Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Kesusasteraan Melayu STPM
Sajak-Warga Kota

Oleh : Salleh Long - SMKTAM 

 Petikan sajak “WARGA KOTA” ms: 281
Soalan : Huraikan 5 peristiwa penting yang telah dikemukakan oleh penyair sehingga timbul kata-kata “ Hatiku berdarah dalam terik dan sesak kota.” [15]
JAWAPAN:

(a) Kata-kata tersebut membayangkan keresahan dan kegelisahan penyair akibat tekanan perasaan yang harus dihadapinya dalam kehidupan di kota. Antara peristiwa-peristiwa yang menyebabkan penyair berperasaan sedemikian ialah:

1. Penyair menghadapi tekanan perasaan kerana rindu akan keluarganya yang terpisah kerana mereka tinggal di desa. Dalam hal ini penyair mengatakan bahawa dia merindui kakaknya. Perasaan ini menekan jiwa penyair kerana dia tahu bahawa perpisahan tersebut boleh mengakibatkan perhubungannya dengan keluarganya menjadi renggang. Begitu juga perhubungan anak-anaknya dengan keluarga mereka yang tinggal di desa. Penyair secara tidak langsung mengingatkan dirinya sendiri bahawa anaknya ialah anak saudara kakaknya juga dan perhubungan kekeluargaan itu penting. Penyair juga sedar penghijrahannya ke bandar boleh mengakibatkan hubungan keluarga mereka terjejas.

2. Penyair juga mengeluarkan kata-kata itu kerana tidak dapat menahan tekanan kehidupan di kota yang penuh dengan cabaran. Dia melihat suasana pergaulan bebas yang berleluasa, begitu juga dengan masalah jenayah seperti rompakan dan  pengkhianatan seperti membakar bangunan yang  mungkin akan diikuti dengan masalah penganguran kerana bencana seperti itu akan mengakibatkan ramai orang yang kehilangan pekerjaan. Semua masalah ini dijelaskan oleh penyair dalam 3 baris yang terakhir dalam rangkap kedua.

3. Penyair juga berasa perit dengan keadaan di kota yang memerlukan seseorang itu berbelanja lebih kerana taraf kehidupan yang tinggi. Harga barang-barang di kota di dapati tidak sama dengan di desa oleh itu warga kota terpaksa bekerja keras siang dan malam untuk menampung kehidupan mereka seharian. Penghuni yang tidak melaksanakan tanggung jawab mereka mungkin akan kehilangan pekerjaan kerana terdapat banyak persaingan. Mereka juga perlu menggunakan akal kerana terdapat juga pekerjaan yang berisiko tinggi seperti buruh binaan. Mereka yang cuai mungkin akan mengakibatkan kehilangan nyawa seperti kata-kata penyair:
“buruh di tingkat sembilan tergelincir jatuh dan mati”

4. Penyair juga mengeluh kerana melihat keadaan penghuni kota yang terus dengan aktiviti mereka pada waktu malam dengan menghabiskan masa di pub atau night club. Bagi mereka yang mampu, akan menghabiskan sejumlah wang yang banyak dengan alasan untuk mengurangkan penat dan tekanan ketika bekerja siang tadi. Oleh sebab itu mereka akan pulang lewat sehingga tidak sempat melayan anak-anak mereka. Sebagai jalan penyelesaian, tugas menjaga anak-anak diletakkan di bahu pembantu rumah dan guru-guru di sekolah.

5. Penyair risau dengan perkembangan warga kota yang bersikap materialistik. Keadaan ini jelas kerana mereka memberikan penekanan terhadap pelajaran dan bercita-cita untuk melahirkan generasi yang jutawan sedangkan soal-soal moral dan sahsiah diri tidak dipentingkan. Mereka juga tidak mementingkan soal perasaan dan emosi. Keadaan ini akan mengakibatkan kebanyakan warga kota memiliki sikap mementingkan diri sendiri dan tidak berperasaan. Secara tersirat penyair mengemukakan peristiwa ini melalui kata-kata:
“untuk lulus periksa dan kemudian jadi jutawan”.

Kesimpulannya semua peristiwa yang dibincangkan itu membuktikan bahawa penyair berada dalam keadaan jiwa yang tertekan dan peristiwa-peristiwa itulah yang menyebabkan penyair berkata:  “Hatiku berdarah dalam terik dan sesak kota”    



Angin Waktu    Faramorgana    Gamelan    Hidup Mati    Ibunda    Kulupakan    Laut    Wang    Pulang    Siput     Tanah Ini     Tanjung    Tasik    Teberau    Warga Kota  

 
NOVEL
CERPEN
SAJAK
DRAMA