“Dalam keghairahan Nira Hitam berusaha untuk
membangunkan Kampung Paya, J dianggap sebagai batu penghalang dan seorang
yang bersikap anti pembangunan.” Berikan pendapat anda sejauh mana pernyataan
tersebut benar.
1.Huraikan dengan fakta dan bukti untuk membenarkan pernyataan yang mengatakan bahawa Nira Hitam memang ghairah dan bercita-cita tinggi untuk membangunkan Kampung Paya dengan menjalankan projek-projek meganya. [10 markah]
2. Buktikan bahawa J cuba menghalang projek pembinaan empangan dengan
memberikan kritik-kritik dan alasan atau rasional yang konkrit bagi
pihak J. Jelaskan juga mengapa J bertindak demikian untuk membuktikan bahawa
dia BUKAN anti pembangunan sebaliknya J tidak bersependapat dengan cara
Nira Hitam menjalankan aktivitinya kerana terdapat beberapa kelemahan.
Nyatakan kelemahan-kelemahan itu.
[10 markah]
3. Buat rumusan anda bahawa kenyataan itu tidak benar. Berikan alasan anda sekali lagi dalam bentuk yang lebih ringkas. [5 markah]
Contoh jawapan:
Sekali pandang, Nira Hitam dapat dilihat sebagai agen perubahan bagi
penduduk di Kampung Paya. Ini kerana keghairahannya menjalankan projek-projek
mega untuk memajukan kampung tersebut seiring dengan kemajuan di bandar.
Antara projek-projek yang dalam perancangannya ialah pembinaan empangan
di Sungai Titian Terus, pembinaan lebuh raya untuk menghubungkan kampung
tersebut dengan bandar Rembau, pembinaan hotel mewah, tasik, rumah contoh,
Syarikat Koperasi, pembinaan taman perumahan, dan masjid yang besar. Namun
begitu projek-projek tersebut didapati tidak sesuai dijalankan pada masa
itu dan di sebalik projek-projek tersebut terdapat sesuatu yang tidak kena
dan menimbulkan curiga bagi pihak J. Dalam usaha J menyiasat perkara itu
dengan lebih mendalam, didapati Nira Hitam mempunyai kepentingan peribadi
dan ada unsur unsur penipuan serta penindasan terhadap penduduk-penduduk
tempatan. Dalam usaha J untuk menghalang niat jahat Nira Hitam itu dia
dilihat oleh Nira Hitam sebagai penghalang atau anti pembangunan.
Namun begitu, J mempunyai alasan dan rasionalnya yang tersendiri untuk
meletakkannya sebagai hero untuk menyelamatkan penduduk kampung daripada
tertipu oleh muslihat Nira Hitam. Bagi J, Nira Hitam tidak membawa pembangunan
di kampung itu malah membawa kemusnahan. Ini kerana J dapati Nira Hitam
ghairah menjalankan projek-projeknya tanpa mengambil kira faktor penjagaan
alam sekitar. Ini terbukti benar kerana terlalu banyak penebangan hutan
yang telah dilakukan sehingga menjejaskan keindahan semula jadi Kampung
Paya dan sekali gus menjejaskan habitat hidupan liar di situ. Nira Hitam
juga didapati tidak mengambil kira faktor keselamatan penduduk kerana pembinaan
empangan didapati telah menyebabkan berlaku banjir di hulu sungai dan keadaan
di bahagian hilir sungai pula kering kontang. Ini juga bermakna penduduk
di situ menanggung kerugian yang banyak dan menjejaskan pendapatan mereka.
Di samping itu pembinaan empangan secara tergesa-gesa dalam musim hujan
mengakibatkan simen yang digunakan tidak sempat kering dan empangan yang
dibina akan runtuh. Hal ini ternyata benar pada akhir cerita.
Projek lebuh raya yang dijalankan pula didapati membazirkan wang kerana terbukti lebuh raya tersebut tidak digunakan oleh penduduk yang rata-rata tidak mempunyai kenderaan selain basikal. Di samping itu, pemasangan tiang-tiang lampu yang di import pula dirasakan sesuatu yang tidak perlu dan bersifat lewah juga. Teryata Nira Hitam tidak bijak dalam perbelanjaan. Keadaan menjadi lebih parah kerana Nira Hitam juga merancang untuk mendirikan sebuah hotel mewah dan akan membazirkan wang sekali lagi dengan pembinaan tasik buatan manusia yang wangi dan berwarna-warni. Rumah contoh yang didirikan juga merupakan mimpi Nira Hitam yang tidak akan menjadi kenyataan kerana tiada pelawat. Di samping itu Nira Hitam tidak mengambil kira nilai sejarah kampung itu apabila dia mengambil keputusan untuk meruntuhkan masjid asal kampung tersebut tanpa berbincang dengan penduduk kampung terlebih dahulu. Walaupun masjid tersebut akan diganti dengan yang baru, kemusnahan nilai sejarah tetap berlaku. Tindakan ini mendapat kritikan daripada pihak J sehingga dia dianggap penghalang kemajuan.
Nira Hitam juga tidak ikhlas dalam penubuhan Syarikat Koperasi Kampung Paya. Ini kerana terdapat unsur “pilih kasih” dan penipuan dalam perlaksanaannya. J telah berjaya menyedarkan segelintir masyarakat kampung tentang tindakan Nira Hitam yang tidak ikhlas itu sehingga berlakulah peristiwa Ketua Suku Batu Belang menolak pemilikan rumah yang diberikan kepadanya ketika majlis penyerahan anak kunci diadakan. Peristiwa itu telah memalukan Nira Hitam dan menunjukkan sudah ada “kebangkitan” di kalangan penduduk Kampung Paya. Nira Hitam juga telah menggunakan beberapa orang yang dipengaruhinya dengan wang ringgit dan pangkat serta harta benda sebagai sogokan untuk menghalang tindakan J. Dia juga cuba memburuk-burukkan imej J dan memberikan gambaran bahawa J adalah petualang yang cuba menghalang kemajuan yang dilaksanakan di kampung itu. Badak, bulo, imam Kelawai, dan Daun Nadim sendiri telah terpengaruh dengan sogokan dan ugutan Nira Hitam.
Pada hakikatnya, Nira Hitam tidak berniat baik dalam menjalankan tugasnya sebagai penghulu di Kampung Paya. Dia mempunyai kepentingan peribadi dan cuba mengaut keuntungan sebanyak mungkin dalam bentuk penindasan. J, sebagai golongan intelek, tidak dapat menerima tindakan Nira Hitam yang membawa kemusnahan lalu bertindak menghalang niat Nira Hitam. Jadi, kenyataan yang mengatakan J sebagai penghalang kemajuan di Kampung Paya adalah tidak benar kerana yang berlaku adalah di sebaliknya iaitu J cuba mengekalkan keamanan dan keharmonian di kampung itu dan secara tersirat turut bersetuju dengan niat Nira Hitam untuk memajukan kampungnya. Namun bagi J, cara untuk memajukan kampung itu biarlah dirancang dengan lebih teliti dan dilakukan dengan ikhlas tanpa sebarang penindasan dan kemusnahan alam sekitar.
|
|
|
|