Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Apakah itu Batu Karang?

Illustrasi beberapa jenis batu karang yang berwarna warni
Beberapa jenis batu karang yang terdapat dalam terumbu karang.
Malaysia adalah sebuah negara yang dikelilingi laut dan mempunyai kawasan pantai yang luas dan panjang. Di kawasan tersebut terdapat pulau pulau dan terumbu karang yang mengelilinginya. Di sana terdapat berbagai jenis batu karang dan hidupan terumbu. Dalam artikel ini kita cuba menghuraikan tentang haiwan batu karang yang seni itu.

Batu karang adalah haiwan walaupun ianya kelihatan seolah-olah batu batan tidak bernyawa yang kerap kali dilihat memutih di atas pantai disepak ombak. Namun pada hakikatnya batu karang adalah sebahagiannya batu kerana hanya sebahagian luarnya yang nipis sahaja yang didiami oleh haiwan hidup selebihnya adalah rangka batu. Boleh juga kita andaikan batu karang sebagai satu pokok besar yang mana bahagian dalamnya yang keras itu menjadi penyokong dan bahagian luarnya adalah haiwan yang hidup dan membesar. Seperti mana juga pokok, kebanyakan batu karang menetap secara kekal pada sesuatu tempat dalam terumbu.

Serpihan batu karang mati yang memutih di atas pantai adalah batu karang mati yang telah sekian lama dihempas ombak dan dibawa arus terutama sewaktu musim tengkujuh. Sebab itu lah kadangkala kita lihat pasir dipantai surut dan kadang kala pula bertimbun penuh i.e. Jeti Taman Laut Pulau Redang. Ianya tertakluk kepada edaran pasir mengikut arus dan musim.

Batu karang umumnya hidup di dataran terumbu luar dan di air yang lebih dalam. Walaupun struktur atau bentuk batu karang adalah berbeda-beda, namun haiwan batu karang yang hidup di permukaannya adalah hampir sama. Kesemuanya kelihatan seperti buran buran kecil, atau obor-obor terbalik. Mereka mempunyai sesungut yang menampakkan batu karang kelihatan pudar sewaktu sesungut dijulurkan keluar. Setiap haiwan batu karang ini dipanggil polip, tetapi satu cabang batu karang atau satu bungkah batu karang yang hidup di terumbu itu sebenarnya terdiri dari koloni ribuan polip polip halus yang hidup berhimpit2 diantara satu sama lain lantas kelihatan kepada kita seolah-olah ianya satu haiwan

.

 

foto polip

 

Rajah polip menunjukkan sesungut, mulut dan rangka

Polip dengan sesungut terjulur keluar

Rajah polip

Sesungut batu karang yang pendek itu boleh ditarik masuk ke dalam bahagian keras kerangka batu karang apabila haiwan ini diganggu atau bila batu karang terdedah kepada udara sewaktu air surut. Demikian, pada waktu waktu tersebut, batu karang yang masih hidup pun boleh kelihatan seperti batu-batu lain di tepi pantai.

foto batu karang kelihatan seolah olah sepan. Pada batu karang dalam gambar kanan, satu polip hidup dalam satu lubang. Bersama mereka akan membentuk satu koloni polip.

Memang aneh, polip-polip halus batu karang boleh membina ketulan batu karang yang keras seperti mana yang kita lihat pada terumbu karang. Mereka melakukan ini semua dengan merembeskan lapisan sejenis bahan keras yang dipanggil kalsium karbanat di bawah sel-sel hidup. Ianya seolah olah setiap polip halus itu membina sebuah rumah tegap untuk dirinya sendiri tetapi sambil ianya membesar lebih tinggi, ia mengambil keputusan untuk menutup terus bilik2 di bahagian bawah rumahnya. Kemudian ia membesar lagi dan menutup lagi satu lapisan di bawahnya. Begitulah seterusnya. Dengan cara ini polip karang sentiasa hidup di luar iaitu di lapisan atas dan dibawahnya adalah lapisan bilik-bilik.

Setiap polip juga mengabungkan rumahnya itu dengan jiran bersebelahan lalu mengukuhkan lagi struktur keseluruhan dan seakan-akan menyerupai kompleks apartmen yang dibina padu. Menambah bilik-bilik baru adalah satu proses yang perlahan. Tumbesaran adalah berbeda-beda dari lebih kurang 0.5~3.0 inci setahun, bergantung kepada spesies. Batu karang yang paling besar mungkin berumur beratus tahun. Dalam jangka masa yang panjang batu karang ini akan membesar dan membentuk struktur terumbu perkasa yang mana boleh bertahan dari hempasan ombak yang mendatang saban hari

Batu karang adalah salah satu dari organisma di bumi yang sentiasa membina di atas rumah lama mereka, lantas membentuk struktur padu yang besar. Ianya bukanlah seperti burung yang membina sarang baru di atas sebuah sarang lama kerana kedua-dua sarang akan reput dan lupus dalam jangka masa yang singkat. Sebenarnya kebanyakan organisma di bumi meninggalkan tanda yang sedikit selepas kematian mereka kerana rumah dan tulang-tulang mereka akan pecah terurai (debu kepada debu). Tetapi tidak begitu dengan batu karang. Mereka membina struktur lebih besar dan lebih lama kekal berbanding dengan Piramid Fir’aun. Apakah haiwan lain yang boleh berbuat begini (selain manusia moden yang membina dengan besi dan simen)? Ya.. mungkin tidak ada.

Ambil saja contoh Pulau Layang Layang. Tidak mungkin kita boleh membina sebuah pulau. di tengah lautan jika tidak kerana batu karang yang membentuk terumbu karang. Batu karang yang hidup di terumbu karang Pulau Layang Layang (PLL) sentiasa menokok tambah struktur terumbu hari demi hari. Apa yang kita manusia telah lakukan hanyalah sekadar menambak kawasan terumbu karang dengan menyedut pasir serpihan batu karang dari dalam lagun. Tetapi jika kehadiran manusia di PLL merosakkan batu karang atau paling tidaknya menghambat pertumbuhan batu karang, lama kelamaan struktur terumbu yang sedia ada mungkin akan runtuh dan ranap kedalam laut sama sekali kerana tumbesaran tidak dapat mengatasi hakisan oleh arus dan ombak .