Pengajian
Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 13. 07. 2000 / 10 Rabiul Akhir
1421)
Sambungan
Dari Pengajian Terdahulu
Sambungan
Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan kata Ibnu
Atho' r.a;
Bermula nafsu
itu diperangikannya atas jahat adab; dan hamba itu disuruh dengan
melazimkan adab. Maka nafsu itu melakukan dengan tabiatnya dalam
medan taat; dan hamba itu menolakkan dia dengan Mujahadah daripada
jahat yang dituntut[oleh nafsu].
Keterangan
Suluk
Sifat fitrah atau semulajadi nafsu adalah sentiasa mendorong ke arah
kejahatan, kelalaian dan penderhakaan terhadap Allah. Sementara
seorang hamba yang telah mencapai kesucian diri akan hidup dengan fitrah
ruhnya yang sentiasa beradab dengan Penciptanya. Maka dengan ini,
jelas sekali pada diri seseorang hamba itu sentiasa akan ada kontradiksi
dan pertentangan antara dua sifat ini yakni kecenderungan ke arah nafsu
yang jahat dan kecenderungan ke arah ruhnya yang suci bersih.
-
Seorang hamba yang semenjak
kecil telah teradat dengan sifat-sifat jahat adab nafsu ini adalah sentiasa
dituntut untuk memperbaiki dan menyempurnakan hak adab-adabnya, sama
ada adab kehambaan ataupun adab Ketuhanan. Ini adalah kerana nafsu
itu sentiasa cuba masuk menyelinap dan menyeludup dalam medan ketaatan
seorang hamba;
-
Sebelum waktu ibadat,
nafsu menyusup masuk dengan menanamkan rasa malas dan berasa lekeh untuk
belajar dengan sempurna akan rukun-rukun, syarat-syarat serta perkara-perkara
yang membatalkan amalan(zhohir syariat); lebih-lebih lagi daripada
cuba mengetahui perkara-perkara yang membatalkan setiap amalan tersebut(yakni
batin syariat).
-
Dalam masa melaksanakan
ibadat pula, nafsu cuba membenihkan tarikan-tarikan enak keduniaan
yang akan melalaikan hamba sekaligus menghalanginya dari mencapai rasa
khusyuk dan tawadu'.
-
Selepas beribadat pula,
nafsu menyuntik masuk hama-hama yang jahat yang tersembunyi dengan merasai
betapa kuat dan rajinnya diri berbuat ibadat yang seterusnya mengembangbiakkan
sifat-sifat yang tercela seperti Ujub, Riya Takabbur, Sum'ah dan
sebagainya.
-
Demikian pula nafsu
akan memainkan peranannya yang jahat itu di kalangan orang-orang awam yang
jahil supaya sentiasa tetap leka dengan kelalaian dan kebodohan mereka;
dan
-
Pada ahli-ahli ilmu
pula ditanam pula kecenderungan untuk rasa kesombongan dan sifat yang suka
memperkecilkan dan memperlekehkan orang lain.
-
Pendek kata, di
mana sahaja ruang atau medan, ada sahaja nafsu yang sentiasa mencari
peluang untuk menumbuhkan sifat-sifat yang jahat adab.
Dengan demikian, adalah menjadi kewajipan dan kefarduan seorang hamba
yang ingin menyempurnakan fitrahnya asal, berjuang dan berjihad dengan
apa jua cara bagi melentangi runtunan nafsu syhawat yang sentiasa ingin
menyeretnya ke lembah kebinasaan.
Namun demikian, apalah daya dan upaya seorang hamba yang ingin
bermujahadah melawan nafsu yang ganas ini, tanpa panduan dan bimbingan
dari seorang yang ahli dan yang tahu akan selok-belok kelicikan nafsu ini.
Untuk itu, seorang sahabat atau seorang guru amatlah diperlukan bagi
mencapai maksud ini sebagaimana yang diutarakan melalui......
Keterangan
Tok Pulau Manis Yang Selanjutnya;
Dan kerana inilah
sekelian itu berkehendak setiap murid itu kepada
-
bersahabat dengan
Masyayeikh dan
-
beradab dengan adab
mereka itu; dan
-
mengikut segala suruh
mereka itu; dan
-
menjauhkan segala
tegah mereka itu
kerana bahawasanya
jikalau tiada menarik segala perbuatannya atas kehendak lainnya,
nescaya tiada sah baginya berpindah daripada hawanya dan jikalau sampai
dalam kesudah-sudahan Riyadhoh dan Mujahadhoh kerana sangat tebal hijab
dirinya.
Keterangan
Suluk
Bagi mencapai maksud perjuangan untuk menundukkan hawa nafsu dan dapat
bebas merdeka hidup dengan fitrah asal dirinya, maka setiap murid
perlu bersahabat dan mendekati seorang guru yang mursyid.
Ini adalah kerana seorang yang telah mencapai tahap Masyayeikh itu adalah
seorang yang telah sampai kepada Allah dan penuh pengalaman mereka dengan
selok-belok perjalanan, tipu-daya dan kelicikan nafsu yang jahat
adab.
Adalah amat perlu murid itu taat dan patuh kepada nasihat, panduan
dan arahan dan kehendak-kehendak gurunya sekaligus mematuhi larangan-larangannya.
Ini adalah kerana setiap panduan dan kehendak dan arahan guru tersebut
adalah merupakan disiplin atau siasah atau senjata yang boleh menundukkan
dan melembutkan hawa nafsunya.
Dari keterangan di atas, juga dapat difahami seandainya seorang
murid tidak dapat mengikut tarbiyah, disiplin dan adab-adab yang
dianjurkan oleh seorang guru, dengan masih mengekali dan cenderung
kepada sesuatu kehendak yang lain, maka tiada sah atau lebih
tepat lagi jangan haraplah bagi murid tersebut untuk membebaskan diri mereka
dari tambatan nafsu mereka. Malahan jika mereka mencubanya dengan
cara mereka sendiri sehingga kepada sehabis-habis kuat Riyadhoh dan Mujahadah
sekali pun, mereka tidak akan mampu untuk menundukkan nafsu mereka
yang sentiasa dengan jahat adab itu. Ini adalah kerana seseorang
murid yang tidak mampu untuk melaksanakan adab-adab sebagaimana yang digariskan
oleh seseorang guru itu menunjukkan betapa tebalnya dinding dan hijab diri
mereka dengan tutupan nafsu yang licik tersembunyi itu.
Seorang yang jahil, seorang yang tidak berpengalaman dan seorang
yang masih tohor dengan pengetahuan keruhanian tidak akan mampu dan berupaya
untuk bergerak sendirian dalam perjuangan mereka. Mereka perlu berguru,
mereka perlu bersahabat, mereka perlu menuntut ilmu ini dari yang
arif kerana hanya dengan jalan ini sahajalah mereka akan terbuka dan terlorong
jalan-jalan untuk membaiki dan menyempurnakan adab-adab Kehambaan dan Ketuhanan.
Kita ikuti perbincangan selanjutnya dari mereka yang arif lagi berpengalaman
dengan hal-hal adab ini berdasarkan ........
Keterangan
Selanjutnya Wali Allah Tok Pulau Manis dengan
sedikit ulasan dari suluk
Dan kata setengah
mereka itu(ahli sufiah);
Bermula segala
adab itu tersimpan atas lima perkara;
-
Pertama,
memeliharakan "Hurmati Al-Ilahi" dengan menjunjung segala pensuruhnya dan
menjauh segala tegahnya; yakni menjaga dan memuliakan
"Penghormatan Ketuhanan" dengan melaksanakan segala apa yang telah
difardukan di samping meningkatkan amalan yang disukai(yang sunat) oleh
Allah dalam setiap sudut kehidupan. Hurmati Al-Ilahi(Penghormatan
Ketuhanan) ini juga adalah dengan menjauhkan diri dari terjerumus ke dalam
apa jua bentuk penderhakaan dan laranganNya.
-
Kemuliaan Syariat hendaklah dipelihara dengan melaksanakan apa yang
difardukan dan yang digalakkan oleh syarak di samping menjauhkan apa yang
yang dilarang dan yang tidak digalakkan.
-
Kemuliaan Thoriqat pula dipelihara dengan mengikut jejak langkah jalan-jalan
Rasul, Nabi, Aulia Allah dan Ulama yang Warisatul Ambiya.
-
Kemuliaan Hakikat pula hendaklah dipelihara dengan penyempurnaan
kebersihan hati dari Hak Hukum Ketuhanan.
-
Dan kedua,
meninggikan hemah dalam pekerjaan dunia dan akhirat hingga tiada takluk
pada suatu daripada segala yang kurang pada zhohir dan pada batinnya; yakni
memiliki hati yang bercita-cita tinggi untuk mencapai kehampiran dengan
Allah dalam setiap urusan dunia dan akhirat.
-
Jika berurusan dengan dunia, maka akan dilaksanakan dan dicari
helah bagaimana urusan yang dilaksanakan itu mendapat keberkatan kehidupan
di dunia dan keredhoaan Allah di akhirat nanti.
-
Demikianlah lebih-lebih lagi dengan urusan ibadat dan akhiratnya.
Yang beradab akan cuba menjejaki hakikat kehambaan dan hakikat keikhlasan
dalam ibadatnya semata-mata sebagai seorang hamba yang sedar dirinya sehingga
tidak tertuju dan tertambat atau tertakluk hatinya kepada apa jua sesuatu
yang kurang pada zhohir dan batinnya seperti;
-
pangkat dan kedudukan yang baik dan mulia
di dunia sebagai seorang ulama atau guru yang hebat atau apa jua yang dipanggil
sebagai "seseorang" yang di sisi agama atau dunia;
-
cenderung kepada mendapat karamat yang mencarik
adat;
-
mengharapkan balasan syurga dan kesenangan
di akhirat nanti.
-
Dan ketiga,
membaiki khidmat[dengan Allah) dengan melazimkan mengikut segala amar(suruhan
syara') dan meninggalkan bida'ah dan tabri(lepas) daripada haul dan kuat;
yakni
sentiasa mengkoreksi diri dan memperbaiki amal-ibadat kepada Allah ke arah
penyempurnaannya dengan memperwajibkan diri untuk melaksanakan semua perintah
Allah sama ada yang fardu atau pun yang sunat.
-
Sholat-sholat sunat di waktu siang atau malam,
jika di sisi orang awam adalah sunat dikerjakan bila ada keluangan waktu
atau kekuatan semasa, tetapi di sisi mereka yang beradab, menjadi
"WAJIB" di mana apabila ketinggalan dalam melaksanakannya akan terus diganti(diqada')
bila terus sahaja ada peluang.
-
Melaksanakan kebaikan sesama manusia di sisi
orang-orang awam boleh sahaja dilakukan bila keperluan dan kepentingan
diri sendiri sudah beres, namun di sisi mereka yang beradab,
mereka lebih mengutamakan keperluan saudara-saudaranya melebihi keperluan
dirinya sendiri, hatta kepada haiwan pun mereka sanggup untuk melakukan
kebaikan yang tidak sanggup dilakukan oleh kebanyakan manusia.
-
Di samping itu juga mereka sentiasa menjauhkan
perkara-perkara yang syubhat dan bidaah(yang baru diada-adakan) dalam agama.
Tanpa kelulusan syarak yang berpaksikan Imam Yang Empat, mereka akan menjauhkan
daripada melibatkan diri dengan perkara tersebut, walaupun ramai
yang berkata perkara itu adalah untuk kebaikan dan kemasylahatan diri atau
umum.
-
Tidak hairanlah kenapa mereka boleh bersikap
dan berpendirian yang kadang-kadang dianggap anti-kemajuan atau apa-apa
anti lagi; kerana mereka adalah golongan yang sentiasa menjaga adab
seorang hamba dengan TuhanNya yang tidak memandang kepada keupayaan dan
kekuatan dirinya untuk melangsungkan sesuatu kebaikan. Mereka hidup
dengan "La haulawa quwwataillah billahil 'Aliiyil 'Azim" yakni Tiada daya
dan kekuatan melainkan dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
-
Dan keempat,
lulus azamnya yakni mempunyai azam yang kuat di dalam memerangi kepada
syaitan dan hawa nafsunya; yakni mereka yang beradab
ini adalah mereka yang sentiasa menghabiskan masa untuk berjuang dan berjihad
bagi memerangi tipu-daya dan helah syaitan iblis yang licik di samping
yang sentiasa melentangi runtunan kehendak hawa nafsunya yang sentiasa
muncul dalam pelbagai wajah-wajah kebaikan.
-
Dan kelima,
syukur akan segala nikmat dengan memandang kurnia daripada Yang Mengurniai.
yakni
sebagaimana yang telah dibincangkan dalam tajuk SAMBUTAN
KE ATAS LIMPAH KURNIA ALLAH
Sambungan
Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan adalah jahil
murid itu dengan tiga perkara;
-
Pertama,
terpedayanya pada zhohir barang yang berlaku atasnya daripada TolongNya
dengan sangkaannya;
-
Dan kedua,
baik sangkanya pada dirinya pada hal tasarufnya;
-
Dan ketiga,
menolong kesalahannya dengan membukakan pintu ta'wil.
Keterangan
Suluk
Keterangan selanjutnya di atas adalah merupakan perihal yang berkaitan
dengan lawan kepada orang-orang yang tahu beradab yakni yang terdiri daripada
golongan yang jahil dengan adab-adab sebagai seorang hamba dengan
TuhanNya. Mereka yang dimaksudkan ini terdiri daripada golongan murid
yang masih baru dan mentah dalam perjalanan keruhanian ini.
Adalah jahil mereka ini berpunca dari tiga sebab iaitu;
Pertama,
terpedayanya pada zhohir barang yang berlaku atasnya daripada TolongNya
dengan sangkaannya; yakni kerana terpedaya dengan keseronokkan
mereka dalam beramal dengan disangkakan telah mendapat pertolongan dari
Allah;
-
Dengan merasa rajin beribadat,
berwirid dan bangun malam mereka menyangkakan bahawa Allah telah memberikan
pertolonganNya sedangkan mereka dibayangi oleh jahat Ujub dan Takkabur
dalam amal-ibadatnya.
-
Dengan merasa mudah dan lazat dalam
ibadat, mereka bersangkakan Allah telah menerima amal-ibadatnya sedangkan
mereka terlupa untuk melihat betapa banyaknya aib dan cela ibadat-ibadat
yang dikerjakan itu.
-
Dengan merasa selesa dengan hal-ahwal
yang dialami, mereka merasakan telah mencapai kehampiran dengan Allah,
sedangkan itulah adalah sangkaan yang dibayangi oleh nafsu dan syaitan
yang telah memerangkapkan mereka dengan keselesaan dalam sesuatu hal-ahwal
yang dialaminya.
-
Atau dengan contoh yang lebih mudah
ialah seorang yang beramal dengan sesuatu ayat, maka mendapat murah
rezekinya. Dirasa murah rezekinya ini berpunca dari kesan amalan
ayat-ayat tersebut.
Dan
kedua, baik sangkanya pada dirinya
; yakni sentiasa berbaik sangka pada dirinya setelah
lama sudah melakukan riadah dan mujahadah hingga telah banyak amal-ibadat
yang dapat dikerjakan kini. pada
hal tasarufnya bermaksud merasakan dan memandang dirinya
yang kuat bermujahdah dan berbuat amal-ibadat. Mengikut guru suluk,
sangkaan bahawa dirinya tasaruf(berbuat ibadat) ini menimbulkan rasa Ujub
dan Takkabur di hatinya yang akhirnya meranapkan segala kebajikannya dan
mensia-siakan kebaikan yang telah sekian lama dilakukan. Inilah bahayanya
kejahilan murid. Lebih bahaya lagi ialah....
Dan ketiga,
menolong kesalahannya dengan membukakan pintu ta'wil. yakni
sentiasa menyedapkan hatinya dengan pelbagai alasan(takwil) yang diharuskan
oleh syarak pada setiap kali terjatuh dalam kesalahan atau pelanggaran
adab semasa beramal. Dan apabila pintu takwil dibuka, maka
terlupalah mereka untuk merayu dan memohonkan keampunan dari Allah Taala
yang sentiasa terbuka untuk mereka. Seolah-olah mereka sendiri yang
cuba menutup pintu taubat dengan asyik dengan pelbagai takwilan yang dibujuk
oleh syaitan dan nafsu yang licik lagi tersembunyi.
Tidak hairanlah dengan kejahilan ini, dalam masyarakat kini ada
tokoh-tokoh ulama yang menolong melakukan penderhakaan kepada Allah dengan
melakukan pelbagai takwilan yang boleh merosakkan kemuliaan Syariat Islam.
Contohnya;
-
Riba di bank perlu dilaksanakan demi
untuk menstabilkan ekonomi negara;
-
Judi memang haram, tetapi menyertai
pertandingan memancing diharuskan oleh syarak kerana ianya riadah yang
menyihatkan.
-
Kutipan cukai-cukai amat diperlukan
untuk belanja pengurusan badan-badan yang berkenaan.
-
sedangkan mengikut kitab-kitab fekah,
telah nyata sekali perkara-perkara seperti di atas adalah haram semata-mata.
Sambungan
Keterangan oleh Tok Pulau Manis
Dan demikian itu
daripada redho daripadanya dan lupa daripada takut Makri kerana tiada tawafuf
amar Allah dalamnya atas ilmunya seperti yang dinyatakan Mualif dengan
katanya;
Bersambung lagi dalam pengajian berikutnya di bawah tajuk...... Makri
Tuhan
[[Kembali
ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi
taufik dan hidayahnya
|
Tiada daya dan upaya
melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar
|