Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam pada hari Khamis ( 27. 05. 1999 / 11 Safar 1420)

Cahaya Mata Hati

Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam

Ketahuilah olehmu bahawasanya nafsu itu atas tiga bahagi iaitu

Maka nafsu Lawammah itu iaitu nafsu Haiwaniah(kebinatangan) yang mengekalkan bagi segala syahwat dan nafsu Amarrah itu iaitu nafsu Syathoniah(keiblisan) yang mengerasi atasnya kasih segala Mukholafat(sesuatu yang menyalahi perintah Allah) dan nafsu Muthomainnah iaitu nafsu Aqliyah(bersifat keruhhan) yang telah suci daripada segala kekeruhan; maka terangkatlah daripadanya segala hijab(sesuatu yang mendindingi)

Keterangan Suluk

Setengah ulama daripada golongan "ahli suluk" seperti yang tercatat dalam Kitab Sirras Salikin; mengkelaskan bahagian nafsu yang ada pada seseorang itu kepada 7 jenis iaitu;

Tetapi Tok Pulau Manis lebih suka membahagikan jenis-jenis nafsu itu kepada tiga bahagian sahaja.  Nafsu Lawammah dikaitkan dengan sesuatu sifat jiwa manusia yang lebih banyak kecendurangannya kepada sifat-sifat untuk memenuhi keperluan lahiriah sahaja.  Sama halnya dengan sifat-sifat binatang yang hanya memikirkan tentang makan, minum, jimak berenak-enak dan bersenang lenang dengan dunia sekelilingnya sahaja. Manusia seperti ini,  tidak pernah memikirkan tentang alam lain dan keperluan-keperluan ruhaniah mereka malah mereka hanyut dengan kekalutan dunia yang fana ini.

Adapun Tok Pulau Manis telah mentakrifkan perihal Nafsu Amarrah pula  dengan sesuatu sifat manusia yang dibayangi oleh feel kelakuan syaitan dan iblis yang sesat lagi menyesatkan.  Keperihalannya adalah berkisar kepada penderhakaan kepada hukum dan perintah Allah serta RasulNya.  Manusia jenis ini bertindak mengikut kerakusan nafsunya tanpa memperhitungkan soal halal haram, sah batal , wajib haramnya.  Mereka sebenarnya adalah syaitan yang bertopengkan manusia. Angkuh sombong, perosak, penindas, pemfitnah, pentingkan diri dan kedudukan,  dan lain-lainnya kemungkaran.

Nafsu Muthomainnah mengikut Tok Pulau Manis pula ialah merujuk lepada keperihalan satu golongan manusia mukmin yang Sholeh, yang telah dihidupkan ruhnya,  yang dengan pancaran Nurnya dapat memberikan kesan dengan menerbitkan sifat dan peribadinya yang tinggi, yang dapat memandang ke alam tinggi, yang hidup cahaya mata hatinya untuk melihat sesuatu yang ghaib, mengenal sesuatu dengan rasa dan zauk,.  Jiwa ini adalah jiwa yang telah bebas dari kurungan nafsu syahwat dan penjara kemanusian yang terbang bebas dengan sayap ruhnya yang bermakrifat ke alam yang haq dan hakiki.  Dengan sebab itulah, maka Tok Pulau manis mendatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya;.

Berkata Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis;
 

"Maka cahaya mata hati itu iaitu Nurul Aqliyah yang menunjukkan kepada Iman yang memandangkan ia(Nurul Aqliyah)  akan dikau akan hampirnya (Allah) daripadamu hingga engkau lihat bahawasanya Haq Taala itu terlebih hampir kepadamu daripada urat tengkuk. Maka tidalah sah bagi maksiat kerena engkau ketahui dengan kenyataan atasmu.".

Keterangan Suluk

Kalam hikmah di atas cuba mengutarakan apa itu yang dimaksudkan dengan cahaya mata hati.  Cahaya mata hati  ini adalah Nurul Aqliyah yang mentahqiqkan kepercayaan seseorang kepada seluruh perkara yang meliputi hakikat Iman berdasarkan ilmu pengetahuan. Guru suluk semasa menjelaskan pengertian Nurul Aqliah menggunakan rangkaikata "rahsia sifat Ilmu" .  Ini adalah bersandarkan kepada fahaman bahawa  dengan ilmu sahaja seseorang itu tidak mampu untuk mempercayai sesuatu yang ghaib malah ada di antara mereka yang mengingkarinya. Tetapi bagi seseorang yang mempercayai akan kebenaran;   keadaannya adalah berlainan.  Bila kepercayaan kepada ilmu tadi telah diteguhkan dengan terbukanya penglihatan batin(Ilmu Yakin) lantaran telah bersih dari segala kekeruhan, maka terlihatlah kepadanya kebenaran ilmu tersebut.  Akan terhurailah kepadanya rahsia-rahsia sifat ilmu yang didapatinya  dengan melihat dan memandang  akan kebenaran hakikat bagi ilmu yang diyakininya.

Maka cemerlanglah hatinya  dengan Nurul Aqliyah yang dapat meyakini dengan melihat bahawa Allah itu di atas sesuatu Maha Meliputi hatta diri dan perasaannya terlalu dekat dengan kewujudan Allah.  Manusia yang melihat dengan Nurul Aqliyah ini sama sekali tidak akan terjerumus ke dalam dosa dan maksiat kerana pandangan mereka sentiasa melihat Allah itu sentiasa memerhati dan mengawasi setiap gerak-gerinya zhohir dan batin.  Inilah yang dimaksudkan dengan "engkau ketahui
dengan kenyataan ke atasmu" iaitu nyata dalam pengetahuanmu yang tahqiq bahawa Allah itu terlalu hampir dengannya.
 

Berkata Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis;
 

"Dan Ainul Basyirah itu iaitu Nurul Ilmu yang memandangkan ia(Nurul Ilmu)  akan dikau kepada ketiadaanmu kerana adanya (Allah) hingga tiada engkau lihat bagi dirimu Amal dan tiada hal kerana nazhor(tilik)mu bagi berkehendakmu kepadaNya.

Keterangan Suluk

Jika kalam hikmah sebelum ini membicarakan tentang "cahaya mata hati", maka kalam hikmah yang berikutnya pula cuba menyatakan sesuatu yang lebih tinggi dari Nurul Aqliyah itu.  Ainul Basyirah atau "mata hati" (tanpa meyebutkan cahaya) adalah merujuk kepada kebolehan dan kemampuan sifat mata hati itu memandang dengan suluhan rahsia cahaya ilmu  yang akan melenyapkan pandangan kepada hal  dirinya  atau amalannya  malah tiada pelakuan yang terbit dari dirinya.

Berbeza dengan Nurul Aqliyah(seperti yang dinyatakan dalam kalam hikmah sebelumnya), keyakinannya sekarang memanjat kepada "Nurul Ilmu" atau "cahaya ilmu" iaitu pandangan yang yakin dan tahqiq kerana melihat sendiri akan benarnya Wujud pentadbiran Allah dengan sendiriNya. Pada tahap ini atau maqam Ainul Basyirah ini seseorang itu akan fana dengan perbuatan Allah dan sifat Allah yang menguasai di atas tiap-tiap sesuatu.  Mereka tidak melihat amalannya,  mereka tidak melihat halnya malah mereka tenggelam dalam musyahadah akan TuhanNya dalam setiap lakuan.

Berkata Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis;
 

"Dan Haqqul  Basyirah itu iaitu Nurul Haq yang menunujukkan kepada hakikat yang diI'tiqadkan yang (dapat) mandangkan ia(Nurul Haq)  akan dikau kepada wujudnya (Allah) atas sendirinya dengan tiada Wasitah (pengantara) hingga tiada engkau lihat akan segala yang maujud atas hakikat lain daripadaNya (Allah) tiada ketiadaanmu dan tiada wujudmu dan tiada dunia dan tiada akhirat.

Keterangan Suluk

Kalam hikmah selanjutnya adalah memperihalkan tentang sesuatu yang menjadi haq atau hakiki atau puncak kepada Nur yang sebelum ini.  Haqqul Basyirah adalah cahaya yang Haq yang kehadirannya akan menjadi satu petunjuk untuk menjejaki hakikat pada segala hakikat sesuatu yang dipercayai dengan ilmu (cahaya mata hati)dan sesuatu yang diyakini dengan penglihatan Ainul Basyirah.

Pandangan kepada Haqqul Basyirah ini menjadikan diri seseorang itu kosong(tidak wujud)  dan  tidak diiktibarkan wujud diri bila berhadapan dengan Wujud Allah yang hakiki atau Wujud Yang Mutlaq atau Wujud Yang Zaati.

Pandangan ini akan menyingkapkan kenyataan hakikat bahawa
Wujud Allah itu adalah Wujud yang Qiyamuhu Binafsih(berdiri dengan sendiri)  Wujud yang Esa dengan segala sifat-sifat Ketuhanan yang Istiqna (Terkaya daripada sesuatu) dan Iftiqor (berhajat tiap-tiap sesuatu kepadaNya).  Kenyataan ini akan menyingkapkan hakikat bahawa tidak ada sesuatu pun yang wujud di Alam ini melainkan Allah jua yang Wujud hatta diri yang memandang sekalipun tenggelam dalam Kewujudan Allah Yang Mutlak ini. Tidak ada wasitah atau dalil untuk yang diperlukan di sini bagi melihat wujud Allah yang hakiki malah segala sesuatu itu akan lebur dan hancur bila berhadapan dengan Haqqul Basyirah ini.

Berkata Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari RA. yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis;
 

"Telah ada Allah dan tiada sesuatu sertaNya iaitu sekarang atas barang (hal/sifat) yang atasNya telah adaNya dahulu jua tiada serta zaman(masa) dan tiada berkait akan Dia wujud akuan (alam ini) tetapi segala zaman itu Umuru Wahamiah(sangkaan yang waham) tiada wujud baginya (akuan) atas tahqiq dan maksud dan bahawasanya Allah Taala jua tiada suatu sertaNya kerana tetap sendiriNya.

Keterangan Suluk

Allah jua lah yang mempunyai hakikat Wujud yang tidak ada sesuatu sertaNya dan tetap sendirinya dari dengan segala sifatNya Maha Sempurna.

Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud;

"Ya Allah, engkaulah Yang Awal yang tidak ada pun sebelumMu;  engkaulah Yang Terakhir yang tidak apa pun selepasMu;  Engkaulah Yang Zhohir yang tidak ada pun atasMu;  Engkaulah Yang Batin yang tidak ada pun di bawahmu".

Firman Allah dalam Surah Fudhilat ayat 54 yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah Maha Meliputi segala-galanya"

Bersambung dalam pengajian yang seterusnya.Ilmu Yakin, Ainul Yakin dan Haqqul Yakin..

Allahu A'lam

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar