Pengajian
Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 03. 04. 2000 / 08 Muharram 1421)
Sambungan
Dari Pengajian Terdahulu
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata Sheikh
Abu Hassan Al-Syazali r.a; Bermula segala sebab buta mata hati itu
dalam tiga perkara;
-
Pertama;
mengerjakan maksiat;
-
Kedua; berbuat
tashonnu' dengan taat;
-
Ketiga;
tamak pada makhluk Allah kerana bahawasanya tamak itu asal bagi kehinaan
dan sebab bagi wujudnya(kehinaan).
Keterangan
Suluk
Berbuat Tashonnu' dengan taat bermaksud mengada-ngada dalam amal ibadat
di samping melakukannya untuk memperagakan kepada orang lain dan mengharapkan
sanjungan serta pujian manusia. Amalan dan taat yang sebegini seumpama
asap yang akan menggelapkan cermin mata seseorang. Semakin dibuat
semakin menebal asap hinggalah tertutup terus mata hati yang asalnya cerah
dan bercahaya. Biasanya orang yang tashonnu; dengan taat ini akan
berbuat banyak amal kebajikan apabila berada dalam khalayak ramai,
tetapi bila berseorangan amalan ibadatnya tidaklah sebanyak mana.
Tamak kepada makhluk pula bermakna kasih hati dan suka kepada sesuatu
selain daripada Allah Taala. Antara contoh-contohnya seumpama berikut
;
-
tidak
cukup dan memada dengan kadar rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah dengan
kasih dan cenderung kepada ingin menambah lagi rezeki wang ringgit atau
harta benda yang telah sedia ada;
-
kasih
dan suka mendapat pujian dan sanjungan manusia dengan panggilan dan gelaran-gelaran
yang tertentu seperti "Ayah Haji", "Dato", "yang dermawan",
"Tok Imam", "Tok Ayah" dan berbagai-bagai Tok lagi serta yang lain-lain
lagi
-
inginkan
balasan pahala dan barakah hidup;
-
mengharapkan
kedatangan nikmat syurga dengan amalan yang dikerjakan
-
serta
berbagai-bagai keinginan dan kecenderungan hati kepada sesuatu selain daripada
Allah(MasyiwaLlah).
Dengan melihat pada buruk dan jahatnya kecenderungan hati kepada
sesuatu selain daripada Allah sebagaimana contoh-contoh di atas,
maka benarlah kata-kata di atas bahawasanya Tamak kepada makhluk
itu asal yang menjatuhkan seseorang itu ke lembah kehinaan dan yang menyebabkan
tumbuhnya kehinaan yang terjelma pada sikap dan tindakan sesesorang.
Bagi mengupas dan menjelaskan lagi hina dan buruknya perihal Tamak ini,
maka Tok Pulau Manis mendatangkan pula Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah
yang berikutnya sebagaimana berikut;
Dan kata Sheikh
r.a. (Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari);
Tidak
akan berkembang biak cabang kehinaan itu, melainkan di atas bibit
tamak.
|
Terjemahan
dan Keterangan oleh Tok Pulau Manis;
Tiada panjang
segala cawang kehinaan itu, melainkan daripada benih tamak;
dan tiada jadi tamak itu melainkan daripada waham.
Keterangan
Suluk
Sesungguhnya tidak akan berkembang-biak segala cabang-cabang dan ranting-ranting
kehinaan itu, melainkan kerana terdapatnya benih-benih tamak dalam
diri seseorang hamba.
-
Tiada
kenderaan, inginkan kenderaan biarpun sekadar yang buruk;
-
Sudah
dapat yang buruk, inginkan pula yang baru;
-
Sudah
dapat yang baru, inginkan pula yang "ada class"
-
Sudah
dapat kerja yang pendapatannya cukup untuk menyara anak isteri, inginkan
pula jawatan lain yang lebih tinggi dan baik;
-
Sudah
dapat jawatan yang tinggi, teringin pula menjadi orang nombor satu;
-
Bagi
pekerja biasa pula, tidak cukup dengan masa biasa, ditambah
lagi dengan "kerja lebih masa" atau buat "part time" di tempat-tempat lain,
sehingga sanggup tidak tidur malam tetapi sanggup meninggalkan kuliah agama
atau terus sahaja tidak sembahyang.
Demikianlah beberapa contoh sekadar menunjukkan bagaimana sifat tamak itu
membenihkan dan menumbuhkan sifat-sifat dan tindak-tanduk yang hina.
Yang jelasnya dengan sifat Tamak itu, seorang hamba yang asalnya
mulia, akan jadi hina. Yang sedar diri akan jadi lupa diri.
Mereka jadi hina dan lupa daratan kerana tidak
bersifat;
-
sebagai
seorang yang Qanaah(memadai dengan apa yang ada)
-
sebagai
seorang hamba yang yakin kepada TuhanNya;
-
sebagai
seorang yang percaya dengan kadar dan ketentuan yang telah ditetapkan oleh
Allah Taala;
-
sebagai
seorang yang ragu-ragu pada janji-janji dan keterangan Allah Taala
-
memada
dengan Allah dalam setiap hal
-
bersyukur
dengan kadar nikmat anugerah Allah
-
sebagai
seorang yang redho dengan Qada' dan Qadarnya
Dengan ini tiada
jadi tamak itu melainkan daripada waham kerana makna
waham itu ialah syak dan ragu-ragu dengan Qada' dan Qadar Allah serta Kasih
Sayang Allah terhadap hamba-hambaNya..
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Maka barangsiapa
sabit tamaknya, maka lanjutlah kehinaannya; kerana tamak
itu diisti'arahkan benih iaitu, asal. Dan kehinaan itu cawang
iaitu furu'. Maka barangsiapa tamak ia, nescaya hina ia atas
sekadar tamaknya kerana bahawasanya tamak dalam sesuatu itu hanya sanya
jadi ia daripada kasihnya. Dan barangsiapa kasih akan sesuatu,
maka jadilah ia akan hamba sesuatu. Dan hinalah baginya dengan
sekadar kasihnya dalam dalamnya.
Keterangan
Suluk
Bila telah sah dan sabit seseorang itu dihinggapi penyakit Tamak ini,
maka akan tumbuh dan berkembang-biaklah sifat-sifat kehinaan yang keji
dan tercela seperti;
-
rakus,
-
hubbul
dunia,
-
kasihkan
pangkat, kasihkan harta, kasihkan kemuliaan,
-
dengki
sesama manusia,
-
khianat
sesama rakan dan saudara,
-
adu-domba,
-
fitnah
kepada yang tidak berdosa,
-
bercakap
bohong dan berbelit-belit,
-
zalim,
pemarah,
-
kufur
nikmat,
-
tidak
redho,
-
suka
menindas,
-
dan
berbagai-bagai lagi sifat-sifat yang hina lagi keji.
Hina dan kejinya sifat-sifat ini kerana ia dikaitkan dengan sifat-sifat
yang layak pada haiwan dan iblis.
Dengan kerana itulah Tok Pulau Manis mengatakan bahawa
tamak itu diisti'arahkan benih iaitu, asal. Dan kehinaan itu
cawang iaitu furu'.
yang bermaksud istilah Tamak itu dipinjamkan(ditentukan maksudnya) dengan
makna benih yang menjadi asal atau punca; manakala kehinaan
itu ialah sebagai cabang-cabang dan ranting-ranting kepada Tamak.
Maka barangsiapa
tamak ia, nescaya hina ia atas sekadar tamaknya kerana bahawasanya
tamak dalam sesuatu itu hanya sanya jadi ia daripada kasihnya membawa
maksud barangsiapa tamakkan sesuatu, nescaya hinalah kedudukannya
di sisi agama dan Allah. Kadar hinanya dan jahatnya pula bergantung
kepada kadar ketamakkan yang ada padanya;
-
Tamakkan
rezeki yang ada pada tangan orang lain menjadikan dia seorang yang bersifat
dengan dengki dan khianat.
-
Tamakkan
pujian dan penghargaan dari makhluk di atas sesuatu amal atau kebajikan
yang dikerjakan, menjadikan ia seorang yang suka berlagak,
bermuka-muka dan riya'.
-
Tamakkkan
kasih dan sayang dari seorang perempuan/lelaki, menjadikan ia seorang
yang sanggup menggadai maruah diri dan agama demi kerana memuaskan nafsu
cintanya.
-
Tamaknya
seorang ahli korporat yang ingin meluaskan dan memonopolikan rangkaian
perniagaan, menjadikan ia seorang yang kapitalistik, individualistik
yang sanggup melihat orang lain susah asalkan ia senang.
-
Tamaknya
seorang pemimpin yang ingin mengekalkan kuasanya, akan menjadikan
ia seorang yang kejam seumpama seorang diktator atau Fir'aun yang sanggup
membunuh musuh-musuh politiknya.
-
Tamaknya
seorang ulama/Tok Guru yang ingin mendapatkan ramai murid dan pengikut,
menjadikan mereka seorang yang hina kerana suka mengumpat-umpat dan mengatakan
kelemahahan dan keburukan ulama-ulama lain.
-
Tamaknya
seorang murid yang ingin mendapatkan perhatian yang lebih dari guru,
menjadikan ia seorang yang hina dengan sifat mementingkan diri sendiri.
Pendek kata, Tamaknya seseorang itu kepada sesuatu itu terjadi dan
berkembang kerana adanya keinginan dan kasihnya ia kepada "sesuatu".
Dengan itu, di sisi kaum Sufiah, barangsiapa
kasih akan sesuatu, maka jadilah ia akan hamba sesuatu.
-
Kasih akan harta,
maka jadilah mereka hamba kepada
harta
-
Kasih akan pujian
dan sanjungan manusia, maka jadilah mereka hamba
kepada manusia,
-
Kasih akan perempuan
atau lelaki yang dicintai sehingga sanggup melakukan maksiat, maka
jadilah mereka hamba kepada
lelaki atau perempuan itu.
-
Kasih kepada pangkat
dan kuasa, maka jadilah mereka hamba
kepada pangkat dan kuasa.
Demikianlah contoh-contoh kerendahan hemah dan kehinaan seorang manusia
yang kasihkan sesuatu sehingga sanggup menghambakan dirinya kepada apa
yang diingininya sebagaimana maksud keterangan Tok Pulau Manis Dan
hinalah baginya dengan sekadar kasihnya dalam dalamnya
Bersandarkan keterangan di atas, jika kita perhatikan keadaan
kehidupan manusia di sekeliling kita hari ini, maka nampak jelaslah
pada kita betapa ramainya manusia-manusia di alaf baru ini, memburu
dan mencari tuhan-tuhan lain, menyembah tuhan-tuhan lain,
sedangkan sewaktu-waktu mereka dakwakan bahawa mereka adalah orang Islam
yang tulen. Sungguh keliru dan mengelirukan!!!.
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan adalah
tamak itu lawannya bagi Hakikat Imam
yang dikehendaki wujud kemuliaan. Dan mulia itu sifat mukmin;
Dan hendaklah meninggalkan segala cita-cita mereka itu kepada Tuhan mereka
itu; Dan menetapkan hati mereka itu kepadaNya; Dan berpegang
mereka itu pada Allah, tiada kepada yang lain daripadaNya.
Maka inilah segala sifat yang mulia yang dikurniakan Allah Taala akan Dia
kepada segala hambaNya yang mukmin.
Keterangan
Suluk
Melalui keterangan di atas, fahamlah kita bahawa lawan kepada
Tamak itu ialah Hakikat Iman. Adapun yang dimaksudkan
dengan Hakikat Iman ialah yakin dan teguh serta tetap pegangan
hati kepada Qada dan Qadar Allah. Yakin kepada kadar rezekinya,
jodoh, ajal dan maut mereka. Tidak mudah bergoyang dengan perubahan
dan kerosakan yang berlaku di sekelilingnya. Tidak akan cenderung
kepada sesuatu yang bukan haknya. Di terima sahaja apa yang telah
ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Taala tanpa memandang dan menoleh
kepada yang lain. Dengan ini, Hakikat Iman yang
dihayati oleh seorang hamba itu, akan menjadikan mereka bersifat
dengan sifat yang mulia.
-
Dan [adalah] mulia
itu sifat [bagi orang-orang]mukmin;
-
Dan hendaklah
meninggalkan segala cita-cita mereka itu kepada Tuhan mereka itu;
-
Dan menetapkan
hati mereka itu kepadaNya;
-
Dan berpegang
mereka itu pada Allah, tiada kepada yang lain daripadaNya.
Dengan sifat-sifat di atas, maka tidaklah lagi wujudnya sifat Tamak
dalam diri mereka. Inilah anugerah yang dikurniakan Allah Taala
kepada hamba pilihanNya yang mukmin. Carilah dan jejakilah kurnia
yang mulia ini. Hayatilah Hakikat Iman ini sebagaimana
yang dihayati oleh para Mursalin, Ambiya' dan Sholihin kerana penghayatan
mereka ini membuahkan pelbagai sifat-sifat yang mulia. Antaranya
ialah Wara' sebagaimana yang terdapat dalam keterangan berikutnya.
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan tersebut
dalam Kitab "Tanwir",
Bahawasanya
Tamak itu lawannya Wara'. Dan tiadalah syak bahawasanya Wara' yang
zhohir bagi segala orang Am(Awam) itu iaitu meninggalkan segala perkara
yang syubhat.
Keterangan
Suluk
Jika keterangan sebelum ini menyatakan lawan Tamak itu ialah Hakikat
Imam, maka keterangan berikutnya melanjutkan pula perihal Tamak ini
dari sudut yang lain pula. Dari sudut yang ini; lawannya
Tamak ialah Wara'. Sebenarnya tidaklah jauh berbeza maksud
antara Hakikat Imam dan Wara' ini dari segi tidak beringinan hati
untuk berhadap kepada yang lain selain daripada Allah. Sungguhpun
demikian, Wara' sebagaimana keterangan di atas memperincikan lagi
perbezaan penghayataannya di kalangan orang-orang awam dengan orang-orang
yang khas .
Di sisi orang-orang awam, Wara' pada mereka ialah meninggalkan
sesuatu perkara, amalan dan kepercayaan yang syubhat dengan berpegang
teguh kepada apa yang betul-betul diyakini dan diktiraf oleh hukum syarak.
Keterangan
selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan hanyasanya
lawannya Wara' [bagi orang] yang khas itu iaitu kepada(di sisi) mereka
itu yang mengesahkan yakin dan menyempurnakan takluk[hati] kepada Tuhan;
-
dan diperoleh
sukun(tetap hati) kepadaNya;
-
dan tiap-tiap
hati kepadaNya;
-
dan tiada ada
baginya cenderung kepada lainNya;
-
dan tiada berdiri
kepada makhluk;
-
dan tiada kepada
kun.
Maka inilah Wara'
yang lawannya Tamak yang membinasakan; dan dengan dia(wara') membaiki tiap-tiap
amal dan hal
Keterangan
Suluk
Berbeza dengan orang-orang yang Khas, Wara' di sisi mereka ialah
dihayati dengan mengesahkan keyakinan mereka Allah di samping menyempurnakan
takluk(tuju hati) hanya kepada Allah semata-mata. Dengan pengesahan
dan penyempurnaan ini,
-
mereka
memiliki hati yang tetap dan istiqamah hanya kepada Allah semata-mata;
-
tidak
cenderung dan kasih kepada sesuatu selain daripada Allah sama ada yang
bangsa zhohoriyah atau bangsa batiniyah;
-
tidak
lagi bersandar dan bergantung harap kepada kuasa ,pangkat dan kebolehan
manusia dan makhluk lain;
-
dan
tidak pula menyandarkan dan bergantung kepada apa sahaja yang masuk di
bawah kejadian-kejadian Allah seperti; pahala, karamat,
syurga dan apa sahaja daripada kejadian-kejadian Allah.
Maka inilah Wara' di sisi Ahli Sufi yang meninggalkan sesuatu syubhat yang
boleh memalingkan mereka untuk berhadapan dan memandang Allah Taala semata-mata.
Wara' yang begini akan membaiki tiap-tiap amalan dan hal-ahwal hatinya
daripada
sifat-sifat yang hina dan keji.
Keterangan
Suluk
Bersambung dalam Pengajian yang berikutnya....Perihal
Wara' Dan Halal.
[[Kembali
ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi
taufik dan hidayahnya
|
Tiada daya dan upaya
melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar
|