|
Petikan dari Keterangan Pengajian Terdahulu;
Maka segala Hadrat itu tiga perkara;
Keterangan Suluk
Adapun yang dimaksudkan dengan Hadrat ialah kedudukan atau tempat tetap hati Salik yang merujuk kepada tempat menerima Tajali-tajali dari Haq Subhanahuwa Taala. Adapun jenis-jenis atau tahap Tajali yang ditentukan dan dikadarkan pada seseorang hamba itu sememangnya tidak sama dan berbeza-beza. Mengikut keterangan di atas perbezaan ini ditunjukkan dengan membahagikannya kepada tiga perkara. Perlu dinyatakan di sini, pembahagian ini adalah berdasarkan kepada tiga Hadrat yang umum atau yang besar. Di bawah tiap-tiap satu hadrat tersebut ada lagi pecahan-pecahannya yang lebih detail di mana ianya banyak dihuraikan secara berselerak dalam Kitab Hikam ini dengan penampilan-penampilan yang ajaib-ajaib lagi berhikmah. Hanya yang peka dan benar-benar menghayati butir-butir pengajarannya sahaja yang dapat menanggapinya.
"Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya". (Al-Quran)
Adapun dikehendaki dengan keterangan Maka dalam Hadrat Jalal itu bersenggeraha dengan Sabar ialah perihal batin hati Salik yang menerima Tajali Jalal Allah di mana menerbitkan hal-ahwal mereka yang sentiasa bersungguh-sungguh(bersenggeraha) mendirikan Sabar dengan apa yang ditimpakan kepada mereka.
Adapun yang dimaksudkan dengan Hadrat Jamal itu bersenggeraha dengan Syukur ialah hal-ahwal Salik yang bersungguh-sungguh dalam memelihara had dan adab-adab dalam menerima Tajalli Jamal yang berwajahkan pelbagai kesenangan dan kenikmatan.
Adapun yang dimaksudkan dengan dalam Hadrat Kamal itu bersenggeraha dengan Sakiinah ialah hal-ahwal Arif yang bersungguh-sungguh menetapkan pandangan atau Musyahadahnya dalam mengesakan Zat Yang Wajibal Wujud itu.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Maka apabila engkau menyempurnakan hai Salik....akan Hadrat Jalal, maka hasillah bagimu susah dan lenyap susah; kerana susah itu HAL.
Keterangan Suluk
Daripada tiga Hadrat yang dibincangkan di atas, fokus perbincangan seterusnya ialah kepada Hadrat Jalal. Maka akan memahamkan kita, sebahagian daripada detail atau perinciaan berkenaan dengan Hadrat Jalal ini. Orang yang bersungguh-sungguh(bersenggeraha) menyempurnakan hak Hadrat ini, maka berhasillah yakni berhiasanlah dirinya dengan satu "Hal" yang dinamakan susah(duka) dan pada satu waktu pula dinamakan suka atau hilang lenyap kesusahan yang menimpanya.
"Hal Duka" dan "Hal Suka" inilah antara intipati yang cuba
dibangkitkan dalam Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah yang selanjutnya
sebagaimana berikut;
Maka ketakutan akan dikau supaya tiada dikekalkanNya akan dikau serta Sukacita(basith), maka jadilah engkau derhaka; dan Sukakan akan dikau supaya tiada ditinggalkanNya akan dikau serta Dukacita(Qabith), maka jadilah engkau dalam picik. |
Keterangan Suluk
Bermula rasa takut, rasa bimbang dan rasa cemas daripada hilang atau luputnya sesuatu yang telah disukai(basith), menjatuhkan engkau kepada melakukan penderhakaan kepada Allah Taala.
Demikian lagi, suka dan kasihnya engkau agar kehidupan seharian kau dilalui tanpa sesuatu yang mendukacitakan(Qabith); menjadikan engkau seorang seorang yang sentiasa berada dalam dalam kesusahan atau kesempitan perasaan.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan telah dikeluarkan engkau daripada keduanya dengan Fana dalamnya hingga tiada engkau bagi suatu yang lain daripadaNya.
Keterangan Suluk
Maka tidak akan luput atau tidak akan dikeluarkan seseorang itu daripada bayangan hal duka dan hal suka itu, melainkan dengan Fana di dalamnya yakni hilang atau hapus tilikan dan pandangan hati seseorang itu daripada cenderung kepada sesuatu sehingga lepas bebaslah ia daripada sesuatu melainkan kepada memandang Fi'li Allah semata-mata.
Ini adalah kerana dari pandangan hakikat, tidak ada sesuatu yang boleh memberi manfaat dan menolak sesuatu mudhorat itu melainkan Allah. Allah jualah yang mengatur, menyusun dan mentadbir segala segala sesuatu ini mengikut Kehendak dan KekuasaanNya Yang Mutlak, tanpa sebab, tanpa sesuatu kerana sama dari diri sendiri atau dari yang lain.
Hasilnya, sesungguhnya sebab atau punca yang menjadikankan seseorang itu berduka dan bersukacita ialah kerana hijabnya yang suka mengharap-harapkan dan berbimbang kepada manusia, makhluk dan apa sahaja selaian daripada Allah.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Bermula Duka dan Suka itu dua Hal yang berwarna(beraneka jenis) dalamnya segala Arif dan keduanya itu menempati Khauf dan Roja' segala Murid yang Mubtadi; dan sebab keduanya itu daripada segala Warid yang datang ia atas batin hamba dan dhoifnya dan Kuatnya dengan sekira-kira kuat segala Warid yang datang ia atas batinnya itu.
Keterangan Suluk
Adalah duka dan suka itu merupakan asam garam pengalaman keruhanian seorang yang Arif, di mana kedua-keduanya adalah merupakan "hal" yang silih berganti yang terjelma di sepanjang perjalanan dan pendakiannya menuju Wasil IlaLlah. Sesungguhnya hal duka dan suka ini menjadikan mereka semakin lama semakin matang dengan selok-belok perjalanannya di samping mengheningkan pengalaman hakikat melalui Tajalli Jalal dan JamalNya.
Berbeza pula dengan perihal kedudukan segala Murid yang Mubtadi; yang masih dalam permulaan perjalanannya. Hal duka dan suka ini menempati mereka dengan wajah Khauf(Takut) dan Roja(Harap) yang terpaksa mereka imbangi supaya sama dan tidak melebihi antara satu sama lain. Dalam Khauf seperti takutkan amalan dan maksud hatinya tidak diterima oleh Allah Taala, mereka juga digalakkan untuk sentiasa Roja(mengharapkan) agar segala amal-ibadat dan laluan jalannya dibimbingi dan ditunjukki oleh Allah Taala.
Adalah sebab-sebab atau punca yang boleh menjadikan seseorang itu berduka atau bersukacita; atau Roja dan Khauf itu adalah kerana daripada segala Warid yang datang ia atas batin hamba yakni datang/tibanya Warid Ilahiyah dari Allah Taala ke atas Sir seorang hamba. Semata-mata sebagai satu limpahan anugerah buah hambaNya yang terpilih. Kekuatan Warid ini tidak sama, malah berbeza-beza antara seorang hamba dengan hamba yang lain bergantunglah kepada dhoifnya dan Kuatnya dengan sekira-kira kuat segala Warid yang datang ia atas batinnya itu. yakni lemah dan kuatnya campakan Warid tersebut yang diterima oleh Sir mereka.
Berkenaan perbezaan Warid ini, telahpun disentuh dengan agak detail
dalam catatan-catatan pengajian terdahulu. Tidak salah jika diulang-ulangkan
dalam memahaminya. Manalah tahu, yang tersirat sebelum
ini, dapat difahami dengan lebih mendalam lagi. Ini adalah
kerana di sebalik yang tersurat itu, ada yang tersirat, dan
di sebalik yang tersirat itu ada rahsia-rahsianya yang menunggu masa untuk
menghunjur keluar. Antaranya yang boleh disemak kembali ialah di
bawah tajuk
Waridat
Ruhaniyyah dan Nafhatul Ilahiyyah
"Sesungguhnya barangsiapa yang Allah
tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya".
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan maksud di sini bahawasnya, keduanya itu dua sifat yang kurang keduanya dengan nisbah kepada yang di atas keduanya. Maka bahawasnya keduanya itu menghendaki keduanya itu kekal hamba dan wujudnya.
Keterangan Suluk
Adalah dikehendaki dengan Dan maksud di sini bahawasnya ialah dengan merujuk kepada matan atau Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah berkaitan dengan dengan Duka(Qabith) dan Suka(basith). Keterangan di atas menjelaskan kedua-dua sifat ini adalah kurang(rendah kedudukannya) berbanding dengan kedudukan orang-orang Arif. Rendahnya atau kurangnya hal duka dan hal suka ini adalah dari kerana masih wujud lagi tilikan dan pandangan dan kecenderungan kepada hamba dan wujud dirinya sendiri.
Dengan ini, maka difahamilah di sini, maka dalam konsep pengajian hakikat dan makrifat ini,
Hanya dengan limpah Kurnia Tuhan sahajalah mereka boleh menjejaki hakikat ini. Hanya dengan Latif Allah Taala sahajalah mereka akan dapat dibebaskan dari kurungan hissi itu sebagaimana yang boleh kita dapati dari keterangan Tok Pulau Manis yang selanjutnya.
Hairan ya!...dan teramat hairan, bagaimana seorang yang mengaku dirinya Arif dan telah Wasil ilaLlah, tetapi dalam masa yang sama;
Orang yang benar-benar Arif, ialah apabila berkata, mereka akan berkata dengan "lisan hal"nya sebagai orang Arif, yang hanya berkata dengan Allah, bukan dengan lisan ilmunya dan bukan dengan lisan amalnya. Ini adalah kerana, mereka hidup kekal dengan Allah sebagaimana yang terdapat dari.......................
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Maka setengah daripada Lathif Allah Taala pada hambaNya dirupakanNya keduanya, kemudian maka dikeluarkannya daripada keduanya dengan Fananya daripada dirinya dan dikekalkannya dengan TuhanNya.
