Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 26. 01. 2001 / 30 Syawal 1421)
KE MEDAN SYUHUD
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Keterangan dan Huraian Selanjut oleh Tok Pulau Manis

Dan ditanyai Abu Said Al-A'raabi rahimallahi Taala daripada Fana.  Maka katanya;

[Fana itu] iaitu zhohir Sifat 'AzomahNya dan JalalNya atas hamba;  maka memfanakan ia('AzomahNya) akan dia(hamba) daripada dunia dan akhirat dan segala ahwal dan darjat dan Maqaamat dan Azkar;  memfanakan akan dia(hamba) daripada tiap-tiap suatu dan daripada dirinya dan daripada Fananya.

Keterangan Suluk

Bertemu pula dengan satu pengalaman keruhanian yang sering diperkatakan oleh para sufi yang telah melaluinya.   Semata-mata dengan rasa keruhaniannya,  dan dapatannya pula bukanlah berdasarkan ilmu.  Hakikat pengertian sebenarnya adalah pada rasa dalam pengalaman itu.

Sekadar satu keterangan berkenaan dengannya,  Fana mengikut Sufi di atas ialah apabila nyata dan zohir Sifat Kebesaran dan Keagungan Allah ke atas hati hambaNya yang dipilih.  Penzhohiran Sifat-Sifat ini adalah sebagai satu Tajalli Ketuhanan Yang Agung dan Yang Memilik Kebesaran itu ke atas hati hamba-hambaNya yang natijah dan kesannya ialah;

Tidak jauh bezanya keterangan di atas,  jika dibandingkan dengan perkataan Abu Said Al-Arabi yang pernah berkata apabila ditanya berkenaan maksud FANA dengan katanya;

FANA ialah apabila Keagungan Allah Subhanahuwa Taala  yang tidak terbatas itu kelihatan kepada si hamba dan menjadikan ia lupa kepada alam ini dan alam akhirat dengan segala Hal,  Martabat dan Maqamnya dan lupa kepada mengingati seluruhnya itu,  dan ia tidak nampak lagi kepada segala yang zahir dan segala yang ternampak oleh akal dan jiwanya,  dan ia hancur lebur di sana,  hinggakan hancur lebur itu pun hilang sirna dari ingatannya,  sehingga seluruh dirinya tenggelam dan hilang dalam lautan Ma'rifat yang tidak bertepi dan tidak terkira dalamnya itu.

Keterangan dan Huraian Selanjut oleh Tok Pulau Manis

Maka jikalu engkau berkehendak bahawa keluar engkau daripada penjara wujudmu kepada luas syuhudmu,  maka fanakan olehmu daripada wujudmu dan haulmu dan kuatmu.  Maka engkau lihatlah barang yang Kurnia Allah Taala atasmu daripada segala rahsia yang ghaib-ghaib yang tersembunyi daripadamu.

Keterangan Suluk

Dari pihak atasnya mengertilah kita bahawa Fana itu adalah anugerah Allah buat hambaNya yang terpilih.  Namun jika dilihat pula dari pihak bawahnya yakni apa yang sayugianya dilakukan oleh seorang hamba yang berkehendak membebaskan dirinya daripada penjara wujudnya;  keterangan di atas mungkin boleh memandu kita untuk memahaminya.

Yang dimaksudkan dengan penjara wujudmu ialah kurungan(tabiat)  sifat-sifat basyariah hamba serta liarnya tilikan dan pandangan kepada melihat upaya dan kekuatan diri.  Membebaskan diri daripada kurungan rasa dan wujud diri sendiri hendaklah dilakukan dengan menceraikan sebarang rasa dan dakwa-dakwa yang terbit dari dalam hati.  Inilah apa yang dikatakan sebagai menfanakan daripada wujudmu dan haul(upaya) dan kekuatanmu.  Selagi masih ada rasa kecenderungan untuk menilik diri

maka selagi itu seorang hamba masih terkurung dalam penjara wujudnya.  Bila terkurung,  jauhlah lagi daripada berenang bebas di medan syuhud yang tiada bertepian. yang nanti dapatlah keluar ke medan syuhud itu.  Di sinilah nanti  maka engkau lihatlah barang yang Kurnia Allah Taala atasmu daripada segala rahsia yang ghaib-ghaib yang tersembunyi daripadamu sebelumnya.
 

Keterangan dan Huraian Selanjut oleh Tok Pulau Manis

Dan hanya sanya mendahulukan Mualif akan dukacita kerana bahawasanya ia(dukacita adalah) hal permulaan,  dan mengakhirkan ia akan Roja' kerana bahawa sanya ia(Roja' adalah) awal darjat al-Makrifat,  dan dijadikan isyarat kerana ia memberi faedah tiap-tiap daripada keduanya(dukacita dan Roja)

Keterangan Suluk

Keterangan di atas adalah sebagai merumuskan apa yang telah dibangkitkan dalam beberapa siri pengajian yang lalu berkenaan dengan;

serta sebab-sebab mengapa kalam-kalam hikmah itu tersusun begitu rupa,  dari sesuatu yang berkaitan dengan dukacita,  isyarat dan Roja' (sebagaimana dalam pengajian yang beikutnya insya Allah).

Dan hanya sanya mendahulukan Mualif akan dukacita kerana bahawasanya ia(dukacita adalah) hal permulaan
Adalah sebab mengapa Muaif(Sheikh Ibnu Atoillah As-Kanddari ra.) mendahulukan dukacita kerana ianya adalah hal permulaan orang-orang Salik.  Sebagai menyatakan jika timbul rasa kesedaran dan dukacita di atas kelalaian diri di samping penderhakaan kepada Allah yang sentiasa dilaluinya,  jika ianya tidak diikuti dengan mujahadah dalam mendirikan taat adalah terpedaya.  Dukacita itu hendaklah disertaikan dengan Mujahadah.  Inilah hal Salik dalam permulaannya,  sebagai seorang ahli thoriq yang terjaga dari mengantuk lalai dan tidur jahilnya.

dan mengakhirkan ia akan Roja' kerana bahawa sanya ia(Roja' adalah) awal darjat al-Makrifat
Dan kenapa pula diakhirkan kalam hikmahnya sesuatu berkenaan Roja,  kerana ia adalah awal permulaan darjat Ahli Makrifat.  Sebagai muara ke lautan yang tiada bertepi.  Orang yang Roja ialah orang yang hidup kesedarannya(ilmu) dengan amal.   Insya Allah,   kita akan sama-sama dapat meneliti huraian berkaitan dengan Roja' ini dalam pengajian yang berikutnya.

dan dijadikan isyarat kerana ia memberi faedah tiap-tiap daripada keduanya(dukacita dan Roja)

dan mengapa pula diselitkan berkenaan Isyarat di antara kedua-dua hal tersebut(dukacita, Roja') sebagai menyatakan faedah atau kebaikan yang akan diperolehi dari hal-hal tersebut iaitu amal dan ilmu.

Demikianlah faedah yang bertunas dari rasa(hal) dukacita dan Roja'(Harap).  Ilmu dan Amal.
 

Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari yang selanjutnya;
 

HARAP ADALAH YANG DISERTAI AMAL. JIKA TIDAK IA ADALAH ANGAN-ANGAN.

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Bermula Harap itu barang yang beserta akan dia amal;  dan jikalau tiada demikian,  maka iaitu angan-angan namanya.  Maka angan-angan itu hukumnya mati.

Keterangan Suluk

Bersambung.....Insya Allah.....di bawah tajuk Roja' atau Harap.

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar