Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
  Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 07. 06. 2001 /  14 Rabiul Awal 1422)
DI SEBALIK ANUGERAH DAN TEGAH
JALAN UNTUK MEMPERKENALKAN ASMA DAN SIFAT-NYA YANG MAHA TINGGI
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Terjemahan dan Keterangan Tok Pulau Manis,  dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra yang berikutnya;
 

Apabila Allah memberi Kurnia kepadamu,  maka Ia akan menunjukkan kepadamu Kurnia belas kasih-Nya,  dan apabila menegah pemberian-Nya,  maka Ia akan menunjukkan Kekuasaan-Nya.

Keterangan Suluk

Tibalah masanya kita ditemukan dengan  kalimah-kalimah berhikmah yang berbicara berkenaan  wajah-wajah Tajali Allah yang sentiasa mendatangi hati seseorang hamba.   Yang pastinya,  perlu disedari bahawasanya kalam hikmah itu tidak akan terucap melainkan pada lisan seorang hamba yang memiliki persediaan hati dalam menerima Tajali Allah yang menyedari akan wujudnya Kesatuan dalam Keesaan itu.  Tajali Allah ini datang dalam pelbagai wajah dan rupa,  seumpama tebaran spektrum cahaya yang hanya boleh dikesani atau disedari oleh "sedikit orang" sahaja.    Pun begitu,  apabila cahaya-cahaya ini melimpah keluar melalui tutur bicara dan ungkapan-ungkapan yang penuh dengan isyarat-isyarat Ketuhanan,   kesannya adalah amat berguna untuk ditiliki oleh "kebanyakan orang".

Kalam hikmah sebelum daripada ini banyak telah menyentuh berkenaan dengan hakikat dan hikmah kurnia dan tegah;  yang mana jika difahami sebagaimana sedikit orang itu,  maka bersaksikan kita bahawa Kurnia itu banyak yang datang dalam bentuk tegahan,  sebaliknya kebanyakan  kurnia yang rasa dimiliki itu sebenarnya menegahkan kita daripada memperolehi sesuatu yang lebih mulia dan bermanfaat.   Di sisi kebanyakan orang,  tegah itu adalah sesuatu yang sakit dan memeritkan,  sebaliknya di sisi sedikit orang,  ianya adalah merupakan suatu nikmat kurnia  yang tak termampu untuk disyukuri.    Betapa tidak jadi begitu,  mereka lemas dan tenggelam dalam selubungan cahaya-cahaya Tajali Ketuhanan itu.  Cahaya  itu meliputi seluruh pandangan mereka,  meliputi pendengaran mereka,  pengucapan mereka,  perbuatan mereka.   Cahaya yang sentiasa  memandikan mereka dengan kurnia belas Kasih Sayang Allah.

Kalam  Apabila Allah memberi Kurnia kepadamu,  maka Ia akan menunjukkan kepadamu Kurnia belas kasih-Nya,  bermaksud jika Allah memberikan anugerah Kurnia-Nya sama ada dalam wajah pemberian(sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan orang)  atau pun dalam wajah tegahan (sebagaimana yang disedari oleh sedikit orang),  maka Ia(Allah) akan menunjukkan kepada hamba-Nya Sifat Pengasih dan Penyayang-Nya.

Di sisi kebanyakan orang ditunjukkan belas Kasih-Nya dengan dipenuhi segala apa yang dihajatinya;

Manakala di sisi sedik orang pula,  ditunjukkan belas Kasih-Nya dengan disekati daripada kemahuan dan keinginan yang benbentuk keduniaan dan keakhiratan, Kalam  apabila menegah pemberian-Nya,  maka Ia akan menunjukkan Kekuasaan-Nya   pula bermaksud apabila Allah menegah kurnia kepada hamba-Nya,  maka di dalam tegahan itu sebenarnya Ia(Allah) ingin menunjukkan dan menyatakan akan Sifat Kekuasaan-Nya dalam menentu,  mengatur dan menjadikan segala sesuatu.  Hal keadaan ini sememangnya menjadi asam garam kehidupan setiap insan,  di mana banyak sekali kehendak-kehendak dan keinginan seseorang itu tidak kesampaian.  Sebijak mana caranya,  sekuat mana usaha dan segigih mana ikhtiar dan tadbir dalam memaksudkan sesuatu hajat,   tidak akan dapat mengatasi kekuasaan Allah Yang Mutlak itu.   Sesunguhnya dan sebenar-sebenarnya dalam sesuatu tegahan itu,  Allah ingin menunjukkan Sifat-Sifat Jalal-Nya untuk disedari dan difahami oleh hamba-hamba-Nya.

Dan sesungguhnya di sisi sedikit orang,  dalam mendapat sesuatu tegahan dari Allah itu,  jiwa mereka dipenuhi dengan Tajali-tajali Allah yang menyatakan sifat-sifat Kekuasaan Allah yang Qahar dan Jalal,  sementara sewaktu didatangi nikmat kurnia,  jiwa mereka dipenuhi pula dengan cahaya-cahaya Sifat Jamal Allah.  Pendek kata,  datanglah dalam apa jua bentuk atau wajah,  pandangan mereka sentiasa tersyuhud kepada Kenyataan Sifat-Sifat Allah Yang Maha Sempurna.

Penjelasan berkenaan perkara ini boleh kita dapati dari ........................
 

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Manakala diAnugerahi-Nya akan dikau,  nescaya diperlihatkan-Nya akan dikau kebajikan-Nya;  dan manakala ditegahkan Anugeraha-Nya akan dikau,  nescaya diperlihatkan-Nya akan dikau Sifat Qahar-Nya dan Jalal-nya  dan 'Azomah-Nya dan Kibriya(Takbur)nya;  yakni(atau dengan kata lainnya),  manakala mengurniai akan dikau daripada Ihsan-Nya  maka diperlihatkan akan dikau daripada Sifat Kemurahan-nya  dan Nikmat-Nya dan manakala ditegahkan-Nya akan dikau dengan keadaan kebajikan-Nya,  maka diperlihatkan-Nya akan dikau daripada Sifat Jalal-Nya dan Qahar-Nya.

Keterangan Suluk

Di dalam anugerah itu sebenarnya adalah menunjukkan sebagai penzhohiran atau kenyataan Sifat-Sifat Allah yang sentiasa memberikan kebajikan untuk setiap hamba-Nya walaupun tanpa dipinta,  walaupun yang menderhakai-Nya hatta kepada yang Kafir kepada-Nya.   Apa yang perlu disedari di dalam mendapat anugerah kurnia kebajikan itu ialah kepada wujudnya Sifat-Sifat Allah Yang Murah dalam Jamal-Nya,  bukan semata-mata dengan berseronok dan bergembira dengan habuan-habuan yang bersifat keduniaan dan kepentingan diri.

Demikian jua,  di dalam tegahan itu,  sesungguhnya Allah Taala ingin menyatakan dan menzhohirkan Sifat-Sifat Kekuasaan dan Kekerasan.  Bukannya semata-mata dengan bersusah-payah dalam menahani keperitannya,  atau semata-mata membulatkan kesabaran diri,  tetapi bahkan tilikan dan pandangan mata hati sepatutnya disyuhudkan kepada kepada Sifat-Sifat Jalal dan Qahar Allah Taala.

Jika difahami akan maksud dan tujuan-tujuan kurnia dan tegah itu,  maka sewajarnya difahami bahawa sesungguhnya Allah Taala ingin menunjukkan kewujudanNya dan perkenannya kepada seseorang hamba untuk menyedari bahawa Allah itu memiliki Sifat-Sifat Yang Jamal dan Jalal.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka iaitu diperkenankan kepadamu sekali dengan Jamal-Nya dan sekali dengan Jalal-Nya,  kerana bahawasanya yang dituntut daripada hakikat(hamba) itu mengetahui Allah Taala dengan segala Asma-Nya dan segala Sifat-Nya dan tiada kuasa bagi hamba itu atasnya melainkan dengan turunnya segala Warid dan datang segala hikam(hikmah).

Keterangan Suluk

Dengan keterangan di atas,  maka bertemulah dengan erti sebenarnya kurnia dan tegah yang silih berganti mendatangi sesorang hamba-Nya.  Kurnia  adalah  satu perkenan atau pemberian dari Allah.  Demikian jua dengan tegah,  ianya jua adalah satu perkenan atau pemberian dari Allah buat sesorang hamba-Nya.

Sesekali dikurniakan pada sesorang hamba itu untuk mengenal dan tahqiq dengan Sifat-Sifat  Jamal-Nya melalui limpahan nikmat,  dan sesekali dikurniakna pada seseorang hamba itu untuk mengenal dan tahqiq dengan Sifat-Sifat Jalal.  Ianya mendatangi seseorang hamba silih berganti seumpama silih bergantinya siang dan malam atau hujan dan panas,  semata-mata untuk memperkenankan kepada hamba-Nya pengenalan(makrifat) kepada Kesempurnaan Asma-Asma dan Sifat-Sifat-Nya Yang Maha Tinggi.

Itulah yang dituntut dari seseorang hamba kepada Tuhan-Nya;  mengenal dan mengetahui Allah Taala dengan segala Asma-Nya dan segala Sifat-Nya.  Dan sesungguhnya idak akan diketahui dan tiada kuasa bagi hamba itu atasnya melainkan dengan turunnya segala Warid dan datang segala hikam(hikmah)  yaknii  tidak dapat tidak,   jalan untuk memperkenalkan Asma-Asma dan Sifat-Sifat  Allah Taala itu ialah dengan turunnya segala Warid Ketuhanan yang terdiri daripada pelbagai wajah dan bentuk Jamal dan Jalal Allah  di samping kehadiran segala hikmah-hikmah Allah yang terselindung di sebalik sesuatu penzhohiran atau kejadian itu.

Tegasnya,  tiadalah berbeza hakikat tegah dan kurnia itu melainkan pada bentuk-bentuk sahaja.

Perhatikan keterangan-keterangan berhikmah di bawah  sebagai menjelaskan lagi maksud Esanya hakikat itu dan banyaknya bentuk-bentuk itu.

Apabila buih berpecah, air tetap tinggal seperti dahulu juga. Buih itu pada hakikatnya adalah air juga. Rupa atau bentuk itu adalah pada zhohir sahaja tetapi wujudnya tidak ada.  Air sekarang seperti air yang dulu juga. "Yang lain adalah tidak lebih dari hanya nama pada fikiran sahaja".

Oleh yang demikian, semua nama(ASMA) adalah penzhohiran(manifestasi) daripada satu hakikat.  Kadang-kadang hakikat itu lautan; kadang-kadang buih; kadang-kadang ais; dan kadang-kadang salji; kadang-kadang Allah; kadang-kadang makhluk 'benda'; kadang-kadang tidak terhad; kadang-kadang terhad. Nama itu banyak dan yang dinama adalah SATU.

Apabila anda membuat sesuatu rupa atau bentuk dengan gula atau lilin, anda mula-mula perhatikan gula atau lilin, kemudian bentuk benda itu yang mana adalah benda khayalan dan tidak wujud pada lahirnya. Ia ada dalam khayalan sahaja. Pada lahirnya ia adalah gula atau lilinnya. Tidak ada bentuk pada gula atau lilin, apabila anda pecahkan bentuk itu, semuanya hancur.

Oleh itu bentuk tidak beserta dengan gula atau lilin. Ianya tidak ada ukuran yang menjadikannya dua benda yang berasingan. Benda atau rupa adalah "'Adum" [tidak ada] dan gula atau lilin itu adalah lahir sahaja. Oleh itu Wujud dan Sifat Allah sahaja yang ternampak.
 

Dengan demikian,  tiadalah bezanya tegah dan kurnia itu melainkan pada bentuk sahaja.  Hakikatnya tetap satu sebagaimana yang boleh kita jelujuri dari.....................

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Maka barang yang muafakat akan tabiat [dinamakan] Kurnia,  dan barang yang menyalah akan tabiat [dinamakan] tegah. Maka,

Maka... Keterangan Suluk

Dengan keterangan di atas,  maka jelas sekali pada kita semua,  bahawa di dalam kurnia dan tegah itu sememangnya Allah ingin memperkenalkan Sifat-Sifat-Nya Yang Maha Sempurna untuk diketahui oleh setiap hamba-Nya yang sedar diri.  Fahamilah di dalam tegah itu bukanlah Ia(Allah) bermaksud untuk memayahkan hamba-hamba-Nya dan fahamilah bahawa dalam kurnia itu bukanlah Ia bermaksud untuk semata-mata memenuhi runtunan kehendak hamba-hamba-Nya,  tetapi bahkan kedua-keduanya itui adalah sebagai perkenan(pemberian) untuk memperkenalkan Kewujudan Asma-Asma dan Sifat-Sifat-Nya Yang Maha Sempurna.

Terjemahan  Tok Pulau Manis,  dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra yang berikutnya;
 

Maka iaitu dalam demikian itu(anugerah dan tegah) berkenalkan Diri-Nya kepadamu dan menghadapkan dengan keadaan Sayang-Nya atas mu.

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Maka sayugianya bagimu hai hamba,  bahawa jangan engkau perbezakan antara keduanya jikalau engkau kehendaki akan makrifat Tuhanmu;  dan tiada diperhamba-Nya akan dikau akan kasih bagi bahagian nafsumu.

Keterangan Suluk
 

Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya di bawah tajuk Suci Faham dan Luas Ilmu

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar