Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
CERPEN- Pertemuan Di Kota Kinabalu

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 ANALISIS CERPEN : PERTEMUAN DI KOTA KINABALU
1.   TEMA

Cerpen ini mengemukakan tema percintaan iaitu percintaan Taufik dengan Habsah. Percintaaan antara kedua-dua insan ini terhalang oleh sebab bapa Habsah telah memaksanya berkahwin dengan pemuda lain iaitu Lukman. Percintaan yang luhur, setia, dan jujur itu telah menyebabkan Taufik sanggup lari dari rumah dan meninggalkan ibunya yang uzur. Dia juga sanggup meninggalkan kampung halamannya di semenanjung dan berpindah ke Sabah untuk tinggal dalam keadaan bersekedudukan dengan Habsah yang telah lari dari rumah kerana tidak sanggup menjadi isteri Lukman. Pasangan Taufik dan Habsah berkahwin juga setelah 15 tahun tinggal se rumah di dalam bilik yang berasingan. Apa yang dilakukan oleh pasangan ini samalah dengan pepatah “Buang emak buang saudara, kerana kekasih saya turutkan”.

2. PERSOALAN

a.  Kesetiaan dalam percintaan

b.  Sikap materialistik

c.  Kasih sayang ibu terhadap anaknya

d.  Pasangan yang bersekedudukan

e.  Anak yang tidak menjalankan tanggungjawab terhadap orang tuanya.

3.  MESEJ

a.  Kita tidak seharusnya mengetepikan ibu bapa dalam apa-apa hal.

b.  Ibu-bapa tidak seharusnya menjodohkan anak-anak mereka secara paksaan

c.  Pasangan yang melalui percintaan yang hebat sanggup melakukan pelbagai pengorbanan.

d. Harta dan pangkat tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga.

e.  Pasangan yang bercinta sanggup melampaui batas undang-undang dan hukum agama.

4. PERWATAKAN
a.  Taufik
-tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi oleh itu dia tidak dapat memegang jawatan yang penting dan telah menjadi penyebab hubungannya dengan Habsah tidak direstui oleh bapa Habsah.
- sangat setia dalam percintaan sehingga sanggup menunggu Habsah dan kemudian tinggal bersama-sama dengannya walaupun di bilik yang berasingan kerana Habsah belum diceraikan oleh Lokman.

- rajin bekerja dan pandai mengambil hati majikannya sehingga bapa Aida mengambilnya bekerja di kebunnya dan kemudian menghadiahkan sebidang tanah untuknya.
-tidak dapat menerima kenyataan dalam hidup terutama ketika gagal dalam percintaan. Dia sepatutnya melupakan Habsah dan menjalani kehidupannya seperti biasa atau mengahwini gadis yang lain.

b.  Habsah
- setia dalam percintaan sehingga sanggup melarikan diri daripada Lokman untuk bersama-sama dengan Taufik di Sabah.
- masih mampu menjaga kehormatan diri. Dia meletakkan cinta itu sebagai sesuatu yang murni lalu tinggal bersama-sama dengan Taufik di dalam bilik yang berasingan bersama pembantu rumahnya selama 15 tahun.

5. BAHASA DAN GAYA BAHASA

Pengarang menggunakan bahasa biasa yang mudah difahami di samping  menyelitkan beberapa patah perkataan dalam bahasa Inggeris seperti : exitement, first class, problem, direct, sorry, excuse, steward, air pockets, air port, terminal, hello, maxi, parking, dan appointment bertujuan untuk menunjukkan kebiasaan dalam pertuturan harian dan dialog yang bersahaja.  Pengarang juga menyampaikan cerita secara pemerian dan dialog termasuk monolog dalaman misalnya ketika ‘aku’ berkata-kata dengan dirinya sendiri:
“Sungguh-sungguh tolol aku ini. Mengapa tidak kutanya sejak kelmarin?( alamat Aida)”

6. PLOT

Plot di sampaikan secara kronologi dan di selang seli dengan beberapa unsur imbasan kembali.
Cerita dimulakan dengan peristiwa keberangkatan ‘aku ‘ ke Sabah kerana mempunyai urusan yang berkaitan dengan bahasa. Di samping itu dia juga menerima pesanan daripada Hakim supaya mencari Taufik untuk memberitahu bahawa ibunya sedang sakit kerana rindu untuk berjumpa dengannya.

Pada pertengahan cerita, ‘aku’ telah dapat bertemu dengan Taufik dan telah menyampaikan pesanan bahawa ibunya sakit. Taufik tidak mahu pulang kerana masih mempunyai masalah peribadi dan enggan bercakap mengenainya. Konflik yang ditimbulkan oleh pengarang ialah konflik yang dihadapi oleh Taufik kerana dalam keadaan serba salah. Dia ingin pulang ke semenanjung untuk menjenguh ibunya yang uzur namun sekiranya dia pulang dia mungkin akan menimbulkan masalah lain bagi dirinya dan keluarga Habsah kerana pada sangkaannya Habsah masih menjadi isteri Lokman.

Pada peringkat akhir cerita segala-gala yang menjadi unsur suspens bagi khalayak atau pembaca selama ini telah terjawab. Setelah ‘aku’ memberitahu bahawa Habsah telah diceraikan suaminya, Taufik terus memanggil imam dan beberapa orang saksi dan mereka pun diijabkabulkan secara sah. Peristiwa itu juga merupakan klimaks dalam cerpen ini. Selepas itu Taufik menyatakan hajatnya untuk pulang ke semenanjung.

Contoh soalan:  Cerpen Pertemuan di Kota Kinabalu didapati bertepatan dengan kata-kata ‘buang emak buang saudara, kerana kekasih saya turutkan.” Huraikan pernyataan di atas dengan berpandukan aspek persoalan yang terdapat dalam cerpen tersebut.

Dalam Kabus    Dosa Pejuang    Kasih Sayang     Kinabalu    Mayat
Nenek   Pasir Pekan    Socius    Wajahku
 
 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME