Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
Sajak-Hidup dan Mati

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 ANALISIS SAJAK -  HIDUP DAN MATI

A. MAKSUD  DAN PEMIKIRAN PENYAJAK

Soalan: Bagaimanakah pandangan penyajak tentang kematian seperti yang terkandung dalam sajak tersebut?

Penyajak mengemukakan beberapa persoalan tentang perjalanan masa dan manusia yang pasti akan bertambah usianya kerana ditelan masa dan seterusnya menamatkan pusingan hidupnya - mati.

Seterusnya penyajak mengemukakan beberapa pengertian umum tentang hidup dan mati. Antaranya ialah setiap yang hidup di dunia ini pasti akan mati kerana hidup ini tidak kekal sama seperti dunia ini yang bersifat fana. Manusia seharusnya menggunakan masa hidup ini untuk melakukan kebaikan-kebaikan sebagai bekalan apabila mati kerana manusia akan dibangkitkan semula dengan balasan yang setimpal dengan kebaikan yang telah dilakukannya ketika hidup. Manusia juga seolah-olah lupa bahawa kematian akan pasti datang. Bagi manusia mereka melakukan keburukan dan kerosakan kerana lupa bahawa mereka akan mati dan mendapat balasannya. Kehidupan juga bermula dengan tangisan (bayi) sama seperti kematian, namun tangisan ketika lahir itu tidaklah tangisan yang tragis seperti tangisan kerana mengenangkan kematian seseorang yang kita sayangi.

Penyajak juga mengemukakan beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang itu menemui ajalnya seperti membunuh diri kerana tidak sanggup menghadapi kehidupan yang sengsara atau kerana kekecewaan. Mereka akan mati dalam keadaan yang terseksa dan sengsara. Terdapat juga orang yang ingin hidup lama kerana sesuatu sebab seperti ingin memiliki kekayaan harta, namun mereka sering mati cepat. Ini kerana kehidupan atau nyawa itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit apabila telah sampai ajal seseorang. Terdapat juga orang yang hidup tetapi seolah-olah telah mati kerana tidak berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidupnya, berputus asa, tidak berfaedah kepada orang lain, malas, dan sebagainya. Mereka seolah-olah mempunyai badan tanpa roh. Terdapat juga orang yang menemui kejayaan dalam hidup kemudian kejayaan itu hilang. Orang seperti ini dianggap sebagai orang yang hidup dan mati. Sebaliknya terdapat juga orang yang sengsara pada mulanya dan kemudian memperoleh kejayaan dalam hidup. orang seperti ini dianggap sebagai orang yang mati dan hidup.

Penyajak menganggap bahawa hidup merupakan satu jalan sehala kerana seseorang itu tidak mungkin dapat berpatah balik ke belakang dalam hidupnya. Ini juga bermaksud seseorang itu tidak akan dapat elak daripada melalui detik masa yang pasti akan menambah usianya dari semasa ke semasa sehinggalah dia sampai ke saat kematiannya.

B. MESEJ
1. Setiap yang hidup pasti akan mati
2. Setiap kamatian pasti bersebab
3. Manusia harus melakukan kebaikan sebagai bekalannya sebelum mati.
4. Manusia tidak tahu tentang saat ajalnya
5. Manusia tidak mampu menambah usianya apabila sampai ajal
6. Orang yang berputus asa bolehlah dianggap sebagai orang yang telah mati
7. Kita tidak dapat memutarkan masa untuk balik ke masa yang telah berlalu

C. PENGAJARAN
1. Oleh sebab setiap yang hidup pasti mati, kita perlu beringat-ingat ketika hidup bahawa kematian boleh “menjemput” kita pada bila-bila masa tanpa amaran. Oleh itu kita perlu berwaspada dari segi keselamatan diri dan penjagaan kesihatan. Kita juga sepatutnya tidak menyalahkan takdir apabila berlaku kematian kerana yang demikian itu memang lumrah kehidupan. Manusia juga tidak seharusnya sombong dan bongkak kerana yang terus kekal hidup hanya tuhan. Manusia adalah makhluk yang lemah dan tidak akan kekal hidup menongkat langit.

2. Manusia perlu melakukan kebaikan sebanyak mungkin ketika hidup kerana kebaikan itu merupakan satu-satunya bekalan untuk dibawa apabila menempuh kematian. Oleh itu manusia perlu menggunakan masa yang ada ketika hidup untuk mengerjakan amalan yang baik. Manusia yang tidak sempat melakukan amal kebajikan ketika hidup akan kembali dengan keadaan “tangan kosong” apabila mati dan oleh sebab amalan kebajikan itu merupakan sesuatu yang akan diambil kira untuk diberikan pembalasan, akan rugilah seseorang yang mati tanpa amalan yang baik.

3. Manusia tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan ajalnya kerana perkara tersebut terletak di tangan tuhan. Manusia bagaimanapun digalakkan untuk berikhtiar untuk terus hidup. Namun begitu sekiranya ajalnya sudah sampai dia pasti tidak dapat melawan kehendak tuhan. Dalam hal ini, kita harus menerima hakikat bahawa nyawa manusia tidak dapat dibeli dengan apa sekalipun. Manusia yang mampu mungkin akan berbelanja beribu-ribu ringgit dalam usahanya untuk mengubati penyakitnya namun sekiranya tuhan menetapkan kematiannya, segala usahanya akan menjadi sia-sia.

4. masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Masa yang kita lalui hari ini akan menjadi sejarah hidup kita esok. Oleh itu kita tidak seharusnya memikirkan perkara yang telah berlaku sehingga lupa akan tanggungjawab kita pada masa kini. Kita akan menjalani kehidupan secara “satu hala” dan pada akhir kehidupan itu kematian akan menunggu kita. Oleh itu kita perlu mengisi kehidupan ini dengan perkara-perkara yang berfaedah dan kita perlu beringat bahawa setiap hari yang kita lalui itu akan mendekatkan kita kepada kematian.

5. Dalam menempuh kehidupan ini, kita hendaklah mengikis sikap suka berputus asa. Ini kerana sikap yang demikian itu meletakkan diri kita seolah-olah orang yang telah mati sebelum ajal. Pada kebiasaannya orang yang berputus asa itu akan menghabiskan waktunya dengan menyesali dirinya dan tidak akan membuat sesuatu yang berfaedah. Orang yang berputus asa juga dianggap tidak berguna lagi kepada masyarakat sama seperti kata penyajak “bagai pelabuhan tidak berkapal”. Sekiranya kita menempuh kegagalan dalam hidup, sepatutnya kita cuba bangun semula dan mengatasi kelemahan kita. Lagipun orang yang berjaya bukanlah orang yang tidak pernah gagal tetapi orang yang mampu bangun semula selepas menempuh kegagalan.

MAKSUD RANGKAI KATA:
hidup dan mati
yang satu tangis
satu lagi tragis

Kehidupan biasanya bermula dengan tangisan. Seorang bayi yang dilahirkan akan menangis apabila pertama kali menghirup udara di dunia ini. Perkara ini adalah sesuatu yang biasa dan sudah menjadi hukum alam. Oleh itu kelahiran itu sendiri disambut oleh tangisan bayi itu sendiri. Seorang bapa yang menunggu kelahiran bayinya di luar bilik bersalin akan tahu bahawa kelahiran berlaku dengan hanya mendengar tangisan bayi itu. Tangisan bayi itu akan diikuti dengan ucapan kesyukuran dari pihak keluarga bayi. Kelahiran itu akan mengeratkan perhubungan suami isteri dan biasanya diikuti pula dengan doa dan majlis kesyukuran berserta jamuan dan sebagainya.
Namun begitu, tangisan yang mengiringi kematian dianggap sebagai sesuatu yang tragis atau memilukan. Tangisan itu diikuti dengan perasaan kehilangan orang yang disayangi dan orang yang ditinggalkan itu pula tahu perpisahan tersebut adalah perpisahan untuk selama-lamanya. Tangisan itu pula akan diikuti dengan doa agar roh si mati akan dirahmati tuhan dan ditempatkan bersama dengan roh orang-orang yang beriman.



Angin Waktu    Faramorgana    Gamelan    Hidup Mati    Ibunda    Kulupakan    Laut    Wang    Pulang    Siput     Tanah Ini     Tanjung    Tasik    Teberau    Warga Kota  

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME