Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Salamun Alaikum

AMARAN : Laman ini untuk membincangkan tentang ISLAM dengan merujuk kepada al-Qur'an berbanding dengan kitab tulisan tangan manusia. Bagi anda yang sensitif, sila kembali ke laman sebelumnya.

Bacaan

Firdaus dan Jahanam - Satu kepulangan abadi bab 1 hingga 3.
Firdaus dan Jahanam - Satu kepulangan abadi bab 4 A.
Firdaus dan Jahanam - Satu kepulangan abadi bab 4 B.
Firdaus dan Jahanam - Satu kepulangan abadi bab 5 hingga 8.
Firdaus dan Jahanam - Satu kepulangan abadi bab 9 hingga 10.
Firdaus dan Jahanam - Satu kepulangan abadi bab 11 hingga 12.



Laman Utama
link

Bab 1 – Salam

Bab 1 – Salam

 

Aku masih belum dapat melelapkan kedua-dua belah mataku ini. Sebelum aku ke Jordan tiga tahun lepas, kampung ini begitu aman dan sunyi. Ada yang bekerja membanting tulang diladang getah, dan ada yang telah menjadi penternak yang berjaya. Tak kurang pula yang hanya menangkap ikan darat dan menjualnya di simpang tiga, hanya untuk mencari sesuap rezeki bagi menyara keluarga tercinta.

 

Teringat juga dimasa kecilku. Aku leka dengan tali air, bendang dan muara. Mereka menjadi teman sejati ku. Sebelum ku kesana, aku mesti singgah diwarung ayah Tasha untuk membeli ais kepal beinti kacang merah, sedapnya tidak terhingga. Pasti menjilat jari.

 

Kisah lama terhenti bila sang nyamuk berlabuh dipipi. Aku bersyukur kerana dua puluh lapan hari aku disini, yang tinggal hanya beberapa hari lagi, saki baki cuti, yang perlu aku habiskan di kampung kelahiran ku, Kampung Sungai Murni.

 

Aku amat kecewa suasana tidak lagi seperti dulu. Gegendang telinga ini masih terdengar rintihan dua imam, kenduri si Salim yang dipulaukan, kambing Joyah yang hilang, harga getah meruncing, dan yang terbaru si Samiah, jiran muda sebelah rumah sudah pula menjadi janda, entah mengapa musibah telah melanda satu demi satu, tanpa henti.

 

Esok aku akan ambil bubu di muara, sebelum tu singgah dahulu diwarung Wak Seman. Beli kopi "O" pekat dan roti bakar calit mentega sebagai sarapan. Aku terbayang wajah Tasha, anak dara Wak Seman, dia pasti tertunduk malu setiap kali bersua dengan ku. Harap-harap esok dia akan tolong ayahnya di warung kopi atau setidak-tidaknya dia akan bersimpuh dengan kain batiknya ditangga kayu beranda.

 

Tiba-tiba hati ku jadi sayu, bila tahu kisah diriku diperkatakan orang. Aku sudah tidak seperti dulu. Aku dikatakan pembawa gila isim akibat pembawakan ideologi baru. "Lantaklah". Bisik suara hatiku.

 

Esoknya aku bangun awal. Aku meniti batas untuk ke warung Wak Seman. "Macam tu juga !". Bisik hati kecil ku. Jelas kelihatan Wak Seman, Pak Rashid dan Lebai Ngah duduk bersembang semeja. Aku tak mahu singgah diwarung kopi kerana firasat ku mula membisikan bahawa mereka sedang mengata-gata pada ku lagi.

 

Tangan dihulur, pinggang di cekak, berkerut kening Wak Seman mengeluar pendapat. "Apa dia tau – baru balik dari Jordan sudah berani membangkang Lebai Ngah".

 

"Nanti dulu, Seman oiii" pintas Pak Rashid. "Tu pun dia - panggil dia!". "Mari sebentar Brahim, Lebai Ngah pun ada dekat sini, banyak sangat kami dengar pasai kamu Brahim. Kami mahu dengar dari mulut kamu sendiri, Lebai Ngah pun ada disini". Pelawa Pak Rashid lagi.

 

Aku dipersimpangan dilema. Kali ini aku terjebak. Perlukah aku menolak undangan mereka, atau haruskah aku memberanikan diri. "Haq tetap haq, batil mesti ditentang". Bisik hati kecil ku ini.

 

"Salamun Alaikum". Aku menyapa sekelian yang ada. "Cuba Lebai dengar apa dia kata tadi, dia kata "Salamun Alaikum", kita kata "Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh". Bentak Pak Rashid sambil kerling pada ku.

 

"Dari mana kamu dapat perkataan tu Brahim ?". Tanya Lebai Ngah pada ku. "Quran". Kata ku sepatah. "Ayat mana tu ?". Tanya si Lebai.

 

"Betul tu Lebai, budak Brahim ni, cuba mengajar ayat-ayat Quran kepada kita. Dia tak tahu, kita dah makan garam dulu !". Wak Seman, si taukeh warung menyampuk sakan.

 

"Lebai, kalau saya ringkaskan, Quran ialah satu Pembeza, untuk hambaNya (25:1). Qur'an itu mulia (55:77), indah (85:21), bijaksana (36:2). Ayat Kitab yang jelas (12:1).Satu penurunan daripada Pemelihara semua alam (26:192). Di dalamnya tiada keraguan dan menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa (2:2). Satu perkataan yang menetapkan (86:13). Satu bentuk kehukuman (13:37). Kami yang menurunkan Peringatan tersebut dan Kami yang menjaganya (15:9). Satu teguran, satu penyembuhan bagi apa yang di dalam dada, satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi orang-orang mukmin (10:57). Kebijaksanaan (Hikmah) yang Pemelihara kamu mewahyukan kamu (17:39). Ia adalah di dalam ibu Kitab, di sisi Kami; sungguh tinggi, bijaksana (43:4) Satu cahaya, yang dengannya Kami memberi petunjuk kepada siapa yang Kami mengkehendaki (42:52). Satu penyembuhan, satu pengasihan bagi orang mukmin, dan bagi orang zalim, ia dalam kerugian (17:82). Kitab yang tidak ada sebarang kebengkokan (18:1). Memberi amaran akan bencana yang keras daripada-Nya, dan untuk memberi berita gembira kepada orang mukmin (18:2) Yang menyuruh mereka pada yang baik, dan melarang kemungkaran, menghalalkan benda yang baik, mengharamkan yang buruk, membebaskan mereka daripada beban dan belenggu mereka (7:157). Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan benar, mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya dan hakimkanlah menurut apa yang Allah menurunkan, jangan mengikuti keinginan mereka untuk mengabaikan yang benar (5:48), antara yang persoalan yang menarik untuk difikirkan ialah ia adalah satu Peringatan yang diberkati, yang Kami menurunkan; maka adakah kamu sekarang menolaknya ? (21:50) dan inilah Ahsan-al-Hadith (39:23), iaitu hadis yang paling baik sebagai sebuah Kitab". Kata ku lagi.

 

Oleh kerana Al-Qur'an adalah wahyu Allah (42:7), untuk menjadi pedoman hidup dan sumber hukum bagi setiap Muslim (4:105; 5:49,50; 45:20), maka dengan Kitab ini juga saya akan bacakan ayat 6:54 yang menyatakan "Dan apabila orang-orang yang mempercayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu, katakanlah, "Salamun alaikum (Kesejahteraan ke atas kamu)." Pemelihara kamu menuliskan (menetapkan) untuk diri-Nya pengasihan, bahawa sesiapa antara kamu membuat kejahatan dalam kejahilan, dan sesudah itu bertaubat, dan membetulkan, maka sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih.". Kata ku lagi.

 

"Salahkah kalau saya ikut arahan Tuhan ?". Aku bertanya.

 

"Salah tu – memang tak salah, tapi Assalamualaikum Waraoh Maullah Hi Wabarakatuh itukan lebih baik dan lebih sempurna. Itu yang Nabi ajar pada sahabat-sahabat baginda, seterusnya para sahabat muktabar telah membukukan perkataan tadi lalu terjadilah apa yang dipanggil buku hadis". Lebai berkata. Wak Seman, dan Pak Rashid mengangguk-angguk tanda setuju, macam itik nila pulang petang.

 

Wak Seman dan Pak Rashid mulai tersengeh. Gigi-gigi jarang dipenuhi dengan nakotin rokok jelas kelihatan. Lebai akan meratah si Brahim hidup-hidup. Lebai dah 20 tahun mengajar di pondok. Sekarang dia menjadi pengetua dipondok Darul Wal Sunnah. Sapa tak kenal Lebai Ngah, cukup terkenal dengan fatwanya. Dulu kerap masuk TV dan ceramah di radio, sekarang ini dia dibarisan pembangkang.

 

"Lebai, sedarkah apa yang Lebai katakan ini ?." Aku bertanya spontan. Wajah Lebai mula bertukar warna. Merah padam jadinya. Tahukah Lebai perkatan ini konsistan dari manusia, hingga ke malaikat, di akhirat dan mereka yang berada di Al-Akraf pun berkata dengan perkataan yang sama. Lebih menarik lagi bila Tuhan juga memberi salam sedemikian rupa". Aku mula berhujah.

 

Mereka terdiam. Aku mengambil kesempatan ini. Bukan senang nak berdebat dengan puak tua keladi ini, yang amat terkenal dengan slogan parti songsang mereka. Siapa yang tidak menyokong parti mereka adalah puak sesat dan akan masuk Neraka.

 

"Cubalah Lebai fikirkan, 7:46. "Dan antara keduanya ada tabir, dan di atas Benteng adalah lelaki-lelaki yang mengenali masing-masing dengan tanda mereka yang memanggil orang-orang Taman, "Salamun alaikum!" Mereka belum memasukinya, dan mereka sangat menginginkannya."

 

Kemudian Lebai, malaikat akan menyeru pula kepada orang-orang yang berbuat baik supaya masuk ke Syurga dengan berkata 13:24. "Salamun alaikum, kerana kamu telah bersabar." Sangat baiknya tempat kediaman muktamad."

 

Dan dalam ayat berikutnya 16:32. "Yang malaikat-malaikat mematikan sedang mereka berkeadaan baik, dengan berkata, "Salamun alaikum! Masuklah ke Taman kerana apa yang kamu telah buat."

 

39:73 "Kemudian orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka dihalau dalam kumpulan-kumpulan ke Taman, sehingga apabila mereka datang kepadanya, dan pintu-pintunya dibuka, dan penjaga-penjaganya berkata kepada mereka, "Salamun alaikum (Kesejahteraan ke atas kamu)! Kamu telah maju dengan baik; masuklah untuk tinggal selama-lamanya."

 

Kemudian Lebai didalam Syurga tidak ada percakapan sia-sia kerana Allah telah berfirman didalam Quran 10:10. "Seruan mereka di dalamnya, "Engkau disanjung, ya Allah", dan salam hormat mereka, "Salam", dan akhir seruan mereka, "Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam."

 

Dan dalam surah Yasin yang kita baca pun ada menyebutkan salam Allah 36:58. "Salam!" ialah perkataan daripada Pemelihara yang Pengasih." Itu yang Allah ajar, Lebai Ngah beranikah untuk tidak patuh dengan perintahNya?. Tanya ku pada si Lebai.

 

Pak Rashid mula mengganguk. Lebai Ngah pula mula nampak mati kutu. Telinganya bertambah merah. Dia membetulkan serban hijau yang hampir lusuh itu, seterusnya pula dia membelai pula janggutnya yang tak seberapa helai itu. "Jadi salahkah jika aku ingin mengucapkan Assalamualaikum Waraoh Matullah Hi Wabarakatuh ?". Lebai seolah-olah ingin meminta satu kepastian.

 

"Salah". Jawap ku sepatah. "Mengapa salah". Tanya Lebai Ngah lagi.

 

"Kerana 58:8. "Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang dilarang daripada pembicaraan rahsia, kemudian mereka mengulangi apa yang mereka telah dilarang padanya, dan mereka berbicara rahsia dalam dosa dan permusuhan, dan dalam mengingkari rasul? Kemudian, apabila mereka datang kepada kamu, mereka memberi salam hormat kepada kamu dengan yang tidak menurut salam hormat daripada Allah kepada kamu; dan mereka berkata, "Mengapa Allah tidak mengazab kita kerana apa yang kita mengatakan?" Cukuplah bagi mereka Jahanam, di mana mereka dipanggang - satu kepulangan yang buruk!". Kata ku, seterusnya aku bertanya kembali "Kenapa susah sangat untuk Lebai nak ikut salam seperti yang Allah ajarkan itu ?"

 

"Quran sendiri kata kita kena pegang pada hadis, oleh itu hadis yang mengajar Assalamualaikum Waraoh Maullah Hi Wabarakatuh". Ujar si tuan Lebai.

 

"Lebai, kalau hadis bertentangan dengan Quran, Lebai nak pilih yang mana ?". Tanya ku lagi.

 

Lebai hanya membeliakan kedua-dua matanya. Lebai tahu, semua ulamak-ulamak seluruh dunia baik dari zaman sesudah Nabi wafat hingga ke kiamat sekalipun, dari golong Sunnah Wal Jamaah hingga ke Shiah pasti akan mengakui kalau hadis bertentang dengan Quran, maka secara otomatik hadis itu tertolak.

 

"Takan kamu pura-pura tak tahu, apa sahaja yang rasul beri kamu, ambillah, apa sahaja yang dia melarang kamu daripadanya, hentikanlah". Lebai mula naik berang.

 

"Minta maaflah banyak-banyak Lebai Ngah, janganlah Lebai Ngah ambil sebahagian sahaja daripada ayat untuk berhujah, ayat itu dari surah 59 ayat 7. "Segala apa rampasan perang yang Allah memberi rasul-Nya daripada penduduk bandar-bandar raya adalah kepunyaan Allah, dan rasul-Nya, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, supaya ia jangan bergilir antara orang-orang kaya antara kamu. Apa sahaja yang rasul memberi kamu, ambillah; apa sahaja yang dia melarang kamu daripadanya, hentikanlah. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam pembalasan sewajarnya". Kata ku lagi.

 

"Ini perihal kes rampasan perang, Lebai. Katakanlah kalau harta rampasan perang sebanyak seratus keping wang emas, tujuh puluh ekor kuda, enambelas baju besi, dan lapan buah lembing. Bagaimana Nabi hendak membahagikan harta tersebut sama rata. Kalau Nabi bagi saya baju besi mungkin saya tak dapat kuda, mungkin pula Lebai akan dapat kuda, Pak Rashid pula mungkin akan mendapat sepuluh keping wang emas. Apa yang penting, buat Nabi ialah tunaikan perintah Allah seperti ayat 59:7. Kita dan masyarakat mesti akur pada agihan Nabi, kerana sesungguhnya Allah keras dalam pembalasan sewajarnya !". Kata ku menutup hujah.

 

"Aku tak puas hati. Malam karang kita berjumpa disini. Aku akan bawa Ustaz Harun Hashim sekali. Dia tu bekas universiti Al-Azhar. Dia ada PHD. Dia regu kamu". Kata Lebai Ngah lagi. "Jangan lupa lepas Insak, jangan pula kamu lupa!". Pesan Lebai Ngah berkali-kali sambil mencapai basikal mininya. Dia terus mengayuh cepat. Sesekali dia menoleh kebelakang, mungkin masih tak puas hati agaknya.

 

Aku minta diri sambil berkata "Salamun Alaikum". Wak Seman, dan Pak Rashid jelas terpingga-pinga. Adakah mereka sedang memikirkan bagaimana hendak menjawap salam yang amat janggal sekali bagi mereka itu. Aku terus berlalu. Menuju ke muara. Melihat bubu. Entah mengena entahkan tidak.

 

 

 

Bab 2 – Mahzab/Quran

 

Alhamdulilah – bubu ku hampir separuh penuh dengan muatan sepat dan keli. Esok bolehlah pinta emak buat gulai lemak cili api. Tambah pula dengan cili padi dan pucuk ubi. Enaknya tidak terperi. Matahari telah lama pergi. Bulan pula silih berganti. Aku harus pergi. Ada tamu sedang menanti.

 

Lebai Ngah, Ustaz Harun ditemankan dengan Pak Rashid dan Wak Seman sedang menunggu diwarung. Asap rokok tembakau jawa dan bau curut menyusuk hidung. Aku membetulkan cermin mata ku.

 

"Brahim, kamu ini bermazhab apa ?". Ustaz Harun mula memecah keheningan malam. Aku belum melabuhkan punggung dibangku panjang. "Salamun Alaikum". Kata ku, dengan perlahan-lahan. Aku pun mencari tempat untuk melabuh punggung, maklumlah, bangku panjang telah berusia lanjut. Aku harus berhati-hati. Namun kedua-dua bola mata liar aku terus memerhatikan gerak mulut mereka. Ada yang terkumat-kamit, ada yang tidak bergerak dan ada yang terus mengatakan "Wa’alaikumus Salam Waroh Matullah Hi Wabarakatuh".

 

"Dosa". Kataku ringkas. Bebola mata Ustaz Harun hampir tersembol keluar dari rongganya. "Mengucap Brahim". "Kita ini mazhab Sunnah Wal Jama’ah, Mahzab yang diperakuai". Lebai Ngah mula berhujah."

 

"Izinkan saya tanya satu soalan kepada Lebai dan Ustaz Harun – Nabi Muhammad bermazhab apa, Shafie, Hambali, Hanafi, Maliki, Qardani, Mutazillah, Khawarij atau Shiah ?". Tanya ku lagi.

 

"Nabi tidak pernah bermahzab. Semua mazhab hanya datang setelah Nabi wafat". Kata Ustaz Harun.

 

"Alhamdulilah, kalau Nabi Muhammad sendiri tidak bermazhab, Allah pun tak suruh kita bermahzab, kenapa pula kita mesti untuk bermazhab ?". Kata ku.

 

"Errrr" "Kita kena bermazhab pasai bahasa Quran itu tinggi, bukan taraf kita untuk mengkajinya, imam-imam muktabar sudah mengkaji Quran, kita ikut sajalah arahan mereka". Ustaz Harun mula berceramah.

 

"Ya… ya…" suara-suara menyokong datang dari pelbagai arah.

 

Aku membuka beg galas, mengeluarkan Quran dan aku letakkanya diatas meja. Mata ku masih liar memerhatikan gerak-geri mereka. Aku beri pada Ustaz Harun. Ustaz sambut dengan selamba.

 

"Cuba lihat 6:159. "Orang-orang yang membuat pecahan dalam agama mereka, dan menjadi golongan-golongan, kamu bukanlah daripada mereka dalam apa-apa pun. Urusan mereka hanyalah kepada Allah, kemudian Dia akan memberitahu mereka apa yang mereka telah buat".

 

"Adakah ayat ini susah benar hendak difaham sehingga memerlukan ulamak atau tuan guru untuk menghuraikan dan manafsir pada kita ?". Aku bertanya pada Ustaz Harun lagi.

 

"Cuba tenggok ayat 19:37 pula. "Tetapi golongan-golongan berselisih sesama mereka, kemudian kecelakaanlah bagi orang-orang yang tidak percaya kerana senario hari yang besar."

 

"Cuba Ustaz perhatikan baik-baik, tiap-tiap golongan asyik berselisih sesama mereka, Umno dengan Pas, Sunnah dengan Shiah, masing-masing aysik mengatakan merekalah puak yang terbaik disisi Allah, maka dengan egonya pula mereka akan berfatwa bahawa selain dari puak mereka adalah puak kafir yang menyesatkan". Kata ku lagi.

 

"Jika saya tanya, puak manakah yang paling benar di sisi Allah, semua manusia akan berlumba-lumba mendakwa bahawa puak mereka sajalah dijalan yang benar. Tidak ada satu manusia sekali pun yang sanggup mengakui yang merekalah dari puak yang songsang - betul tak ?". Tanya ku lagi.

 

"Ustaz lupakah bahawa Allah telah berfirman 30:32."Daripada orang-orang yang memecahkan agama mereka, dan menjadi golongan-golongan, tiap-tiap golongan berbangga dengan apa yang di sisi mereka."

 

Dan dalam satu ayat yang lain pula 43:65. "Tetapi golongan-golongan antara mereka berselisih; maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang membuat kezaliman kerana azab hari yang pedih.". Kata ku lagi.

 

"Wak Seman, suatu masa dahulu, ada terjadi satu peperangan besar kerana mempertahankan hujah yang wajarkah "Bismillah" itu patut dibaca kuat ataupun perlahan dipermulaan Fatihah. Ratusan pejuang kedua-dua pihak terbunuh, kemudian perang lagi kerana fahaman fanatik Sunni dan Shiah. Ini terjadi kerana masing-masing mempertahankan ideologi masing-masing. Kaki cucuk adalah ulamak-ulamak syaitan dari puak-puak mereka sendiri, yang mengeluarkan fatwa bahawa darah mangsa mereka adalah halal, dan kalau mereka pula yang terbunuh, mereka akan mendapat ganjaran syurga, tapi sorrylah, Allah sendiri menjanjikan mereka degan azab yang pedih". Kata ku lagi.

 

"Astagfirullah". Sepatah perkataan keluar dari mulut Pak Rashid.

 

"Oleh itu, saya ingin membuat satu kenyataan disini, bahawa berdasarkan ayat-ayat diatas, maka saya tidak bermahzab!". Kata ku tegas. Ada mulut yang terlopong besar,

 

"Kamu sesat". Pintas Pak Rashid cepat. "Kalau dengan Quran itu, saya sesat, saya rela, saya akur". Bentak ku.

 

Angin sejuk kian terasa. Bunyi cengkerik sesekali memecah keheningan malam. Aku hanya menanti hujah bantahan. Mungkin mereka sedang memerah otak untuk mematikan hujah ku.  "Jika kamu tak bermazhab, adakah kamu ikut mana-mana tarekat ?". Tanya Wak Seman.

 

"Saya sempat meyelamatkan diri saya dari mulut buaya, takan pula saya nak menjerumuskan diri saya dalam mulut naga ?. Cuba Wak semak Surah 72 ayat 11 hingga 15". Kata ku lagi.

 

"Dan sebahagian daripada kami adalah yang salih, dan sebahagian daripada kami tidaklah demikian; jalan-jalan (tarekat) kami berlainan. Sesungguhnya kami menyangka bahawa kami tidak dapat mengandaskan Allah di bumi, dan tidak juga mengandaskan-Nya dengan melarikan diri. Apabila kami mendengar petunjuk, kami percaya kepadanya; dan sesiapa yang mempercayai Pemeliharanya, Dan sebahagian daripada kami muslim, dan sebahagian daripada kami menyimpang. Mereka yang tunduk patuh mencari kelurusan hati, Tetapi bagi mereka yang menyimpang, mereka menjadi kayu api untuk Jahanam!". Aku membaca ayat itu kepada mereka.

 

"Tak mahulah Wak, saya tak mahu jadi kayu api buat Jahanam". Kata ku lagi. Aku cuba berseloroh.

 

"Dahlah kamu tak bermahzab, tidak pula bertarekat, kamu pula tak tahu bahasa Arab, macam mana kamu hendak memahami Quran ?". Berdesing telingaku bila Wak Seman berkata begitu. "Bahasa Quran itu tinggi !". Sambungnya lagi.

 

"Perlu tahu bahasa Arab baru boleh faham Quran ke Wak ?. Adakah Wak ingat Abu Jahal, Abu Lahab, Firaun, Haman dan Qarun tak faham bahasa Arab ?. Adakah isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut dan bapa Nabi Ibrahim pun tak paham bahasa Arab ? ".

 

"Sebenarnya mereka pilih untuk tidak beriman. Wak harus faham, Syurga bukan dibuat khas untuk orang yang tahu berbahasa Arab, manakala Neraka bukan pula bukan dicipta untuk mereka yang tidak tahu berbahasa Arab !." Aku bertegas.

 

"Isteri Firaun tahu juga tahu bahasa Arab, tapi, Alhamdulilah, dia pilih untuk beriman". Kata ku lagi.

 

"Wak, udah lah tu, janganlah asyik mengatakan bahawa bahasa Quran tinggi hingga kita tidak boleh faham, adakah Wak tahu siapa yang mengajar Quran ?". Tanya ku.

 

"Guru Quran lah". Bentak Wak Seman. "Kalau saya mengatakan 55:1. "Yang Pemurah, Mengajar Al-Qur'an". Apa Wak nak bantah ?". Tanya ku lagi.

 

"Adakah kamu ingat Allah mengajar Quran kepada kamu, Brahim ?". Tiba-tiba sahaja Ustaz Harun mencelah, cuba untuk menyokong hujah Wak Seman.

 

"Allah telah berfirman 40:57. "Sungguh, ciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada ciptaan manusia; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." "Ustaz, kalau Allah sendiri telah mengatakan bahawa ciptaan manusia ini kecil, adakah pula untuk mengajar hambanNya pula menjadi suatu tugasan yang mustahil bagi Allah ?". Tanya ku lagi.

 

Wak menghulur tangan kanan. Urat-urat tua membaluti kulitnya yang berkerdut, manakala bulu roma perang pula menghiasi seluruh tangan tuanya itu.

 

"Cuba Wak baca ayat 12:1 & 12:2" pinta ku. "Alif Lam Ra. Inilah ayat-ayat Kitab yang jelas. Kami menurunkannya sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu faham". Wak Seman mula membaca Quran dengan dialek Jawanya.

 

"Bagaimana Wak, adakah Wak faham maksud ayat itu ?". Tanya ku. Wak hanya mengganguk.

 

"Apa yang Wak faham ?". Tanya ku lagi.

 

"Apa yang aku baca tadi, aku fahamlah, Tuhan kata, ayat-ayat Kitab yang jelas, Quran diturunkan dalam bahasa Arab supaya kita paham ". Bentak Wak.

 

"Kalau macam tu, Alhamdulilah, senanglah kerja saya". Kata ku sambil kerling pada Ustaz Harun.

 

"Nabi Muhammad adalah orang Arab, Quran pula turun dalam bahasa Arab untuk Nabi Muhammad sampaikan pada kaumnya yang bertutur bahasa Arab. Ini adalah supaya semua orang paham, tetapi, kalaulah pada masa itu, Quran diturunkan dalam bahasa Jawa, apa nak jadi ?". Aku cuba bermain logik.

 

"Aku tak faham apa yang hang cuba kata Brahim, hang ni dah gila !". Sang Ustaz komen.

 

"Apa yang saya cuba kata ialah, kalau Quran diturun dalam bahasa Jawa sekali pun, maka 41:44. "Jika Kami membuatnya sebuah Qur'an dalam bahasa asing, tentu mereka berkata, "Mengapakah ayat-ayatnya tidak dijelaskan? Adakah dalam bahasa asing sedang orangnya Arab?" Katakanlah, "Bagi orang-orang yang percaya, ia adalah satu petunjuk, dan satu penyembuhan; tetapi orang-orang yang tidak mempercayai, di dalam telinga mereka ada sumbatan, dan bagi mereka, ia adalah satu kebutaan; mereka itu, mereka dipanggil dari tempat yang jauh". Kata ku lagi.

 

"Manakala dalam ayat 18:57 pula, Allah telah berfirman melalui lidah nabiNya yang bermaksud "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang diperingatkan dengan ayat-ayat Pemeliharanya, lalu dia berpaling daripadanya, dan melupakan apa yang tangan-tangannya mendahulukan? Sesungguhnya Kami meletakkan penudung pada hati mereka supaya mereka tidak memahaminya, dan di dalam telinga mereka sumbatan; dan walaupun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, mereka tidak akan mendapat petunjuk selama-lamanya."

 

Lalu aku sambung lagi "27:1. Tha Sin. Inilah ayat-ayat Al-Qur'an, dan sebuah Kitab yang jelas." Dan dalam surah 54 sahaja , ada 4 ayat iaitu 17/22/32 dan 40 mangatakan "Sesungguhnya Kami memudahkan Al-Qur'an untuk Peringatan. Adakah sesiapa yang mengingatinya?". Aku berhujah lagi.

 

"Saya rasa tak susah untuk memahami ayat tersebut, betulkan Wak ?". Tanya ku lagi.

 

Wak Seman menganggok, tanda setuju.

 

"Sebenarnya bahasa bukan satu isu, Quran itu mudah untuk dipahami oleh semua manusia yang waras, tetapi syaitan-syaitan yang berserban tinggi telah memesongkan manusia pada ajaran Tuhan". Kata ku.

 

Ustaz Harun Bin Hashim terdiam. Mata dia tepat memandang kearah ku. Dia seolah-olah ingin menelan aku hidup-hidup. Aku tak kisah semua itu. Apa yang aku pasti Tuhan tidak tipu hambaNya. Ujian baru sahaja tamat keatas Wak Seman. Dia mula faham Quran dengan bahasa dia sendiri, tidak seperti hari-hari lalu dimana dia baca Quran dalam bahasa Arab, bahasa yang dia sendiri tak faham.

 

 

 

Bab 3 – Wudu/Sunnah

 

Malam masih panjang. Kopi dan teh saling berganti. Kretek, curut dan rokok daun tembakau jawa pula menjadi penghalau nyamuk yang setia. Masing-masing tidak berubah tempat.

 

"Bagaimana kamu berwuduk, Brahim". Tanya Ustaz Harun. Tiba-tiba pasal wuduk pula dibawa ke meja perbincangan.

 

"Allah telah berfirman 5:6. "Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkanlah diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu menyentuh perempuan, dan kamu mendapati tiada air, maka bertayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu, dan tangan kamu dengannya. Allah tidak menghendaki untuk membuat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia menghendaki untuk membersihkan kamu, dan supaya Dia menyempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih". Kata ku.

 

"Jadi kalau macam tu, kentut batal tak wuduk ?". Tanya sang Ustaz.

 

"Kentut tak batal wuduk kerana orang kentut tak pergi cari tandas". Kata ku sinis.

 

"Kamu tahu macam mana nak basuh muka, berapa kali nak basuh?". Tanya Ustaz Harun.

 

"Kalau Ustaz nak tahu muka itu ada dimana, tolong suruh anak kecil seusia empat tahun itu basuh muka. Itulah muka, kemudian basuhlah sekadar Ustaz larat, tapi jangan pula membazir, takut jadi teman syaitan seperti ayat 17:27 sudahlah". Aku terus berhujah.

 

"Kamu jangan kurang ajar, Brahim". Ustaz Harun mula meninggikan suara.

 

"Saya kata begitu kerana Ustaz cuba memperbodohkan minda Ustaz sendiri. Walaupun Ustaz tahu dimana muka, tapi Ustaz nak ulamak memberitahu Ustaz dimana letaknya muka Ustaz". Kata ku lagi.

 

"Kalau aku nak basuh tiga kali apa salahnya, itu Sunnah". Kata Pak Rashid. Semua bersetuju kecuali aku.

 

"Kalau begitu baik mandi sekali. Itu lebih bersih, tapi Allah berfirman seperti ayat itu "Dia menghendaki untuk membersihkan kamu, dan supaya Dia menyempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih". Inilah ujian. Allah kata cukup dengan empat anggota kerana Allah hendak menyempurnakan rahmatNya keatas kita supaya kita berterimakasih - ikut atau ingkar". Kata ku selamba.

 

"Agak-agak Pak Rashid, bila Pak Rashid tanya soalan begitu pada Nabi, apa jawapan Nabi ?". Tanya ku.

 

"Tentulah Nabi basuh seperti apa yang Allah suruh". Pintas Ustaz Harun cepat. "Kalau begitu basuh saja empat anggota. Itu arahan Allah. Itu yang Nabi buat. Itu juga Nabi ajar, tetapi, kalau rasa tak cukup lagi, maka silalah ikut arahan tuhan-tuhan lain". Kata ku lagi.

 

"Malas aku nak layan budak ni – cakapnya berbelit". Bentak Ustaz Harun. "Siapa yang berbelit, tadi Ustaz mengaku nak basuh lebih kerana Sunnah Nabi, untuk pahala yang lebih konon, sekarang Ustaz kata empat bahagian cukup – yang mana satu yang betul ni ?". Aku pura-pura bertanya.

 

"Ustaz, izinkan saya jelaskan disini, tidak ada Sunnah Nabi kerana 6:50. Katakanlah, "Aku tidak mengatakan kepada kamu, 'Aku mempunyai perbendaharaan Allah'. Aku tidak mengetahui yang ghaib, dan aku tidak mengatakan kepada kamu, 'Aku seorang malaikat'; aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku." Katakanlah, "Adakah orang yang buta dengan orang yang melihat sama? Tidakkah kamu memikirkan?"

 

"Seterusnya dalam ayat yang lain 7:188. Katakanlah, "Aku tidak ada kuasa untuk memanfaatkan diriku atau memudaratkan, kecuali seperti yang Allah mengkehendaki. Sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentu aku mengambil banyak kebaikan, dan keburukan tidak akan menyentuhku. Aku hanyalah seorang pemberi amaran dan pembawa berita gembira bagi kaum yang mempercayai."

 

"Seterusnya surah 72 ayat 21 hingga 23, Katakanlah, "Sesungguhnya aku tidak memiliki kuasa kepada kamu, sama ada untuk kemudaratan atau untuk kelurusan. Katakanlah, "Daripada Allah, yang melindungi aku tiada sesiapa, dan aku mendapati, selain daripada-Nya, tiada perlindungan, Melainkan satu Penyampaian daripada Allah, dan Mesej-Mesej-Nya. Dan sesiapa mengingkari Allah dan rasul-Nya, baginya api Jahanam; di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya, dan selamanya." Kata ku lagi

 

46:9. Katakanlah, "Aku bukanlah yang baru antara rasul-rasul, dan aku tidak mengetahui apa yang akan diperbuatkan terhadapku, atau terhadap kamu. Aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku; aku hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas."

 

"Allah telah menitah perintah untuk Nabi supaya membuat keyataan rasmi pada kaumnya bahawa dia sendiri adalah diantara para rasul, dia sendiri tidak mengetahui apa yang akan diperbuatkan terhadapnya sendiri, atau terhadap orang lain. Nabi hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadanya, dan dia sendiri pula hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas". Kata ku lagi.

 

"Manakala dalam ayat 10:15. Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, orang-orang yang tidak mengharapkan untuk bertemu dengan Kami berkata, "Datangkanlah Al-Qur'an selain yang ini, atau tukarkanlah ia." Katakanlah, "Tidak patut bagiku untuk menukarkannya dengan kemahuan diriku sendiri. Aku tidak mengikuti apa-apa, melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. Sesungguhnya aku takut, jika aku mengingkari Pemeliharaku, akan azab hari yang besar."

 

"Ustaz, dalam ayat ini, mereka beri cadangan kepada Nabi supaya Nabi memilih ayat itu sendiri. 7:203. "Dan apabila kamu tidak mendatangkan kepada mereka satu ayat, mereka berkata, "Mengapakah kamu tidak pilih sendiri?" Katakanlah, "Aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku daripada Pemeliharaku; inilah bukti yang nyata daripada Pemelihara kamu, dan petunjuk, dan pengasihan, bagi kaum yang mempercayai."

 

"Ustaz, dalam ayat 38:70, Nabi berkata "Hanya ini yang diwahyukan kepadaku, bahawa aku hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas". Kata ku lagi.

 

"Oleh itu, perlukah kita menukar syariat Allah seperti ayat 42:21. Atau, adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak mengizinkan? Jika tidak kerana Kata Ketetapan, tentu ia diputuskan antara mereka. Bagi orang-orang yang zalim, azab yang pedih". Aku membaca ayat-ayat suciNya.

 

"Kalau Nabi sendiri mengaku tidak ada Sunnahnya, siapa lak yang memandai berkata ini semua Sunnah Nabi ?". Aku bertanya.

 

"Kalaulah benar Nabi berani menokok tambah hukum Allah, macam Allah kata empat bahagian, Nabi buat lapan bahagian, tahukah Pak Rashid apa Allah akan buat pada Nabi ?". Tanya ku pada Pak Rashid.

 

"Entah" selamba sahaja Pak Rashid menjawap. Ustaz Harun buat-buat tercenggang.

 

"Jawapan itu ada pada ayat 69, ayat 44 hingga 47. Sekiranya dia mengada-adakan terhadap Kami sebarang ucapan, Tentu Kami mengambilnya dengan tangan kanan, Kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya, Dan tiadalah seseorang daripada kamu yang dapat menghalangi dia."

 

Aku berkata lagi "Ayat ini serius Ustaz, kalau Nabi berani menokok tambah pada sebarang arahan Allah, Allah akan mematikan Nabi dengan memotong urat jantungnya !". Aku terus menyambung hujah.

 

"Kamu tidak faham Brahim". Ustaz Harun cuba berceramah. "Sunnah itu sebagai pelengkap Quran"

 

"Sudahlah Ustaz, ayat-ayat ini dibaca sendiri dihadapan Ustaz, lagi-lagi Ustaz buat-buat tak faham, baiklah kalau begitu, saya minta tolong Ustaz untuk membuat satu kenyataan rasmi disini bahawa Quran itu tidak lengkap, dan perlu ada Sunnah lain untuk memperlengkapkan Quran !". Aku cuba memusing belitan hujah Ustaz Harun sebagaimana belitnya serban dia, begitulah belitan lidahnya.

 

Ustaz Harun tersentak. Sekali lagi dia tersandar di tiang warung. Dia terdiam seketika. Aku menghirup saki baki kopi yang telah lama sejuk. Ustaz tidak berani membuat keyataan tersebut, mungkin dia teringat ayat yang melarang supaya jangan berlebihan dalam agama.

 

"Buat pengetahuan Ustaz, Nabi hanya menyampaikan sesuatu yang jelas bukan tinggalkan sesuatu yang menjadi keraguan pada kita. Lepas tu kita pula mengambil keraguan tersebut lalu bertengkar dan berbunuh sesama kita, atas dasar yang masing-masing sendiri tidak pasti. Macam tu pun boleh, macam ini pun boleh. Akhirnya kita bercelaru, bergolong-golongan, berpecah-pecah sampai hari ini. Cuba lihat ayat 5:67. "Wahai rasul, sampaikanlah apa-apa yang diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu kerana, jika kamu tidak buat, tidaklah kamu menyampaikan Mesej-Nya. Allah melindungi kamu daripada manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang tidak percaya". Kataku lagi.

 

Seterusnya aku berkata lagi "Nabi sendiri membuat pengumuman dengan lidahnya sendiri bahawa 7:68. Aku menyampaikan kepada kamu Mesej-Mesej Pemeliharaku, dan aku adalah penasihat kamu yang setia". Selanjutnya Allah telah berfirman dalam ayat 34:28. "Kami tidak mengutus kamu melainkan kepada seluruh manusia sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya". Hujah aku berakhir disitu.

 

"Sebenarnya Ustaz, Nabi kita adalah seorang penasihat yang setia, manakala syaitan juga ingin untuk menjadi penasihat manusia juga. Masing-masing cuba menasihat manusia, oleh itu kita sebagai manusia mempunyai dua pilihan, ikut Nabi atau ikut syaitan. Tolong buka ayat 7:19, 20 & 20 sekali lagi.

 

Ustaz Haun membaca. "Wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di Taman, dan makanlah dari mana kamu menghendaki, tetapi jangan mendekati pokok ini supaya kamu tidak termasuk orang-orang yang zalim." "Kemudian syaitan membisikkan kepada mereka, untuk menampakkan kepada mereka apa yang disembunyikan daripada mereka, bahagian-bahagian aib mereka. Berkata, "Pemelihara kamu melarang kamu daripada pokok ini hanya supaya kamu menjadi malaikat-malaikat, atau kamu menjadi makhluk-makhluk yang hidup berkekalan." "Dan ia bersumpah kepada mereka, "Sesungguhnya aku, kepada kamu, adalah penasihat."

 

"Allah melarang Adam dari mendekati pokok itu. Syaitan pun datang dan memperjelaskan "sebab musabab" Allah melarang dari mendekati pohon itu, lepas itu dia mengaku bahawa dialah penasihat bagi Adam". Kata ku lagi.

 

"Semejak dari peristiwa tersebut, kerja tuan penasihat ini berlarutan hingga hari ini dan sampai kiamat. Cuba Ustaz lihat, kalau Allah kata empat bahagian basuhan cukup, syaitan kata tak cukup lagi. Jika kamu nak pahala lebih maka kamu basuhlah lebih, kerana Nabi buat lebih". Kata ku lagi.

 

"Penghujung ayat 5:6 tadi "… supaya Dia menyempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih." Takan tak cukup lagi dengan janji Allah ?." Kata ku selamba.

 

"Brahim, apa yang aku faham, kesemua ucapan dan perbuatan Nabi hanyalah wahyu yang di wahyukan kepadanya. Tak begitu Brahim ?". Pak Rashid pula mencuba memecah kesunyian malam.

 

"Kalau semua uacapan dan perbuatan Nabi itu wahyu, bila Nabi suruh isterinya memasak lauk kegemarannya – adakah itu juga wahyu dari Allah, kalau Nabi sakit dan minta ubat pada isterinya adakah ini juga wahyu dari Allah, kalau Nabi nak "itu" dari isterinya adakah itu juga wahyu yang di wahyukan kepadanya ?". Pintas ku.

 

"Pak Rashid, sebenarnya ayat itu berbunyi begini. Surah 53 ayat 2 hingga 10. Teman kamu tidak sesat, dan tidak juga silap, Dan tidak juga berkata-kata daripada keinginannya. Ini tidak lain hanyalah satu wahyu yang diwahyukan, Yang mengajar dia, yang sangat dalam kekuatan, Sangat kuat; dia tegak mengambang, Di horizon yang tinggi, Kemudian mendekati dan turun, Jarak dua ibu panah, atau lebih dekat, Kemudian mewahyukan hamba-Nya, apa yang dia mewahyukan. Hatinya tidak berdusta pada apa yang dia lihat".

 

"Nah, Allah telah memerintahkan Nabi supaya memberitahu pada kaumnya bahawa Nabi tidak sesat, dan Nabi tidak merepek. Nabi tak akan berkata sesuatu mengikut nafsu dia. Malaikat Jibrail pula yang mengajarnya, dan jarak mereka berdua tersangatlah dekat. Itulah proses penurunan Quran". Ujar ku.

 

Semua mendiamkan diri. Mereka mula menyemak Quran. Quran pula berlegar dari satu tangan ke tangan yang lain. Aku hanya sempat memerhatikan Quran itu digilirkan. – Alhamdulilah, aku terus membacakan ayat 25:30. Rasul berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil Al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan."

 

"Mengapa perlu Nabi mengadu kepada Allah di akhirat nanti bahawa umatnya telah mengambil Quran sebagai satu yang tidak diacuhkan – cubalah kita berfikir sejenak ?". Aku melontar pertanyaan ini.


View My Guestbook
Sign My Guestbook