Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib  hari Khamis ( 14.02.1999 / 04 Rejab 1420 )
Warid Ilahiyyah

Petikan dari  Kalimah Hikmah Sebelum Ini.

Dan hanya sanya adalah Zahid itu terlebih afdhal daripada segala amal kerana bahawasanya;
 

Baik segala amal itu (berpunca) daripada kejadian baik segala hal;  dan baik segala hal itu (berpunca) daripada bersungguh-sungguh daripada segala Maqam(Warid Ilahiyyah) yang turun daripada Allah Taala.
(Maksud Kalam Hikmah Sheikh Ibni Athoillah As-Kanddari yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis);

Keterangan oleh Tok Pulau Manis;

Yakni kerana bahawasanya segala amal iaitu Zahid dan barang yang jadi daripada selesai hati yang mewajibkan bagi zahid dan makrifat dan mahabbah.  Dan baik segala hal itu iaitu makrifat dan Mahabbah dan Yakin (dengan Allah) dan barang yang jadi daripadanya daripada I'tiqad dan perangai daripada tahqid dalam segala Makam Inzhol iaitu yang beroleh faedah daripada yang turun,  yang datang atas hati daripada segala makna Asma dan Sifat.  Maka dengan sekadar yang turun daripada Tuhan adalah Tawajjuh daripada hamba.

Keterangan Suluk

Idea utama yang terdapat dalam Kalam Hikmah di atas ialah berkisar pada dua perkara besar  iaitu;

Sebelum kita kupasi ilmu dan pengajaran besar yang tersembunyi di sebalik Kalam Hikmah di atas,  eloklah diberikan secara ringkasnya apa yang dimaksudkan beberapa istilah iaitu Amal,  Hal,  dan Maqam agar mudah bagi kita menanggapi kefahaman perbincangan-perbincangan yang seterusnya.

Yang dimaksudkan dengan amal itu ialah segala gerak tubuh badan bagi mujahadah(bersungguh-sungguh) dalam ibadat.  Dengan kata lain amal zhohir atau amalan syariat yang dibawa oleh Syariat Rasulullah seperti sembahyang,  puasa,  bersedekah,  menyebarkan ilmu,  menuntut ilmu,  membantu jiran-jiran dan saudara-saudara seIslam dan sebagainya sebagaimana yang difardukan atau (disunatkan)digalakkan oleh hukum syarak.

Adapun makna hal pula ialah tiap-tiap sifat dan pekerjaan(hal-ahwal) hati atau disebut juga sebagai sifat-sifat Mahmudah seperti yang terdapat dalam keterangan Tok Pulau Manis di atas iaitu seperti Zahid, Makrifat dan Mahabbah dan Yakin (dengan Allah)  dan lain-lain lagi seperti;

Adapun yang dimaksudkan dengan Maqam ialah "tetap hati" dengan teguh dan tahqiq pada suatu Hal sebagaimana yang diisyaratkan oleh Tok Pulau Manis melalui keterangannya;

"dan barang yang jadi daripadanya daripada I'tiqad dan perangai daripada tahqid dalam segala segala Makam Inzhol iaitu yang beroleh faedah daripada yang turun,  yang datang atas hati daripada segala makna Asma dan Sifat."

Maksudnya;  Maqam ialah sesuatu yang terhasil daripada hadirnya kekuatan dan keteguhan dan tetapnya hal-ahwal(hal) hati seperti  Makrifat dan Maqam Mahabbah.  Ianya datang Allah dan dilimpahkan pada hati hambaNya dengan Tajalli Asma dan/atau Tajalli Sifat atau disebut juga kedatangan/pencampakkan Warid Ilahiyyah dari Allah Taala.  Dengan kehadiran Warid-warid Ilahiyyah ini  sifat-sifat(hal) hati yang masih belum mantap itu akan diteguhkan dan disempurnakan untuk menetapkannya pada Maqam-maqam tertentu seperti yang tersebut di bawah. Dengan sebab itu,  sifat-sifat ini jika sebentar sahaja dinamakan "HAL" dan kiranya ia menetap dinamakan "MAQAM". Meskipun demikian, kadang-kadang "Hal" dianggap sebagai "Maqam" dan Maqam dianggap sebagai Hal;  bergantung kepada tempoh ia berada pada Qalbu [Lihat Al-Ahyaa' penggal 4 muka 139]' ['Awaariful Ma'aaruf muka 469-473] dan [Iqadzul Himam muka 24].   Antara Maqam-maqam yang dimaksudkan ialah seperti;

Dengan memahami sebahagian daripada maksud atau idea di sebalik kalimah amal, hal dan maqam seperti di atas,  maka mudahlah bagi kita semua untuk memahami maksud  kata-kata

"Baik segala amal itu (berpunca) daripada kejadian baik segala hal;

Sebagai contohnya(bagi menghampirkan faham)  ialah bila Hal atau sesuatu sifat-sifat  hati seorang hamba yang baik itu seperti zahid di mana keadaan hati yang Zahid ialah hati yang telah selesai dan dibebaskan dari semua kehendak-kehendak dan faedah untuk dirinya jauh lagi untuk nafsunya.  Selebihnya lagi Hal hati yang zahid ini pula tidak ada sebarang sangkutan dan keperluan yang bangsa duniawi dan ukhrawi.  Maka dengan kerana inilah setiap amalan yang dikerjakan mempunyai nilai yang baik dan sempurna kerana amal itu adalah amal yang wujud keikhlasannya.  Dan lagi amal itu adalah amal yang benar(shodiq)   dan bersungguh-sungguh bertawajuh kepada Allah.

Contoh kedua ialah hal-ahwal hati seorang hamba yang sabar;  di mana mereka sanggup menahan kepicitan hidup atau kepayahan dalam menuntut ilmu akhirat atau dalam beramal.  Mereka sanggup melelahkan diri  untuk berjalan atau berkenderaan walaupun jauh untuk mendapatkan butir-butir pengajian dari guru yang ikhlas.  Amal dan usaha mereka itu mendapat nilai yang baik dan sempurna dan jauh bezanya yang juga mencari ilmu tetapi sekadar untuk mengisi waktu yang lapang atau  mengambil hati seseorang atau cuma belajar separuh jalan sahaja kerana kerakusan untuk mencari dunia yang lebih baik lagi.  Kata guru suluk pula pada murid-muridnya;  jika hujan turun hari itu,  maka orang yang sabar itu akan tetap juga hadir untuk mengaji walaupun kesejukan dan basah.  Inilah antara kebaikan dan kesempurnaan amalan yang lahir dari hati yang baik halnya dengan Istiqamah dalam beramal..

dan baik segala hal itu (berpunca) daripada bersungguh-sungguh daripada segala Maqam(Warid Ilahiyyah) yang turun daripada Allah Taala.

Tok Pulau Manis dari keterangan sebelum ini menegaskan bahawa;

"Makam Inzhol iaitu yang beroleh faedah daripada yang turun,  yang datang atas hati daripada segala makna Asma dan Sifat.  Maka dengan sekadar yang turun daripada Tuhan adalah Tawajjuh daripada hamba".

Setelah mengetahui punca kebaikan dan kesempurnaan amal itu adalah hasil daripada hal-ahwal sifat-sifat hati yang terpuji,  maka Kalam Hikmah seterusnya pula cuba menyingkapkan pula di manakah asalnya atau berpuncanya baik segala hal hati itu?.  Di sinilah kita ditemukan dengan Istilah Maqam Inzhol yang disebut juga sebagai Kehadiran Warid Ilahiyyah ke atas hati hamba-hambanya yang terpilih.

Maqam Inzhol atau Warid Ilahiyyah  ialah pencampakkan/penurunan  Nur-Nur yang bangsa Ketuhanan berupa  terbukanya kesedaran batin untuk memahami akan makna-makna di Alam Malakut atau di Alam Jabarut tempat untuk musyahadah Nama-nama dan Sifat-sifat Allah..  Terkadang disebut juga sebagai Tajalli Asma,  Tajalli Sifat .

"Tajalli bererti menunjukkan sesuatu pada diriNya dalam beberapa dan berbagai bentuk. Umpama satu biji benih menunjukkan dirinya sebagai beberapa ladang dan satu unggun api menunjukkan dirinya sebagai beberapa unggun api."

Hati yang menerima warid atau tajalli ini,  dipenuhi dengan limpahan kurnia Nur Tauhid dan Nur Makrifat dan Ilmu Laduni yang menjadikan seorang hamba itu berupaya untuk membezakan antara yang Haq dengan Batil, dan  antara Kehambaan dan Ketuhanan.  Limpahan Nur-Nur Ketuhanan ke atas hati  hamba inilah yang membaikkan hal-ahwalnya dengan beberapa sifat yang terpuji yang seterusnya membaikkan pula amalan yang terzhohir.

Kadar yang diterima oleh seorang hamba itu berbeza-beza mengikut Kehendak dan Kurnia Allah Taala jua.  Maka oleh kerana itu,  dengan kadar penerimaan kurnia itulah seorang hamba itu jauh atau hampir dalam bertawajjuh dengan Allah Taala.  Alangkah bertuahnya diri dan alangkah beruntungnya jiwa bila mendapat Kurnia Warid Ilahiyyah ini kerana dengan warid inilah seseorang bisa sampai pada kehampiran dengan Allah.  Oleh sebab besar nikmat dan kebajikan yang terdapat pada Maqam Inzhol ini,  maka;

Tok Pulau memperlanjutkan keterangannya sebagaimana berikut;

Maka apabila dikehendaki pada hamba itu akan kebajikannya,  maka dilimpahkan atasnya daripada segala Ulum (Ilmu Laduni) dan Ma,arif (Makrifat).  Maka jadilah baginya baik segala halnya iaitu yang jadi wasilah bagi baik segala amal.

Keterangan Suluk

Kebajikan yang paling mulia dan tinggi di sisi kaum sufiah ialah berhadap hati atau dapat bermusyahadah dengan Allah pada setiap nafas/ketika walau dalam apa jua keadaan.  Dari kerana itulah,  guru suluk telah mentakrifkan bahawa maksud sebahagian daripada kebajikan yang diutarakan oleh Tok Pulau Manis ialah,  dapat melihat atau menukarkan sesuatu yang mendatangi pada diri hamba itu dengan kebajikan.  Jalannya ialah dengan melaksanakan semua Haq Hukum Waktu iaitu;

Ini adalah kerana,   setiap masa seseorang itu pasti tidak akan sunyi daripada didatangi oleh salah satu dari  empat waktu tersebut.  Allah Taala dengan limpah kasih sayangnya apabila menghendaki waktu-waktu itu menjadi kebajikan kepada hambaNya,  maka akan mengurniakan kepada mereka Nur Makrifat dan Ilmu-ilmu Laduni dan Ilmu Tauhid  supaya hamba itu mengenal bahawa Allah Taala itu Maha Meliputi,  mengetahui Dialah Yang Zhohir dan Yang Batin,  memahami Adab-adab Kehambaan dan Adab Ketuhanan.

Dengan pancaran Ma'arif dan Ulum (Ilmu Laduni dan Nur Tauhid) dari Warid Ilahiyyah itu,  ke atas hati hambanya,  maka  berlakulah perubahan pada hati mereka dengan sifat-sifat yang terpuji.  Perubahan ini jika sementara,  maka dikatakan sebagai hal dan jika tetap dinamakan Maqam.  Dengan hal-ahwal hati yang sentiasa menerima Kurnia ini,  maka berlakulah pula perubahan kepada anggota zhohir yang menerbitkan amalan-amalan yang baik dan sempurna mengikut tunjukkan kesucian hati yang bermakrifat dan berilham dengan Ilmu Laduni.(Anda dapat melihat keistimewaan Ilmu Laduni ini dalam bicara yang khusus dari Karya Imam Ghazali  Al-Risaalatulil Duniyyah).

Keterangan seterusnya Pengarang Kitab Hikam

Dan dari kerana inilah diisyaratkan Imam Abu Hamid r.a dengan katanya;

Tak dapat tidak bagi tiap-tiap makam itu daripada ilmu dan hal dan amal.  Maka ilmu itu jadi hal dan hal itu jadi amal.

Keterangan Suluk

Jika anda dapat menanggapi apa yang tersurat dan tersirat dari perbincangan dan kupasan di atas maka jelaslah pada anda sekarang bahawa nilai/mutu setiap amal yang dikerjakan oleh seorang hamba itu adalah bergantung kepada darjah tinggi rendah hal-ahwalnya.  Dan ukuran darjah tinggi rendah hal-ahwal ini pula ditentukan pula oleh kadar penerimaan Ilmu-ilmu Laduni atau Ilmu Tauhid atau Ilmu Makrifat yang dikurniakan oleh Allah Taala.  Ketetapan dalam menerima anugerah Ketuhanan inilah yang meletakkan seorang hamba itu pada Maqam-maqam yang tertentu.

Dari kerana itulah bagi setiap Maqam ada kadar Ilmunya yakni mengikut kadar limpahan Ilmu  Makrifat dan Ilmu Laduni.  Dengan kadar limpahan kurnia inilah menjadikan jiwa atau hati mereka dalam hal-ahwal yang tertentu yang menerbitkan yang seterusnya pelbagai amal.  Maka dengan itu jelaslah bahawa Ilmu itu jadi hal dan hal itu jadi amal.  Inilah sebahagian besar daripada ciri-ciri Ilmu Tasauf atau Ilmu Makrifat atau Ilmu Hakikat  yang kedudukannya adalah tersangat istimewa berbanding dengan ilmu-ilmu lain yang terdapat di dunia ini. (Lihat detailnya di Al-Risaalatulil Duniyyah).

Keterangan seterusnya Pengarang Kitab Hikam

Dan kata setengah mereka itu (ahli sufiah) maka barang siapa baik hatinya dengan segala Nur yang turun daripada Ulum dan Ma'arif,  maka sucilah taatnya daripada segala Ilat,  dan barang siapa telah suci taatnya daripada segala Ilat maka baiklah segala amalnya.

Keterangan Suluk

Keterangan Tok Pulau Manis berikutnya adalah sebagai hendak menyatakan natijah atau hasil faedah yang ditetaskan oleh Nur Makrifat dan Ilmu-ilmu Laduni(Warid Ilahiyyah) di mana ketaatan seorang hamba akan dibersihkan daripada segala penyakit-penyakit hati  seperti lalai,  waham dan kedua-dua syirik dsb.   Ketaatan yang telah bersih dan suci daripada sebarang penyakit ini pula akan menghasilan amal ibadat yang baik,  bermutu dan sempurna.

Ya Allah......masuklah kami ke dalam golongan hamba-hambaMu yang sentiasa mendapat limpah KurniaMu.  Berilah pada kami kekuatan untuk menukarkan kejahilan kami,  kebodohon kami,  kelalaian kami dan kerendahan adab dan akhlak kami dengan perhiasan dan pakaian seperti yang Kau salutkan pada hamba-hambaMu yang terpilih.  Sesungguhnya..kami dhoif,  lemah dan hina dan sesungguhnya Tiada daya dan upaya melainkan dengan limpah kurniaMu yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.  Aamin..Ya Rabbal 'Aalamin.

Keterangan seterusnya Pengarang Kitab Hikam

Maka segala amalnya dan segala hal itu hanya sanya yang menetapkan akan dia dalam hati wujud zikir pada hati dan lisan,  dan kesempurnaannya itu dengan Hudur dalamnya.  Dan jangan tinggalkan kerana ketiadaan Hudur tetapi sebut oleh mu akan Tuhan mu atas tiap-tiap hal seperti yang dikata oleh Mualif Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari;
 

Jangan engkau tinggalkan zikir kerana ketiadaan Hudurmu serta Allah di dalamnya kerana bahawasanya lalaimu daripada tidak berzikir itu terlebih sangat jahat(berbahaya)  daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir.

Bersambung dalam pengajian yang seterusnya ...Tingkatan Zikir.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar