Bermulanya tahun 1998, bermakna kursus Diploma Perguruan Malaysia sudah berusia empat semester. Ada dua semester lagi sebelum mereka dianugerahkan diploma dan seterusnya ditempatkan di sekolah-sekolah di seluruh negara sebagai guru awalan. Sejauh mana kualiti produk DPM yang akan dilahirkan oleh 31 maktab perguruan di seluruh negara belum lagi teruji. Adakah kualitinya lebih menyerlah dari lepasan latihan Sijil Perguruan Asas (SPA) yang telahpun mewarnai alam pendidikan kini, masih merupakan persoalan yang belum lagi terjawab.
Bahagian Pendidikan Guru (BPG) ketika itu (1996) diterajui oleh bekas Pengarahnya Datuk Maphor Baba, kelihatan begitu komited sekali cuba merealisasikan acuan DPM yang telahpun begitu gah dicanangkan. Selain menjanjikan ganjaran gaji yang lebih lumayan jika dibandingkan dengan lulusan SPA, tempoh latihan juga telah dilanjutkan dari 5 semester kepada 6 semester. Maka berebut-rebutlah anak-anak muda pemburu pekerjaan beratur di pusat-pusat pengagihan borang sehingga ada yang sampai jatuh pengsan. Borang permohonan kursus DPM laris seperti goreng pisang panas. Begitu laris borang-borang tersebut sehingga terpaksa tiga kali diulang cetak. Kerjaya guru mulai diminati kembali oleh lepasan sekolah. Malah mereka yang sudah bekerja pun ada yang mencuba nasib. Dari ratusan ribu yang memohon, tidak sampai 70% yang berjaya dipanggil untuk menduduki peperiksaan UKELP (Ujian Kelayakan Latihan Perguruan). Mereka yang berjaya dalam ujian tersebut telah dipanggil untuk temuduga, dan hasilnya, hanya 10% sahaja yang berjaya diterima untuk menjalani latihan perguruan selama 3 tahun itu. Proses temuduga memakan masa yang agak lama. Itulah sebabnya, pendaftar kumpulan pertama DPM telah dilewatkan dari bulan Julai ke bulan Ogos 1996. Melihat peratus bilangan yang berjaya begitu kecil, mungkin ramai orang berpendapat, kali ini BPG mempunyai 'pool' pilihan yang lebih ramai bagi mendapatkan guru yang berkualiti. Kalau dilihat kepada statistik bagi pengambilan Jun 1998 pula, dari lebih 90,000 permohonan, 70,000 orang telah dipanggil menduduki peperiksaan UKELP baru-baru ini dan dijangka 25,000 orang di antara mereka yang lulus nanti akan dipanggil temuduga untuk mengisi 1000 - 4000 kekosongan tempat. Ini bermakna, mereka yang terpilih memasuki maktab perguruan di seluruh negara memang boleh diakui memang berkualti untuk menjadi guru di tahun 2000an.
Pemohon yang berjaya kemudiannya ditawarkan tempat di 31 buah maktab perguruan di seluruh negara. Kehadiran pelatih-pelatih DPM diiringi dengan jelingan 'irihati' oleh senior-senior SPA. Ada pelatih-pelatih SPA begitu optimistik sekali yang kursus mereka juga akan dinaikkan taraf dari cuma sijil perguruan kepada diploma dengan sama ada memanjangkan tempoh kursus atau menjalani kursus "toping-up". Maka ramailah pelatih-pelatih SPA yang percaya dan tenggelam dalam angan-angan sedemikian walaupun telah dijelaskan bahawa sukatan latihan di antara SPA dengan DPM mepunyai perbezaan yang ketara dan tidak semudah itu kursus SPA boleh dinaikkan ke taraf diploma.
Fokas latihan bagi SPA adalah untuk menghasilkan guru am (general purpose teacher) iaitu satu bidang pengkhususan dan empat lagi mata pelajaran elektif, sedangkan bagi kursus DPM lebih menjurus melahirkan guru yang mempunyai kemahiran dalam dua bidang pengkhususan (2 major) dan empat bidang lain sebagai penyuburan diri. Dengan kata lain, DPM akan menyediakan guru yang lebih berkepakaran dalam dua bidang khusus. Sebagai contoh, mata pelajaran Pengajian Melayu digabungkan dengan Pendidikan Seni. Bagi mata pelajaran penyuburan diri, kecekapan bahasa Inggeris diwajibkan, sementara Pendidikan Komuniti, Kepenggunaan dan Hortikultur sebagai mata pelajaran pilihan. Oleh kerana itu jumlah jam kuliah juga ditambah dari 1404 jam kepada 1575 jam. 60% (SPA hanya 45%) dari jumlah jam tersebut ditumpukan kepada interaksi akademik. Dengan peningkatan masa berinteraksi tersebut, diharap akan dapat memberi peluang bagi pelatih mendalami dan memperkukuhkan kepakaran dalam bidang pengajian pengkhususan masing-masing. Aras domain pengetahuan juga ditingkatkan, dari aras SPM/STPM ke aras STPM/Matrikulasi.
Bagi pemilihan kali ini, nampaknya BPG berjaya melaksanakan strategi meramai pelatih lelaki supaya seimbangan dengan bilangan pelatih perempuan. Hal ini mungkin mencabar tanggapan umum bahawa profession perguruan adalah hanya sesuai bagi guru wanita sahaja . Tetapi adakah pertambahan dari segi kuantiti pelatih lelaki memungkinkan kualiti terpaksa dikorbankan? Setiap pelatih dikehendaki mencapai Nilai Purata Mata Gred atau GPA (cumulative grade point average) antara 2.00 hingga 4.00. Tidak ada pangkat cemerlang dan kepujian seperti yang dinikmati oleh graduan SPA. Bagi mereka yang mendapat GPA di antara 1.50 hingga 1.99, mereka dikehendaki mengulang, sementara yang kurang daripada 1.50, dikategorikan sebagai gagal. Sama-samalah kita melihat berapa peratuskah pelatih-pelatih DPM yang akan tamat kursus di pertengahan tahun 1999 nanti akan mendapat GPA 4.00. Jika peratus mereka yang mendapat GPA 4.00 itu ramai, maka bolehlah kita andaikan bahawa akan ramailah guru yang akan lahir dari kursus DPM yang diperkenalkan itu. GPA ini pula boleh digunakan untuk mendapat kelayakan memasuki universiti-universiti tempatan. Tentu lagi galaklah pelatih-pelatih DPM yang mengejar mata GPA yang tinggi. Penubuhan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pula sepatutnya menjadi pencetus dan pemakin yang akan mendorong anak-anak muda DPM bekerja keras mendapat mata GPA yang tinggi. Kalau tidak dari kalangan guru, siapa lagi yang akan menjadi mahasiswa mahasiswa di UPSI?
Semasa di semester keempat ini, pelatih-pelatih DPM dikehendaki menjalani praktikum peringkat ketiga yang dijadualkan berlangsung selama lapan minggu. Tetapi disebabkan masalah ekonomi yang melanda sekarang, tempoh praktikum tersebut telah dipendekkan menjadi enam minggu sahaja. Selama enam minggu tersebut, pelatih-pelatih diharap dapat melaksanakan a kaedah pengajaran berpasangan. Ini adalah merupakan satu strategi yang melibatkan dua orang pelatih bekerjasama merancang pengajaran pembelajaran, memerhati pengajaran rakan sebaya dan memberi maklum balas tentang persediaan dan penyampaian pelajaran samasa praktikum. Pendekatan ini diharap akan dapat mewujudkan kerjasama di kalangan peserta kursus secara formal berasaskan ungkapan "two heads are better than one". Dari cantuman pemikiran ramai yang terlibat, iaitu pasangan guru pelatih, guru pembimbing dan pensyarah penyelia, diharapkan akan meningkatkan kreativiti dalam teknik penyampaian isi kandungan pengajaran dan pembelajaran.
Yang menjadi masalah ialah cara melaksanakan konsep praktikum tersebut di sekolah. Setelah bertemu bual dengan ramai guru besar yang sekolah mereka terpilih dijadikan tempat pelatih DPM menjalankan praktikum, beberapa pandangan telah dapat dikumpulkan. Di antaranya ialah :
Kehadiran guru pelatih mengganggu perancangan guru terutama keperluan menghabiskan sukatan pelajaran. Kerap kali guru di sekolah tersebut terpaksa mengulang kembali bahagian-bahagian sukatan pelajaran yang telah diajar oleh guru pelatih kerana murid-murid didapati tidak faham apa yang diajar oleh guru pelatih. Kalau keadaan ini berlaku, bererti guru terpaksa menggandakan usaha untuk mengejar sukatan pelajaran yang tertinggal. Di sesetengah sekolah pula, kelas tambahan terpaksa diadakan. Jadi tidak hairanlah jika terdapat satu kes di mana guru pelatih tidak melakukan tugas lain selain dari menggantikan guru yang tidak hadir selama tempoh praktikum. Walau bagaimanapun pelatih tersebut dikehendaki membuat rancangan mengajar selengkapnya seperti diarah oleh pihak maktab mengikut jadual waktu yang telah diberikan. Pelatih hanya masuk mengajar apabila hendak diselia oleh pensyarah penyelia. Guru itu berbuat demikian kerana tidak mahu perancangannnya untuk kelas-kelas yang diajarnya terganggu jika kelasnya diambilalih oleh guru pelatih.
Ada guru besar yang menganggap guru pelatih menambah beban kepada mereka. Mereka akan melepaskan geram dan rasa tidak puas hati mereka kepada guru pelatih, bukan sahaja dengan kata-kata sindiran malah ada yang terang-terang mencerca pelatih dan maktab. Ini menyebabkan pelatih menjadi tidak selesa ketika menjalani praktikum kerana merasakan kehadiran mereka tidak diterima oleh pihak sekolah. Guru besar ini bertindak seperti mereka tidak pernah menjalani praktikum di sekolah. Tidakkah mereka memahami akan kepentingan praktikum dalam membina keyakinan pada dirinya untuk menjadi seorang guru awalan? Sifat ego guru besar seperti ini patutnya tidak diteladani oleh guru pelatih jika satu hari nanti mereka ditakdirkan menjadi guru besar. Sekolah adalah merupakan institusi rakyat, dan guru besar diamanahkan untuk mengurusnya. Jadi janganlah diabaikan amanah mendidik tersebut, kerana didikan itu bukan sahaja untuk murid-murid, tetapi juga untuk bakal guru, malah untuk guru-guru lama yang masih dahagakan latihan. Ada kes di mana seorang pengetua sebuah sekolah yang berkelakuan demikian, tetapi ditakdirkan beliau naik pangkat menjadi pengetua di sebuah maktab perguruan. Barulah beliau sedar akan keperluan sekolah memberi kerjasama dalam menjayakan program praktikum bagi guru-guru pelatih. Beliau seperti terpaksa menjilat ludah yang pernah dilemparkan kepada pelatih maktab tersebut sebelum ini.
Memang tidak dinafikan adalah pelatih yang menimbulkan masalah dengan pihak sekolah. Ada kes-kes guru pelatih yang tidak berdisiplin, seperti berambut panjang, datang lambat, lambat masuk kelas, mengajar sambil lewa, suka ambil cuti sakit dan berpakaian tidak sesuai dengan profession perguruan. Dalam hal ini, guru besar berhak menegur pelatih seperti beliau menegur guru-guru lain dan jika perlu boleh dipanjangkan ke pihak maktab. Pihak maktab memang telah memberi nasihat sampai berbuih mulut mengenai hal ini kerana nama baik maktab perlu digilap selalu. Tetapi cerita seekor kerbau membawa lumpur, akhirnya semua habis terpalit itu, sentiasa berulang.
Guru Pembimbing dibayar sagu hati sebanyak RM60 sebulan (guru pembimbing bukan siswazah) bagi setiap pasangan guru pelatih yang diberi bimbingan. Bagi guru pembimbing siswazah, bayarannya ialah RM80. Atas alasan kemelesetan ekonomi, seorang guru pembimbing kini terpaksa menyelia bukan dua orang tetapi empat orang pelatih. Hal ini kadang-kadang memeningkan kepala guru besar kerana tidak mahu dianggap pilih kasih. Sudahlah guru yang terpilih menjadi guru pembimbing itu boleh relaks kerana kelasnya diambilalih oleh guru pelatih, duit ganjaran juga diberi. Ada guru besar cuba mengatasi masalah ini dengan cuba mengagihkan tugas ini kepada beberapa orang guru. Jadi seorang guru pelatih mungkin mempunyai lebih dari seorang guru pembimbing. Dari segi positifnya, tentu pelatih mendapat bimbingan dari ramai guru pembimbing yang sudah tentu masing-masing kaya dengan pengalaman. Tetapi dari pengalaman guru pelatih sendiri, ramai merasa diabaikan kerana ada di antara guru pembimbing yang "lepas tangan" ketika memberi bimbingan.
Ada sekolah yang bertindak secara proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Praktikum yang mengendalikan hal-hal praktikum pelatih maktab. Dalam banyak hal, penubuhan jawatankuasa patut dipuji kerana membuktikan keprihatinan pihak sekolah terhadap keperluan proses praktikum kepada guru pelatih. Jawatankuasa ini juga didapati menguruskan hal-hal kebajikan pelatih seperti mencari rumah sewa dan pengangkutan, selain manjadi penghubung yang penting di antara maktab dan pihak sekolah.
Bukan semua guru besar menganggapkan kehadiran guru pelatih itu sebagai mengundang masalah, malah ramai guru besar memang sentiasa mengalu-alukan kehadiran guru pelatih. Kata mereka, kecil tapak tangan, nyiru mereka tadahkan (kecil tapak tangan, padang bola sekolah kami sediakan). Malah ada yang meminta bilangan pelatih yang ramai. Kononnya sekolah ini sedang membuat satu eksperimen di mana beberapa kelas akan dipecahkan menjadi dua kumpulan. Ini bermakna bilangan murid dalam satu-satu kumpulan menjadi lebih kecil. Guru pelatih dikehendaki mengajar satu kumpulan sementara guru lama kumpulan yang satu lagi. Prestasi murid-murid akan sentiasa dimantau. Rumusan yang ingin dicari dari eksperimen ini, siapakah yang lebih berkesan mengajar, guru pelatihkah atau guru berpengalaman ? Kehadiran guru pelatih juga boleh diekploitasi. Ada guru besar yang sudah menyediakan berbagai program, terutama program keceriaan dan sukan. Maka tidak hairanlah jika terdapat guru pelatih yang merungut kerana mereka terpaksa memanjat dinding bagi menyiapkan mural di sekolah. Mereka terpaksa angkur dengan arahan guru besar kerana jika tidak, markah penilaian oleh pihak sekolah akan terjejas. Tetapi sebenarnya ramai guru pelatih yang melakukan dengan rela hati kerana mereka telah dimaklumkan apa yang diharapkan oleh pihak sekolah. Hasil tangan seperti lukisan mural seperti itu biasanya menjadi kebanggaan guru-guru pelatih. Sekurang-kurangnya ada hasil tangan mereka diabadikan di sekolah mereka menjalani praktikum.
Ada pelatih yang memberi sumbangan membanggakan kepada sekolah seperti melatih pasukan sukan, pidato, pantun, koir dan nasyid sekolah dalam pertandingan atau peraduan yang diadakan, bukan sahaja di peringkat daerah, malah sehingga menyerlah di peringkat kebangsaan. Ada guru pelatih yang telah dapat mengerakkan kelas-kelas tambahan dengan berkesan sehingga membantu sekolah mendapat keputusan UPSR yang membanggakan. Ada seorang pelatih dengan daya usahanya sendiri mencari penderma untuk PIBG sekolah di mana beliau menjalani praktikum sehingga mendapat sumbangan ribuan ringgit dan hasil sumbangan tersebut, sekolah tersebut berjaya menubuhkan sebuah bilik multimedia yang agak lengkap. Tetapi biasanya jasa-jasa seperti ini seperti tidak dihargai oleh pihak sekolah. Ramai pelatih yang melahirkan rasa kecewa dengan sikap pihak sekolah. Malah ada di antara pelatih yang mengadu mereka diperli sakan bila mendapat banyak hadiah daripada murid-murid di hari terakhir di sekolah. Murid-murid pula nampaknya menjadikan satu tradisi, iaitu lebih gemar memberi pelbagai hadiah kepada guru pelatih dari guru kelas mereka sendiri.
Konsep praktikum DPM agak berbeza dengan SPA. Aspek penilaian tidak ditekankan sangat. Sebaliknya BPG memperkenalkan pendekatan "developmental" untuk membina kecekapan mengajar secara beransur-ansur. Pelatih-pelatih dihendaki diberi bimbingan sewajarnya baik oleh guru pembimbing, mahupun pensyarah penyelia. Sebab itulah pihak maktab diarahkan memberi kursus mentoring kepada guru-guru pembimbing dan pensyarah penyelia. Tetapi sekali lagi atas alasan masalah ekonomi, banyak maktab tidak sempat menjalankan kursus tersebut yang dijangka memakan masa sekurang-kurangnya tiga hari. Demikian juga dengan sesi taklimat yang biasa diadakan untuk guru besar dan guru pembimbing juga tidak dapat diadakan seperti lazimnya. Kemelesetan ekonomi nampaknya sedikit sebanyak mulai menjejaskan perjalanan praktikum dan program DPM keseluruhannya.
Bagi pencerapan guru pelatih, kaedah yang disarankan ialah menggunakan pendekatan klinikal. Pencerapan klinikal merupakan proses penyeliaan yang merangkumi ciri-ciri seperti pemerhatian pengajaran secara langsung, pengumpulan data dari pemerhatian, penganalisisan tingkah laku mengajar dan aktiviti untuk meningkatkan mutu pengajaran. Dengan ini diharap, pensyarah penyelia, guru pembimbing dan guru pelatih akan bersama-sama berinteraksi dan bermuafakat bagi memperbaiki kelemahan pengajaran dan pembelajaran yang dapat dikesan dan cuba memperkembangkan potensi dan kemahiran yang mungkin dapat ditonjolkan.
Ada beberapa peringkat yang perlu dilalui dalam proses pencerapan klinikal iaitu sidang pra-pencerapan, pemerhatian, analisis, sidang pasca pemerhatian, dan analisis sidang pasca pemerhatian.
Di dalam bilik darjah pula, pelatih digalakkan mengajar secara berpasangan. Ini bererti mereka hendaklah merancang pengajaran dan melaksana pengajaran secara berpasangan terutama dalam minggu kedua hingga keempat. Pendekatan inilah yang nampaknya menimbulkan masalah dengan pihak sekolah. Ramai guru besar yang tidak dapat menghayati pendekatan ini. Malah ada sekolah pada peringkat awalnya, telah memisahkan pasangan pelatih dengan ketara sekali iaitu seorang mengajar di sesi pagi dan seorang lagi di sesi petang. Pengajaran berpasangan sepatutnya memberi pendedahan yang bermakna kepada pelatih. Mereka akan sama-sama merancang sesi pengajaran yang akan dilaksanakan. Semasa mengajar, seorang pelatih akan cuba melaksanakan apa yang mereka rancangkan, dan seorang lagi akan memerhati dan membuat catatan. Jika perlu mereka mengendalikan kelas secara bersama. Selepas satu sesi pengajaran, pelatih dikehendaki membuat refleksi dan berbincang dengan pasangan masing-masing mengenai sesi pengajaran yang telah selesai. Diharap melalui interaksi demikian, akan menggalakkan pelatih berkongsi pengalaman, menerima kritikan yang membina dan cuba memperbaiki kelemahan diri. Kawalan kelas sepatutnya tidak menjadi masalah kepada pelatih.
Oleh kerana aspek penilaian menjadi perkara sekunder, maka ketentuan seseorang pelatih itu lulus atau gagal menjalani praktikum hanya boleh diketahui di akhir semester enam nanti, iaitu selepas menjalani praktikum 4 selama 12 minggu. Pensyarah penyelia akan meneliti folio pelatih yang difailkan sejak praktikum 1 sehingga praktikum 4 dan akan membuat rumusan akan keputusan yang layak diterima oleh pelatih tersebut. Hal ini juga menimbulkan kontrovesi kerana kelihatan seolah-olah penyelia terakhir sahaja yang mempunyai kuasa autonomi bagi
menentukan gagal atau lulusnya seseorang pelatih. Masalah juga timbul iaitu bagaimana hendak menentukan mata gred yang hendak dimasukkan ke dalam keputusan akhir pelatih nanti jika hanya dicatatkan lulus atau gagal. Oleh itu dicadangkan, seorang pelatih mendapat penyeliaan berterusan dari pensyarah penyelia yang sama dari awal sehingga akhir praktikum supaya kesahan penilain yang diberi itu boleh diterima. Tetapi adakah hal ini dapat dilaksanakan dengan berkesan? Ini adalah kerana dalam tempoh tiga tahun, seorang pensyarah itu mungkin tidak lagi bertugas di maktab yang sama.
Sebenarnya, praktikum DPM dari peringkat awal lagi sudah menimbulkan sungutan pihak sekolah. Setelah mereka memasuki maktab beberapa minggu, pelatih-pelatih telah dikehendaki menjalani praktikum 1 di sekolah selama seminggu. Bagi menjimatkan belanja, mereka telah dihantar menjalani praktikum di sekolah yang mereka pilih dan berhampiran dengan tempat tinggal mereka. Seronoklah pelatih-pelatih yang baru sahaja meninggalkan kampung halaman mereka apabila diberi peluang "bercuti" ke rumah mereka, walaupun cuma seminggu. Tugasan mereka cuma menjadi seorang pemerhati terhadap perjalanan sebuah institusi yang dinamakan "sekolah". Pelatih-pelatih dibekalkan dengan set-set tugasan yang perlu disempurnakan. Kehadiran "pengintip" bukanlah perkara yang menyenangkan pihak sekolah. Jadi tidak hairanlah ada guru besar yang menyemak dulu tugasan yang telah disiapkan oleh pelatih sebelum diserahkan kepada pensyarah penyelia.
Semasa di semester dua pula, pelatih-pelatih dikehendaki menjalani praktikum selama empat minggu di sekolah yang diatur oleh pihak maktab. Kali ini pelatih lebih berfungsi sebagai pembantu guru. Mereka dikehendaki mengikuti pengajaran guru pembimbing dan membantu beliau mengajar. Mereka juga digalakkan membantu guru pembimbing menyediakan alat bantu mengajar dan alat bantu belajar. Mereka digalakkan mengajar beberapa waktu secara berpasukan dengan bimbingan guru pembimbing. Pendekatan ini juga merimaskan pihak sekolah. Ini adalah kerana mengikut kata mereka, ada ramai guru pelatih di sekolah tetapi tidak "dibenarkan mengajar" sepenuhnya. Ada guru besar berpendapat "pergi jahanam" dengan falsafah praktikum tersebut, lalu pelatih-pelatih dibeban dengan jadual mengajar yang padat. Ramai guru pelatih yang merungut tetapi ada juga pelatih yang secara sukarela menawarkan diri untuk mengajar "sepenuh masa" kerana mereka berasa jemu dengan hanya menjadi "pembantu guru". Apa jua yang berlaku, yang pasti ramai guru besar yang merunggut dan ramai pelatih yang keliru tentang peranan sebenarnya mereka ke sekolah. Hal ini dapat dikesan melalui luahan perasaan mereka semasa menulis buku journal dan semasa sesi dialog dengan pihak sekolah.
Bukan sahaja dari segi pelaksanaan praktikum, malah dari segi penilaian juga didapati mempunyai perbezaan yang agak ketara di antara kursus DPM dan SPA. Pelatih-pelatih DPM akan menduduki peperiksaan di setiap hujung semester. Peperiksaan semester pertama 1996 melihat ramai pelatih yang gagal terutama mereka yang mengikuti kursus yang melibatkan sains dan matematik. Peratus kegagalan yang tinggi dikaitkan dengan sukatan pelajaran yang telah dipersetujui dengan pihak universiti itu dikatakan agak "tinggi". Calon dibenarkan mengambil peperiksaan ulangan dan pensyarah mata pelajaran dikehendaki membuat kelas bimbingan. Walaupun bimbingan diberi, masih ramai yang gagal. Kali ini mereka yang gagal dikehendaki menamatkan pengajian mereka. Hal ini menjadi kejutan baru bagi pelatih maktab kerana mereka berkemungkinan "balik kampung" awal disebabkan gagal peperiksaan tetap ada kerana peperiksaan diadakan bagi setiap semester. Maka bermula perubahan sikap pelatih menjadi ulat buku. Ramai mulai hilang selera untuk bergerak aktif dalam persatuan , sukan dan kebudayaan. Latihan di maktab perguruan mulai dianggap membebankan dan tidak "semudah yang disangkakan". Tetapi akhir-akhir ini BPG kelihatan seolah-olah berlembut dengan kes gagal, malah ada pelatih yang telah gagal peperiksaan ulangan dengan markah yang terlalu rendah, tetapi bila keputusan yang dikeluarkan oleh BPG, pelatih tersebut didapati lulus. Hal ini kadang-kadang menimbulkan unggapan sinis seperti "buat apalah susah-susah gagalkan pelatih, kerana nanti BPG mesti bagi lulus " di kalangan pensyarah-pensyarah. Seorang pelatih menulis catatan refleksi kendiri yang berbunyi, " kalau dia (kawannya) yang malas belajar, selalu ponteng, selalu gagal peperiksaan ulangan, akhirnya diluluskan, mengapa pula aku perlu membodohkan diriku dengan bersusah payah bersekang mata dan berpenat lelah untuk mengulang kaji pelajaran?… Lulus grenti punya!". Di sini bukanlah maksud pengarang ingin mempertikaikan autoriti penilai ketiga (BPG) dalam menangani kes ini. Mungkin mereka ada alasan yang kukuh mengapa calon-calon seperti itu perlu diluluskan. Tetapi yang perlu ditegaskan di sini ialah betapa perlunya BPG mengawal kualiti produk yang akan dikeluarkan nanti terutama untuk memenuhi tuntutan slogan maktab bestari, guru bestari.
Ramai pelatih menganggap peperiksaan akhir semester enam nanti agak lebih relaks. Ini adalah kerana di semester enam mereka akan menghadapi peperiksaan bercorak "take-home test", walaupun sebenarnya peperiksaan tersebut tidak semudah yang mereka sangkakan. Di samping peperiksaan bagi bidang pengkhususan 1 dan 2, pelatih DPM juga perlu mengumpul markah mengikut pemberatan peratus dari kerja-kerja kursus, pemerhatian praktikum dan amali gerakerja kokurikulum (GERKO). Bagi bidang bukan pengkhususan, pelatih juga boleh dinilai melalui buku folio, hasil ujian pendek, esei atau projek khas. Dengan ini bolehlah dikatakan, penilaian bagi setiap guru pelatih DPM agak menyeluruh, kerana bukan sahaja bidang kurikulum latihan perguruan yang ditekankan, malah penyertaan dalam GERKO juga diambil kira. Tetapi pengalaman dengan pelatih SPA membuktikan yang ada guru pelatih yang mendapat manikayu 4 dalam pengakap semasa di maktab, tetapi bila di sekolah tidak berani menerima tanggungjawab memimpin pasukan pengakap sekolah rendah.
Membandingkan kurikulum DPM yang telah dirancangkan dengan pelaksanaannya, kadang-kadang, ternampak ketergesaan melaksanakan program DPM. Kumpulan pertama seolah-olah menjadi tikus ujian BPG. Dari masa ke semasa, pekeliling mengenai perubahan-perubahan terbaru diedarkan ke maktab. Perancangan seolah-olah dibuat dari semester ke semester. Ini pula bergantung kepada siapa yang berkuasa di BPG. Di antara unit di BPG pula kelihatan seperti tidak berlari bersama. Terdapat langkah-langkah yang sumbang, baik di pihak perancang dasar, perencana kurikulum, pengubal sukatan, pembina Jadual Penentuan Ujian, pelaksana (pensyarah) dan pengguna (pelatih). Hal ini nampaknya masih berulang kepada pelatih DPM kumpulan kedua, dan mungkin untuk kumpulan ketiga (pengambilan Julai 1998) nanti. Yang pasti, keghairahan mengejar segulung Diploma Perguruan semakin kekurangan penumpang. Khabarnya cuma 1060 orang sahaja calon yang terpilih untuk mengikut program DPM bagi pengambilan Julai nanti, dan jumlah itu pula akan diagih kepada 27 buah maktab. Kenapa tiba-tiba minat pemuda-pemudi kita tiba-tiba menjadi tumpul untuk dinobatkan sebagai seorang guru diploma, nampaknya perlu dicari jawapan oleh BPG. Kekhuatiran BPG ketandusan calon berkualiti sudah mulai dapat dirasai bila terbit berita, pelajar yang sedang menunggu peperiksaan pun boleh memohon kursus DPM dengan menggunakan keputusan peperiksaan percubaan di sekolah mereka.
Dengan berkurangnya jumlah pengambilan pelatih, bererti maktab perguruan akan mempunyai pensyarah yang berlebihan. Dengan khabarnya, keseluruhan maktab perguruan yang ada akan mempunyai lebihan pensyarah dalam bilangan sekitar 700 orang. Apa akan jadi kepada pensyarah yang berlebihan ini, belum lagi ada kata putus yang jelas. Setakat ini sudah ada pensyarah yang telah ditukarkan ke sekolah. Yang lain mungkin akan ditempatkan di sekolah-sekolah bagi menjalankan kajian-kajian terutama kajian tindakan. Yang menjadi tanda tanya, adakah sekolah-sekolah dapat menerima lebihan pensyarah, terutama mereka yang senior. Setahu pengarang, agak sukar JPN mahu menawarkan terus jawatan pengetua kepada pensyarah yang "mengganggur' ini. Perisitiwa dianaktirikan oleh JPN memang dirasai oleh ramai bekas penyarah yang dinaikkan pangkat dan ditugaskan ke sekolah. Untuk mengisi jawatan pengetua DG2, mereka terpaksa sedia berkorban ditukarkan ke sekolah luar bandar atau jauh dari tempat asal mereka. Hal ini menimbulkan masalah, kerana dalam usia yang sedang mengamit pesaraan, sudah tentu mereka patut diberi layanan istimewa dengan memberi keutamaan bertugas ditempat yang berhampiran kediaman mereka. Bukan masanya untuk menawarkan kenaikkan pangkat, tetapi terpaksa dibuang daerah. Mengapa keadaan ini terjadi? Kononnya, JPN telah lebih dahului mengisi jawatan kanan di sekolah-sekolah dengan orang-orang mereka. Senarai nama dari BPG dimasukkan ke senarai pilihan kedua. Sungguhpun ketidakadilan ini dikesan berlaku, tetapi BPG nampaknya tidak berbuat apa-apa kepada bekas pensyarah yang pernah menabur bakti mendidik bakal guru.
Bagi pensyarah yang tinggal, perjuangan mendidik guru pelatih DPM yang berkualiti perlu diteruskan.
Sebenarnya, di maktab-maktab perguruan, ada pensyarah yang memiliki ijazah peringkat sarjana (dalam anggaran 500 orang) dan Phd. Ini bermakna maktab perguruan mempunyai ramai pensyarah-pensyarah mempunyai kelulusan yang setara dengan pensyarah universiti. Hanya yang menjadi rungutan pensyarah-pensyarah yang mempunyai ijazah yang kedua ini ialah gaji mereka masih tidak dibezakan dengan mereka yang mempunyai ijazah asas (DG3). Malah ada yang membuat pembandingan nasib mereka dengan lulusan Kursus Diploma Perguruan Khas yang telah mereka asuh. Kononnya, graduan KDPK mendapat kenaikan gaji tiga tangga sedangkan pensyarah yang dapat sarjana atau Phd, tidak mendapat keistimewaan seperti itu. Hal ini ditimbulkan dalam rencana ini kerana kekecewaan pensyarah terhadap kebajikan mereka juga boleh menjejaskan missi untuk melahirkan guru pelatih DPM yang berkualiti.
Masih ada dua semester lagi yang perlu diharungi oleh pelatih DPM sebelum mereka dianugerahkan segulung diploma perguruan. Prosedur melahirkan guru awalan yang mempunyai kualiti dan bestari masih di peringkat percubaan yang belum lagi membuahkan hasil. Tetapi tidak salah, semasa di pertengahan perjalanan, kita cuba menoleh ke belakang, menyemak kembali adakah kita berada di landasan yang betul. Jika sudah ada tanda-tanda akan terpesung, mengapa tidak diambil langkah segera untuk membetulkannya? Tetapi jika didapati, panduarahnya tepat, maka perlulah dimantap dan dimurnikan lagi supaya kelahiran sulung DPM betul-betul berkualiti dan dapat menyahut cabaran zamannya.