SOROTAN PENYELIDIKAN MUTAKHIR
IMEJ-IMEJ SAINTIS: ISU
JANTINA
DALAM KELAS SAINS DAN KERJAYA SAINTIS
(Dari Jane Butler Kahle, Miami University, USA)
Oleh:
AMINNUDDIN BIN MOHD. YUSOF
Ketua Jabatan Teknologi Maklumat,
Maktab Perguruan Pasir Panjang,
21100 Kuala Terengganu.
LATAR BELAKANG
Lebih 30 tahun yang lalu, Lembaga Pengarah American Association for the Advancement of Science (AAAS) telah mengambil langkah menjalankan satu penyelidikan peringkat kebangsaan untuk melihat kenapa wujudnya satu jurang yang amat besar di antara sikap golongan muda terhadap sains dan saintis berbanding dengan banyaknya tenaga dan wang yang dibelanjakan terhadap golongan muda yang berminat dalam kerjaya sebagai saintis dan jurutera. Penyelidikan ini menggunakan instrumen berbentuk pernyataan-pernyataan terbuka (open-ended) mengenai imej-imej impersonal dan personal para saintis dan 35,000 orang pelajar sekolah tinggi digunakan sebagai responden kajian.
DAPATAN KAJIAN
Keputusan kajian ini amat menakjubkan. Walaupun persepsi para pelajar terhadap imej impersonal saintis amat positif dengan menggenerelisasikannya sebagai orang yang berobligasi meningkatkan mutu kehidupan manusia tetapi persepsi imej personal saintis dinyatakan sebagai negatif. Para responden juga tidak berminat memilih kerjaya saintis, malah juga tidak suka pasangan mereka memilih kerjaya berkenaan.
Kajian-kajian lanjutan terus dilaksanakan. Antaranya ialah satu kajian terkini yang menilai imej-imej sains dan saintis dari kaca mata pelajar. Kali ini ia lebih berfokuskan kepada imej-imej personal saintis dengan harapan agar dapat menyelinap lebih jauh tentang sikap negatif pelajar terhadap sains dan saintis. Responden diminta melukiskan satu bentuk visual dan verbal seorang saintis serta memberi respon terhadap satu set skala sikap terhadap sains dan saintis.
Rajah-rajah yang dilukis oleh pelajar dikodkan untuk mengenalpasti beberapa indikator yang boleh distereotaipkan. Indikator-indikator yang berbentuk stereotaip saintist ialah kot makmal; cermin mata; muka berjambang; simbol-simbol penyelidikan (peralatan saintifik atau sebarang peralatan makmal); simbol ilmu (buku dan kabinet); teknologi (hasilan sains); dan petanda-petanda saintifik yang relevan (formula, klasifikasi taksonomi). Selama 11 tahun, para penyelidik menganalisis lebih daripada 4,8000 pelajar di Kanada, Australia dan Amerika Syarikat menggunakan instrumen DAST (Draw-A-Scientist Test). Kajian ini juga membolehkan para penyelidik mengkaji sama ada wujud atau tidak angkubah jantina sebagai satu stereotaip sains dan saintis.
Keputusan kajian menunjukkan bahawa wujudnya beberapa indikator stereotaip. Sebagai contohnya, 90% saintis di Amerika Syarikat dan 47% saintis di Australia dilukis memakai kot makmal. Hampir 80% pelajar-pelajar Amerika Syarikat dan Australia melihat saintis sebagai seseorang yang berkacamata. Lebih 90% pelajar Australia dan 75% pelajar Amerika Syarikat melukis saintis lelaki. Bakinya melukis saintis sebagai seorang wanita malah ada yang mengatakan saintis sebagai tidak berjantina. Lebih kurang 40% pelajar kedua-dua negara melukiskan wajah saintis yang mempunyai jambang.
Penonjolan imej saintis yang lain juga diperolehi. Antaranya, para saintis dilihat sebagai orang yang menakutkan. Cantuman kajian serupa daripada pelbagai negara yang telah dikategorikan menunjukkan saintis itu sebagai orang jahat sekiranya mereka berpakaian tidak senonoh, rambut tidak dijaga, membuat bom (gambar bom disamping gambar saintis), bermata merah dan bermuka cengkung.
Walaupun kajian diperingkat antarabangsa mengenai jenis personaliti saintis menunjukkan perbezaan, asas penemuan kajian menunjukkan bahawa sains dianggap sebagai pemusnah dan saintis sebagai manusia yang tidak bertanggungjawab.
Pandangan guru-guru pelatih terhadap sains dan saintis juga diuji dengan cara yang sama kecuali mereka diminta menulis satu diskripsi pendek tentang lukisan mereka. Diskripsi lukisan mereka akan mengesahkan (validatkan) lukisan mereka. Seramai 79 orang guru pelatih di Australia mengambil bahagian. Hasilnya menunjukkan 87% guru mentakrifkan saintis sebagai seorang berkulit putih, 58% rambut yang tidak terurus, 57% memakai kot makmal dan 56% memegang tabung uji. Para penyelidik merumuskan bahawa guru pelatih mempersepsikan saintis sebagai manusia yang luar biasa (21%), sebenarnya gila (16%) dan manusia normal (12%).
IMPLIKASI KAJIAN
Implikasi hasil kajian dalam pendidikan sains di sekolah amat jelas. Kebanyakan pelajar menganggap saintis sebagai orang yang sasa dan sains untuk lelaki sahaja. Imej seperti ini tidak menyebelahi sifat perempuan yang lemah lembut. Para guru perlu membetulkan keadaan ini. Imej saintis perlu neutral agar menarik minat kedua-dua golongan.
Satu kajian sampingan yang khusus menguji kesahihan penemuan ini telah dilakukan. Sekumpulan pelajar telah diajar mata pelajaran sains oleh guru yang tidak menunjukkan ciri-ciri sasa seorang saintis. Hasilnya, 10% pelajar lelaki yang berumur 15 tahun telah melukis imej saintis wanita. Kaitan kajian ini dengan tingkahlaku dan strategi pengajaran guru sains dalam kelas ialah para guru boleh mempengaruhi kemahiran, minat dan jangka masa ingatan pelajar dalam sains.
Guru-guru juga perlu mengelakkan diskriminasi jantina dalam pengajaran. Mereka perlu memberi peluang yang sama terhadap semua aktiviti dalam makmal dan kelas. Sebagai contohnya, kebanyakan murid perempuan tidak begitu banyak peluang bermain dengan permainan kanan-kanak semasa mereka kecil yang mengakibatkan mereka kekurangan kemahiran psikomotor. Pelajar perempuan juga tidak begitu berminat untuk mengikuti aktiviti-aktiviti luar bilik darjah kerana kurang self-confidence akibat dari kurang pendedahan pengalaman dan penglibatan luar rumah semasa kecil. Untuk mengatasi fenomena ini, guru sains perlu melakukan direct intervention semasa pengajaran.