Keterangan Suluk
Setengah atau sebahagian daripada Lathif Allah Taala(maknanya ada lagi Tajal-tajali lain) pada seorang hamba yang terpilih ialah dirupakanNya keduanya yakni ditajalikan Baseth dan Qabeth ke atas Sir mereka dengan Tajali Jalal itu di mana menjadikan mereka bersenggeraha (bersungguh-sungguh) mereka dengan Sabar; dan dengan Tajali Jamal itu pula akan menjadikan mereka bersenggeraha dengan Syukur; yakni dengan maksud diberikan petunjuk untuk melaksanakan hak dan adab-adab kedua-kedua Warid tersebut dengan sabar dalam duka dan syukur sewaktu suka. Ini peringkat pertama atau permulaannya.
Pada peringkat seterusnya, kemudian maka dikeluarkanNya daripada keduanya dengan Fananya daripada dirinya dan dikekalkannya(Baqa) dengan TuhanNya. yakni dicabut tilikan dan pandangan hambaNya daripada cenderung kepada kesukaan dan kedukaan ada dan tiadanya karenah dan manfaat makhluk(manusia, wirid, warid, hal, maqam dsb.) dengan lenyap dan hapus sama sekali daripada memerhati wujud dirinya dan dikekalkan pandangan mereka dengan Allah.
Tiada lagi riya', ajib, sombong atau lain-lain sifat mazmumah, tiada lagi aku lebih engkau kurang, tiada lagi kata-kata sumbang dan tidak beradab, kerana segala kelakuan, perbuatan dan pertuturan mereka adalah dengan kelakuan, perbuatan dan pertuturan TuhanNya. Mereka telah mati(sifat-sifat basyariyah dan syahwaniyah) dan hidup kekal dengan TuhanNya
Demikian jua, tiada lagi duka, bimbang, takut atau cemas. Tiada lagi suka, gembira dan girang; malahan tiada lagi ini dan itu, sana dan sini kerana adalah rasa-rasa itu jatuh semuanya dalam wujud yang tidak hakiki. Ini adalah kerana dalam Fana dan Baqa, tidak akan muncul atau terbit lagi duka dan suka. Inilah yang boleh difahami dari kata-kata Faris ra; dan Sheikh Junaid ra; sebagaimana yang terdapat dalam........
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Kata Faris ra.;
Pertama-tama duka, maka suka; kemudian tiada duka dan tiada suka kerana bahawasanya duka dan suka itu jatuh keduanya itu dalam wujud. Dan adapun serta Fana dan Baqa, maka tiadalah keduanya itu.
Dan kata Sheikh Junaid ra.;
Bermula khauf itu mendukakan akan daku dan
Roja itu menyukakan akan daku, dan hakikat itu menghimpunkan akan
daku. Dan Haq itu menceraikan akan daku apabila mendukakan Ia akan
daku dengan khauf; maka memFanakan Ia akan daku daripadaku.
Dan apabila menyukakan Ia akan daku dengan Roja, maka mengembalikan
Ia akan daku atasku, dan apabila menghimpunkan Ia akan daku dengan
Hakikat, maka menghadirkan Ia akan dakui. Dan apabila menceraikan
IA akan daku dengan Haq, maka melihatkan Ia akan daku lainku daripadaku,
maka menuntut Ia akan daku daripada aku. Maka iaitu dalam demikian
itu sekeliannya menggerakkan akan daku tiada mendiamkan akan daku;
dan meliarkan aku, tiada menunjukkan aku dalam hudurku bagi merasai
rasa wujudku. Maka menyenangkan akan daku.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan adalah hakikat keluar engkau daripada Duka dan Suka itu bahawa engkau Fanakan dengan Dia daripada tiap-tiap barang yang lain daripadaNya; kerana bahawasanya yang Fana pada Allah dengan Allah bagi Allah itu tiada mengetahui ia pada wujud lainnya daripadaNya Taala.
Keterangan Suluk
Keterangan di atas, adalah lebih kurang maksudnya daripada keterangan dan perbincangan di atas. Sebagai penegasannya, maka perlulah difahami bahawa hakikat keluar dari bayangan duka dan suka itu ialah dengan Fananya diri Dengan Allah daripada masih cenderung dan bersandar kepada itu dan ini selain daripada Allah.
Sekali lagi ditegaskan bahawa orang yang Fana pada Allah(tidak melihat yang lain) dengan Allah dan bagi Allah tidak ada pengetahuan dan ilmu berkaitan dengan wujud ini melainkan melihat Wujud Allah yang meliputi di atas segala-galanya. Semata-mata berada dalam "pekerjaan" dan "Keadaan" Wujud Allah. Hidup kekal(Baqa) dalam Keesaan Wujud itu.
Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan inilah Maqam Khowas segala orang yang Arif. Bersalahan dengan orang yang Salik, maka bahawasanya apabila datang atasnya nikmat, maka sukalah ia dengan dia.
Keterangan Suluk
Bersambung lagi ......Insya Allah dalam catatan Pengajian berikutnya di bawah Tajuk Hama Nafsu Di Sebalik Sukacita
|
|