Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
Sajak-Laut

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 ANALISIS SAJAK- LAUT

ASPEK MAKSUD SAJAK

Rangkap pertama

Nelayan merupakan pencabar utama lautan yang dalam, bergelora, dan yang sering diserang angin ribut. Para nelayan berani menerima semua cabaran itu kerana mereka memiliki semangat yang cekal. Mereka menanggung risiko yang tinggi kerana lautan tidak menjaminkan keselamatan mereka dan tidak menjanjikan rezeki yang lumayan.

Rangkap kedua

Laut merupakan sahabat bagi nelayan. Hal ini kerana laut merupakan punca rezeki bagi nelayan (pemberi yang menuntut kesungguhan).Namun begitu nelayan perlu berusaha bersungguh-sungguh serta mempunyai semangat yang gigih untuk mendapatkan hasil lumayan.  Nelayan juga sedar akan kebimbangan yang sering dihadapi oleh keluarga mereka yang menanti akan kepulangan mereka namun kebimbangan itu diketepikan kerana mencari rezeki itu merupakan sesuatu yang lebih penting daripada itu. Nelayan juga dikatakan tidak mempunyai pilihan lain (dan jalan mati). Namun begitu anggota keluarga nelayan tidak pernah bosan-bosan memberikan pesanan agar nelayan sentiasa berwaspada dan berdoa semoga nelayan sentiasa selamat.

Rangkap ketiga

Nelayan dianggap sebagai golongan manusia yang rajin berusaha dan yakin pada diri sendiri serta mempunyai sifat keberanian yang tinggi. Mereka juga percaya bahawa ajal itu terletak di tangan tuhan. Jika dibandingkan dengan pemerhati seperti ‘penyajak’, nelayan dianggap mempunyai nilai diri yang lebih tinggi kerana memiliki sifat-sifat tersebut.

Apakah situasi yang memungkinkan penyajak melahirkan sajak tersebut?

Penyajak mungkin menghadapi masalah dalam hidup dan masalah yang merupakan satu cabaran itu telah menyebabkan dia hilang keyakinan diri. Dia tidak bersemangat dan tidak yakin lagi bahawa sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh, kita mempunyai peluang yang besar untuk berjaya. Dalam keadaan yang kecewa ini penyajak berehat di tepi pantai dan dia telah melihat seorang nelayan yang sedang mengayuh pulang dari menangkap ikan. Nelayan tersebut menggunakan perahu yang kecil sahaja dan dengan itu penyajak tahu bahawa nelayan tersebut mempunyai sifat berani dan gigih kerana bila-bila masa sahaja nelayan tersebut akan menemui kemalangan atau kecelakaan kerana dia mungkin berhadapan dengan ribut yang kuat atau ombak yang tinggi. Penyajak kagum dengan sikap nelayan tersebut. Peristiwa yang dilihat oleh penyajak itu menyebabkan dia insaf dan sedar bahawa kita perlu yakin kepada diri sendiri dan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita. Kita juga perlu yakin bahawa ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Dalam keadaan penuh keinsafan penulis telah melahirkan sajak ini.

MESEJ.
 Antara mesej yang terkandung dalam sajak tersebut ialah:
1. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi kehendak kita kerana rezeki tidak datang menggolek. Dalam sajak tersebut kita dapati “Si pengayuh” telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki di laut. Mesej ini jelas melalui kata-kata :
…pemberi yang menuntut kesungguhan

2. Selain itu, penyajak juga mengemukakan mesej bahawa seseorang yang ingin berjaya perlu memiliki keyakinan iaitu keyakinan kepada diri sendiri dan keyakinan kepada kekuasaan Tuhan. "Si pengayuh” dikatakan mempunyai keyakinan diri. Dia yakin dengan usahanya itu dia akan berjaya sebagai seorang pelaut walaupun tidak menggunakan bot yang besar atau kelengkapan yang moden. Dia juga yakin bahawa tuhan akan menolong hamba-hambanya yang mahu menolong diri mereka sendiri. Mesej ini disampaikan secara jelas melalui kata-kata seperti berikut:
lebih yakin pada upaya…

3. Kita dapat menilai kelemahan diri kita sendiri dengan melihat kejayaan orang lain. Keadaan ini berlaku kepada “aku” atau “Si Pemerhati” dalam sajak ini. Dengan melihat keadaan “Si Pengayuh” dia mulai insaf serta sedar akan kelemahan dirinya selama ini iaitu tidak mempunyai keyakinan diri serta tidak berusaha bersungguh-sungguh. Mesej ini disampaikan secara tersirat dan dapat dihayati oleh pembaca setelah membaca keseluruhan sajak tersebut.

4. Dalam usaha kita menjalankan kewajipan, kita mungkin sanggup berkorban sama ada dari segi wang ringgit atau keluarga. Dalam hal ini si pengayuh sanggup meninggalkan anak isteri serta orang yang disayanginya kerana dia perlu menjalankan kewajipannya sebagai seorang nelayan. Di samping itu orang yang ditinggalkan juga perlu bekorban masa dan sentiasa mendoakan keselamatan orang yang pergi kerana tugas. Mesej ini terkandung dalam rangkap kedua sajak tersebut.



Angin Waktu    Faramorgana    Gamelan    Hidup Mati    Ibunda    Kulupakan    Laut    Wang    Pulang    Siput     Tanah Ini     Tanjung    Tasik    Teberau    Warga Kota  

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA

HOME