Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

awie bagus

Fikrah Islamiyah

Negara Islam matlamat dan sumber kedaulatan

Dalam istilah undang-undang, negara ditakrifkan sebagai suatu kelompok manusia yang
menduduki daerah tertentu dan mempunyai kekuasaan serta keperibadian undang-undang.

Apabila disebut negara Islam, tentunya ia memenuhi ciri-ciri negara sebagaimana yang
disebut, di samping mempunyai ciri-ciri tersendiri bagi membezakannya dengan negara
bukan Islam.

Masyarakat kadang-kadang terkeliru dengan istilah negara Islam, negara umat Islam dan
negara dan negara bukan Islam.

Takrif Negara Islam.

Dalam kitab Syarh al-Azhar, Negara Islam ditakrifkan sebagai "tempat di mana syiar
Islam itu benar-benar jelas mempunyai kekuatan samada kekuatan hukum atau kekuasaan
umat Islam".

Takrif ini menggambarkan bahawa sebuah negara Islam tidak semestinya dihuni oleh
semua umat Islam, tetapi yang penting ialah asas penegakan sistem dan kekuasaan negara
tersebut mestilah Islam.

Sebuah negara yang mempunyai ramai umat Islam dan dipimpin pula oleh orang Islam,
tetapi negara tersebut tidak mendaulatkan syariat Allah, maka ia hanya boleh dianggap
sebagai negara umat Islam.

Sementara negara yang diperintah secara tidak Islam kerana diterajui oleh orang-orang
kafir, maka ia jelas dikategorikan sebagai negara bukan Islam.

Secara mudah, negara Islam adalah negara yang ditegakkan atas dasar aqidah Islamiyah
dengan melaksanakan sistem dan undang-undang Islam.

Ia bukan negara berfahaman kedaerahan sempit yang dibatasi oleh geografi, keturunan
dan warna kulit, sebaliknya ia bersifat universal sehingga tidak wujud perbezaan di antara
kaum (rakyatnya) melainkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Oleh kerana watak negara Islam sedemikian, maka semua orang boleh memegang aqidah
negara (Islam), di samping tidak menafikan kebebasan untuk menganut agama lain.

Jika ia enggan menerima Islam pun, ia masih boleh tinggal di bawah naungan negara
Islam, dengan syarat tidak mengganggu sistem Islam dan tiada usaha untuk menyebarkan
fahamannya di kalangan umat Islam.

Hak kerakyatannya masih lagi terjaga dan tiada seorang pun berhak memaksanya untuk
menukar agama.

Matlamat Negara Islam

Secara umumnya, matlamat negara Islam adalah sama dengan matlamat Islam itu sendiri,
sebab negara tersebut ditegakkan atas sifat dan keyakinan Islam.

Tujuannya bukan sekadar mewujudkan keamanan, suasana damai, melindungi
keselamatan rakyat dan menentang pencerobohan musuh, tetapi yang penting ialah
melaksanakan syariat Islam dalam segala urusan kenegaraan dan menyebarkan dakyah
Islamiah diseluruh pelusuk dunia.

Negara Islam berkewajipan menjamin setiap individu muslim dapat menunaikan ibadah
kepada Allah serta hidup sesuai dengan tuntutan aqidah dan sistem Islam.

Ia wajib menghapuskan segala faktor yang boleh menghalang tercapainya segala tujuan
tersebut.

Berhubung dengan matlamat negara Islam ini, Allah Taala menyatakan: "Orang-orang
yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, mereka mendirikan
sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari
perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan". (al-Haj: 41).

Dalam konteks yang lebih umum, ayat 41, surah al-Haj ini menuntut supaya negara Islam
ini melaksanakan perkara berikut:

1. Mendirikan sembahyang: menghidupkan syiar-syiar agama terutamanya hubungan
manusia dengan Allah.

2. Mengeluarkan zakat: membantu golongan yang kurang berkemampuan dan menjaga
kebajikan masyarakat atau rakyat.

3. Melaksanakan amar makruf: memastikan bahawa dengan autoriti dan kedudukan yang
diberikan, maka masyarakat boleh didominasikan dengan Islam. Bukan sekadar menyeru
kepada kebaikan, bahkan menyuruh.

4. Mencegah kemungkaran: menghalang berlakunya perkara-perkara maksiat samada
dilakukan secara kolektif mahupun secara individu, dilakukan oleh golongan pemimpin
mahupun rakyat.

5. Mengembalikan segala urusan Allah: meletakkan Allah sebagai neraca dan kayu ukur
dalam membuat sebarang pendirian dan mengambil tindakan.

Inilah matlamat negara Islam, yang pada umumnya berhasrat untuk melindungi
kepentingan individu dan masyarakat dengan sistem yang digariskan oleh Allah. Apabila
negara mengikut lunas-lunas tadi, maka bererti ia telah menjamin masa depan umat dan
rakyat di dunia dan akhirat.

Sumber Kedaulatan Negara Islam.

Oleh kerana Negara Islam ditegakkan atas dasar aqidah Islamiyyah dan syariah, maka
sumber kedaulatannya mestilah merujuk kepada sumber syariat itu sendiri iaitu al-Quran
dan al-Sunnah. Meskipun pemerintah diamanahkan untuk mentadbir dunia, tetapi
kedaulatan kerajaan Islam bukan terletak di tangan mereka dan bukan juga di tangan
rakyat.

Dalam Islam, pemerintah disebut oleh Allah sebagai khalifah yang bererti pengganti.
Apabila disebut pengganti, tentunya ia mestilah melaksanakan segala dasar yang telah
ditentukan oleh pihak yang digantikan iaitu Allah.

Oleh itu, pemerintah mesti tunduk kepada segala hukum-hakam yang telah termaktub di
dalam al-Quran dan al-Sunnah. Rasulullah s.a.w sendiri sebagai pemerintah pertama umat
Islam juga tunduk kepada ketentuan Allah.

Firman Allah : "Katakanlah wahai Muhammad! Aku bukanlah Rasul yang pertama di
antara Rasul-rasul dan aku tidak mengetahui apa yang akan diperbuat terhadapku dan
tidak pula terhadapmu. Aku tidak lain hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan
kepadaku dan aku tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan yang menjelaskan". (al-
Ahqaf: 9).

Maka seluruh pemimpin mestilah mencontohi Rasulullah s.a.w. malah perkara itu adalah
kewajipan yang diperintahkan oleh Allah.Firman Allah : "Wahai orang-orang yang
beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan Ulil Amri di antara kamu, apabila
kamu beselisih di dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran)
dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.
Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya". (al-Nisa':59)

Jadi sumber kedaulatan di dalam kerajaan Islam adalah untuk Allah dan Rasul sahaja.
Allahlah yang telah mengatur sistem dan menetapkan perlembagaan untuk manusia.
Perlembagaan tersebut adalah abadi dan manusia tidak mempunyai kuasa atau hak untuk
mengubah segala ketetapan Allah.

My Favorite Links

homepage awie -muka depan

thank you.

Email: kem2001@yahoomail.com