Siapa pun tidak menyangka, bermula dengan usaha Baden Powell mengumpulkan budak-budak terbiar dan melepak
kemudiannya mengadakan perkhemahan pertama di Pulau Brownsea (1907)
berjaya menarik minat kanak-kanak mendewasakan diri dan berdikari. Tahun perkhemahan pertama itu bermula sejarah pengakap dunia yang dipelopori oleh Robert Stepphenson Lord Baden Powell of Gilwell (1857 - 1941) mudah disebut sebagai BP (Bapa Pengakap). Sehingga hari ini pengakap genap 92 tahun. Satu-satunya organisasi belia tertua di dunia. Walaupun BP sudah meninggal dunia lebih setengah abad (1941) tetapi jasanya mendisiplinkan anak-anak melalui ilmu pengakap tetap dikenang. Tarikh lahirnya, 22 Februari 1857, telah dijadikan Hari Pengakap di seluruh dunia. Seluruh dunia mengakui dan menerima ciri-ciri latihan dan kepimpinan pengakap. Dapat menyedar dan membimbing seseorang untuk menjadi warganegara yang berguna. Di Malaysia, pergerakan pengakap mula wujud sejak 90 tahun lalu (1909). Kumpulan pertama ditubuhkan di Sekolah Victoria Kuala Lumpur, kemudian diikuti Sekolah St. John dan Methodist Boys School. Sementara Pandu Puteri, mula diwujudkan di Selangor sekitar 1916. Kumpulan pertama oleh YMCA di Kuala Lumpur. Ternyata awal penubuhan pengakap di Malaysia hanya di sekolah-sekolah Inggeris. Tahun 1920 baru ditubuhkan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebagai mendorong anak-anak Melayu menyertai pengakap. Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim menubuhkan kumpulan latihan pertama. Guru-guru pelatih dari seluruh Semenanjung, Singapura dan Brunei dibimbing menjadi pemimpin pengakap di bawah kelolaan Allahyarham Mohd. Yusof Ahmad, Allahyarham Abdul Kudus Mohamad dan Allahyarham Ahmad Murad Nasharuddin. Hasil latihan ini, pelajar-pelajar maktab tersebut menyebarkan ilmu pengakap ke sekolah-sekolah di mana mereka ditugaskan mengajar. Berkembanglah pergerakan pengakap di sekolah Melayu sehingga pelosok kampung. Menjelang tahun-tahun mencapai kemerdekaan (1957) terdapat 42,000 anggota pengakap di Semenanjung. Selepas merdeka kian bertambah. Pada tahun 1964 berjumlah 48,267. Dua tahun kemudian (1966) meningkat ke 58,000. Kini anggota pergerakan pengakap mencapai 300,000. Malaysia berjaya mengadakan Jambori Nasional (Jamnas) sebanyak 7 kali. Jambori pertama (1966) di Teluk Bahang, Pulau Pinang disertai oleh 2,000 pengakap seluruh Malaysia. Sementara Jambori Nasional ke 7, di Besut, Terengganu (Ogos 1997) disertai oleh 17,000 pengakap dari Malaysia dan negara-negara Asia Pasifik. Pergerakan pengakap menyediakan aktivitinya kepada budak-budak dari umur 8 tahun ke peringkat belia dengan menitikberatkan terhadap 4 konsep diluluskan Persidangan Pengakap Sedunia. Pertama, perkembangan keperibadian, kedua , latihan kewarganegaraan, ketiga, kemahiran untuk berdikari dan keempat, khidmat kepada masyarakat. Untuk menyesuaikan dengan peningkatan belia di Malaysia, pengakap Malaysia menyediakan latihan ke arah menjadi warganegara yang baik, berdisiplin dan sihat dengan menekankan 4 prinsip. Setiap pengakap harus dapat mengembangkan kebolehan yang sedia ada pada dirinya. Berdikari agar mendapat rezeki yang halal bagi diri dan keluarga. Membekalkan pengalaman yang cukup agar dapat membantu diri sendiri dan memberi sumbangan kepada orang lain. Pengakap dilatih berjimat cermat dan tidak membazir. Jadi, ternyata masalah kegawatan ekonomi negara sekarang dengan mudah dapat diatasi oleh setiap ahli pengakap Malaysia. Undang-undang pengakap ke-9, telah mendisiplinkan mereka berjimat dan tidak boros. Menjadi amalan pengakap menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang-orang dibawahnya. Sama ada melalui kegiatan peringkat kumpulan, daerah dan negeri. Ada masanya digalakkan menyertai kegiatan antarabangsa, tidak sahaja melalui perkhemahan besar di jambori, tetapi dapat melalui jambori di udara, Jamboree on the Air (JOTA). Terkini, tersedia pula Jamboree on the Internet (JOTI) dapat digunakan melalui alamat: http://www.scout.org/joti.
|