, "Wait for my clearence," (Tunggu kebenaran saya dulu.) Dia merujuk kepada tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas saya. Kami bertengkar satu jam lamanya. Saya minta Mahathir beritahu apa tuduhan-tuduhan itu supaya saya boleh terangkan kepada dia. Dia jawab, "I don't know the details." (Saya tak tahu perinciannya). "But you can write an explaination." (Tapi awak bolehlah jawab secara bertulis). Saya tanya kepadanya, apa sebabnya Daim terlibat? Nampaknya dia banyak membincangkan kes ini dengan si Mokhtar itu. Dengan marah-marah dia jawab, "I need to consult someone," (Saya perlu dengar pendapat orang lain). Pada 25 dan 28 Ogos, saya menulis surat kepada Mahathir berkenaan pakatan jahat yang hendak mengaibkan saya dan membunuh kerjaya politik saya. Kami berjumpa beberapa kali di pejabatnya dan juga di kediamannya. Saya dapat rasakan sikap permusuhan dan kebenciannya kepada saya. Saya cabar dia supaya menyatakan pendiriannya tentang akhlak. Selama ini dia tidak pernah pedulikan akhlak mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan. Malah dia biarkan sahaja mereka yang melakukan kesalahan membawa perempuan-perempuan masuk negara ini dengan jet-jet peribadi mereka tanpa ikut peraturan Jabatan Imigresen. Sampai hari ini pun dia belum mahu menjawab tuduhan Puan Marina Yusoff berkenaan perbuatan salah-laku seksual yang melibatkan dirinya sendiri dan orang-orang yang rapat dengannya. Puan Marina ialah bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau melafazkan tuduhannya itu di depan beribu-ribu orang yang datang menziarahi saya di rumah selepas saya dipecat. Mahathir bukan saja tidak ambil pusing tentang isu seks tak bermoral, malah dia sendiri menghalang BPR daripada mengambil tindakan mahkamah ke atas menteri-menterinya yang terlibat dengan rasuah besar meskipun BPR mempunyai bukti-bukti kukuh. Saya tanya dia, "Betulkah saudara katakan orang yang melakukan kesalahan seks tidak layak jadi PM?" Nampaknya dia tahu saya menyindir dia. Dia tidak berani jawab. Kemudian dia berkata, "But you are different, more religous." (Tapi saudara tidak macam orang lain, saudara warak.) Saya jawab, "Jangan jadi munafik. Saya terima syarat saudara (untuk jadi PM). Tapi jangan buat fitnah." Lepas itu saya tanya lagi, "Apa sebenarnya alasan saudara?" Dia tidak mahu jawab. Sementara itu, si Rahim Noor KPN itu, si Mokhtar PN dan Hakim Besar Eusoff Chin, beberapa kali keluar masuk pejabat dan rumah Mahathir. Pada masa yang sama juga tiba-tiba sahaja Mahathir bukan main memuji-muji kebebasan badan kehakiman negara kita. Apa agaknya yang sudah dibuat oleh si Hakim Besar itu tiap kali dia keluar masuk rumah Mahathir? Apabila Gabenor Bank Negara meletakkan jawatan, Mahathir bukan main marahnya. Tapi saya rasa ia bukan punca saya dipecat. Guli-guli* Mahathir Sudah Hilang. Mahathir menunggu hingga selepas dia umumkan langkah-langkah kawalan kewangan barulah dia berikan kata duanya kepada saya: letak jawatan ataupun dipecat. Pada 1 September dia panggil semua Menteri Besar datang mesyuarat. Dalam mesyuarat itulah, dari celah-celah giginya, lidahnya mengeluarkan kata-kata dusta. Dia fitnah saya tentang salah laku seksual. Dia juga, dengan cara yang tersirat, mengancam menteri-menteri besar itu supaya tetap menyokong dia. Besoknya, pada jam 12.45 tengah hari, dia berkata kepada saya: "Resign or be sacked with grave consequences." (Baik letak jawatan, kalau tidak aku pecat kamu. Buruk padahnya.) Saya terus jawab: "Saudara tahu saya tidak bersalah. Jangan paksa saya dedahkan konspirasi saudara," kata saya kepadanya. "Saudara jadi polis, saudara jadi pendakwa, saudara jadi hakim. Saudara fitnah saya sebab saudara mahu menjaga kepentingan politik saudara sendiri. Saya sedar, saya akan dapat susah. Tapi saya takkan letak jawatan. Saya nak dengar dulu nasihat Azizah." Mahathir fikir saya tentu akan letak jawatan sebab dia sangka saya takut dengan dendamnya, takut kena tangkap, dan takut malu apabila saya dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan yang amat mengaibkan saya." Lagipun, kalau ikut kepalanya yang tidak waras itu, memang menjadi nilai orang Asia "Hamba yang setia lebih sanggup mati daripada menderhaka kepada raja". Keputusan saya yang lebih sanggup dipecat daripada meletakkan jawatan adalah didorong oleh suara hati nurani saya dan perjuangan saya. Saya sedar akan wujudnya konspirasi pada peringkat tertinggi bagi menjaga kepentingan mereka yang korup dan menutup pelbagai penyelewengan. Syukurlah, saya memang sudah ramalkan Mahathir akan beri kata dua kepada saya, namun peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas itu penuh pergolakan dan amat menyeksa batin saya. Saya tidak sangka sama sekali ia akan jadi begini. Mahathir ibarat singa tua yang luka tetapi masih berjuang mempertahankan kuasanya. Orang tua ini sudah tidak ada rasa berdosa lagi, malah dia sudah tidak waras. Saya terima surat pemecatan saya pada jam 5.30 petang. Pada malamnya, di hadapan orang ramai yang datang menziarahi saya, saya ceritakan urutan peristiwa yang membawa kepada pemecatan saya serta fitnah-fitnah baru yang saya yakin akan ditimpakan ke atas saya. Dengan cepat Mahathir membalas. Pada pagi 3 September, empat afidavit yang mengandungi tuduhan-tuduhan liar serta tiada bukti, yang dikaitkan dengan diri saya meskipun saya sama sekali tidak terbabit dengan perbicaraan jenayah yang sedang berjalan, telah dikemukakan terhadap Datuk Nallakaruppan. (Dia menghadapi kemungkinan hukuman gantung sampai mati di bawah ISA yang amat zalim itu). Afidavit itu dikemukakan kepada mahkamah oleh pendakwaraya kira-kira jam 9.35 pagi. Keempat-empat afidavit itu dibantah oleh para peguam Nalla kerana isi kandungannya tidak ada kaitan dengan tuduhan yang dikenakan ke atas Nalla. Hakim hari itu ialah Wahab Patail. Dia adalah saudara kandung kepada Abdul Ghani Patail, Ketua Pendakwaraya dalam kes 10 pertuduhan yang sedang saya hadapi. Hakim mengarahkan mahkamah berehat sehingga jam 2.00 petang untuk menimbangkan bantahan tersebut. Para peguam Nalla memohon supaya semua afidavit itu di-embargo-kan sementara menunggu keputusan penghakiman. Walau bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh hakim atas alasan "afidavit-afidavit itu sudah difailkan dan dengan itu ia sudah menjadi dokumen awam". Keputusan itu amat mengejutkan. Mana-mana peguam yang layak dipanggil peguam tentu tahu bahawa sesuatu afidavit itu tidak boleh menjadi "dokumen awam" sehinggalah ia sudah dibacakan dalam mahkamah. Perbuatan menerbitkan isi kandungan dokumen itu sebelum ia dibacakan di dalam mahkamah adalah suatu kesalahan menghina mahkamah yang serius. Inilah juga hakim yang menolak kebenaran dakwaan isteri saya di dalam afidavitnya dengan mengatakan dakwaan-dakwaan isteri saya itu adalah skandal yang sungguh memeranjatkan. Isteri saya mengemukan afidavit itu bagi menyokong permohonan habeas corpus saya pada 28 Oktober. Peguam saya sendiri membantah penghakiman itu berdasarkan alasan yang amat jelas iaitu, saudara kandung hakim itu adalah juga ketua pendakwaraya dalam kes saya. Alangkah lucunya seluruh peristiwa itu. Di satu pihak, Wahab Patail memutuskan mahkamah perlu berehat untuk menimbangkan sama ada afidavit-afidavit Nalla itu layak diterimapakai. Di satu pihak lain, Wahab Patail juga memutuskan afidavit-afidavit itu adalah dokumen awam dan ia boleh diserahkan kepada akhbar untuk diterbitkan dengan serta-merta! Hasilnya, The Malay Mail, sebuah akhbar petang menerbitkan afidavit-afidavit itu satu dalam keluaran khas. Nampak sangat tujuan akhbar itu ialah menjatuhkan nama baik dan maruah saya serendah-rendahnya. Keesokan harinya, akhbar-akhbar Malaysia yang lazimnya amat membosankan dan memualkan, tiba-tiba saja macam orang mabuk berahi menerbitkan pelbagai fitnah dan cercaan terhadap diri saya. Pada waktu yang sama, tidak ada berita sama sekali berkenaan afidavit Nalla yang mendakwa kekasaran polis sepanjang dia ditahan di bawah ISA serta kegagalan polis memaksa dia menandatangani kenyataan-kenyataan yang mensabitkan nama saya. Daim dan Para Pengampu Lain Saya sedikit pun tidak hairan dengan kempen-kempen media tempatan yang begitu galak dan jahat mengaibkan saya. Siapa yang tidak tahu kempen itu dirancang bukan oleh lain orang tetapi Daim sendiri, melalui si jongos busuknya, yang bernama Ahmad Sebi, seorang businessman dan bekas wartawan. Dulu, Ahmad Sebi ini, pernah berkali-kali cuba mempengaruhi saya supaya mencabar Mahathir dalam UMNO. Sekarang nampaknya dia sudah jadi salah seorang pengampu Mahathir yang paling besar, tetapi, bila di depan saya, dia keji dan cerca Mahathir dan Daim. Menarik juga Ahmad Sebi ni. Dialah antara orang-orang yang paling tidak segan silu bila memburuk-burukkan dan mengutuk si Kadir Jasin, Ketua Pengarang Kumpulan Straits Times. Saya rasa, sekarang ini Kadir terpaksalah jadi 'Pak Enggih' pada Mat Sebi dan buatlah sahaja apa-apa yang diarahkannya. Saya masih ingat, satu masa dulu Mat Sebi pernah berkata kepada saya, "Kadir tu, jangan nak katalah, nak tulis satu ayat Inggeris yang baik pun dia tak upaya." Bersambung........... Nota: Peribahasa "hilang gulinya" ialah peribahasa Inggeris yang bermaksud "sudah tidak siuman lagi". Dari Sebalik Tembok Sg. Buloh: Surat Dato' Seri Anwar Ibrahim (SIRI AKHIR) DARI KAMAR KEKUASAAN KE RUANG KURUNGAN Disambung DARI Siri 4 Mahathir, Eusoff Chin dan Pengembirian Insitutsi Kehakiman Dalam kes saya ini, media tempatan yang dikuasai kerajaan sudah tidak tahu segan silu lagi menjajakan pelbagai skandal yang berupa fitnah. Dalam berbuat demikian mereka menghina otak para pembaca. Mereka persoalkan mengapa saya sokong Lim Guan Eng. Lim adalah seorang lagi mangsa konspirasi Mahathir bersama dengan Mokhtar si Peguam Negara dan Eusoff Chin si Hakim Besar itu. Sejak saya belum dipecat pun saya sudah menyatakan pendirian saya dengan sejelas-jelasnya. Sewaktu saya ditanya oleh seorang penuntut Malaysia di London, saya katakan, kerajaan perlu mengkaji dan mengubah suatu undang-undang yang membolehkan orang yang mendedahkan perbuatan-perbuatan salah dihukum, manakala pada waktu yang sama ia melepaskan begitu sahaja orang yang dituduh melakukan kesalahan-kesalahan berkenaan. Mana-mana orang yang siuman takkan boleh menerima kenyataan di mana seseorang yang membela mangsa rogol akhirnya dia dipenjarakan, manakala si perogol itu pulang ke rumahnya sebagai orang bebas. Sekarang ini, si perogol itu dilantik oleh Mahathir menjadi jurucakapnya, di mana dia bercakap kepada orang ramai mengatakan saya tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana saya seorang yang "rendah akhlak". Sesungguhnya, kebebasan badan kehakiman kita adalah tersangat penting bagi pemisahan kuasa, suatu prinsip asas dalam demokrasi yang berperadaban. Adalah sesuatu yang amat mengecewakan apabila, di bawah pemerintahan Mahathir, badan kehakiman kita bukannya menjadi benteng yang menghalang penyalahan gunaan kuasa oleh pihak eksekutif, sebaliknya ia terbukti telah melakukan banyak persekongkolan, sehingga merosakkan nama baik pentadbiran keadilan negara ini. Apabila Hakim Negara Tun Salleh Abas dipecat pada tahun 1988, kemudian diikuti dengan lima orang Hakim Mahkamah Tinggi digantung jawatannya disebabkan mereka enggan tunduk kepada kehendak-kehendak Mahathir, maka berjayalah si kuku besi ini memastikan badan kehakiman sentiasa patuh kepadanya. Akhirnya, dua orang daripada hakim-hakim itu dilucutkan daripada jawatan mereka oleh sebuah tribunal "wayang kulit". Dalam suatu kes yang kini lebih dikenali dengan nama jolokan Kes Air Molek, di mana pihak plaintifnya adalah di bawah kekuasaan kroni besar Mahathir yang bernama Vincent Tan, Mahkamah Persekutuan di bawah Eusoff Chin melakukan apa yang tidak sepatutnya dilakukan, di mana ia mengkritik Mahkamah Rayuan yang berani mengamalkan kebebasan kehakimannya dengan menimbangkan kes tersebut berdasarkan kekuatan kes itu sendiri dan berdasarkan prinsip-prinsip keadilan. Keputusan Hakim N.H. Chan yang mengecam persekongkolan antara peguam-peguam yang tidak beretika di mana mereka sanggup bersekongkol dengan hakim-hakim yang korup. Pendirian Hakim N.H. Chan adalah contoh keadilan yang berdasarkan undang-undang dan kejujuran semata-mata, bukan keadilan yang dibuat kerana dendam dan kerakusan. Di dalam satu mesyuarat Kabinet, saya edarkan salinan keputusan mahkamah Rayuan, tetapi kemudian baru saya sedar rupa-rupanya tindakan saya itu dilihat sebagai mengkritik Hakim Negara, ipso facto Mahathir. Demikianlah juga halnya dengan ucapan-ucapan saya yang menyentuh prinsip kedaulatan undang-undang, ia tidak dapat diterima oleh orang yang sedang berkuasa. Di dalam salah satu ucapan saya itu, saya katakan ada korporat-korporat yang tidak segan silu lagi menunjukkan mereka mempunyai kuasa mempengaruhi keputusan-keputusan mahkamah supaya menyebelahi mereka. Saya katakan juga, ada dua jenis peguam sahaja, mereka yang tahu undang-undang, dan mereka yang tahu siapa hakimnya. Saya difahamkan kemudiannya, dalam peristiwa itu, Eusoff Chin si Hakim Besar juga hadir di dalam persidangan tersebut, dan dia tidak senang duduk. Semenjak itu dia susah hendak tidur malam kerana asyik terfikir-fikir apakah kata-kata saya itu saya tujukan kepadanya. Pada masa ini, kelambatan yang berlaku pada perlantikan beberapa nomini Mahkamah Persekutuan oleh Majlis Raja-Raja dikatakan juga berpunca daripada usaha saya cuba menggagalkan rancangan Mahathir yang hendak mengisi mahkamah-mahkamah kita dengan hakim-hakim yang sanggup ikut sahaja arahannya. Apabila saya berkata begini, ia tidak bermakna saya mengkritik semua anggota badan kehakiman, disebabkan masih ada ramai hakim-hakim yang amat tinggi akhlak dan mereka itu bersih daripada rasuah, tetapi hakim-hakim seperti itu telah dihukum kerana berani menjalankan tugas dengan jujur. Kepada mereka saya berpesan, tabahkanlah hati kerana satu hari nanti kebenaran akan terbukti juga. Pada malam 4 September, Majlis Tertinggi UMNO bermesyuarat. Ia dimulakan dengan Mahathir berkata, "Anwar mesti disingkirkan daripada parti kerana melakukan jenayah seks." Bagaikan belum cukup dengan serangan media yang dilakukan terhadap saya pada hari itu, sebelum ahli-hali majlis tertinggi itu datang ke mesyuarat tersebut, masing-masing menerima faks salinan affidavit-afidavit yang kenakan ke atas Nalla. Saya juga mendapat tahu, berminggu-minggu sebelum saya dipecat Mahathir sudah mengadakan perjumpaan-perjumpaan sulit dengan tiap-tiap orang Menteri Besar UMNO dengan niat memutar psikologi mereka supaya menyokong penyingkiran saya. Maka tidak hairanlah apabila pada 1 September, iaitu pada malam sebelum saya dipecat, Mahathir memanggil semua Menteri Besar UMNO datang ke satu mesyuarat di mana mesyuarat itu tidak lain dan tidak bukan membicarakan saya tanpa tanpa kehadiran saya. Selepas mesyuarat itu saya diberitahu, di dalam mesyuarat tersebut Mahathir bertindak sebagai hakim dan juga sebagai pendakwaraya, di mana dia mengatakan saya bersalah di atas beberapa tuduhan salahlaku seksual. Laporan-laporan media menyebut Mahathir sebagai berkata Majlis Tertinggi sebulat suara membuat keputusan memecat saya. Padahal, mereka yang terang-terang menyokong pemecatan saya hanyalah Megat Joned, Rafidah Aziz, Sanusi Junid, Abdul Hamid Pawanteh dan Tajol Rosli. Tajol berkata, "Falsafah saya ialah ketua saya takkan salah." Beberapa orang anggota MT bangun menyokong saya, tetapi majoriti ahli MT mahu supaya saya diberi cuti sementara menunggu keputusan perbicaraan, walaupun pada saat itu saya belum lagi dikenakan sebarang pertuduhan di mahkamah. Bermulanya Reformasi Perhimpunan yang bermula pada petang 3 September di rumah saya terbukti merupakan permulaan spontan kepada gerakan Reformasi. Lepas satu malam, satu malam lagi, beribu-ribu orang datang menyampaikan sokongan mereka kepada perjuangan saya dan menyuarakan kebencian mereka terhadap Mahathir dan konco-konco konspirasinya yang korup. Ombak penentangan itu tidak diduga sama sekali, dan ia membuat pihak-pihak berkuasa menjadi amat khuatir. Mereka cepat-cepat mula memanggil sahabat-sahabat saya dan para pembantu saya untuk disoal siasat, beberapa orang daripada mereka ditangkap. Kemudian Sukma dan Dr. Munawar juga ditangkap, mereka dikurung dan diseksa sehingga mereka sanggup mengaku bahawa mereka telah membenarkan diri mereka saya perkosa. Sepanjang-panjang mereka ditahan, sementara menunggu hari perbicaraan, mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan peguam mereka. Apabila mereka muncul di mahkamah, hanya orang yang matanya buta sahaja yang tidak boleh nampak kesan-kesan penderaan jasmani dan rohani yang mereka alami. Mereka dibicarakan di dalam dua kamar mahkamah yang berasingan. Perbicaraan mereka dijalankan dengan gopoh-gapah dan tergesa-gesa. Kedua-duanya mengaku bersalah, dan masing-masing dihukum enam bulan penjara. Hati saya amat tersentuh di atas sokongan kaum daripada kaum keluarga, sahabat-handai dan mereka yang percaya kepada saya serta kepada perjuangan reformasi. Saya amat bersyukur, meskipun terdapat usaha besar daripada alat-alat kerajaan untuk membinasakan peribadi saya, tetapi saya lihat, setiap kali Mahathir membuat percubaan baru bagi mewajarkan penyingkiran saya, sokongan yang saya terima semakin hari semakin besar dan semakin lantang. Saya berhutang budi kepada sahabat-sahabat saya di dalam UMNO yang tetap setia, termasuk ketua-ketua dalam parti - kecuali mereka yang memegang jawatan-jawatan tinggi - yang menyampaikan sokongan mereka kepada saya meskipun adanya ancaman daripada pejabat Mahathir dan daripada polis. Saya juga berterima kasih atas peranan yang dimainkan oleh pertubuhan-pertubuhan NGO, para ulamak, golongan agama, golongan profesional dan, lebih-lebih lagi kepada rakyat daripada golongan berpendapatan rendah di atas sumbangan mereka menjadikan gerakan Reformasi begitu kuat dan digeruni. Saya tahu saya mempunyai sokongan, tetapi saya sendiri tidak menyangka rupa-rupanya sokongan itu begitu besar, bukan hanya dari jumlah orang yang terlibat tetapi juga daripada segi emosi mereka. Setiap lapisan masyarakat dan golongan usia ikut terlibat di dalam gerakan Reformasi, namun golongan yang amat ketara ialah mereka yang muda baik di bandar mahupun di luar bandar. Malaysia kini sedang mengalami perubahan, dan saya yakin perubahan ini menuju kebaikan. Rakyat sudah tidak sanggup lagi dijadikan mangsa dasar-dasar dan amalan-amalan yang zalim. Mereka mahukan kebebasan bercakap dan ikut serta di dalam pentadbiran negara ini. Ombak perubahan ini tidak mungkin dapat dibendung lagi. Mahathir Tidak Mempunyai Cara Lain Semangat gerakan Reformasi ini membuat Mahathir sendiri terkejut. Semakin dia takut, semakin kuat dia menindas. Sebelumnya, dia berkali-kali berkata dia akan turun apabila sahaja dia menerima isyarat bahawa dirinya tidak diperlukan lagi. Tetapi, tidakkah dia sedar bahawa demonstrasi yang diadakan setiap hujung minggu oleh ribuan rakyat, ditambah pula dengan tindakan beribu-ribu lagi ahli UMNO yang keluar parti, itu sudah lebih daripada isyarat. Ia adalah pekikan kuat yang memberitahu dia sudah sampai masanya dia undur. Sebenarnya, dia masih terus kuasa semata-mata kerana dia boleh memperalatkan jentera-jentera kerajaan bagi mencipta budaya takut. Pada akhirnya, saya percaya sebagai langkah terakhir untuk terus berkuasa, Mahathir akan mengisytiharkan darurat. Tanda-tandanya sudah boleh kita lihat. Beberapa orang jurucakapnya, seperti Rais Yatim, sudah mula menyebut-nyebut kemungkinan itu. Selepas tamatnya mesyuarat APEC, menteri-menteri Kabinet dan lain-lain pegawai akan menggesa supaya darurat diisytiharkan, dengan cara itu dia mempunyai alasan untuk berkata kononnya dia tidak ada pilihan lain kecuali membuat perisytiharan tersebut. Apabila saya lihat sendiri bagaimana rakyat daripada semua bangsa dan latar belakang sosial bersatu menuntut roformasi, hati saya lapang dan saya bersyukur. Meskipun media yang dikuasai kerajaan cuba memburuk-burukkan perhimpunan di rumah saya, ataupun mereka tidak melaporkannya sama sekali, ataupun mereka tidak mahu mengheboh-hebohkannya, makin hari jumlah mereka yang datang berhimpun di rumah saya makin ramai. Pada waktu yang sama laungan "Reformasi" dan "Undur Mahathir" makin kuat kedengaran. Akhirnya, selepas satu minggu, saya terpaksa memenuhi permintaan supaya saya menyampaikan ceramah saya di luar Kuala Lumpur, memandangkan ramai penyokong yang tidak dapat datang ke Kuala Lumpur mendengar ucapan-ucapan pemimpin Reformasi. Pada waktu yang sama laungan "Reformasi" dan "Undur Mahathir" makin kuat kedengaran. Akhirnya, selepas satu minggu, saya terpaksa memenuhi permintaan supaya saya menyampaikan ceramah saya di luar Kuala Lumpur, memandangkan ramai penyokong yang tidak dapat datang ke Kuala Lumpur mendengar ucapan-ucapan pemimpin Reformasi. Mahathir Sila Undur Siri ceramah saya ke seluruh negara terbukti sangat berjaya, bukan kerana besarnya jumlah mereka yang hadir, tetapi kerana sebelumnya perasaan anti-Mahathir yang begitu kuat tidak pernah terjadi. Perasaan marah rakyat sampai ke kemuncaknya pada perhimpunan di Dataran Merdeka, di mana orang ramai dari semua lapisan masyarakat, baik dari segi usia, keturunan dan agama, datang berkumpul untuk menentang Mahathir dan menuntut dia meletakkan jawatan. Peristiwa itu diikuti dengan demonstrasi demi demonstrasi oleh puluhan ribu rakyat yang menyuarakan tuntutan mereka, tetapi dikatakan oleh Mahathir sebagai rusuhan ganas. Begitulah cara Mahathir menyembunyikan kebaculannya di sebalik kata-katanya yang angkuh. Dia masih memekakkan telinganya dan tidak mahu mendengar tuntutan rakyat. Perjuangan reformasi mesti diteruskan. Mengapakah rakyat yang tidak bersalah mesti terus diganasi oleh polis ataupun mereka itu ditangkap hanya kerana mereka mengamalkan hak mereka di sisi perlembagaan untuk berkumpul dan menyuarakan kebencian mereka terhadap rejim Mahathir? Masakan rakyat patut terus bersabar mendengar gembar-gembur seorang pemimpin kuku besi yang sudah nyanyuk? ..END.. |