Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Berikut adalah beberapa koleksi puisi ‘Saiful Jurimi’
 yang dapat dikumpul daripada beberapa media massa,
 untuk tatapan umum;

SURAT BUAT TEMAN III
(untuk bangsa dan rakyat Malaysia)

Seringku tertanya
pada jawapan yang belum tersua
siapa kini ingin menjadi Hang Jebat
dan siapa pula ingin menggantikan Bang Tuah

Bukan semangat kian hebat
atau cendiakawan kian sarat
maka semuanya ingin menunjuk kuat
menenuding jari kelingking berkait
sewajarnya telunjuk satu menuju
tiga jari kembali ke diri
kita belum tentu cukupnya,
kembalilah membuka peta
lihatlah daerah lama
bukan murah harga sebuah merdeka
bukan mudah untuk membina negara
Kita harus selalu beringat
rezeki bukan selalunya kita dapat
dan petaka jangan diacah
kelak datangnya tidak diduga,
permainan ini bukan teka-teki
nyawa dan negeri diperjudi
bersabung marwah dan hak
di taji ayam dalam gelagang bumi

Bukan kerana janji keramat
dunia belum kiamat
tapi Tuhan masih berikan rahmat
untuk kita beringat
dengan kesyukuran yang padat

Runtuhkanlah segala panji
retakkanlah semua menumen negeri
tapi negara tetap di peta
kau gantilah dengan bangunan agung hujung dunia
tanah ini masih dipanggil Malaysia

Tembaklah setiap pejuang
gantunglah sekelian pemimpin
namun bangsa tetap ada
kau ubah warna rambut, wajah, namaku
aku masih dikenali Melayu

Bakarlah segenap kitab
leburkan tinggalan sejarah
namun agama tetap berpunca

Tapi bila semangat telah rebah
bila hati hilang arah
bila lupa ditadah marah
dan kesyukuran tidak lagi
berbunyi
manusia mula lupa diri
tak akan puas
semua nak diganti
kalau bangunan telah tumbang ia boleh dibina semula
kalau pejuang telah terkubur ia boleh diganti kelahiran
tapi kalau kesyukuran telah luput
kita mula berebut-rebut
kalau semangat telah tumpul
kita mula mencari tempat
memapah …
jangan sampai
tangan yang menghulur
adalah tangan yang menghancur
Kerana kini
bukan mudah mencari kawan
dan bukan susah mencari lawan

Pusinglah satu dunia
bukalah dokumentasi manusia
kau akan jumpa
hanya ada satu negara
yang dikenali Malaysia
dan hanya ada satu bangsa
yang disebut bangsa Malaysia

Biar berjuta zaman
tamadun dirubah masa
kita jangan cepat lupa
jangan sampai mudah leka
dengan kroma
yang mengeliru dan mempesona
bersyukurlah
kita ada tempat
kita bukan merempat
kita ada budaya
bukan umat tak beradat
kita ada keamanan
jangan kita gugat

Di zaman ‘sendiri-sendiri’ ini
keikhlasan seringkali memancing diri
tiada siapa yang sedia membantu
selain empunya diri bersatu padu
dan tangan yang menunggu peluang
usah sekali kita sediakan ruang

Ini tanah merdeka
peluh gerih kita usahakan
berhujan batu kita masyhurkan
dalam tiga suara
kita berikrar
tunaikanlah
di bumi bertuah

Kita mungkin berlainan sepatu
tapi laluan kita di titian yang satu
Kita mengunyah makanan yang berbeza
tapi kita bertanam di ladang yang sama

Usaikanlah belitan ini tali
dan kita ikat kembali
dengan simpulan erat yang mati
Kenapa harus ada gusar
sedangkan kita bernaung
di bawah payung yang besar
Jika terkoyak ini payung
kitalah yang akan tempias bersama
kalau terbakar ini payung
kita jugalah yang kepanasannya
peliharalah … untung nasib negara sendiri
jagalah … periuk nasi ini negeri

Buat apa kita mengadah
pada naga yang telah tentu
maha ganasnya
bukalah mata
dan bukalah, minda
usah dibiar hati amarah
dicatur oleh bayangan
kuasa halus makhluk durjana.

