MENJANA KEHEBATAN DIRI DALAM PERGAULAN
Oleh Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah
Jangan Ada Benci Di Hati
Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI
dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan
menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci
ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci
jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan
sekerjanya atau malahan ketua jabatannya. Justeru hapuskanlah segala perasaan
benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.
Kaedah Mengikis Benci
Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang
sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci
muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak bolehkah
kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur? Pengalaman
secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum
tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah
menjalin hubungan baik dengan orang lain.
Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan Antara faktor
yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain
mudah tertarik kepada kita ialah:
1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.
2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu berwaspada
setiap masa).
3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.
4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga,
masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.
5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s. a. w. pernah berpesan supaya mencari
144 sebab sebelum kita memarahi orang.
6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang
seronok berinteraksi dengan kita.
7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang -menyayangi antara satu dengan
yang lain.
8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang
sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.
9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan
tertarik kepada kita.
10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain,
terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal
jalan apabila mengingati mati.
11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.
12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian
salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.
13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati
dan perhatian.
14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.
15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau
keburukan orang lain.
16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi
perpisahan dengan doa.
Terlebih Dahulu Baiki Diri
Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih
dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang mengasihi dirinya
tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh men-sabotaj dan merosakkan
dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan sentiasa
memikirkan perasaan orang lain.
Ingatlah pesanan seorang sarjana:
"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka
tahu yang anda kisah terhadap mereka”