undefined
undefined
Pengajian
Kitab Hikam Kuliah Magrib Hari Khamis ( 02. 03. 2000 / 25 Zulka'edah 1420)
NUR
YANG MEMBUKAKAN HAKIKAT
|
Sambungan
Dari Pengajian Terdahulu
Kalam
Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis.
selanjutnya
Bermula
Nur itu baginya membukakan daripada Hakikat segala perkara dan mata hati
itu baginya Hukum akan yang telah nyata baginya daripada yang baik
atau yang jahat.
|
Keterangan
oleh Tok Pulau Manis;
Dan hati
itu baginya berhadap dan membelakang dengan sekira-kira yang dibukakan
baginya oleh mata hati itu. Maka apabila ketiadaan Nur dan ketiadaan
mata hati, maka jadilah hati itu berjalan seperti berjalan orang
yang buta. Maka melihatnya akan pekerjaan itu atas bukan perkaranya
dan didatangkan padanya pada bukan tempatnya.
Keterangan
Suluk
Frasa Kalam hikmah di atas adalah merupakan bait yang terakhir dari
Kalam Hikmah yang berkaitan dengan Nur seperti yang telah dibincangkan
sebelum ini. Jika kita susun semula maksud dan pengertian Nur dari
awal Kalam Hikmah ini, maka ia akan berupa sebagaimana berikut;
Yang dimaksudkan dengan Nur
itu baginya membukakan daripada Hakikat segala perkara
ialah bila wujud/ada Nur atau Warid Ilahiyah ini dikurniakan dan dilimpahkan
ke atas hati seorang hamba, maka dengan Nur ini, hakikat
sesuatu perkara yang sebelum ini tersembunyi/terselindung akan terbuka
dengan jelas pada pandangan mata hatinya. Bandingan Nur ini
ialah seperti anak kunci yang membolehkan seorang hamba membukakan(mengerti
dan memahami akan) hakikat sesuatu. Umpamanya;
-
Jika sesuatu itu perbuatan yang salah atau batil,
maka dengan Nur ini ia akan mengenal dan mengetahui bahawa i'tiqad atau
perbuatan itu adalah salah dan batil tanpa sebarang ragu-ragu dan waham
lagi.
-
Jika i'tiqad atau perbuatan itu adalah sesuatu
yang benar dan Haq, maka Nur ini tanpa sebarang keraguan lagi pasti
mengiyakan ia adalah kebenaran dan Haq.
-
Jika sebelum ini, maksud dan tujuan hati
adalah untuk mencapai maqam atau karamat, maka dengan Nur ini,
ia akan membukakan mata hati untuk melihat dan memahami bahawa maksud dan
tujuan itu adalah batil dan salah.
-
Demikian juga jika sebelum ini, seorang
itu masih diselubungi dengan syirik-syirik yang tersembunyi atau samar,
maka dengan limpahan Nur ini, mata hati akan dapat menyaksikan aib
dirinya dan itiqad yang sepatutnya dipegangi.
Dalam hal ini, mengikut guru suluk, bukanlah Nur ini (yang
boleh membezakan antara yang haq dengan yang batil) dimaksudkan
tertentu kepada mereka yang alim dan punya ilmu yang banyak sahaja; kerana
kebanyakan orang alim sekarang ini pun ada yang tidak punya Nur yang boleh
membezakan antara yang hak dengan yang batil. Mereka adalah alim
ulama dunia yang mencari dunia dengan ilmu akhirat mereka. Nampak
pada pakaian, latar belakang pengajian dan jawatan memanglah alim,
tetapi mereka sebenarnya menggunakan nafsu dan kepentingan lain dalam
mengeluarkan sesuatu kenyataan umum. Sebagai contohnya,
-
Jika
seorang ulama yang mengeluarkan fatwa bahawa orang yang tidak menjelaskan
cukai adalah sesuatu yang berdosa, maka ulama ini adalah ulama yang
tidak ada Nur anak kunci ini.
-
Seorang
yang lain pula mengeluarkan fatwa bahawa boleh memberikan wang pungutan
zakat kepada orang-orang kafir demi untuk menjinakkan hatinya.
-
golongan
yang lebih teruk lagi menetapkan bahawa wajib bagi mereka yang "makan gaji"
mengeluarkan zakat.
Manusia yang bodoh-bodoh dan jahil pun akan akur dan ikut fatwa mereka
ini, sedangkan mereka berhukum dengan sesuatu yang menyalahi hukum
asal demi kepentingan sesuatu pihak. Jadilah manusia awam yang jahil
dengan agama itu bertambah jahil lagi dengan melaksanakan sesuatu bukan
mengikut garisan syarak yang telah termaktub. Walau apa sekali alasan
dan helahnya, untuk kepentingan politik ke, atau untuk maslahat
umum ke, atau untuk mengeratkan muhibbah, yang haram itu tetap
haram dan yang halal itu tetap halal. Agama itu mesti didahulukan
dan perlu mentadbir setiap bidang kehidupan. Sesekali bukan kepentingan
politik, ekonomi atau sosial yang boleh diletakkan di hadapan dengan
membelakangkan hukum syarak Allah.
Hasan Al-Basri pernah berkata;
"Pernahkah
kamu melihat seorang ulama fakeh(ulama fekah), orang fakeh itu ialah
orang yang zuhud dengan dunia, dan ingin benar-benar ke akhirat;
yang ingat selalu kepada dosa-dosanya; yang tetap melakukan
ibadat kepada Tuhan. Jika para ulama
telah sibuk mengumpulkan dunia yang halal, maka orang-orang awam
akan memakan yang syubhat; dan bila ulama telah makan syubhat,
maka orang awam akan makan yang haram; dan apabila ulama telah makan
yang haram, maka orang awam akan menjadi KAFIR".
Demikian juga Rasulullah pernah bersabda;
"Jika
seorang ulama telah rosak akhlaknya, maka rosaklah alam sekitarnya"
(Petikan
dari Kitab Tambihil Ghafilin; hal 662)
Dengan demikian ulama yang mengamalkan(menyatakan) sesuatu yang tidak
hak, maka mereka adalah golongan alim ulama yang sekadar punya sijil
dan ijazah tetapi tidak punya Nur Yang Membukakan Hakikat, malah
mereka adalah hamba-hamba dari tentera nafsu dan syaitan yang rosak
lagi merosakkan.
Orang yang memiliki Nur Yang Membukakan Hakikat ini adalah orang yang
apabila berhukum pada sesuatu perkara, mereka akan berhukum dengan
sesuatu yang hak dan nyata. Jika amalan itu salah, maka salahlah
katanya di samping dengan segera akan menjauhkannya. Jika perbuatan
itu benar, maka akan dibenarkan tanpa sebarang kepentingan dan keraguan.
Ini adalah kerana mereka memiliki satu kunci yang boleh membezakan antara
yang hak dengan yang salah, walaupun tanpa ilmu pengetahuan yang
tinggi. Inilah yang cuba dimaksudkan oleh Tok Pulau Manis melalui
keterangannya mata
hati itu baginya Hukum akan yang telah nyata baginya daripada yang
baik atau yang jahat. iaitu mata hati yang kaya
dengan limpahan Nur ini akan nyata dan terang baginya mana yang benar
dan yang salah.
Dan hati
itu baginya berhadap dan membelakang dengan sekira-kira yang dibukakan
baginya oleh mata hati itu.
Dengan itu jika ianya sesuatu yang baik dan benar, maka segeralah
hati itu berhadap kepadanya dengan mengerjakan dan mengamalkannya.
Sebaliknya jika salah dan jahat di hadapannya, maka segeralah ia
berpaling darinya. Kadar terbukanya yang salah dan yang benar ini
adalah mengikut kadar yang mampu dilihat oleh mata hati itu. Dengan
sebab itu, kebanyakan ahli-ahli tasauf telah mengkatogerikan hal
ahwal manusia yang beribadat kepada Allah itu kepada tiga kategori yang
besar seperti;
-
golongan
awam atau kebanyakan manusia ramai,
-
golongan
khowas atau para Salik yang dalam perjalanan menuju Allah
-
golongan
khowasul-khowas atau para ArifbiLlah yang telah Wasil ilaLlah
kadang-kadang dikelaskan sebagai;
-
golongan
Mubtadi atau mereka yang baru mula belajar untuk mengenal makna agama yang
sebenar
-
golongan
Mutawassit atau mereka yang pertengahan;
-
golongan
Muntahi iaitu golongan ArifbiLlah yang telah sampai kepada Allah.
Kelas atau kumpulan manusia ini adalah sebagai ingin menyatakan perbezaan
tahap amalan, tahap pendirian mereka dalam beramal dan tahap maqam
di sisi Allah atau tahap pengertian mereka dalam memahami sesuatu yang
hak dengan batil.
Perhatikan satu contoh untuk mudah difahami akan perbezaan pendirian
dan pemahaman golongan-golongan ini;
-
golongan
awam akan melakukan sesuatu ibadat kerana dipandangnya ibadatnya itulah
yang akan menjauhkannya daripada azab neraka dengan mendapat ganjaran syurga
nanti;
-
golongan
khowas pula akan melakukan sesuatu ibadat semata-mata kerana ingin mengabdikan
diri kepada Allah tanpa memikirkan ganjaran syurga atau neraka manakala;
-
golongan
khowasul khowas pula tidak sedikitpun memandang akan wujudnya amal-ibadatnya
hatta diri sendiri lenyap dalam lautan Musyahadah dengan memandang wujud
Allah semata-mata.
Demikian juga dalam masalah nafi dan isbat dalam Kalimah Syahadat LA
ILAHA ILLALLAH;
-
orang
Mubtadi menafikan Ketuhanan(La Ma'bud) Yang Lain selain daripada Allah
dengan mengisbatkan Allah sahaja yang bersifat dengan segala sifat-sifat
Ketuhanan;
-
orang
Mutawassit menafikan syak dan waham, maksud dan tujuan(La Matlub
atau La Maksud) yang lain dengan mengisbatkan semata-mata kerana Allah,
manakala
-
orang
Muntahi pula menafikan akan Wujud dirinya dan sesuatu yang lain(La Maujud
bihaqqi illaLlah) dengan mengisbatkan wujud Allah semata-mata.(Sila ikuti
perbincangan lanjut di bawah tajuk Nafi dan Isbat)
Inilah sebahagian maksud dari keterangan Tok Pulau
Manis Dan
hati itu baginya berhadap dan membelakang dengan sekira-kira
yang dibukakan baginya oleh mata hati itu. Seterusnya
diperlanjutkan lagi keterangannya berkenaan dengan mereka yang langsung
tidak ada limpahan Nur dan yang buta mata hati sebagaimana berikut;
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Maka apabila
ketiadaan Nur dan ketiadaan mata hati, maka jadilah hati itu berjalan
seperti berjalan orang yang buta. Maka melihatnya akan pekerjaan
itu atas bukan perkaranya dan didatangkan padanya pada bukan tempatnya.
Keterangan
Suluk
Sekiranya seorang hamba yang langsung tidak dikurniakan Nur atau terbuka
mata hati untuk melihat atau membezakan mana yang benar dengan yang salah,
maka jadilah hati itu seumpama berjalannya seorang yang buta. Bila sudah
buta,
-
maka
apa sahaja yang tak sepatutnya dibuat akan dilakukan,
-
apa
sahaja yang tidak sepatutnya dilalui, akan dilaluinya.
-
Yang
patut dimasuki, tidak dimasukinya.
-
Cara
pandangan dan tindakan dalam beramal pun akan jadi tunggang-langgang dengan
meletakkan sesuatu perkara bukan pada tempat yang sepatutnya.
-
Perkara
yang halal akan akan dikatakan haram.
-
Perkara
yang haram dikatakan halal.
-
Sesuatu
yang benar dikatakan salah atau sesat sebaliknya sesuatu yang syirik dan
menyeleweng dikatakan sebagai sesuatu yang hak dan benar.
Inilah yang dimaksudkan dengan Maka
melihatnya akan pekerjaan itu atas bukan perkaranya dan didatangkan padanya
pada bukan tempatnya.
Ya, Allah lindungilah hambaMu yang lemah dan dhoif itu dari kejahilan
dan kebutaan manusia yang sesat lagi menyesatkan ini.
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Maka adalah Nur
itu memberi faedah akan membukakan bagi segala Ma'ani yang ghaib hingga
nyata dan terpandang; dan mata hati itu memberi faedah akan hukum
dengan sah yang dipandang dengan tiada syak; dan hati itu baginya
berhadap dan membelakangkan daripada amal pada yang dikehendaki yang dilihat
oleh mata hati akan dia. Maka apabila dihukumkan atasnya dengan kebajikan,
maka berhadap hati itu atas demikian kebajikan itu atau kejahatan,
maka membelakangkan daripadanya yakni ditinggalkan.
Keterangan
Suluk
Keterangan di atas cuba mewajahkan kepada kita akan hasil dan faedah
yang dapat diberikan oleh
Nur, Mata Hati, dan Hati. Jika kita atur semula
keterangan di atas, maka mudahlah bagi kita untuk memahami bahawa;
-
Nur itu memberi
faedah akan membukakan bagi segala Ma'ani
yang ghaib hingga nyata dan terpandang dengan maksud
faedah Nur Ilhiyyah atau Warid Rabbaniyah ialah membuka sesuatu makna-makna
Asma di Alam Malakut hingga nyata dan terang pada jiwa seorang hamba Keesaan
dan Keagungan Allah. Orang yang memiliki kebolehan memandang sesuatu
yang terbuka di alam ghaib ini ialah Ahli Kasyaf.
-
mata hati itu
memberi faedah akan hukum dengan sah yang
dipandang dengan tiada syak dengan maksud faedah
terbukanya mata hati seorang hamba itu ialah dapat mengenal dan memahami
dengan jelas akan setiap hukum-hukum yang berkaitan antara syariat dan
hakikat. Orang yang memilki mata hati yang terbuka ini akan dapat
berhukum dengan penuh yakin tanpa sebarang syak dan waham akan sah atau
batalnya sesuatu amalan, perbuatan, i'tiqad yang zhohir dan
yang batinnya.
-
hati itu baginya
berhadap
dan membelakangkan daripada amal pada yang dikehendaki dengan
maksud faedah berfungsinya fitrah asal hati/jiwa/qalbu/ruh ialah hati itu
akan cenderung untuk melakukan kebaikan dan taat di samping akan menjauhkan
perkara yang ditegah dan maksiat. Walaupun ianya melakukan kesalahan
dan dosa, sesungguhnya hati yang asal ini tidak akan dapat
berbohong dengan membenarkan perbuatan si hamba. Akan terkesan padanya
rasa bersalah dan berdosa kerana asal atau fitrah hati tidak pernah dan
selama-lamanya tidak akan membenarkan sesuatu yang salah. Perhatikanlah
diri anda bila melakukan sesuatu yang salah. Jika tidak timbul rasa
berdosa atau bersalah, maka ketahuilah hati anda itu adalah hati
yang mati.
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Maka apabila berhadap
taat atasmu hai orang yang berhadap atas TuhanNya dengan wasitah yang dikurniakan
akan dikau padanya daripada Nur Taufiq dan Hidayah, maka didapatnya
suka kerana keadaan taat [itu adalah) rezeki daripada Allah Taala didatangkan
atasmu daripada Alam Al-Hidayah dan menolong ia akan dikau atas mendirikan
daripada fadholNya daripada tiada haul(daya) daripadamu dan tiada wujud.
Dan makna inilah
kata Muaalif
Keterangan
Suluk
Sebagai mengakhiri bicara dan kupasan mengenai Warid atau Nur,
Tok Pulau Manis sekali lagi menegaskan bahawa sesungguhnya sesuatu ketaatan
dan amalan baik yang boleh membawa seseorang itu kepada Allah Taala adalah
dengan wasitah(pengantara) limpahan kurnia Nur Taufik dan Hidayah sebagaimana
yang telah dibincangkan sebelum ini. Tanpa Nur Taufiq dan Hidayah
ini, tidak mungkin seorang hamba akan mampu dan berupaya untuk mengerjakan
ketaatan dan kepatuhan kepada Allah Taala.
-
Tahu
sembahyang malam itu adalah sesuatu yang dituntuti dan dikasihi Allah,
tanpa Taufiq dan Hidayah tidak mungkin kita akan mampu untuk melaksanakannnya.
-
Tahu
akan faedah sedikit makan dan banyak berpuasa dapat menjernihkan
mata hati, namun kita tidak akan mampu melaksanakannya tanpa Taufiq
dan HidayahNya.
-
Tahu
bahawa banyak berzikir itu dapat membersihkan hati dari karat-karat kelalaian,
tapi tanpa Taufiq dan HidayahNya berat sekali lisan atau hati kita untuk
melafazkan kalimah yang mulia itu.
Dengan kerana itulah, biasanya seseorang hamba itu akan merasa suka
dan gembira bila dapat dan mampu untuk mengerjakan amal ibadat taat yang
banyak kerana sememangnya ia adalah sebagai satu anugerah rezeki yang besar
dari Allah Taala. Dan adalah ia yang didatangkan daripada
Alam Al-Hidayah dan menolong ia akan dikau atas mendirikan daripada fadholNya
(limpah kurniaNya)daripada tiada haul(daya) daripadamu dan tiada wujud.
Dengan sebab ianya adalah semata-mata limpah kurnia
Taala dan bukannya daripada keupayaan dan kekuatan hamba maka selanjutnya
Tok Pulau Manis mendatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya sebagaimana berikut;
Kalam Hikmah
Sheikh Ibnu Athoillah yang berikutnya;
Jangan
merasa gembira atas perbuatan taat(bakti) kerana engkau merasa telah dapat
melaksanakannya.
|
Keterangan
Tok Pulau Manis. selanjutnya
Tiada menyukakan
akan dikau taat kerana keadaan taat itu zhohir ia daripadamu, kerana
yang demikian itu mewarisi akan dikau 'Ajib dan takbur dalamnya meninggalkan
syukur dan demikian itu daripada tentera nafsu dan syaitan.
Keterangan
Suluk
Bersambung dalam pengajian berikutnya di bawah tajuk Sambutan
Ke Atas Limpah Kurnia Allah.
[[Kembali
ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi
taufik dan hidayahnya
|
Tiada daya dan upaya
melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar
|