Jangan dipesong semangat lama
jangan disesat tenaga yang ada
sewajarnya kita berperang
mempertahankan negara
bukan bertegang sesama kita
Pada semangat yang masih ada
di bumi bertuah
usah dipersia
usah terkeliru
oleh pencaturan
tangan luar
kita adalah kita
dan ini Malaysia
kita yang punya!


ANTARA SANGGAH DAN JUNJUNG

Malam jatuh
menemukan bintang-bintang
di ambin angkasa
terngiang sayu
suara merintih
dari pusara tak bermahkota
nyilu sekali
menyergamkan kotaraya Melaka
kembali bertunjang di teratak dunia
fantasi dan realiti, dia di antara
Tuah termangu keliru
di pinggir kota
antara raja
daulat dijunjung
antara teman
kasih ditabur
antara nyawa
biar terkubur

atas kebenaran apa harus dihadapkan
cinta manusia kerdil
atau pengorbanan hamba setia
agar menjadi pegangan sesudahnya
menyintai nyawa insan demi kebenaran

ATAU
mendaulatkan diri walau kemanusiaan mati
Jebat diam terharu
di tengah kota
antara raja keramat disanggah
antara teman cinta dijunjung
antara nyawa biar terkubur
atas kebenaran apa harus dihadapkan
cinta manusia berpegang ketaatan
atau keadilan sebagai penghargaan cinta
seorang teman

Dipetik daripada Antologi Puisi :
Menyingkap Kelirmu MELAKA
Kelab PERBAMA MPMK/JB 1990 bersama Penerbit Gedung Ilmu


BELASUNGKAWA

Tujuh keturunan bumi berpantang
derau darah masih terasa
ditelan kegusaran
sejarah tak akan mati
pasir-pasir menjadi saksi
sebuah kegemilangan pernah ada
telah terbungkus di pasung puaka
menggegar panji-panji
langit tersiat
laut terlumat
terkilan selamanya!

Di tepi pasung berdarah
tanahnya masih basah
menggugat khazanah nikmat
hukum alam tercabar tenat
ia keramat
ia bukan rahmat
kerana janji …
kasihmu tertumpah ‘Bang Tuah’
iktikad mendaulat

    "Tak Melayu Hilang Di Dunia"
kerna janji juga
cinta keagungan ‘Bang Jebat’
ada raja kehilangan mahkota
ada rakyat temui kemerdekaan
bukan kerana janji ‘Bang Tuah’
bukan kerana janji ‘Bang Jebat’
bumi belum lagi kiamat
tapi kerana Tuhan berikan rahmat
untuk semua sedar beringat
jangan kiamat sebelum masanya.

Dipetik daripada Antologi Puisi :
Menyingkap Kelirmu MELAKA
Kelab PERBAMA MPMK/JB 1990 bersama Penerbit Gedung Ilmu


API DI TANJUNG

Menyelar ke peta rekah
hancur dirodok gelombang angan
semalam tidak akan kembali
ke tangan ini hari
Api hitam terus membakar
membaham sebuah teratak
anjung kenangan
Tanjung sesungguhnya
telah kehilangan anaknya
dalam gendongan
Janji yang pernah dipersembahkan
tersorok dalam semak kian menyesak
wang jajan gula-gula yang diserahkan
tenggelam bersama-sama todak
yang kembali ke dasar lupa
Tanjung masih terbakar
apinya cukup legam
dan asapnya amat merah
di hujung bara kebakaran kelmarin
deburan habuknya menjadi
racun dan kuman
penyakit maha hebat
tidak bisa disembuhkan
yang menyumbat sendat
ke lubang-lubang
semangat keramat

Dipetik daripada Antologi Puisi:
Dari Rosmera ke Nor Sadhana
Persatuan Penulis Johor 1994

Dipetik daripada Makalah:
Wadah Jilid 2: Bil.: 2 (USM)


Lalang-lalang Di Waktu Itu
(13 mei 1969)

Nadimu yang terputus
cukup memekatkan
airmata yang tertumpah
pada prasaran yang keperihankan

Darah telah kering
hanyirnya masih merening
busut belum susut
menyembunyikan cerita-cerita
pedih dan harapan terkilan
tidak mati begitu saja
terperam pendam jadi dendam
dan duka sejarah luka
kian berulat dalam lipatan masa
dan senyuman tawar kian hambar
menjadi penyeri sejarah ngeri
yang dihidangkan untuk hari ini

Seperti lalang-lalang itu
pernah menjadi saksi
tragedi mandaat mati
dek … cinta hangus dibilas api
rindu padam di hujung malam
Ya … seperti lalang-lalang itu
ia pasti bergerak
walau tiada ketentuannya
ia wajib bergerak
kerna hidup menuju nirwana sempurna
bukanlah semudah membina istana
perlu ada ulat … nanah
perlu ada luka … airmata
dan lalang-lalanglah penyaksi setianya

Dan apa lagi terhidang
untuk sama-sama kita nikmakti
sekadar parut calar senyuman terpaksa
13 mei menjadi tompok cacat
di ingatan birat

Dan aku yang tercakar
pada tajam lalang-lalang itu
terus terdera, kerna
mudah terganggu olehnya

Gantilah … Tolonglah
tukarkan aku
daripada menjadi penyaksi
dan pengingat yang setia
agar aku tidak terus terusan lagi
terusik kernanya

Dipetik daripada Antologi Puisi:
Dari Rosmera ke Nor Sadhana
Persatuan Penulis Johor 1994


REINKARNASI

Sama sekali tidak aku percaya
pada kelahiran semula
sedang kini ia terlahir di depan mata
untuk kau dan aku
lahir dalam dimensi ini
yang lebih dewasa dan menyakinkan
lebih mengocak
ke suatu arah puncak
Gemalai yang muhibah
pergi dan datang
bagai datang dan pergi
mengunjungi

Acapkali kucari makna
dari bentukmu yang luar biasa
segenap kesyahduan kau balas
mengisi ‘kekeliruanku’
mengizinkan untuk
ditanya dan bertanya
tentang apakah itu sebenarnya
serumpun dan senusantara

Kuketuk pintu
syurgamu berkali-kali
kubisikkan
kau dengarkan
pada suara dalam
kau pancarkan
Berbicaralah kita dalam bahasa cinta
senusa yang santun dan ramah
Kau yang melayarkan bahteraku ke tepian
Kau yang melayarkan nakhodaku sealiran
Kau yang menemukan aku dan tujuan
Kau yang menyambungkan
sebuah ‘Pertemuan’


MeLAYUkah aku?

Melayukah itu
bersembunyi lama kucari
berjumpa tidak tersua
manisan madu berpatikan Tuba

Melayukah itu
berduri rebung dalam hati
mulut terkunci marah berapi
beraninya dalam pemalu diri

Melayukah itu
setiap patah dilapis indah
biar pun marah masih bermadah
sejarah luka disorok hiba
kembali Sang Purba ke dasar lupa

Melayukah itu
biar kurang tetap menambah
tetamu terhidang diri ternganga
menghulurkan segenap budi
tangan sendiri luka berdarah

Melayukah itu
rentaknya gemalai dan inang mesra
perjalanan kehidupan biar ketinggalan
asal teguh kesantunan

Antara makna melayu itu
di manakah persimpangan
di manakah pertemuan

Dan Melayukah Aku?
apabila sering berbicara
mengungkap dalam satu bahasa
namun belum juga kujumpa
makna yang sama
Melayukan itu
dan kalau begitu
Melayukan aku?


Dirgahayu Pemimpin Melayu
(ditujukan khas buat pemimpinku)

Bukan kerana nama kau kusanjung
tapi keringatmu yang tidak tertampung
untuk kami bernaung
sedikit tercalit luka
di dadamu perjuang negara
kami turut terhimpit
menanggung perit

Tidak melayu hilang di tikar sejarah
kerana pejuang bangsa sepertimu masih ada
bukan mudah
dan tiada dua

Bukan sedikit budimu tercurah
nyawa dan marwah kau serah

Tangan yang meraduk
kerakusan nama
kau bertahan tabah

Air matamu
bukan murah
ke akhir zaman
tidak berbayar
lantaran kemuflisanlah aku
apalagi harus kuganti
pada pengorbananmu yang telah kau beri
dari terbit hingga terbenamnya mentari

Usah kau getir pada suara yang lantang
kerana mereka hanya bayang-bayang
bila menjelang malam kelam
mereka akan hilang

Bumi ini bukan meminta nyawa
tapi rakyatnya yang telah lupa
bagai kiri dan kanan terpisah
kau berdiri di tengah-tengah
di tanah sendiri tanganmu berdarah
dari daerah jauh kau diludah
kau terus bersuara
kerana kau mengerti
erti sebenar sebuah ‘merdeka’

Jangkauanmu terlalu jauh
hanya kau yang satu
yang lebih tahu
untuk bangsa Malaysiamu

Lantaran apakah dosa yang terpecah
langsung padamu sahaja yang dipersalah
ke kiri terpasung ke kanan tergari
kau tetap berdiri

Dengan senyuman kau terus memayungi
kegemilangan nusantara yang pernah ada
telah kau tukar dengan
kemahsyuran di arena dunia
pada mereka yang tahu
tentu akan terharu

Kami akan menjadi penjala yang setia
agar tidak terjadi lagi
sejarah luka
setelah todak kembali ke dasar lupa
kami akan selalu ingat
beringat dan mengingatkan
pada keringat keramat

Untukmu pemimpinku
kusampaikan salam rahmat!

(dari Zaimi Abu Bakar untuk dunia)


Ke Kartasis Mimbar

I
(siapa empunya gundah?)

Gundah ini milik siapa?
bila jiwa yang pernah kau injak
kini mula membuka mata merangkak
dan bangkit bersorak

Gundah ini milik siapa?
bila Harimau Asia kian garang
masuk gelanggang tidak terundang
menunjuk belang di jalur gemilang

Gundah ini milik siapa?
kiranya gemilangmu mulai hilang
dan giliran kami pula untuk dibilang
kembali ke mimbar Islam dijulang

Siapa empunya gundah ini?
cubalah telek ke cermin realiti
siapa sebenarnya mendominasi
dan siapa pula dimanipulasi
dalam perkampungan globalisasi
percaturan kuasa pertubuhan boneka
tempatmu Bosnia Herzgovina
telah diganti dengan etnik Albania
teka teki yang belum terjawab
sebuah kebangkitan mengundang gundah
di peta benua Eropah
walau apapun yang kau cuba
saatnya akan tetap tiba

Di sini begitu juga sahabatku
kami juga ada bahagiannya
tiap teori dan persepsi
yang sekian lama memperbodohkan kami
kini terpercik ke muka sendiri
bila kami bangkit dengan pendekatan kendiri

Kami sedar airmatamu Iraq
kami hidu sengsaramu Libya
kami faham jeritanmu Iran
kami lihat gapaianmu Sudan
kami rasa kesakitanmu Afganistan
album kenangan menjadi pengajaran
bahawa perjuangan ini
adalah sebuah permulaan

Kau jajah
kau jajahlah lagi
ke tangan ini hari
kau masih belum berpuas hati

Ingatlah … tubuh yang mati
namun harapan tidak terkebumi
bangkit bersama semangat
ingin memerdekakan diri
dan kelahiran benih-benih baru
akan menagih hutang lamamu
sebuah peradaban harus diganti

Kau menyamun kami
dengan pisau ekonomi
kau menipu kami
dengan silap mata informasi
kau mengikat kami
dengan gari teknologi

Kitalah mangsa medan era ini
yang belum tewas
dan semangat yang belum mati
kerana kami yakini di setiap pintu hati
suatu hari nanti
akan tiba bahagian kami

Atas apa yang kau sogok
dan nilai yang kau ajarkan
kami telah cukup dewasa
tidak lagi leka pada gula-gula jajanan

(dari Hezrin untuk dunia)

Unduran kembali Lanjutan
ke
Selamat Meneroka