Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
Sajak-ANTARA SIPUT, KETAM, IKAN, DAN SEORANG NELAYAN.

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 ANALISIS SAJAK - ANTARA SIPUT, KETAM, IKAN, DAN SEORANG NELAYAN.

Sajak ini memaparkan secara umumnya keadaan kehidupan seorang nelayan yang harus tabah menghadapi dugaan dan cabaran.

Cabaran yang pertama ialah dari lautan itu sendiri. Nelayan harus tabah dan berani menanggung risiko kerana lautan itu tidak selalunya tenang terutama pada musim tengkujuh. Dalam hal ini, penyajak berpendapat, nelayan harus memiliki semangat persis seekor siput yang mempunyai kulit yang keras dan berani menempuh cabaran itu kerana berasa lebih selamat dengan keadaan kulitnya itu. Nelayan juga harus tenang menghadapi dugaan tersebut. Sekiranya nelayan tidak dapat mengatasi masalah tersebut dia mungkin tidak akan dapat tidur nyenyak kerana memikirkan keadaan yang akan ditempuhi pada keesokan harinya.

Cabaran yang seterusnya ialah punca rezeki nelayan itu sendiri yang tidak selalu menjanjikan hasil yang lumayan. Nelayan harus pasrah dengan keadaannya dan melemparkan fikiran yang negatif dan terus dengan aktivitinya sebagai nelayan dengan gagah, rajin, dan bersungguh-sungguh melakukannya. Semangat seperti ini diibaratkan oleh penyajak dengan ‘ketam’. Sepit yang dimiliki oleh ketam itu merupakan lambang kegagahan yang harus dimiliki oleh para nelayan. Nelayan seharusnya memiliki sifat gagah dan berani untuk menyara kehidupan keluarganya dan seterusnya membebaskan diri dari belenggu kemiskinan. Sepit ketam itu juga melambangkan keazaman yang kuat. Nelayan seharusnya mempunyai keazaman yang kuat dlam menempuh cabaran hidupnya sepanjang masa.

Seterusnya nelayan mempunyai cabaran untuk mencari rezeki di tempat-tempat yang jauh. Nelayan harus berani meneroka laut dalam dan bukan hanya setakat menjadi nelayan di persisiran pantai semata-mata. Penyajak melambangkan semangat ini dengan menggunakan ‘ikan’ yang memang sifatnya sentiasa mengembara dari satu tempat ke satu tempat di dasar laut itu. Perlambangan ini juga bererti nelayan harus meneroka aktiviti perikanan itu dengan lebih mendalam lagi seperti melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan industri tersebut seperti pembuatan makanan, memelihara ikan, udang, ketam, dan sebagainya. Nelayan haruslah ‘mengembara’ dalam dunia industri perikanan itu sendiri demi menaikkan taraf kehidupannya sendiri. Dan dalam hubungan ini, penyajak menyeru supaya nelayan sentiasa mempunyai wawasan(impian). Seruan ini jelas dalam kata-kata berikut:

kumpulkan segenap pusaka dari tujuh keturunan
segenap mimpi dari tujuh fajar.

Secara umunnya dapatlah dikatakan bahawa penyair berjaya menggunakan unsur perlambangan dalam sajak ini bagi memberikan gambaran serta perbandingan yang jelas antara nelayan dengan siput, ketam, dan ikan. Penyajak menyarankan agar nelayan dapat memiliki semangat seperti siput yang berani dan mempunyai semangat yang gagah seperti ketam, dan mempunyai wawasan serta semangat kembara seperti ikan.
 



Angin Waktu    Faramorgana    Gamelan    Hidup Mati    Ibunda    Kulupakan    Laut    Wang    Pulang    Siput     Tanah Ini     Tanjung    Tasik    Teberau    Warga Kota  

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA