|
Dan kata Yahya bin Mu'adz r.a.; Bermula Wara' itu atas dua perkara. Pertama Wara' pada zhohir bahawa tiada berharkat ia melainkan bagi Allah dan kedua Wara' dalam batin bahawa tiada masuk di dalam hati melainkan Allah Taala.
Keterangan Suluk
Melanjutkan keterangannya berkaitan dengan Wara' di sisi orang-orang yang Khas atau juga boleh disebut sebagai Ahli Khowas, sebagaimana yang terdapat dalam pengajian sebelum ini, kata-kata di atas memperincikan lagi pembahagian ini kepada satu lagi golongan manusia yang menghayati sifat Wara'. Di samping mengenal rupa Wara' orang yang Khas, masih terdapat lagi satu golongan yang lebih berjelira penghayatannya dengan sifat Wara'. Mereka adalah golongan Khowasul-khowas yang diwarisi dari para Nabi dan Mursalin serta Aulia Allah. Kenyataan mengenai hal ini dapat difahami berdasarkan pembahagian yang telah dibuat oleh Yahya bin Mu'adz r.a berupa sebagaimana berikut;
Wara
pada zhohir dengan maksud tidak bergerak sesuatu
tujuan dan maksud serta jalan amal ibadat serta segala perbuatan yang dilakukan
melainkan ianya tertuju semata-mata bagi Allah dengan kelurusan dan kelulusan
jalan syarak. Jika jahil dengan hukum syarak atau Syariat tunggang-langgan,
mereka tidak tergolong dalam golongan Wara' jenis ini. Hanya
yang khas saja yang boleh mengamalkan Wara ini. Ini adalah kerana,
hanya mereka yang berilmu sahaja boleh menghayati Wara pada Zhohir ini.
Hal keadaan mereka ialah; seluruh pancainderanya digunakan
dengan teliti dan berhati-hati sekali kepada hukum-hukum yang telah diluluskan
oleh Syarak. Mereka amat mahir dengan Ilmu Fekah dan menggunakan
kemahiran yang dimiliki ini untuk mengawal seluruh fungsi pancainderanya
agar tidak mengerjakan perkara-perkara yang haram dan syuhbah. Antara contoh
Wara' pada zhohir ini ialah;
Jika makan, mereka hanya akan makan makanan yang jauh dari syubhat seperti ada majlis ijab qabul. Qabad(terimaan), yang melalui proses kelulusan syarak yang nyata menghalalkannya.
Bagi menjelaskan lagi dan mendetailkan perihal Wara' di sisi orang-orang yang Khowasul-khowas ini sebagaimana perbincangan di atas, kita lihat pula keterangan selanjutnya dari Tok Pulau Manis sebagaimana berikut.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata Abu Muhammad Abdul Aziz Al-Mahdiwiyyu r.a. bahawasanya katanya;
Ketahui olehmu bahawa Wara' itu tiada ada antara mu dan antara makhluk itu nisbah dalam mengambil atau memberi atau menerima atau menolak. Dan adalah mendahulukan ia bagi Allah Taala iaitu (seorang yang Wara' ialah orang) yang mendatangkan kepadaNya suci daripada sekelian sesuatu[ilat atau sebab] dan ilmu dan amal.
Keterangan Suluk
Wara' menurut keterangan tokoh sufi di atas, adalah satu keadaan di mana seorang hamba tidak lagi ada perasaan untuk membanding-banding atau membeza-bezakan perihal dirinya dengan manusia serta makhluk Allah yang ada. Pada mereka, sama saja nilai dan taraf dirinya dengan manusia-manusia lain, haiwan, bukit-bukau, bulan bintang, syurga neraka, syaitan iblis dan lain-lain makhluk Allah. Hanyalah sebagai hamba Allah semata-mata
"Sebenarnya tidak ada luar biasa tentang perkara itu. Apa yang saya buat, anjing pun boleh buat. Apabila diajak dia datang;apabila dihalau, dia pergi. Ini bukanlah tanda kewalian yang besar".
Sebenarnya, mereka sedikitpun tidak melihat kepada hukum atau asbab atau makhluk atau dirinya sendiri. Dan adalah mendahulukan ia bagi Allah Taala iaitu (seorang yang Wara' ialah orang) yang mendatangkan kepadaNya suci daripada sekelian sesuatu[ilat] atau sebab dan ilmu dan amal. bermaksud terdahulu pandangan mereka dalam menghadapi sesuatu itu semata-mata dengan Syuhud kepada Allah. Maka lepaslah mereka dari sebarang peresekutuan atau syirik dan berhadaplah diri mereka kepada Allah dalam keadaan yang suci bersih daripada sesuatu tujuan lain, kepentingan diri, atau kerana menunjukkan ketinggian ilmu atau amal yang dikerjakan mereka.
Ini perincian Wara' pada batin yang menjadi pakaian dan perhiasan Mursalin, Ambiya dan AuliaiLlah. Lebur dalam pandangan mereka kepada Allah Subhanahuwa Taala.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan katanya pula;
Bermula Wara' itu iaitu tiada lintas rezeki dalam hati dan tiada ada antaramu nisbah; tiada dalam menghasilkan; dan tiada kepada mubasyirah kerana bahawasanya tiada diketahui adakah memakan dia atau tiada.
Keterangan Suluk
Tokoh sufi di atas, memperihalkan pula perihal persepsi seorang hamba yang berjelira dengan Hakikat Wara' ini dalam menikmati rezeki Allah. Oleh kerana hati mereka telah kosong hampa dari sesuatu yang lain, maka orang yang Wara' ini tentu sekali akan sunyi hati mereka daripada sebarang lintasan yang bersangkutan dengan rezeki untuk kepentingan dirinya. Sebenarnya ini adalah kerana dirinya sendiri telah hapus lenyap dari pandangannya diri sendiri, jauh lagi kepada nafsunya. Jadi sudah tentu tidak akan ada apa-apa lagi kebimbangan pada rezeki, jauh sekali untuk membeza-bezakan antara yang banyak atau sedikit, cukup atau tidak. Tahqiq keyakinan mereka bahawa Allah Taala yang menjamin akan rezeki setiap hambanya. Dipakaikan warisan pesaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan Sabdanya;
"Jikalau bahawa kamu tawakkal atas Allah Taala dengan sebenar-benar Tawakkal, memberi rezeki Allah Taala akan kamu seperti Ia Memberi rezeki akan burung, pagi-pagi ia lapar, petang ia kenyang".
Selebihnya berjelira pula pada diri dan jiwanya kepada firman Allah Taala yang bermaksud;
"Barangsiapa Tawakkal yakni berpegang atas Allah Taala dan menyerahkan dirinya kepada Allah Taala sekelian perbuatannya itu, maka memadailah baginya". {Siras-Shalikin :Juz 4; 100}
Bila sudah memada dengan Allah, maka cukuplah dengan Allah Taala sahaja dalam tiap-tiap sesuatu dan pada segala sesuatu Tidaklah ia lagi berhajat kepada sesuatu yang lain dalam keperluan rezekinya. Allah telah menyediakan dan menjaminkan rezeki mereka itu. tiada dalam menghasilkan; dan tiada kepada mubasyirah kerana bahawasanya tiada diketahui adakah memakan dia atau tiada bermaksud rezeki yang diterima oleh mereka yang Wara' ini ialah sesuatu yang bukan datang dari usaha dan asbab mereka, bukan dengan susah payah mengusahakannya kerana mereka sedang lenyap tenggelam dalam lautan Musyahadah dengan Allah sehinga tidak ada apa-apa idea lagi tentang makan atau belum lagi apatah lagi untuk berbimbang dengan rezeki dirinya.
Inilah hal orang yang menjejaki Maqam Hakikat Wara'. Mereka Wara' daripada menilik dan memandang kepada sesuatu yang lain daripada Allah Taala.
Kita ikuti selanjutnya penerangan mengenai Hakikat Wara' ini sebagaimana berikut;
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan katanya pula;
Bermula Wara' itu iaitu tiada harkah dan tiada diam melainkan Allah Taala dalam harkahnya dan dalam diamnya. Maka apabila melihat ia akan Allah Taala, maka hilanglah harkahnya dan diamnya dan kekal serta Allah Taala. Maka harkah itu tempat bagi barang yang dalamnya(harkah) seperti kata setengah mereka itu(sufiah); "Tiada kulihat sesuatu melainkan kulihat Allah dalamnya". Maka apabila ia lihat akan Allah Taala, maka hilanglah sesuatu itu.
Keterangan Suluk
Melanjutkan keterangan untuk menjejaki hakikatNya, maka tokoh sufi di atas menegaskan di sini bahawa bermula Hakikat Wara' itu ialah satu keadaan di mana seorang hamba yang telah terjauh daripada sesuatu yang batil(tidak ada hakikat) dan menemui sesuatu yang punya hakikat yang juga membawa kepada maksud mencapai kehampiran dengan Allah; di mana tidak ada satu hembusan nafas yang keluar masuk; atau tidak ada satu gerak atau diamnya melainkan dirasai dan dipandangi Allah sentiasa bersamanya. Maka apabila melihat ia akan Kegungan dan Kesempurnaan Allah itu sendiasa Wujud dalam setiap gerak diamnya sehingga menjadikan mereka tenggelam dan fana didalamnya di mana sudah tidak disedari lagi akan gerak dan diam yang ada padanya. Mereka telah berpisah dengan gerak dan diam mereka, dan kekal serta Allah di mana setiap tindak-tanduk dan responnya hanyalah sebagai bayangan akan wujudnya Allah yang bersifat dengan Qudrat dan Kehendak. Semata-mata dipandang akan kewujudan yang hakiki (Allah Taala) dalam tiap-tiap sesuatu sehingga terucaplah kata-kata yang penuh dengan isyarat pandangan yang suci hening "Tiada kulihat sesuatu melainkan kulihat Allah dalamnya"
Maka apabila sentiasa asyik bermusyahadah dengan Allah, maka hilanglah segala sesuatu yang membayanginya; sebagaimana leburnya dan binasanya sesuatu bila dihadapkan kepada Wajah Allah Yang Agung. Imam Ghazali pernah menyinggung perihal ini dengan katanya;
Ibarat memanjat dari tanah rendah ke gunung yang tinggi, dan di tingkat akhir kenaikkan mereka itu dapatlah mereka melihat bahawa sebenarnya tidak ada yang lebih wujud kecuali Allah sahaja dan "segalanya binasa kecuali wajahNya" (Al-Quran).
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan katanya pula;
Telah Ijma' segala ulama bahawa halal yang Mutlak itu iaitu yang diambil daripada Allah Taala dengan menggugurkan segala Wasitoh. Dan inilah Maqam Tawakkal.
Dan kerana inilah, kata setengah mereka itu(sufiah);
Bermula halal itu iaitu yang tiada melupakan Allah Taala dalamnya hingga daripada ini; daripada segala ibarat yang telah diibaratkan dalam makna ini.
Keterangan Suluk
Sebagai merumuskan keterangan dari tokoh Sufi Abu Muhammad Abdul Aziz Al-Mahdiwiyyu r.a., didatangkan Ijma seluruh Ulama-ulama Sufiah yang telah menetapkan bahawa orang yang Wara' di sisi mereka ialah mereka yang bertawakkal dengan Allah. Ini adalah kerana menurut keyakinan mereka itu; orang yang berada dalam Maqam Tawakkal ialah terdiri daripada mereka yang telah menggugurkan segala pengantara sama ada dirinya atau makhluk yang lain serta pandangan dan harapannya dalam memperolehi dan memaksudkan sesuatu .
Demikianlah ketetapan berkenaan apa yang telah dipersetujui dan yang menjadi muafakat antara semua ulama-ulama Sufi. Semata-mata dengan Allah, dari Allah, kepada Allah dan kerana Allah. Itulah halal yang sebenarnya dan itulah juga Hakikat Wara'. Menyerahkan diri dan lebur dalam penyerahan mereka kepada Yang Maha Agung sehingga berkata antara mereka bahawa;
Bermula halal itu iaitu yang tiada melupakan Allah Taala dalamnya hingga daripada ini; daripada segala ibarat yang telah diibaratkan dalam makna ini. yang bermaksud;
Halal itu ialah sesuatu yang tidak melupakan Allah dalam setiap pandangannya sebagaimana keterangan dan perbincangan yang telah dibuat di sepanjang pengajian ini; dan lebih jauh daripada itu ialah sesuatu yang tidak dapat dibaratkan lagi dengan sesuatu ibarat atau kiasan lagi. Hal ini adalah kerana telah terputus segala isyarat dan makna yang boleh dijadikan alat dalam memperihalkannya keadaan orang yang tenggelam, lebur dan Fana dengan Allah. "Hanya yang mengalami sahaja yang dapat mengerti".
Demikianlah sut atau kesudahan wajah penghayatan halal dan Wara di sisi golongan yang Wara' pada batin. Tidak dapat tidak, untuk menjejakinya sebenar-benar hakikatnya adalah semata-mata dengan "Rasa". Tidak lagi dengan ilmu atau dengan omomg-omomg kosong.
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata setengah Ahli Thoifah(sufiah);
Bermula sekelian hamba itu memakan mereka itu kepada segala rezeki mereka itu. Maka berlain-lainannya dalam pandang mereka itu.
Keterangan Suluk
Contohnya seorang yang mengharapkan sokongan atau pengaruh seseorang untuk mendapat sesuatu pekerjaan. Maka orang yang merendahkan diri kepada manusia ini, akan dihinakan oleh Allah dengan sikapnya yang sanggup menghinakan diri kepada orang yang diharapkan itu, malah ada yang sanggup menjadi "kambing hitam" atau kuda tunggangan manusia lain demi untuk memperolehi sedikit rezekinya buat habuan nafsunya.
Maka adapun yang memakan rezekinya dengan menuntut-nuntut itu, maka iaitu yang berniaga. Maka ia menuntut-nuntut beroleh laba. yakni adalah isyarat yang ditujukan kepada peniaga yang akan berhempas-pulas berusaha dengan gigih ke sana ke mari demi untuk memperolehi untung Sanggup membuat pinjaman dengan manusia, berusaha menarik perhatian orang-ramai kepada barang jualannya, mencari pekerja-pekerja yang boleh diharap untuk membantu menguruskan perniagaannya dan sentiasa berurusan dengan manusia ramai sehingga mereka menjadi manusia yang sentiasa menuntut-nuntut kepada makhluk..
Dan adapun
yang memakan rezekinya dengan kemuliaan daripada tiada kehinaan dan tiada
menuntut-nuntut itu maka iaitu segala Sufi pada hal memandang mereka itu
kepada Yang 'Aziz. Maka diambil mereka itu bahagian mereka itu daripada
QudratNya(Allah) dan FadholNya dengan kemulian.
yakni isyarat kepada golongan Sufi yang menikmati rezeki mereka dengan
kemuliaan dan terhindar daripada menghinakan diri kepada manusia atau makhluk
lain. Mereka makan dan menerima dengan kadar apa yang dikurniakan
oleh Allah Taala tanpa meminta-minta dengan sesama makhluk, malah
kadang-kadang makhluk itu sendiri yang amat suka untuk memberi atau menyediakan
rezeki untuk mereka. Apa sahaja yang datang kepadanya sama ada daripada
makhluk diterimanya dengan memandang kepada Yang Memberi, bukan kepada
apa yang diberi. Mereka mengambil bahagian mereka semata-mata dengan
kekuasaan Allah, anugerah limpah kurnia Allah dengan penuh kemuliaan.
Tiada sekali-kali kehinaan pada hal-ahwal mereka kerana mereka tidak bergantung
kepada asbab dan menjadi hamba kepada nafsunya yang tamak.
Seorang Wali Allah; Tok Taba, apabila mendapat ikan yang besar yang melebihi keperluan hariannya pada pancingnya, melepaskan semula ikan tersebut dan hanya akan mengambil ikan yang cukup-cukup untuk keperluan ahli keluarganya. Yang istimewanya; beliau tidak pernah menggunakan umpan pada mata pancingnya.
Mereka adalah golongan Tajrid, bukannya daripada mereka yang menduduki Maqam Asbab sebagaimana maksud perbincangan yang selanjutnya;
Keterangan selanjutnya oleh Tok Pulau Manis
Dan kata Sahl bin Abdullah r.a.;
Tiada serta Iman itu asbab. Hanya sanya asbab itu dalam Islam(orang awam).
Dan adalah kata Sheikh Abu Tholib r.a.;
Adalah maknanya itu[ialah] tiada dalam hakikat Iman itu melihat asbab dan sukun(tetap) kepadanya. Dan hanya sanya melihat asbab itu dan tamak kepada makhluk itu dalam maqam Islam(orang Awam
Keterangan Suluk
Bersambung lagi dalam Pengajian berikutnya di bawah tajuk....Hakikat Tamak
|
|