Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Berikut adalah beberapa koleksi puisi ‘Saiful Jurimi’
 yang dapat dikumpul daripada beberapa media massa,
 untuk tatapan umum;

SERU DARI LAUT
KE LANGIT

Suara kita sama-sama
tidak kesampaian
kerana aku tahu
kemampuan kita ada batasnya
antara deraian air mata
dan luka yang berdarah
dirimu kulepaskan
kembali jauh
ke langit biru
dan aku tenggelam
bersama buih
ke laut dalam
maaf kerana aku terpaksa
dan kerana itu sungguh aku rela

Namun ada tikanya
ombak itu bisa melambung tinggi
membawa kembali
ke langit biru menemuimu
di situlah kita akan bertemu

Dan kiranya ombak
masih belum mampu
menghantarkan aku kepadamu
selagi itulah terpisah
tenggelam dalam
menjadi paus biru yang pendiam


KUISTIHARKAN CINTA

Dibalik horizon setuju
aku menyusup laju
dengan sayap semangat
kukibarkan asmara
ke serata
kukibarkan jua
kuistiharkan cinta
ke segenap maya
dan kutiupkan janji
ke seluruh dinding
mahligai ini
Dan angin
yang datang dan pergi
aku ikat
menjadi tali

Kulepaskan rindu
bagai saur yang kulepaskan
di bebas lautan
merentas tanpa batas
dalam nazak kasih
nafas cintaku masih kuat
dan semangat sayangku kian hebat
kulepaskan dalam tenat
kulepaskan jua

Dalam cuaca yang sebegini
apakah petanda
tatkala kunyanyikan
puisi-puisi lama
dan kunyalakan
unggun asmara

Kulepaskan dalam terikat
engkaukah yang menghantar
gelombang biru
sesekali mengilas pantai
tika aku hampir beradu
kau kirim bayu rindu
membuat aku terharu
dan kau jugakah pengumpul unggun
untuk kunyalakan bara harapan
hingga terbakar semarak kegusaran


PERNAHKAH?

Pernahkah kau bertanya
Di manakah berdirinya aku
Atau ke manakah
Arah palingan mukaku
Ketika subuh menyahut
Dan malam menjemput

Pernahkah kau menduga
Tentang udara yang kian
didahaga
dan masa kian terpinggir
ketika kita semakin hampir

Pernahkah?
 


KEKASIH

Katamu
kau ada di sisi
berdiri menemani
namun kenapa mataku
dalam jelas aku kekaburan
di mana dirimu aku tercari

Kiranya terjadinya perpisahan
maafkan aku kasih
ianya bukan kemahuan fikiran
atau pintaan perasaan
barangkali ia adalah suratan
untuk kau dan aku
di penghujungan jalan

Apakah bezanya
kini esok dan lusa
kiranya kita seringkali
bertemu tapi tidak terjumpa
serimu hilang di depan mata
dan jenakaku tawar
meracun bisa

Masih  belum mampu
kurasa keakrabanmu
meski pun kugenggam
erat jemarimu

Masih belum aku fahami
bicaramu
meskipun kita cuba
mengungkapnya dalam satu bahasa
walau di bawah
satu bumbung angkasa
hakikatnya kita
bagai kiri dan kanan terpisah

Maka biarlah
apa bezanya
engkau di sana
aku di sisi
sama saja

Jika kita akan berjumpa
carilah aku dalam mimpimu
bernyayilah aku dalam lagumu
aku masih mampu tersenyum
keadaan menguji
perlu ada masa
air mata
 dan keringat

Kiranya ada
pertemuan di musim lain
pasti kita bersama
walau dalam pakaian yang berbeza
Senyumlah untuk dunia.


SayangAbang

Sayang Abang…

debu apakah yang telah kau hemburkan
tali apakah yang telah kau simpulkan
mensihiran abang aib hilang kewarasan

kayu pengukur sakti manakah
yang harus abang gunakan
untuk membatasi pertimbangan rasional abang

ayang...
separuh hidup abang telah ayang tundukkan
kenyataannya kini abang dalam kegilaan

penawar apakah lagi yang tertinggal
untuk abang cari
pada luka-luka barah rindu
yang kian parah dan dalam

jampi serapah hikmat manakah lagi
yang belum tercuba
untuk menyedarkan diri ini
dari renjang mimpi cinta yang panjang

ribut manakah yang telah berhembus
menyesatkan abang hilang dalam terang
kesotan apakah yang telah menyeret
alihkan awan hitam ke matamu...mengelabui
sedang abang berdiri rindu menunggumu

Sayang Abang...


Hanya kau dan aku

Kau serahkanlah 
dan kau akan tahu
apa yang sesungguhnya 
tika tanganmu kugenggam
dan senyumanmu kusahut

Hanya padamu
kubuka apa yang terkunci
kutunjukkan apa yang tersembunyi
dan aku ceritakan 
apa yang tidak pernah dibicarakan
serta melakar
pada lukisan yang tidak pernah digambarkan
begitulah indahnya cinta kita
dan kuabadikan di potrek kamarku
agar kau tahu betapa cantiknya astaka
yang kubina untuk persinggahsanaanmu
hanya padamu yang satu

Lantas melangkah kaki ini 
mengejar senyummu
kerana aku terlalu rindu
pada kenangan lalu

Tidakkah kau sedar itu
sedangkan aku tertunduk silu
menanggung rindu padamu

Lihatlah betapa berat 
harapan yang kusandang
tinjaulah bertapa tenat
rindu yang kusimpan
dan rasalah
betapa dalam
ilusi yang kuanyam

PENYERAHAN
ini kali buat perempuan
yang selama ini bersembunyi
dari yang terkemudian
ke yang terdahulu …
untuk diserahkan makna
pada yang menyerah
yang belum terserah
pada lainnya
bukan dingin yang datang mengigit
tapi kebekuan dalaman yang diam membelit
buntu arahku mencair
gementar langkah ini
di kiri dan kanan mencari erti
berisikan manusia
ini kali

I
Kekasihku
dalam pertapaanmu
menyimpan setanggi
aku mabuk sendiri
Kau sorok terus
lalu aku kegilaan mencari
pada ketagihan lalu
terasapnya janji-janji mewangi
azalinya di balik kidung pemalumu

Kenangan itu
pada angin yang bermain
di cecelahan rambutmu
langsung aku jadi cemburu
dan kutepis-tepis
hanya aku untukmu
Terima kasih!

II
Isteriku …
gauman singaku
adalah kercipan unggas di belukarmu
menebarkan keagungan
menyatu seru bertemu jitu
tiga penjuru

Hanya satu pintaku
padamu perempuan
pada apa yang bisa
kau kandungkan
lahirkanlah perawan-perawan
mengongkat bumi
yang kelak nanti
bisa memulihkan
keinsanan
dunia keselamatan
akhirat berpanjangan

Perempuan
simpankanlah benih-benih kemurnian
untuk perjalanan jauh
dunia hadapan
dengan pedati yang kubekalkan
dan taman yang kubinakan
Terima kasih

III
Ibuku …
redup kau pancarkan
seperti pancarkan engkau
pada kejatian perempuan
menangani kelangsungan
langsung kau tutup
segala pintu-pintu keramat
seperti kau tutup
tingkap-tingkap berdaulat
untuk kau abadikan
ke jalan penghabisan
asal kehidupan

Aku yang enggan kabut
lantaran akukah nantinya
manusia yang paling bersalah
kerna pernah luka pada syurga
di telapak nyawa
rahmat bersemadi

Sujudlah aku kemuflisan
pada dagingmu yang kau pinjamkan
dan darah yang kau salirkan
serta ilmu yang pernah kau perturunkan
mengenalkan aku pada mentari dan bulan
pada kebesaran Tuhan
Terima kasih

Apakah alasanku nanti
kalaulah ditanya tugasku ini
oleh raja di bima cahaya …
tentang nafasku
tentang keringatku
dan tentang niatku
Terima kasih
Terima kasih perempuan


SENYUMAN TERMANIS BUAT MAMA

Dalam cuaca yang tidak pernah cerah
kulihat mata mama merah berdarah
kutahu mama hidup di ambang sengsara
kutahu mama derita neraka jahanam

Namun, senyuman mama masih juga ada
walau tulang-temulangnya longgar membela usia
demi menghidupkan riwayat bernyawa

Aku ingin kau bahagia mama
walau merempat ke mana saja
aku ingin kau ketawa mama
walau ketulan batu menjadi hidangan kita

Mama …
kita masih punya nama
tidak perlu meminta-minta
kita masih punya tenaga
tidak perlu terlontar kalah
aku akan tetap di sisimu mama
selagi aku bernama manusia
aku akan tetap anak mama.

Dipetik daripada :
Makalah UMMI Bil.: 4 April 1990


BUATMU GADISKU
(kau yang satu)

Kekasihku…
Apakah sememangnya aku berdosa
kerana pernah jatuh cinta
dan rebah dari pelamin patah

Apakah sememangnya aku hina
kerna lemas mencari udara
tika kelambu putihku terbakar

Kau yang ayu
Perlukah kuretakkan
lautan Merah untuk kedua kalinya
sebagai tanda kesungguhanku terhadapmu
atau kau masih ragu-ragu
tentang utuhnya cintaku

Dan perlukah kulaungkan namamu berkali-kali
agar bergegar dan gugur segala bintang di langit
sebagai tanda wajahmu yang selalu kugamit
dan rinduku yang semakin menghimpit

Perlukah kualihkan bulan dan mentari
menjadi satu
sebagai hantaran di hari pertunangan itu
tidak cukupkah hanya dengan kau dan aku

Kau yang selalu di hatiku
pintalah apa saja
asal jangan janji jangan jaminan
kerana aku bukan Tuhan

Kau yang menggetar perasaanku
hanya padamu sayangku
kuserahkan apa yang belum terserah
pada yang lainnya
dan cintaku yang satu ini
telahpun kusorok buatmu abadi

Kau yang pemalu
kupasak segunung doa
kugulung sekawah resah padamu
dari hujung kaki langit ketujuh
hingga ke dasar lautan nan biru
untuk kau kecapi
dalam sunyi malammu
dan gusar subuhmu
dalam tenat petangmu
dan risau siangmu
dan aku tetap di sini
menyebut-nyebut namamu
kasih…

Kau yang melayari mimpi-mimpiku
Ke puncak kenangan
senja di kuala lumpur
betapa indah jaluran itu
senteng kainmu yang kau angkat
tika melangkah meredah senja
hingga terlucut sutra iman rapuhku
lantas angin yang mengusik-usik
di celahan selendangmu
kutepis-tepis kerana cemburu
telahpun aku lukiskan
dan kuabadikan di kamar sepiku
agar kau tahu betapa cantiknya kenangan itu

Berlarilah kaki ini
mengejar kelibatmu
ke tiap penjuru terpahat namamu
ke tiap mega yang mencuri serimu

Aku akan tetap menunggu
kerana hanya kau … Gadisku
Gadisku yang satu


JAWAPANKU

Pernah kau bertanya padaku
apa lagi yang aku tunggu
dan siapa lagi yang aku mahu

          Langsung kubisikan di telingamu
          aku mahukan perempuan
          aku mahukan teman …
          yang bisa menemani
          sekaligus isteri
          yang bisa menghiburkan,
          langsung
          menjadi ibu kepada anak-anakku
          engkaukah itu yang menghidupkan

          semangatku ... dan keimanan
 
 
 
 
 

Unduran kembali Lanjutan
ke
Selamat Meneroka