ASPEK MAKSUD
Rangkap pertama
Bunyi irama daripada ketukan alat yang dipanggil gamelan (gema gangsa)
itu sungguh merdu dan pada masa ini dimainkan oleh orang-orang tua sahaja.
Kemerduan lagu-lagu itu dianggap istimewa kerana alat muzik tersebut dimainkan
melalui daya ingatan dan kreativiti yang tersendiri (tanpa notasi). Permainan
muzik tradisional seperti itu sudah hampir dilupakan mungkin kerana generasi
baru telah dipengaruhi oleh muzik dari negara barat.
Rangkap kedua
Permainan alat muzik tradisional ini melambangkan kebudayaan timuran
yang halus dan bersopan santun kerana pemainya juga duduk bersila dengan
tertib ketika memainkan alat tersebut. Kelembutan dan kehalusan budi pekerti
masyarakat timur juga jelas melalui kelembutan tarian yang diiringi oleh
muzik gamelan tersebut dan ditambah pula dengan paluan gendang yang menimbulkan
keharmonian dalam lagu yang dimainkan.
Rangkap ketiga
Kita tidak mengetahui siapakah pencipta alat muzik ini namun kita sedia
maklum permainan ini merupakan warisan budaya kita dan sering dimainkan
sama ada di istana maupun untuk tontonan masyarakat umum. Ini menunjukkan
bahawa muzik jenis ini satu ketika dahulu diminati oleh segenap lapisan
masyarakat Melayu.
Rangkap keempat
Sebenarnya gamelan hanya merupakan salah satu daripada banyak lagi
kesenian warisan bangsa kita yang hampir luput ditelan zaman. Oleh itu
generasi muda harus menyambung warisan tersebut dengan mempelajari seni
muzik warisan yang lain agar kesenian seperti ini tidak hilang lenyap ditelan
zaman. Kita hendaklah menyambung warisan ini kerana ia merupakan sebahagian
daripada identiti bangsa kita.
MESEJ
1. Kita harus memelihara kesenian warisan kita agar tidak hilang begitu sahaja.
2. Generasi muda haruslah mempelajari kesenian bangsa kita sendiri supaya dapat menyambung warisan kerana kebanyakan permainan muzik tradisional hanya dimainkan oleh golongan tua sahaja.
3. Kita tidak seharusnya terpengaruh dengan hasil seni muzik dari negara lain sehingga melupakan seni muzik bangsa kita sendiri.
4. Seni muzik tradisional merupakan seni yang turut melambangkan kehalusan dan kesopanan masyarakat timur.
5. Muzik gamelan merupakan salah satu seni muzik tradisional yang
hampir luput dan terdapat banyak lagi seni muzik yang lain yang perlu kita
hidupkan semula melalui generasi muda yang ada sekarang.
|
|
|
|