Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
head> Delima Globalisasi Sebuah Paradoks Empis  
Faktor Mikro
Faktor mikro adalah menjurus kepada faktor dalaman. Ia boleh dikaji daripada akar umbi yang menyokong kepada permasalahan. Jika ditinjau secara keseluruhan permasalahan yang dikesan adalah lebih bersifat permasalahan kefungsian iaitu yang melibatkan operasi, efisyen, dan kekukuhan serta kesediaan atau tahap kematangan dunia penerbitan tempatan itu sendiri.

         Sekilas pandang, jika kita tinjau faktor dalaman ini, adalah hampir sama dengan apa yang telah saya bentangkan dalam 'permasalahan tempatan' sebelum ini. Ini adalah kerana ia bersifat akrab kepada kita dan kita mengalamninya sehari-hari. Berbanding dengan pendekatan makro yang cuba melihat pertalian MNC dan TNC dalam arena global yang begitu kabur.

Aspek Historikal
Antara faktor penting yang tidak boleh dipisahkan ialah faktor sejarah. Namun aspek inilah yang paling kurang sekali diberikan penekanan oleh kebanyakan pengkaji. Sesungguhnya ia adalah masalah paling awal dan asas dalam menentukan corak serta struktur pertumbuhan sesebuah penerbitan. MacBride contohnya, percaya bahawa kebanyakan permasaalahan penerbitan lebih cenderung terjadi di negara membangun yang mempunyai nilai sejarah penjajahan.

"Important events and valuable achievement (scientific, economic, cultural) are often unknow, only because they happen in smaller countries or areas which do not attract world attention. More prominently, the one-way direction is based on links from former colonial periods and surviving economic ties, as well as on cultural and language influences. Historical links between former colonial powers and their one-time possessions produce a selection, both of editorial dicision and interest among readers"
(Sean MacBride (1980) : m/s 145)
          Semua orang telah tahu bahawa Malaysia berkembang sebagai sebuah negara merdeka melalui satu titik tolak zaman penjajahan. Ini sudah tentu zaman penjajahan ini sedikit sebanyak meninggalkan kesan terhadap perkembangan dunia Malaysia seterusnya. Keadaan ini dari satu kronologi perkembangan peristiwa yang mempunyai nilai dan kecenderungan tersendiri menerusi chain-reaction. Kesan yang bertali arus yang terkadang tidak dapat kita mengupasnya. Ia seperti telah menjadi darah daging membentuk 'Malaysia', menyebabkan agak sukar untuk kita memecahkan atau membahagi-bahagikan kesan serta sintom-sintom sebagai contoh dari aspek hegemony yang telah mensosialisasikan masyarakat.

        Peninggalan pihak penjajah sama ada dari segi struktur pembangunan mental ataupun tubuh Malaysia, amat banyak sekali. Paling jelas dalam aspek media penyiaran, kerajaan British telah meninggalkan struktur 'penggantungan'nya menerusi kerangka BBC. Begitu juga dalam bidang penerbitan, sistem serta struktur pembacan bahan ilmu yang telah diterapkan. Banyak rancangan-rancangan kita berkiblatkan BBC dan secara tidak langsung rancangan ini mengukuhkan lagi pendominasian TNC dan MNC terhadap penerbitan tempatan.

         Tumpuan British dalam membahagi-bahagikan sistem pemeritahan dan pembahgian harta di Tanah Melayu melalui divide and rule telah mengstrukturkan sistem ekonomi, nasionalisme, dan keintelektualan tanah air. Dr. Ramlah Adam dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya, memperjelaskan lagi kenyataan ini;

"(British) salah satu tujuan diadakan sistem pendidikan itu ialah untuk menjalankan dasar pecah dan perintah. Dalam dasar ini, British membenarkan penubuhan berbagai jenis sekolah iaitu Sekolah Inggeris, Cina, Tamil, Melayu dan Agama Islam. Kesemua sekolah-sekolah ini dijalankan secara persendirian, kecuali sekolah Vernakular Melayu, yang menjadi tanggungjawab politik dan sosial British … masing-masing bolh mengajar apa yang mereka suka dengan guru-guru yang diambil secara rambang dan buku-buku yang didatangkan dari luar negara
(Utusan Malaysia (Julai 1998) : m/s 8)
          Perusahaan keilmuan yang bercorak pembukuan dan pemasaran lebih tertumpu di Singapura. Kesannya sehingga kini, sama ada kita sedar atau pun tidak, bahawa kedai buku gergasi tanah air rata-ratanya dimiliki oleh Singapura seperti MPH dan POPULAR. Singapura terus menjadi gedung dan pilihan utama MNC dan TNC untuk menerbitkan serta memasarkan buku kerana sistem pemasaran mereka yang meluas dan dan bias historikal. Disamping penggunaan bahasa Inggeris yang menyeluruh.

          Begitu juga dengan kedai buku - kedai buku tempatan yang kebanyakannya dimiliki oleh India muslim. Menurut sejarah, mereka telah datang ke tanah Melayu sebagai utusan perdagagang dan penyebaran agama Islam. Bersama-sama mereka membawa kitab-kitab agama. Tradisi ini terus berkembang, sedangkan masyarakat tempatan hanya menjadi penerima yang pasif tanpa diberi pendedahan yang secukupnya untuk turut serta dalam urusan penulisan dan pembukuan. Golongan ini terus mendominasi arena pembukuan.

Budaya dan Pentakrifan Kegiatan Ilmu yang Rendah
Faktor kedua yang dirasakan tidak kurang penting dalam menentukan jatuh bangunnya dunia penerbitan tempatan ialah dalam konteks budaya dan pengiktirafan ilmu yang rendah dalam masyarakat tempatan.

         Banyak hipotisis yang telah dibuat untuk membuktikan bahawa masyarakat Malaysia kurang membaca. Budaya ilmu kalangan orang Malaysia sangat rendah sekali. Masyarakat Malaysia lebih cenderung untuk membelanjakan kewangan mereka untuk benda-benda yang bersifat material dan entertaiment berbanding membeli buku mahupun surat khabar. Walaupun sekarang ini telah giat kempen-kempen pembacaan dilakukan di sekolah-sekolah, contoh 'katalog pembacaan buku', peraduan bercerita dan sebagainya. Ianya tertumpu di sosio 'sekolah' dan keberkesanannya masih lagi menjadi tanda tanya.

        Budaya membaca telah dipisahkan dalam budaya masyarakat. Ini adalah penstereotaipan masyarakat tempatan yang menanggap bahawa budaya ini semacam 'hak' masyarakat Barat dan bukan bersifat budaya universal. Ini terbukti apabila perangkaan menunjukkan 95% daripada isi rumah di Malaysia tidak memiliki koleksi buku jika dibandingkan dengan adanya lain-lain medium informasi seperti TV dan radio hi-fi.

        Masyarakat Malaysia juga kurang mempraktikan masa lapang mereka untuk membaca, sebaliknya lebih menumpukan kepada lain-lain kerja yang lebih 'penting', seperti bekerja dan sebagainya. Pada masyarakat tempatan leisure time bukan untuk buku tetapi sebaliknya untuk berehat dengan hiburan. Bahan bacaan sentiasa mendapat tempat yang terkebelakang dalam rangkaian keutamaan pemilihan masyarakat. Hanya segelintir masyarakat pembaca yang secara serius dan konsistent untuk membaca mereka itu ialah golongan pelajar sama ada pelajar rendah atau tinggi. Namun ini hanyalah titik persinggahan sementara sahaja, satu tahap mereka akan keluar daripada lingkungan 'sosio pembacaan' dan bekerja. Ini membuktikan bahawa masyarakat Malaysia masih belum mantap dalam kontek budaya ilmu. Buku hanya digunakan apabila diperlukan dan bukan untk pengisian sepanjang kehidupan.

           Kajian yang telah dijalankan mendakwa bahawa masyarakat negara membangun seperti Malaysia hanya membaca 80 muka surat dalam setahun (UNESCO Report, on mass communication. 1967 - a report on the production and distribution of books in the Asian Region). Manakala 'MalayMail' telah melaporkan pada tahun 1993 bahawa masyarakat Malaysia purata membaca hanyalah setengah muka dalam setahun. Namun penemuan ini masih lagi diragui.

         Semangat nasionalisme yang rendah juga menjadi penyebab utama dalam penerbitan tempatan. Kebanyakan masyarakat tempatan memandang rendah terhadap buku-buku terbitan tempatan sama ada terbitan atau penulis tempatan. Ini kerana kita menganggap diri kita sebagai inferio berbanding masyarakat Barat TNC dan MNC yang superio. Malah terdapat juga tanggapan yang menyatakan bahawa budaya membaca dipengaruhi oleh keadaan iklim sekeliling sesebuah kawasan.

          Budaya fotostat juga menjadi masalah yang genting di Malaysia. Seperti yang telah kita tahu bahawa buku banyak digunakan oleh pelajar. Pasaran yang terhad ini telah dikecilkan lagi dengan budaya fotostat. Ini sudah tentu akan memberi kesan terhadap bilangan terbitan yang sememangnya kurang.

         Ada yang beranggapan bahawa orang Malaysia kurang membaca kerana kekurangan humor di dalam pembacaan kita. Ini bertitik tolak daripada kepercayaan bahawa masyarakat Melayu amat lembut dan suka kepada sesuatu yang bersifat artistik. Perasaan ingin tahu juga kurang. Kesemua ini menjadi masaalah Malaysia untuk memperluaskan dan memperbagaikan bidang ilmu. Prof. Diraja Ungku A. Aziz berpendapat, minat pembacaan dan penerokaan orang Melayu terhadap buku;

"Apa yang orang beri kita terima. Kita tidak agresif nak tahu … kita kekurangan kelucuan (humor) di dalam penerbitan kita … Dalam masyarakat mesti ada humor. Kalau kita tengik dalam pepatah dan pantun lama, orang Melayu pandai sekali menyindir dan menggunakan makna-makna yang halus. Tetapi generasi lepas perang kurang humor, barangkali oleh sebab sistem pelajaran dan tidak dapat menentukan tempat di antara dua bahasa dan dua kebudayaan - Inggeris dan Melayu. It's a kind of lost generation jugak agaknya"
(Dewan Budaya (Mei 1987) : m/s 8)
Gagasan Longgokan Bahan TNC
Longgokan buku-buku MNC dan kecenderungan untuk menerima serta menggunakan buku MNC menjadikan permasalahan pernerbitan tempatan semakin tenat. Walau bagaimanapun ada yang berpandangan optimis terhadap kecenderungan tren ini. Golongan ini beranggapan bahawa MNC membantu memenuhi lompang genre yang tidak popular atau diceburi dan sekaligus menjadi permintaan masyarakat. Hakikatnya dengan longgokan ini memberikan semacam pembahagian tugas divide and rules agar penerbitan tempatan terus mengkhusus kepada sesuatu genre penerbitan. Manakala untuk buku-buku lain yang lebih berprestej dikuasai dan dimonopoli oleh MNC.

         Pihak yang berpandangan optimis juga beranggapan bahawa dengan adanya 'bantuan' longgokan ini juga, maka ia memberikan pilihan dan perspektif yang lebih luas terhadap genre dan mampu berkembang. Tetapi realitinya terbitan buku-buku MNC ini hanya mengaburi mata tempatan dan sebaliknya buku tempatan hanya mampu menjadi 'sorotan imej' terhadap lautan buku di kedai-kedai tempatan. Buku tempatan akan terus menjadi bahan perbandingan sama ada dari sudut isi kandung, harga ataupun reka bentuk yang relatif dan rata-rata lebih presentable. Malah banyak bukti yang telah menunjukkan bahawa kebanyakan buku-buku di gedung-gedung besar seperti TIMES, MPH, POPULAR dan lain-lain, buku-buku MNC lebih sarat dipertontonkan untuk pilihan berbanding buku-buku tempatan yang lebih bersifat popular. Buku-buku MNC sentiasa mendapat kelebihan dan menang dalam pertandingan. Ia terdiri daripada pelbagai genre sama ada bersifat umum atau khusus, berat atau ringan dan mudah didapati. Oswald H. Ganley juga beranggapan bahawa longgokan ini adalah berpunca daripada kos pengeluaran yang jauh lebih tinggi berbanding harga produk yang diimport;

"It is also cheaper in many instences to rely on Western or U.S new-gathering resources then it is to provide national one "
(Oswald H. Ganley (1982) : m/s 60)
         Buku-buku MNC juga dikatakan punyai kreadibiliti yang tinggi dan ketasdikan kerana kebanyakan set teori yang dipinjamkan dan orientasi ilmu adalah berpandukan negara maju. Dan sudah tentu buku-buku terbitan dari MNC menjadi pioriti utama. Ini adalah satu fenomena biasa, kebiasaan kelemahan penerbitan tempatan dikaitkan dengan permasalahan profesionalisme. Barat juga mengunakan taktik yang sama dalam menjalahkan pentadbiran tempatan apabila mengalami serangan mata wang. Ini kerana andaian yang digunakan tanpa melihat permasalahan secara holistik.

         Disamping laras bahasanya yang universal dan telah, mantap, menyakinkan lagi pemilihan terhadap longgokan ini. Dipercayai bahawa bahasa Inggeris lebih memberikan keselesaan dan kefahaman serta kepuasan dalam pembacaan. Malah konsep-konsep dan teori yang diperkenalkan oleh TNC sendiri agak janggal untuk diterjemahkan atau digunakan dalam bahasa tempatan. Kita sedia maklum bahawa bahasa Inggeris telah lama mantap, malah kebanyakan industri besar penerbitan dunia menggunakan bahasa yang sama.

Sistem Sirkulasi yang Lemah dan Rendah
Malaysia juga mengalami permasalahan sistem pemasaran dan pasaran yang terhad seperti yang telah disebutkan dalam segmen permasalahan tempatan. Berikutan daripada ruang lintup pasaran yang terbatas. Maka pihak pemasar tidak berminat langsung untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan terhadap senario pemasaran buku di Malaysia secara keseluruhannya. Mereka kurang berminat untuk mengetahui apakah yang lebih diperlukan sebaliknya lebih cenderung kepada apa yang lebih popular. Sewajarnya mereka sedar penerbitan yang dilakukan bukanlah setakat untuk pasaran jangka pendek tetapi juga melampaui jangka masa panjang yang menjanjikan pasaran yang lebih luas dan bersifat competitive di tahap global.

Keadaan yang lebih kronik terjadi kepada penerbit di institusi pengajian tinggi, Professor Philip G. Altbach, mengakui;

"The market for scholarly books is even more limited than that for general or textbooks, such volumes are expensive to produce, they are more fifficult to market due to the dispersal of potential buyers and the return on capital is even slower than usual because scholarly books are of 'lasting' relevance and tend to sell slowly. Scholarly publishing is in general, less well establishrd in the Third World than in the West and therefore requires special help"
(N.T.S Chopra(1986 - Vol.17 No.1) : m/s 29)
          Merujuk kepada jumlah penduduk Malaysia sekarang ini ialah 18 juta orang, dan kuasa beli secara purata masyarakat Malaysia terhadap bahan terbitan hanyalah RM 22.00 setahun. Bilangan ini sangat kecil.

         Jika ditinjau dalam konteks model Jerame McCarthy, yang mengemukakan konsep 4P (product, price, promotion, dan physical distribution). Kita sebenarnya telah mengabaikan apa yang dikenali dengan konsep P yang seterusnya iaitu Probe yang telah diperkenalkan oleh Akio Marita. Elemen ini menjurus kepada pengajian perancangan masa depan sesebuah produk. Selain daripada melihat 4P, kita juga wajar memikirkan tentang perancangan masa depan produk kita. Inilah yang paling kurang diberi penekanan oleh penerbitan tempatan.

          Jika dilihat dalam kontek 4P sistem pemasaran tempatan berbanding MNC, secara jelas kita akan dapati bahawa keluaran buku tempatan sentiasa mendapat kengkangan. Kita terpaksa akur pada hakikat bahawa kita kekurangan bahan-bahan sokongan yang menjadi input kepada peningkatan penerbitan tempatan seperti kekurangan kepakaran dalam produksi, teknologi, penulis yang arif, editor yang berwibawa, penterjemah yang mahir dan struktur pemasaran yang sistematik serta khusus dalam tugasan masing-masing. Kita juga terpaksa mengakui bahawa kualiti dan kuantiti penerbitan kita terlalu rendah, kerana 4P kita adalah relatif lebih rendah daripada MNC. Disamping itu kita dipaksa bertanding dengan 4P MNC yang lebih cekap, besar, dan lebih matang. Kelemahan ini membuatkan iklim penerbitan kita semakin tertekan dan lembab dalam menerbitkan buku. TNC dianggap kukuh dari sudut 4P kerana kemampuannya untuk menimbal balas kos pengeluaran dengan keuntungan melalui pasaran yang luas. Oswald menegaskan;

"But these prices, shocking as they are, cover no more than 75 percent of production costs, and the gap between production costs and payments is rapidly widening.
Eventually, other U.S domestic sales bring in money, but these sales must come after network use foreign sales, however, can be made simultaneously. So just to get back their production cost"
(Oswald H. Ganley (1982) : m/s 62)
              Seperti yang telah saya tekankan, penerbitan buku kita lebih berorientasikan produkdan bukannya berorientasikan pengguna, ini membuatkan kebanyakan pengeluar menghasilkan produk yang bersifat general yang mampu mencangkupi keseluruhan segmen pasaran. Sekaligus keadaan ini menggambarkan tanggung jawab sosial tidak diambil pusing. Selain daripada menumpukan kepada penghasilan genre-genre tertentu seperti genre pendidikan, agama, dan bahan bacaan ringan.

           Kita juga tidak boleh menandingi harga pasaran yang ditawarkan oleh MNC. Ini adalah kerana pasaran mereka adalah seluruh dunia. Permintaan yang begitu tinggi dan meluas ini membolehkan mereka menurunkan kos pengeluaran sekaligus harga buku tersebut. Sudah tentu hal ini tidak mampu ditandingi oleh penerbit tempatan yang skop pasarannya yang bersifat domestik. Penerbit tempatan juga tertakluk kepada perubahan nilai mata wang antara bangsa yang sentiasa berubah.

Kengkangan Bahasa Pengantar
Penggunaaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga menjadi salah satu permasalahan. Walau bagaimanapun hal ini ditanggap sebagai isu sensitif yang tidak wajar untuk digembargemburkan. Namun kalau ditinjau secara raionalnya pertalian bahasa dalam penerbitan adalah sangat penting. Ia sebagai medium yang digunakan media untuk memaparkan informasi, maka sudah tentulah peranannya ini sedikit sebanyak memberikan kesan dan pengaruh dalam sosio penerbitan.

           Kita harus akur bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, masih tidak dapat diimplimenkan secara meluas. Ini kerana banyak organisasi dan badan-badan tertentu yang masih tidak mahu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa resmi perantaraan mereka. Hal ini dicelarukan lagi dengan terdapatnya akhbar-akhbar yang berlainan bahasa di samping sekolah-sekolah jenis kebangsaan. Senario ini sangat berbeza kalau kita bandingkan dengan negara Indonesia yang penyelarasan bahasa Indonesia dijalankan secara meluas dan jayanya. Kepelbagaian kaum di Malaysia menambahkan lagi kecenderungan untuk membaca dan membeli buku-buku yang berorientasikan bahasa ibunda mereka. Ini sebenarnya mengecilkan lagi pasaaran tempatan yang sememangnya kecil.

          Kalau kita tinjau dari segi struktur, kita juga akan dapati bahawa laras bahasa Melayu masih belum mantap dan terlalu muda jika hendak dibandingkan dengan lain-lain bahasa antara bangsa seperti bahasa Arab, Inggeris, Cina dan sebagainya. Ketidakmantapan dan ketidaktekalan ini memungkinkan sistem Bahasa Melayu sentiasa berubah-ubah menuju kemantapannya. Ini sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap penerbitan yang terpaksa mengulang cetak untuk versi tatabahasa terbaru dan sebagainya. Stok-stok lama terpaksa dilelong untuk menepati tuntutan laras bahasa yang terkini.

         Dafta kata yang belum mantap ini juga terikat pada struktur teori bahasa yang begitu formal. Sebagai contoh bidang penterjemahan tempatan. Kebanyakan penterjemah terlalu terpengaruh dan terkongkong dengan struktur teori yang rigid, sehingga hilang keharmonian dan keserasian serta nilai kebolehfahaminya. Sedangkan kita lebih mudah menanggap ilmu itu dalam bahasa perbualan, tetapi apa yang digambarkan dalam buku terjemahan begitu rigid dan kaku. Inilah salah satu sebab hasil terjemahan dan tulisan tempatan begitu lemah dan menghadapi tekanan yang cukup kuat dari buku-buku karya asal. Profesor Diraja Ungku A. Aziz, menambah;

"Para cendekiawan kita, istimewa yang pulang dari Amerika, mereka beli buku yang diterbitkan di Amerika. Kata mereka, buat apa nak susah payah baca buku terjemahan, kerana mereka boleh baca yang original"
(Dewan Budaya (Mei 1987) : m/s 6)
Bahasa Inggeris yang dianggap lebih berprestej dan berkualiti juga menjadi salah satu faktor yang menenggelamkan buku-buku tempatan yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Buku terbitan MNC sentiasa mendapat tempat di hati pembaca tempatan.
 

Unduran kembali Lanjutan
ke
Selamat Meneroka