REVIEW DAPATAN KAJIAN
Tajuk
Amalan Penyebatian Kemahiran
Berfikir Dalam Proses
Pengajaran Pembelajaran Bahasa Melayu KBSR
Penyelidik
Pasukan Penyelidikan Pembiayaan
Agensi Pusat
Maktab Perguruan Pasir Panjang
Kuala Terengganu
1996-1998
Pena Minda
NOOR ROHANA BINTI MANSOR
Pelaksanaan kajian ini ke atas 209 orang guru sekolah rendah di Terengganu bertujuan untuk meninjau dan menilai penyebatian kemahiran berfikir dalam pengajaran pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah serta masalah-masalah yang dihadapi oleh guru dalam pelaksanaannya. Maklumat kajian diperolehi melalui pencerapan pengajaran guru serta temubual. Analisis data kajian menggunakan statistik deskriptif dan inferensi melalui program SYSTAT.
Berdasarkan kajian yang telah sempurna dilaksanakan, nyatanya gagasan penyebatian kemahiran berfikir merentas kurikulum diterima baik oleh guru-guru. Amalannya akan dapat merealisasikan pembelajaran ke arah "thoughtful learning" dan impaknya akan lebih berkesan. Namun, untuk memastikan pelaksanaannya serta kejayaannya berterusan, guru-guru perlu meningkatkan kesediaan kognitif di samping kesediaan afektif terhadap penyebatian kemahiran berfikir kreatif dan kritis dalam orientasi kurikulum sekolah.
Ditinjau dari sudut amalan kemahiran berfikir dalam pengajaran pembelajaran, guru-guru masih mempraktikkan amalan bersifat mekanikal dan tidak memberangsangkan. Anjakan amalan kepada pembelajaran bersifat "thinking centred" tidak dilaksanakan. Hanya kemahiran menjana idea dan menerangkan sebab dipraktikkan terutama dalam aspek lisan. Sebaliknya, kemahiran-kemahiran lain kurang dilaksanakan dan aplikasi dalam pengajaran bacaan dan penulisan sukar diaplikasikan. Masalah ini jelas di kalangan guru tanpa mengira jumlah pengalaman mengajar mereka. Walaupun demekian, guru-guru sekolah bandar didapati lebih beriltizam dalam pelaksa
Implikasinya, penyebatian aspek-aspek kemahiran berfikir kreatif dan kritis tidak menyeluruh. Pelajar-pelajar masih dibelenggu corak pengajaran pembelajaran tradisional. Gerak Gempur Minda belum cukup digempurkan ke arah pemusatan pemikiran pelajar. Kesannya akan hanya melahirkan pelajar-pelajar berfikiran robotik dan pemikiran kreatif dan kritis tidak terserlah.
Dari segi pelaksanaan, penggunaan strategi dan teknik penyebatian kemahiran berfikir dalam pengajaran kemahiran bahasa, masih terbatas. Strategi bahas dan pertikaian sahaja berleluasa digunakan manakala pelaksanaan teknik hanya memberi penekanan kepada aktiviti perbincangan, percambahan fikiran dan pembelajaran kolaboratif. Begitu juga penggunaan alat-alat berfikir dan sumber pelajaran, masih stereotaip dan terbatas di kalangan guru. Soalan-soalan yang digunakan masih pada aras rendah dan lingkaran soalan tidak digunakan. Manipulasi sumber pembelajaran tidak diterokai secara meluas.
Realitinya, skop pengajaran pembelajaran masih ditakuk lama walaupun cubaan menyebatikan aspek-aspek kemahiran befikir dilaksanakan. Perkembangan minda pelajar masih belum dipelbagaikan ke arah pemikiran bestari. Begitu juga minda pendidik wajar menerima inovasi anjakan paradigma ke arah penyebatian kemahiran berfikir kreatif dan kritis yang lebih dinamis.
Dari segi permasalahan dalam pelaksanaan penyebatian kemahiran berfikir kreatif dan kritis, beberapa konsensus antara guru-guru dan Ketua Panitia mata pelajaran telah dikenalpasti. Tumpuan permasalahan adalah dari segi kesediaan kognitif guru sendiri masih pada tahap rendah. Sebanyak 76% beranggapan pengajaran kemahiran berfikir perlu diajar sama seperti pengajaran kandungan subjek yang lain, walhal penyerapannya seperti yang disarankan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum adalah secara integrasi. Ini berpunca daripada kekurangan pengetahuan di pihak guru sendiri kerana, bukan semua daripada mereka pernah mendapat pendedahan berhubung kemahiran berfikir kreatif dan kritis. Malah, yang mendapat pendedahan, hanyalah pada tahap pengenalan sahaja (96%). Mereka juga gagal melihat relevensi kemahiran berfikir dengan kehidupan sebenar malah pengajaran mereka lebih berfokus kepada aspek-aspek kemahiran bahasa dan pengajaran kemahiran berfikir dikatakan tidak sesuai diterapkan di dalam kurikulum pelajar-pelajar sekolah rendah.
Seterusnya, pihak pentadbir sendiri gagal melihat penyebatian kemahiran berfikir kreatif dan kritis sebagai merentasi kurikulum. Sebaliknya, orientasi peperiksaan masih diutamakan dan sejauh manakah pendedahan kemahiran berfikir membantu pencapaian prestasi pelajar belum terbukti bahkan masih diragui.
Rumusannya, dalam menangani hakikat pelaksanaan pembaharuan kurikulum pendidikan, sikap serta mentaliti kalangan pendidik seharusnya terbuka serta akur untuk melaksanakan anjakan paradigma daripada peranan "sage on the stage" kepada "guide by the side." Pelajar sebagai "client" utama anak didik sekolah harus direalisasikan dengan sasaran gerak gempur minda ke arah "thoughtful learning" serta memungkinkan perubahan format peperiksaan ke arah penerapan kemahiran berfikir kreatif dan kritis. Wadah pelajar, buku teks perlu dirombak untuk diaplikasikan modul kemahiran berfikri kreatif dan kritis sebagai wahana penyebatian kemahiran berfikir kreatif dan kritis dalam kurikulum pendidikan. Sumber pelaksana, para guru semestinya diberi pendedahan mantap berhubung input kemahiran berfikir kreatif dan kritis daripada pihak pentadbiran kurikulum pendidikan. Pemantauan wajar dilaksana agar pencairan ilmu tidak menular malah pemantapan ilmu pastikan sentiasa terjamin.
Tegasnya, bebaskan pelajar dari belenggu orientasi belajar untuk lulus peperiksaan manakala minda guru untuk menghabiskan sukatan pelajaran perlu dikikis. Persoalannya, apakah mungkin perubahan ke arah sistem pendidikan kebestarian terlaksana andaikata senario tradisi masih utuh membelenggu insan pendidik? Nyatanya, alaf baru kurikulum pendidikan memerlukan pengorbanan insan untuk beranjak kepada kewarasan realiti ilmu yang penuh cabaran.